Ahmad Baei Jaafar
Tidak semua lelaki layak berpoligami. Tetapi lelaki yang miskin bukan menjadi penghalang kepada poligami. Maka setiap orang perlu menilai diri sendiri, sama ada mereka layak berpoligami atau tidak. Namun, tidak dinafikan semua lelaki teringin untuk berpoligam walaupun dia sedar tidak mampu untuk melakukannya. Oleh sebab itulah poligami yang mereka laksanakan membawa kegagalan kecuali mereka yang ada iman yang kuat dan takwa tinggi. Mereka yang berjaya membawa poligami hingga ke penghujung.
Oleh sebab itu, marilah wahai kaum lelaki, menilai semula kemampuan anda untuk berpoligami dan itulah yang menentukan kelayakan anda. Baiklah sementara orang lelaki membuat penilaian diri sama ada layak berpoligami atau tidak, saya hendak jelaskan beberapa perkara penting terutama dalam hukum berpoligami berdasarkan hukum asalnya.
Sebenarnya berkahwin berdasarkan hadis Rasulullah ialah amalan Sunnah. Sunnah Nabi bermaksud amalan yang pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW sepanjang hidupnya. Manakala berkahwin berdasarkan perintah Allah dalam surah al-Nisa: "Kahwinlah mana-mana perempuan yang kamu sukai sama ada dua, tiga atau empat ..." adalah harus. Makna harus ialah, sama ada anda hendak buat atau hendak tinggalpun terpulang kepada keinginan masing-masing. Nak buat sila, tak nak pun sula, tepuk dada tanya selera. Hukum ini termasuk dalam soal poligami. Maka apabila seseorang itu nak berkahwin, tidak boleh dilarang.
Walau bagaimanapun setiap hukum harus ini boleh berpecah kepada empat hukum iaitu:
1. Wajib; kalau seseorang lelaki atau suami yang sangat memerlukan perempuan. Kalau dihalang dibimbangkan dia terjebak dalam perzinaan, maka wajiblah dia berkahwin. Tatkala itu isterinya yang ada patut mendorong suaminya berkahwin lagi. Ini boleh jadi isteri tersebut sudah tidak boleh menyelesaikan kehendak nafsu seksnya.
2. Sunat; kalau seorang lelaki atau suami cukup mampu untuk berkahwin dan dia sudah ada pulihan yang sesuai dengannya dan dengan perkahwinan itu nanti akan menjadilah keluarganya lebih ceria dan bahagia, maka sunatlah dia berkahwin.
3. Haram; kalau seseorang lelaki atau suami hendak berkahwin tetapi niatnya untuk melacurkan isterinya atau merancang untuk menderanya bagi melakukan kerja yang tidak selayaknya sebagai isteri, maka haram dia berkahwin. Isteri yang sedar sikap suaminya ini dia wajib menghalang suaminya daripada berkahwin lagi.
4. Makruh; kalau seseorang lelaki atau suami berkeinginan untuk berkahwin sedangkan dia tidak mampu untuk memberi keadilan, mendidik isteri, dan tidak cukup kewangan, maka makruhlah dia berkahwin. Isteri yang menyedari keadaan suaminya itu, bolehlah dia menasihati suaminya agar tidak berkahwin. Kalau dia hendak juga nasihatkan dia agar suaminya itu cuba mencukupkan ciri-ciri kelayakan untuk berpoligami.
Maknanya berdasarkan hukum di atas, ada satu keadaan sahaja yang si isteri boleh menghalang suaminya, iaitu yang haram manakala keadaan satu lagi iaitu makruh maka isteri boleh nasihatkannya agar berhati-hati membuat keputusan. Semoga ramai yang boleh faham penjelasan ini.
Islam telah meletakan hukum ini secantik ini untuk diikuti oleh umat Islam, tetapi lazimnya tidak digemari oleh para isteri walaupun dia seorang pendatang baru. Mereka tidak sudak dengan sikap suaminya lalu membuat tuduhan palsu. Ingatlah wahai isteri, ORANG JAHAT MUDAH NAMPAK JAHAT ORANG, DAN ORANG BAIK AKAN MUDAH NAMPAK BAIK ORANG. PANDANG ORANG BAIK DAPAT PAHALA. Wallahu aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan