Kita selalu membaca dan mendengar bacaan hadis yang mengaitkan iman dengan sikap kasih sayang. Antara hadis tersebut ialah riwayat daripada Abu Hamzah, Anas bin Malik ra., daripada Rasulullah saw, beliau bersabda, "Tidak beriman salah seorang antara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apa yang anda faham daripada hadis ini? Apakah yang anda faham dengan kata-kata, "tidak beriman" dalam konteks hadis ini? Dan siapa pula yang dimaksudkan dengan saudaranya?
Ya secara bahasa mudahnya, hadis ini boleh difahami bahawa orang Islam juga boleh dikategorikan sebagai tidak beriman jika mereka tidak memenuhi keperluan yang kehendaki Allah. Namun mereka yang terlibat itu tidaklah sampai kepada tahap kufur atau kafir. Maknanya keimanan seseorang boleh turun dan naik mengikut tindakan dan sikap mereka dalam kehidupan seharian.
Antara faktor yang boleh menaikkan tahap iman malah menjadi mantap ialah apabila dia boleh mengasih saudaranya sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri. Cuba kita jawab secara jujur, kita sayangkan diri kita atau tidak? Kalau ya, apa yang kita suka sesuatu perkara itu berlaku kepada kita dan apa pula yang kita tidak suka kalau menimpa kita? Tidak syak lagi, kita tentu suka dihormati, orang, suka maju dan jaya, Kita tentu suka melakukan ibadah dan suka diri kita dimasukkan ke dalam syurga.
Tidak dinafikan ada manusia yang jenis tidak sayangkan diri dan tidak kisah sama ada dia akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Mereka ini tidak ada masa hadapan, apa yang penting boleh makan minum, berkerja dan tidur dan berkahwin. Semoga Allah beri hidayah kepada mereka suatu hari nanti.
Sebagaimana kita suka perkara itu berlaku kepada diri kita, maka perkara yang sama inilah yang patut kita curahkan kepada saudara kita itu. Maknanya kita patut hormat orang lain, kasihi orang lain, nasihat orang lain agar buat ibadah dan mendorong orang lain agar masuk ke dalam syurga. Pada masa yang sama, kita halang orang lain daripada melakukan maksiat, dan kita tidak suka kalau orang lain dihina dan difitnah.
Tapi siapa saudara kita seperti yang dimaksudkan dalam hadis di atas? Ya, boleh jadi adik beradik kita, boleh jadi kawan-kawan kita, boleh jadi juga jiran-jiran kita, dan boleh jadi juga madu bagi isteri-isteri suaminya. Saudara kita itu luas ruang lingkupnya. Maka berdasarkan itu, sudahkah anda mengasihi mereka di atas sebagaimana yang anda suka sesuatu kebaikan itu berlaku pada diri anda?
Realiti yang dapat kita lihat pada hari ini, manusia kebanyakkannya mementingkan diri sendiri. Mereka sering menghina orang lain, sering memfitnah orang lain, tidak suka menasihat jika ada yang bersalah atau tersalah. Malah mereka saling bermusuhan. Mukminkan atau berimankah mereka? Maka jawapan yang jelas berdasarkan hadis di atas, mereka tidak beriman.
Sebenarnya berdasarkan hadis di atas dapat disimpulkan bahawa semua suadara yang disebutkan di atas adalah kunci yang Allah sediakan untuk kita masuk ke dalam syurga-Nya. Merekalah kunci anda dan saya untuk menambah iman. Sedarlah kalau anda tidak bertambah iman, bagaimana anda hendak dimasukkan ke syurga-Nya. Jadi, jangan musuhi mereka demi syurga yang anda idamkan pada akhirat nanti.
Kenyataan ini sangat berkait dengan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbicara yang baik atau diam. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Semoga anda memahami mesej ini dengan jelas dan segera membuat perubahan demi meningkatkan IMAN masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan