Ahmad Baei Jaafar
Saya percaya anda pernah membaca atau mendengar sebuah hadis dalam hadis 40 catatan Imam Nawawi yang terpanjang iaitu hadis mengenai Jibril bertemu Rasulullah. Menurut hadis itu seorang lelaki luar (bukan penduduk tempatan Madinah) bertemu Rasulullah tetapi keadaanya seperti terlalu rapat dan biasa dengan baginda. Namu sahabat tidak mengenalinya.
Dalam perbualan santai, baginda ditanyakan beberapa soalan, namun semua soalan itu dapat dijawab dengan baik dan tepat. Tetapi terdapat satu soalan akhir, yang baginda tidak terus menjawab sebaliknya memulangkan soalan itu dengan menyebut, "orang yang bertanya lebih mengetahui daripada yang ditanya."
Ya, siapa ingat hadis apa itu? Betul, ramai yang tahu. Dalam peristiwa itu baginda ditanyakan tentang IMAN, ISLAM dan IHSAN. Dan soalan akhir adalah mengenai hari kiamat. Itulah yang tidak mahu dijawab oleh baginda. Namun soalan itu ditukarkan kepada persoalan tanda-tanda kiamat.
Jibril berkata, “Kalau begitu khabarkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya” Baginda Rasulullah SAW menjawab. “Apabila seorang hamba melahirkan tuannya dan engkau akan melihat rakyat jelata yang miskin tinggal lama di dalam bangunan.” (Riwayat Muslim)
Saya tidak pasti, orang generasi sekarang pernah dengar hadis tersebut atau tidak. Kalau pun pernah mendengarnya, tidak dipastikan sama ada mereka faham atau tidak mesej hadis tersebut. Sebenarnya bukan sahaja generasi sekarang yang tidak faham, saya sendiri waktu belajar dahulu tidak bagitu faham mesejnya. Malah mungkin guru yang mengajar tentang hadis itu juga kurang faham mesej sebenar.
Saya ingat lagi, ustaz saya berkata, akhir zaman nanti ibu-ibu akan melahirkan tuan-tuan. Dan orang miskin akan berlumba-lumba membuat bangunan tinggi. Menurut ustaz itu, pada zaman itu akan berlaku dua keadaan dan itulah tanda hampir berlaku kiamat. Katanya lagi, zaman itu amat berbeza dengan zaman sekarang yang manusia masih ada yang beriman dan takut kepada Allah.
Dalam hati saya ketika itu, kan bagus kalau begitu, seorang ibu mampu mendidik anak sehingga akhir menjadi tuan-tuan. Dan orang miskin yang semuanya menjadi kaya sehingga mampu membina bangunan sendiri. Yalah kalau fikiran ini saya luahkan kepada umum nescaya ramailah mengutuk saya.
Tetapi, pada hari ini setelah saya mempunyai anak dan umur saya pun sudah sampai ke penghujungnya, fikiran saya berubah lagi dan kali ini betul-betul realistik. Berdasarkan pengalaman dan kajian semasa, saya mendapati hadis di atas bukan merujuk kepada zaman tetapi merujuk kepada sikap dan gaya hidup umat Islam. Peristiwa anak menjadi tuan kepada ibunya sendiri ini sangat berganting kepada cara ibu-ibu mendidik anaknya.
Anak-anak berdasarkan hadis yang masyhor, "semua anak dilahirkan fitrah maka ibu bapanya lah yang mencorakkannya." Ibu dalam konteks hadis di atas, tidak mendidik anak-anaknya gaya hidup Islam sebenar. Mereka tidak diajar adab dan sopan, mereka tidak dibentuk dalam suasana kasih dan sayang dan mereka tidak dididik bergaul dengan masyarakat yang baik.
Akhirnya anak-anak ini terbiasa dengan kasar dan tidak tahu menghormati orang terutama orang tua-tua. Dalam keadaan anak yang sudah dewasa itu, agak sukar dibetulkan semua melainkan kalau Allah memberinya hidayah ke arah kebaikan. Apabila anak-anak sudah pandai mengarah ibu bapanya supaya mengikut kehendaknya dan nasihat dan pandangan ibu bapa sudah tidak diperdulikan, maka itulah yang dimaksudkan dengan tuan.
Saya percaya, tuan-tuan seperti ini sudah ramai dilahirkan sehingga kini. Dan inilah tanda-tanda kecil kiamat. Namun bila kiamat yang sebenar kita tidak tahu, cuma yang pasti tanda-tandanya sudah ada. Saya percaya, kalau lebih separuh manusia di muka bumi ini masing-masing melahirkan tuan-tuan, tentulah kiamat benar-benar terjadi. Ini sesuai dengan kenyataan ulama bahawa sebelum kiamat, Allah akan datangkan angin yang tenang lalu mematikan orang yang beriman. Manakala yang tidak beriman diberi ruang dan peluang untuk seketika sebelum dikiamatkan mereka secara yang hina.
Jadi, wahai ibu bapa didiklah anak-anak anda adab sopan agar mereka tahu menghormati orang lain. Wahai anak-anak, kalau anda sedar bahawa anda termasuk dalam kategori anak yang bertaraf tuan kepada ibu bapa anda, turunkan egomu dan jadilah anak yang berakhlak mulia. semoga anda tidak termasuk dalam orang-orang yang akan dimatikan dalam keadaan yang terhina. Wallahu aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan