Ahmad Baei
Jaafar
Selalu kita
dengar orang berkata, jangan pentingkan diri sendiri, malah ustaz-ustaz juga
sering mengingatkan anak muridnya supaya selalu mementingkan orang lain. “Jika
kita selalu memberi nanti kita akan mendapat pulangannya,” kata pakar motivasi.
Persoalannya
berapa ramai yang selalu memberi dan terus memberi, tetapi tidak mendapat
pulangan yang sewajarnya? Tidak dinafikan, terdapat beberapa orang yang sering
menyumbang hingga akhirnya dia pula yang jatuh miskin. Di manakah silapnya teori
di atas.
Jawapan yang
sering diterima ialah, boleh jadi dia tidak ikhlas dalam memberi, apatah lagi
kalau dalam memberi itu dia mengharapkan pulangan pula. Ya keikhlasan hati kita
amat besar nilaiannya di sisi Allah. Oleh sebab itu betulkan hubungan dengan
Allah zahir dan batin.
Isu di atas
ada kaitan dengan formula berikut,” dalam hubungan kita dengan Allah kita perlu
pentingkan diri sendiri, tetapi dalam hubangan dengan manusia kita perlu
pentingkan orang lain.” Pelikkan bunyinya, tetapi itulah kaedah yang sewajarnya
dipraktikkan oleh umat Islam.
Oleh sebab
kita sudah hampir masuk ke bulan Ramadan, formula ini cuba kita kaitkan dengan
Ramadan dan amalan puasa. Sebaik sahaja kita melangkah masuk ke bulan Ramadan
kita secara semula jadi akan berhadapan dengan Allah dan Manusia, malah akan lebih
kerap mengadakan hubungan dengan dua pihak ini.
Hubungan
dengan Allah
Puasa adalah
ibadah yang menghubungkan manusia dengan Allah, sama juga dengan ibadah lain termasuk
ibadah zakat. Bukan itu sahaja, malah semua
ibadah sunat mesti wujud hubungan antara manusia dengan Allah. Sebaliknya
ibadah itu akan menjadi sia-sia jika dalam melakukan sesuatu ibadah hatinya
terpaut kepada manusia.
Berdasarkan
formula itu, apabila seseorang itu berpuasa, mereka perlu pentingkan diri
sendiri. Maknanya mereka perlu pastikan bahawa sahur dilakukan mengikut
peraturan yang sebaiknya. Semasa berpuasa pastikan mereka tidak melakukan
perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada masa yang sama jangan pedulikan
orang lain sama dia puasa ke, dia bersahur ke, dia jaga mata ke, tidak perlu
diberi komen. Biar urusan mereka dengan Allah.
Pada waktu
malam pula, kita bersiap-siap untuk melakukan solat sunat tarawih. Jadi, pastikan
kita hadir awal dan solat Isya’ berjemaah dan sunatnya dengan sempurna. Kita perlu
pastikan solat itu terbaik yang hendak kita persembahkan kepada Allah. Malah
perlu kita pastikan yang solat sunat tarawih yang dilakukan terbaik dan paling
sempurna. Sebaliknya jika terasa kurang disesali dan diusahakan peningkatannya.
Bayangkan jika
semua umat Islam boleh jaga kepentingan diri sendiri dalam ibadah di atas,
tentu mereka tiada masa untuk memikirkan kepentingan orang lain. Mereka tiada
masa lagi untuk memikirkan ibadah orang lain sama ada betul atau tidak,
sempurna atau tidak, sah atau tidak. Percayalah kalau kita tidak fikirkan
kepentingan orang lain, kita telah selamat daripada dosa bertekak, dosa
mengumpat dan dosa melakukan kerja yang sia-sia.
Kalau begitu
kedudukannya, setiap kali kita berpuasa hubungan kita dengan Allah bertambah
rapat dan tidak syak lagi dengan perhatian serius dalam hubungan ini akan
menjadikan ibadah puasa kita itu lebih berkualiti. Ketika itu kita bukan sahaja
sihat fizikal, malah sihat mantel dan segala-galanya. Hal ini kerana kita sudah
tidak stres dalam memikirkan hal orang lain. Pada masa yang sama kita akan dianugerahkan
sifat taqwa kerana takut untuk melakukan dosa terhadap manusia.
Hubungan
dengan manusia
Dalam bulan
Ramadan juga kita perlu melakukan hubungan dengan manusia seperti berniaga,
bertolong bantu, berderma, memberi hadiah, nasihat ke arah kebaikan dan
mengajar. Dalam menjayakan urusan ini, kita diminta supaya selalu menjaga
kepentingan orang lain. Elak daripada mengambil kesempatan bagi faedah diri
sendiri.
Seorang
peniaga sebagai contoh, sewaktu menjual barangannya kepada pembeli perlu
pastikan barangan itu berkualiti dan tidak rosak supaya pembeli mendapat
manfaatnya. Tawaran harga yang ditetapkan perlu difikirkan nilainya berpatutan
dan mampu dibayar oleh pembeli. Dan komunikasi antara penjual dan pembeli juga perlu
dilunakkan agar tidak mengecilkan hati pelanggan.
Selain itu
jika kita membuat juadah makanan untuk berbuka puasa pastkan baik, sedap dan
banyak. Maka menjelang waktu berbuka puasa, bawakan sebahagian juadah itu ke
rumah jiran. Semoga dengan itu mereka dapat merasai hasil kerja tangan kita.
Biasanya jiran itu akan pulangkan kuih yang lain jika dia juga ada membuat
kuih. Amalan seperti ini termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain.
Begitu juga
kalau kita boleh mengajar atau memberi nasihat kepada kawan-kawan dalam soal makruf
tentu perbuatan itu termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain. Dan amalan
yang paling bermanfaat ialah membantu orang susah dengan berderma atau
bersedekah dalam bulan Ramadan. Amalan ini semua akan dinilai oleh Allah
sebagai kebajikan.
Percayalah
dengan amalan menjaga kepentingan orang lain ini, taqwa kita akan meningkat dan
bertambah baik. Paling baik lagi kalau amalan itu diteruskan walaupun selepas
bulan Ramadan. Jadi, mana-mana umat Islam yang dapat menjaga kedua-dua
kepentingan itu, sahlah mereka akan beroleh sehat dan taqwa.
2 ulasan:
Salam Ustaz...
Terima kasih di atas peringatan dan perkongsian yang sangat baik...Alhamdulillah, saya suka dengan artikel ini, sangat bermanfaat.
Terima kasih kerana membaca, sebarkan kepada lebih ramai. Semoga semuanya mendapat manfaatnya.
Catat Ulasan