28 Julai 2017

Kenapa perlu ikut mazhab dalam beragama?

Saya percaya ramai dalam kalangan umat Islam pada hari ini tidak tahu secara benar apakah itu Mazhab dan apa kepentingan Mazhab kepada umat Islam. Maka dalam ruang yang terbatas ini saya cuba memperturunkan beberapa cacatan penting agar kita benar-benar faham kedudukan mazhab pada Islam dan umatnya.
Kalau saya nak bandingkan mazhab dengan kehidupan kita pada hari ini, bolehlah saya samakan dengan satu pengajian universiti yang censelernya ialah pengasas mazhab tersebut. Mazhab Hanafi, censelernya ialah Imam Abu Hanifah, Mazhab Syafii, censelernya ialah imam asy-Syafii. Begitulah seterusnya dengan mazhab-mazhab lain. Jadi, kita semua adalah pelajar universiti tersebut melalui pensyarahnya ataupun titornya dari masa ke masa.
Sebagai pelajar sama ada tamat pengajian atau tidak, dia boleh bersandar dengan universiti itu. Sebagai contoh, bila orang bertanya kepadanya tentang suatu teori, maka dengan yakin dia berkata, "berdasarkan ilmu yang saya perolehi dari universiti A (sebagai contoh) teori ini adalah tepat." Dengan pengakuan itu orang yang mendengarnya tentu boleh terima dengan penuh yakin.
Tetapi bagaimana kalau kita menjawab sekadar berkata, "mengikut apa yang saya faham daripada pembacaan saya," tentu kata-kata kita itu tidak akan diambil. Begitu juga kalau kita membuat rujukkan kepada orang yang tidak dikenali umum, sukar juga diterima oleh pihak lain. Maka ilmu itu boleh digunakan untuk diri sendiri sahaja.
Begitulah bandingan mudah untuk mazhab. Sebenarnya di segi bahasa "mazhab" bermaksud pendapat. Maka mazhab Syafii bererti pendapat imam asy-Syafii. Pada segi sejarah, setelah berlalu zaman khalifah ar-Rasyidin yang keempat, tidak ada tempat rujukan umat Islam dalam hal yang berkaitan dengan agama. Dan pada masa yang sama lahir pula pelbagai hadis palsu hingga mengelirukan umat Islam ketika itu.

Sejarah
Bagi menyelamat keadaan itu, Abu Hanifah telah berusaha mendirikan sekolah untuk mengajar anak muridnya. Asas rujukan ilmunya ialah al-Quran dan beberapa Hadis yang dicari dan dikumpul sendiri pada waktu itu. Oleh kerana keadaan pada waktu itu amat sukar mempastikan hadis yang sahih dengan hadis palsu beliau banyak menggunakan pendapatnya berasaskan al-Quran dan hadis yang sedia ada. Maka pengajiannya lebih terkenal dengan madrasah ar-Ra'y. Tetapi selepas wafatnya dinamakan pengikutnya sebagai Mazhab Hanafi.
Imam Malik pernah berguru dengan Iman Abu Hanifah di sekolah tersebut, maka setelah wafat Abu Hanifah, beliau menubuhkan pula sekolahnya sendiri. Ilmunya berkembang dari masa ke masa apatah lagi dengan penemuan hadis lain yang tidak pernah ditemui pada zaman Abu Hanifah. Dengan sebab itu pendapatnya agar berlain sedikit dengan gurunya. Atas perbezaan itu maka dinamakan sebagai Mazhab Maliki. Imam Syafii pernah belajar di Madrasah Imam Malik.
Setelah wafat Imam Malik, imam Syafii pula menubuhkan sekolah di tempatnya dan di sana berjaya melahirkan ramai pelajar. Ilmunya semakin berkembang dengan pertemuan hadis-hadis baru yang berjaya ditemuinya pada zamannya. Akhirnya terbentuk Mazhab Asy-Syafii. Muridnya yang berpotensi sebagai ulama dan Imam ialah Ahmad Ibnu Hanbali.
Setelah wafat Imam asy-Syafii, beliau pulang ke desanya dan mendirikan sekolahnya sendiri. Beliau sendiri merupakan orang yang terlibat dalam mengumpulkan hadis dan membukukannya. Dengan itu ilmunya terus dikembangkan kepada anak muridnya yang daripadanya usahanya itu lahirlah Mazhab Hanbali.
Jelas di sini antara mazhab dengan mazhab yang lain bukan berada dalam satu kawasan dan bukan juga dalam tahun yang sama. Maka perbezaan pendapat dalam kalangan mazhab-mazhab itu sangat bergantung kepada keadaan masyarakat dan bahan rujukan yang ada pada zaman mereka. Oleh sebab itu tidak timbul perbalahan antara pengikut sesuatu mazhab. Malam mereka saling menghormati pendapat guru yang menyumbang ilmu masing-masing.

Kalau tak ikut mazhab?
Kita pada hari ini menjadi pengikut mazhab yang sedia ada memandangkan tahap ilmu kita amat jauh ketinggalan dengan ilmu imam-imam terdahulu. Namun di celah-celah itu timbul persoalan, apakah kita perlu ikut mereka lagi, dan kenapa kena ikut mazhab, bukankah Allah tinggalkan quran dan hadis, ikut je lah kedua-duanya. Saya percaya, orang yang bertanya itu orang lulusan universiti dalam bidang agama. Kalau tidak, tentu dia tidak berani bertanya begitu.
Tanpa bertanyakan status pengajiannya saya bertanyakan kapadanya, "kamu tentu tahu, pelajar jurusan kedoktoran setiap tahun terlalu ramai. Yang sudah mendapat ijazah pun ramai juga. Tetapi kalau seusai pengajian dia tidak bekerja di hospital sebaliknya menjadi pensyarah, agaknya ada tak orang ramai nak berjumpa dengannya untuk menerima rawatan?"
Ya, kalau dia berani untuk membuka klinik dalam kampungnya, tentu tanpa lesen yang sah. Kalau orang kampungnya tahu kedudukan klinik itu, mahukah mereka mendapatkan rawatan di situ? Percayalah lambat laun dia boleh ditangkap.
Selain itu, ramai juga lulusan undang-undang, tetapi kalau dia tidak menjadi peguam atau hakim, bolehkah dia menghukum orang yang bersalah? Ya, meskipun tahu hukumnya tetapi dia tidak boleh menghukum orang yang bersalah.
Begitulah juga dengan lulusan agama yang pada hari ini bukan dalam jurusan yang sama. Walaupun pada zahirnya boleh dipanggil ustaz atau ustazah, tetapi dia tidak berkelayakan menjadi fuqaha. Malah mereka yang sekadar pakar dalam al-Quran dan Hadis pun belum layak bergelar fuqaha. Oleh sebab itu dia masih perlu merujuk kepada mazhab yang sedia ada. Sedarlah kealiman seseorang tentang feqah pada hari ini tidak sehebat ulama mazhab dahulu. Bayangkan kalau Iman Nawawi yang ilmunya sangat hebat pada zamannya, namun dia masih bersandar kepada mazhab as-Syafii.
Jadi, Siapakah kita kalau hendak dibandingkan dengan Imam Nawawi? Sedar dirilah, kalau sekadar memahami al-Quran dan Hadis melalui terjemahan bahasa Melayu atau Inggeris, tak payahlah bercakap soal hukum feqah. Tak payahlah menghukum orang lain sebagai salah. Ikut sahajalah apa yang sudah ditulis oleh ulama terdahulu.
Sekali lagi saya ingatkan golongan yang tidak mahu ikut mazhab kerana yakin ilmunya lebih baik, amallah sendiri tanpa membabitkan orang lain. Hal ini kerana kalau amalan itu tak sah, anda seorang sahaja yang terlibat, Jangan libatkan orang lain nanti dosa anda lebih besar. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: