21 Mac 2013

Politik dan berpolitik tidak sama


Ahmad Baei Jaafar

Orang Melayu sehingga ke hari ini masih terkeliru dengan politik meskipun kita sudah merdeka sekian lama. Hal ini kerana kita sering diberi penjelasan yang salah tentang politik, apatah lagi kita selalu dibui mimpi oleh orang politik yang umumnya amat tidak bermoral.
Menjelang pilihan raya ke 13 ini saya ingin mengambil sedikit masa untuk membuat penjelasan tentang perbezaan antara politik, orang politik, parti politik dan main politik. Semoga dengan ini kita akan menjadi orang yang berpolitik secara profesional.
Politik dari sudut bahasa ialah mengurus, mentadbir dan melaksanakan sesuatu urusan dengan sempura. Orang yang menguruskan itu sudah tentu melaksanakannya secara bijaksana dan pandangan yang tajam. Jadi, politik akan ada dalam urusan kerajaan, masjid, persatuan dan seumpamanya.
Jelas di sini, segala urusan untuk memajukan kerajaan, mengatur ekonomi negara dan mensejahterakan rakyat termasuk dalam urusan politik. Begitu juga dengan urusan masjid, persatuan dan seumpamanya. Jika urusan pentadbiran masjid gagal dan kemajuannya tidak seberapa, ini bermakna politiknya lemah.
Orang politik ialah orang terlibat dalam urusan memajukan negara dan mengurus rakyat agar menjadi orang yang berjaya. Orang politik bekerja keras dengan merancang dan mengeluarkan idea yang baik untuk membangunkan negara dan keselamatan rakyat.
Parti politik ialah persatuan atau pertubuhan yang terlibat secara langsung dalam urusan kerajaan iaitu mengurus, mentadbir dan membangunkan negara. Parti politik dianggotai oleh orang politik. Jadi, parti politik digerakkan oleh orang politik. Maknanya berjaya atau tidaknya parti politik itu banyak bergantung kepada kualiti orang politik yang menganggotainya.
Orang politik dalam menjalankan tugasnya kadang-kadang akan “main politik” atau “berpolitik”. Mereka akan main politik apabila berniat jahat untuk menjatuhkan orang lain (musuh politik). Mereka akan memburukkan lawan dengan membuat fitnah atau meniti atas kelemahan musuhnya. Sebenarnya main politik ini juga berlaku dalam persatuan dan masjid bahkan dalam pejabat.
Sebahagian mereka “berpolitik” dengan baik dan secara profesional dalam memajukan negara dan rakyat. Mereka tidak menjatuhkan musuh secara jahat  tetapi dengan menunjukkan hujah yang baik sekali gus mematahkan hujah musuh atas kelemahan hujahnya.
Berdasarkan penjelasan di atas, kita lihat pada hari ini, orang politik banyak main politik daripada berpolitik. Apabila keadaan ini berleluasa, parti politik dilihat dalam banyak hal gagal melaksanakan pengurusan kerajaan dengan cekap terutama dalam membangunkan negara dan rakyat.
Saya percaya kalau orang politik boleh berpoltik secara profesional, bukan sahaja mereka tidak bermusuhan dengan parti politik lawan, malah negara akan bertambah maju dan rakyat berada dalam aman. Malah rakyat boleh bebas bercakap dan bergerak dalam negara.
Sehubungan dengan itu suka saya menyentuh sedikit soal larangan bercakap politik dalam masjid. Larangan ini merujuk kepada aktiviti parti politik. Maknanya orang politik dilarang menggunakan pentas masjid untuk kempen parti politiknya. Masjid sepatutnya bebas daripada pengaruh parti politik. semua orang tanpa mengira apa parti politik yang mereka sertai, boleh masuk dalam masjid dengan aman.
Walau bagaimanapun penceramah dan jemaah masjid boleh bercakap soal pengurusan dan pembangunan negara dan rakyat. Mereka boleh memberi pandangan kepada pemerintah jika terdapat sesuatu yang tidak kena pada pengurusan kerajaan. Bercakap dalam hal ini dibenar walaupun hakikatnya termasuk dalam makna politik yang dijelaskan di atas. Wallahu aklam.

13 Mac 2013

Allah mahu umatnya menutup keaiban orang


Ahmad Baei Jaafar
Saya malas hendak mengulas isu bapa Saiful Bukhari, Azlan memohon maaf kepada Anwar Ibrahim dan menyifatkan orang kanan kerajaan pergunakan anaknya untuk agenda politik. Hal ini kerana tindakan itu boleh menutup maruah Islam dan umat Islam. Islam memang tidak pernah mengajar umatnya supaya mendedah aib orang sebaliknya menyembunyikannya.
Tetapi tangan saya agak gatal setelah membaca tulisan YB Zulkifli, Kulim Kedah, yang menimbulkan tiga persoalan dalam blognya:
1. Mengapa Azlan Mohd. Lazim, dengan pengetahuan penuh anaknya Saiful Bukhari akan membuat sumpah laknat membenarkan fakta Anar Ibrahim telah meliwat dia, membenarkan, meredhai, bersetuju atau membiarkan Saiful berbuat sedemikian.
2. Jika benar dakwaan Azlan beliau memang tidak percaya Anwar meliwat anaknya sejak dahulu, bukankah tanggungjawab Azlan sebagai bapa sepatutnya menghalang Saiful daripada melakukan sumpah laknat itu? Atau sekurang-kurangnya tidak hadir tanda protes? Bukan sahaja beliau tidak halang, malah perlakuan Azlan hari itu menunjukkan dengan jelas beliau redha dan bersetuju dengan tindakan Saiful! Malah Saiful selepas daripada itu telah melakukan sekali lagi sumpah laknat di hadapan Baitullah di Masjidil Haram!
3. Mengapa Azlan memilih untuk membisu sebegitu lama, hampir 5 tahun? Tau-tau dekat PRU-13 bukan sahaja beliau membuat kenyataan yang jelas bercanggah, malah mengkhianati sumpah laknat anaknya sendiri, tetapi mengisytiharkan pula untuk menyertai PKR pimpinan manusia dajal yang meliwat anaknya sendiri!
Begitulah bentuk soalan seorang peguam. Namun soalan itu tidak perlu jawapan daripada Azlan kerana soalan itu bukan daripada peguan dalam mahkamah. Cuma saya terpanggil untuk menjelaskan di sini bahawa seseorang itu terbatas ilmunya, dan ilmunya akan meningkat dan bertambah dengan pertambahan umur dan pengalaman. Inilah yang berlaku kepada Azlan.
Saya percaya pada mulanya Azlan terpengaruh dengan pengakuan anaknya Saiful. Maka atas nama simpati dia bersetuju dengan tindakan anaknya untuk melakukan sumpah laknat di dalam masjid dan di hadapan baitullah.
Tetapi setelah lima tahun berlalu, setelah melihat keputusan mahkamah dan tindakan orang tertentu dalam kerajaan dan politik, juga sikit-sikit kajian yang dibuatnya sendiri, dia percaya semua itu adalah fitnah. Kalau baru sekarang dia percaya Anwar tidak meliwat anaknya, bagaimana dia boleh melarang anaknya melakukan sumpah laknat lima tahun lalu?
Saya percaya Azlan dalam tempoh lima tahun itu tidak diam membisu tetapi terus mengkaji kebenaran undang-undang dan ilahi. Atas dasar itulah dia memilih untuk meminta maaf dengan Anwar Ibrahim selepas itu.
Oleh sebab itu saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Azlan Mohd Lazim kerana berani memuat tindakan yang boleh dianggap gila oleh satu pihak. Tahniah kerana milih untuk menutup ruang fitnah demi maruah Islam dan umat Islam. Semoga Allah pelihara iman dan takwanya sehingga ke akhir hayat. Pada masa yang sama didoakan semoga Saiful juga boleh bertaubat daripada dosanya yang lampau kerana Allah setiasa menerima taubat hambanya.
Sebelum mengakhiri tulisannya suka saya menyingkap Lafaz Sumpah yang dibacakan di Masjid Wilayah Persekutuan saperti berikut:
"Saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Kad Pengenalan No. 850706-01-5687 pada hari ini bersumpah dengan lafaz Bismillah hirrohmanirrohim, Wallahi, Watallahi, Wabillahi, bahawa sesungguhnya saya telah diliwat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Dato' Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap ALLAH swt dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada ALLAH swt sehingga ke kiamat".

Maaf, saya tidaklah mahu mendahului Allah dalam hal ini, tetapi saya percaya berdasarkan pengalaman lampau, Allah telah mula memberi azab dan kutukan secara tidak langsung kepadanya. Azab yang dimaksudkan ialah bapanya sendiri menolak pengakuannya dan kedua sebahagian besar rakyat Malaysia sedang mengutuk sikapnya. Wallahu aklam.

09 Mac 2013

Kedegilan membawa padah, idaman berkecai



Ahmad Baei Jaafar
Begitulah akibat perjuangan tidak berstrategi, bukan sahaja duit yang dituntut tidak dapat, negeri apalah lagi, nyawa pun hilang. Tindakan mereka yang tidak bertamadun itu akan membawa kepada kehancuran dan kebinasaan. Jadi, apalah yang hendak mereka pertahankan lagi sehingga kini?
Kita ketepikan dahulu tuntutan dan dakwaan mereka terhadap Sabah, tetapi kita hendak lihat pada strategi  perjuangan mereka. Mereka datang berkampung di Lahad Datu, pada asalnya adalah untuk ziarah keluarga mereka di situ, tetapi akhirnya membentuk satu pasukan pemerontak.
Dalam hal ini kita puji kecekapan mereka memasuki Malaysia dengan selamat. Ya, barangkali kerana mereka sudah terlalu biasa di situ, jadi boleh masuk tanpa ragu. Atau mungkin mereka masuk dengan menggunakan IC Malaysia.
Sebenarnya di segi adab sopan, memang mereka kalah, mungkin kerana agama dan Islam mereka tidak sehebat kita di sini. Yalah, mereka diberi kebenaran untuk tinggal di rumah kita, tetapi mereka berani menentang tuan rumah, dan membuat tuntutan yang tidak munasabah pula. Barangkali kalau mereka masih di pantai dan menentang dari pantai agak munasabah juga.
Untuk itu wakil kerajaan melalui polis telah membuat perbincangan dan perundingan beberapa kali dengan mereka, namun keputusan masih buntu. Mereka tetap dengan permintaan asal. Tindakan itu ternyata tidak cerdik, dan lebih tidak cerdik lagi apabila mereka berjaya menbunuh polis kita. Tindakan tiada beradab itu ternyata membangkitkan kebencian rakyat Malaysia kepada mereka.
“Mereka dakwa Sabah mereka punya, maka sebab itu mereka tidak mahu pulang.” Dakwaan itu sendiri sudah tidak betul kerana mereka sendiri mengaku kerajaan menyewa Sabah daripada mereka. Kalau Sabah sudah disewakan, mana lagi rumah mereka yang didakwakan itu? Contoh yang mudah, saya ada rumah, tetapi saya sewakan kepada orang lain. Setiap bulan saya datang mengambil wang sewa. Agaknya kalau waktu datang untuk ambil sewa itu, saya ambil kesempadan untuk tidur di rumah itu, bolehkah? Sekejab mungkin boleh tapi untuk menetap memang tidak boleh. Penyewa boleh menghalaunya balik.
Begitulah sepatutnya kerajaan Malaysia lakukan terhadap mereka. Tetapi kita masih baik hati lalu memberi tempoh untuk mereka berundur. Malangnya mereka terus berdegil lalu membunuh polis kita. Inilah saya maksudkan tidak cerdik malah tidak sedar diri.
Sebenarnya mereka tidak layak berbuat begitu walau mereka mendakwa Sabah itu tanah mereka. Apatah lagi Malaysia menafikan menyewa dengan mereka. Dengan kemerdekaan Sabah dalam Malaysia bermakna Sabah sudah bebas daripada Sulu. Jadi, tiada isu untuk mengambil Sabah.
Jika mereka sedar diri dari awal lagi, tentu mereka tidak akan menyerang polis Malaysia. Apatah lagi kini ramai tentera mereka yang terkorban. Alangkah baiknya kalau mereka menyerah diri dan mungkin dengan keinsafan itu mereka boleh dibebaskan. Tetapi kalau masih berdegil, semuanya akan terkorban. Inilah yang kita tidak mahu berlaku.
Saya percaya kalau mereka terus berdegil walaupun pada asalnya mahu genjatan senjata, tindakan tegas akan diambil bagi membersihkan saki baki tentera kesultanan Sulu. Hal ini kerana kita akan memikirkan soal pilihanraya pula. Kalau lambat selesai, lambat pulalah pilihanraya.
Saya juga percaya krisis ini tidak ada kaitan dengan percaturan politik pemerintah mahupun pembangkang tetapi sudah dirancang oleh mereka sekian lama. Apa guna kerajaan nak main sandiwara sehingga mengorbankan anggota polis. Dan apa faedah pula pembangkang mencaturkan semua itu kerana mereka sedang impikan Sabah. Kalau jadi pertempuran, tentulah peluang mereka akan terbantut.
Sebagai rakyat Malaysia marilah kita berdoa agar Sabah kembali tenang. Doakan juga agar mereka yang terkorban itu beroleh pahala syahid.
 

04 Mac 2013

Ya Allah tenangkan Lahad Datu

Ahmad Baei Jaafar
Berapa ramai rakyat Sabah yang mengetahui sejarah Sultan Sulu? Berapa ramai penduduk Lahad Datu yang tahu sejarah bumi mereka? Berapa ramai rakyat Malaysia yang tahu sejarah hubungan kesultanan Sulu dengan Sabah? Ya, ramai yang tidak tahu, namun saya pasti orang politik terutama UMNO tahu kisah di sebalik Lahad Datu.
Sebenarnya Sabah sebelum menjadi milik Malaysia adalah hak milik kesultanan Sulu. Tetapi, kerajaan Sulu ketika itu memandang remeh kepada Sabah kerana negeri tersebut tidak membawa hasil kepada kerajaan Sulu. Oleh sebab itu, sultan menyerahkan bumi bertuah itu kepada British pada tahun 1878. Atas pemberian itu British berjanji untuk membayar sewa tahunan kepada pewaris tahta Kesultanan Sulu.
Semasa Sabah dimasukkan ke dalam Malaysia dan kemudiannya menjadi merdeka pada tahun 1963, sewa Sabah itu dialihkan daripada pemerintah Inggeris ke Malaysia. Maka sejak itu disepakati, Kuala Lumpur perlu membayar sewa tahunan sebesar 5,300 ringgit atau setara 69.700 peso kepada pewaris tahta Kesultanan Sulu.
Pada 16 April 2003 terdapat satu pembayaran senilai 73,040.77 peso yang diserahkan kepada Kiram sebagai pembayaran sewa pada pewaris Kesultanan Sulu untuk tahun 2002. Sebenarnya Kesultanan Sulu sejak itu telah beberapa kali mohon ditambah jumlah sewaan itu. Pemintaan itu ditolak tetapi bagi menutup isu ini kerajaan bersetuju menempatkan mereka di Lahad Datu. Felda di Lahad Datu itu hakikatnya adalah hak milik mereka.
Kini tahun 2013, jumlah sewaannya masih sama. Oleh sebab keadaan itu masih belum stabil, Kesultanan Sulu sekali lagi menuntut bayaran sewa itu ditambah sesuai dengan perkembangan zaman ini. Namun kerajaan Malaysia tetap tidak menerima tuntutan itu kerana pada pandangan Malaysia pembayaran itu bukan sewaan tetapi disebut ‘cession money‘.
Logiknya oleh sebab waris Sultan Sulu telah menerima ‘cession money‘ sebanyak USD5,000 setiap tahun sehingga ke hari ini,  ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.
Atas keengganan itu Kesultanan Sulu menuntut Sabah dikembalikan kepada mereka. Di sinilah punca ketegangan lalu tercetusnya perperangan antara tentera kesultanan Sulu dengan polis dan tentera Malaysia. Di manakah kebijaksaan Malaysia dalam berunding sehingga tercetusnya keadaan yang tidak diingini? Bukankah Malaysia terkenal dalam soal rundingan perdamaian.
Sebagai rakyat Malaysia kita bersimpati kepada anggota polis yang terkorban dan takziah kita ucapkan kepada keluarga mereka, namun kita juga rasa simpati kepada Kesultanan Sulu kerana mendapat sumbangan yang tidak berbaloi dengan zaman ini. Apakah kita miskin harta sehingga tidak mampu mempertimbangkan kenaikannya, atau adakah kita miskin jiwa sehingga tidak bersimpati kepada anggota kita dan tentera Sulu yang terkorban?
Demi keamanan negara apa salahnya kita mendengar sedikit permohonan mereka. Mengusir mereka keluar tanpa apa-apa keputusan yang menguntungkan dan melapangkan dada mereka adalah satu kezaliman. Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.” (Surah al-Maaidah: 49).
Rasulullah bersabda, “Tidaklah seorang pemimpin mempunyai jaminan kecuali ia akan datang dengannya pada hari kiamat dengan kedudukan yang terikat, entah ia akan diselamatkan oleh keadilan, atau akan dijerumuskan oleh kezalimannya.” (Riwayat Baihaqi dari Abu Hurairah dalam kitab Al-Kabir).
Saya percaya dengan paparan ini ramai yang baru menyedari bahawa Sabah masih ada misteri di sebalik kemerdekaannya. Walaupun kita tidak menganggap bumi Sabah ini sebagai sewaan, tetapi kita harus hargai pemberian Sultan Sulu. Kerajaan tidak seharusnya menyembunyikan fakta sebenar kepada rakyat kerana rakyat perlu tahu isu yang ditimbulkan.
Rasulullah bersabda, “Jika seorang pemimpin menyebarkan keraguan dalam masyarakat, ia akan merusak mereka.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, dan Al-hakim).
Hari ini kita sudah tahu kedudukan Sabah, sudah tentu kita sayangkan Sabah. Kita juga tidak sanggup menyerahkan negeri itu kepada kerajaan Sulu yang masih di bawah Filipina. Oleh sebab itu kita perlu pertahankan Sabah di bawah kepimpinan yang boleh memberi kemajuan dan kebaikan Sabah. Anda tahu peranan anda pada pilihan raya ke 13 nanti. Selamat mengundi.