Ahmad Baei Jaafar
Tidak dinafikan ramai suami yang berpoligami pada hari ini melakukan kesalahan sama ada kepada Allah, isteri dan kerajaan. Berbeza dengan poligami yang diamalkan oleh orang soleh pada zaman dahulu, mereka sungguh patuh kepada Allah dan berkasih sayang dengan isteri-isterinya. Namun sebagai hamba Allah, kita harus sedar bahawa Allah sungguh adil dalam menghukum hambanya yang berdosa.
Selain suami, isteri juga berdosa dalam soal ini apabila mereka melarang suaminya berpoligami. Ya, pada hari ini, ramai isteri telah melakukan beberapa dosa tanpa sedar;
1. Dosa kepada Allah kerana menghalang perkara yang diharuskan oleh Allah.
2. Berdosa kepada suami kerana bersangka buruk bahawa suaminya akan menzaliminya dan akan melebihkan isteri yang baru.
3. Berdosa kepada suami kerana tidak taat kepada suami apabila suami minta untuk berkahwin lagi.
Sebenarnya Allah Maha Adil dan Dia akan menghukum hambanya yang buat dosa. Oleh sebab itu isteri tidak perlu campur tangan urusan Allah dalam mengadili orang yang bersalah. Di sini saya senaraikan beberapa bentuk campur tangan isteri dalam urusan Allah:
1. Isteri takut suami menzaliminya. Bukankah Allah ada, Dia tahu segala-galanya, kalau suaminya zalim, dia akan dihukum. Isteri tidak berdosa malah dapat pahala dengan kezaliman suaminya itu.
2. Isteri buruk sangka bahwa suaminya tidak adil. Bukankah Allah larang kita bersangka buruk, apatah lagi kepada suami. Ini sudah satu dosa. Kalau memang suami tak adil, dia sebenarnya bukan berdosa kepada isteri tetapi berdosa kepada Allah, Allah yang akan menghukumnya. Jadi, kenapa isteri nak hukum suami.
3. Isteri sekat kemahuan suami sedangkan Allah membenarkannya adalah satu penyalahgunaan kuasa oleh isteri. Dengan sekatan itu suami yang baik akan berkahwin secara rahsia, tetapi suami yang jahat akan berzina dengan beberapa perempuan di belakang isteri.
Oleh sebab itu wahai isteri, sama ada anda benarkan atau tidak benarkan suami berkahwin, dia akan tetap menduakan anda sama ada sedar atau tidak, kan lebih baik anda izinkan dia berkahwin, sudah tentu anda mendapat pahala. Ketahuilah, anda sepanjang masa akan beroleh pahala dan malah dijamin syurga walaupun suami anda akan dimasukkan ke dalam neraka. Kenapa?
Abdur Rahman bin Auf berkata, “Rasulullah SAW bersabda: "Jika seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, nescaya dia akan dibenarkan masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang dia inginkan.” (Riwayat Ahmad, hadis hasan lighairihi)
Ya, mudahkan masuk syurga hanya dengan empat perkara tersebut. Tetapi ada isteri yang berjawatan ustazah pun kadang-kadang sukar masuk syurga kerana walaupun solat, puasa dan jaga maruah tetapi mereka tidak boleh taat suami dalam hal poligami. Semoga anda sekalian tidak tergolong dalam golongan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan