Zakat kalau dilihat pada susunan rukun Islam berada di
tempat ketiga selepas solat. Namun amalan mengeluarkan zakat ini jarang
diperkatakan seperti yang selalu diulang-ulang pada ibadah solat. Apakah zakat
tidak penting dalam Islam sepertimana pentingnya solat dan puasa? Padahal
perintah zakat ini datang sekali dengan perintah solat.
Semua kita sedia maklum bahawa zakat wajib dikeluarkan
berdasarkan al-Quran dan Sunnah juga Ijmak. Firman Allah:
!!$tBur (#ÿrâÉDé& wÎ) (#rßç6÷èuÏ9 ©!$# tûüÅÁÎ=øèC ã&s! tûïÏe$!$# uä!$xÿuZãm (#qßJÉ)ãur no4qn=¢Á9$# (#qè?÷sãur no4qx.¨9$# 4
y7Ï9ºsur ß`Ï ÏpyJÍhs)ø9$# ÇÎÈ
Maksudnya: "Mereka tidaklah disuruh melainkan supaya
menyembah Allah dengan penuh ikhlas demi agama yang lurus dan juga supaya
mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan yang demikian itu adalah
agama yang teguh." (Surah al-Bayyinah :5)
Sehubungan dengan itu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Islam
dibangun di atas lima rukun; bersaksi bahawa tidak ada sembahan yang berhak
disembah kecuali Allah dan Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, menegakkan
solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan
Ramadan." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan dalil di atas, perintah mengeluarkan zakat ini bukan
perkara kecil malah dikategorikan sebagai rukun Islam. Sebenarnya rukun adalah perkara
asas yang menentukan kukuh atau tidaknya sesuatu binaan. Jadi, sudah tentu
zakat merupakan rukun yang kuat setaraf dengan rukun-rukun yang lain. Merujuk
kepada kepentingan, zakat diwajibkan adalah kerana dua sebab:
1.
Taabbud; tunduk dan patuh kepada
perintah Allah
2.
Taawun; membantu golongan yang layak
dibantu.
Sikap umat Islam terhadap zakat
Perintah mengeluarkan zakat ini semestinya ada kaitan dengan
harta yang dimiliki oleh umat Islam. Sebenarnya harta yang saban hari dicari
oleh umat Islam terdedah kepada halal dan haram, mungkin dalam kesebukan
mencari harta itu, mereka terlepas pandang lalu termasuk juga harta yang haram.
Namun dalam Islam sesuatu yang tidak dijangka boleh dimaafkan Allah. Ketika itu
harta tersebut sudah menjadi milik mereka yang sah. Sungguhpun begitu, dalam
harta tersebut terdapat hak orang lain juga. Maka hak orang lain itulah yang
perlu dikeluarkan sebagai zakat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka yang dengan
zakat itu kamu dapat membersihkan dan mensucikan mereka." (Surah al-Taubah
: 103)
Dalam ayat di atas Allah dengan tegas memerintahkan
Rasulullah atau pemerintah sesuatu negeri agar mengambil sebahagian harta umat
Islam sebagai zakat atas dua tujuan iaitu membersihkan harta dan membersihkan
pemilik harta itu. Maknanya setiap umat Islam yang memiliki harta akan terjamin
bersih hartanya sekali gus bersih diri mereka sendiri.
Cuma persoalan di sini, apakah sikap umat Islam terhadap
perintah berzakat ini? Menurut laporan pihak yang mengurus zakat di negeri-negeri,
jumlah pengeluar zakat amat rendah. Kalau dinisbahkan orang yang menunaikan
solat 100 % maka pengeluar zakat tidak sampai 10%. Ini seolah-olah 90% lagi itu
adalah golongan yang layak menerima zakat.
Jelas di sini ramai umat Islam yang belum layak untuk
mengeluarkan zakat. Sungguhpun begitu mereka juga tidaklah semuanya layak untuk
menerima zakat. Mengapa keadaan ini boleh terjadi? Apakah mereka tidak faham
perintah Allah ini?
Sebenarnya umat Islam selama ini telah diberikan ilmu
pengetahuan yang salah tentang ibadah zakat. Mereka telah diberitahu bahawa
mereka yang tidak ada harta tidak perlu keluar zakat. Maka dengan fahaman itu,
mereka tidak perlu membanyakkan harta. Apatah lagi apabila umat Islam selalunya
diberi kefahaman bahawa pemburu harta dunia adalah anjing.
Selain itu umat Islam juga sering diingatkan bahawa zakat adalah
ibadah orang-orang kaya. Atas fahaman itu, maka supaya harta kita tidak
berkurangan jangan jadi kaya. Jadi, tidak perlulah keluar zakat. Biar hidup
sederhana, bukankah Islam mengajar kita hidup secara sederhana. Jelas, mereka
seolah-olah diajar supaya mengelak daripada aktiviti zakat.
Di samping itu umat Islam juga diajar bahawa harta zakat adalah
hak orang fakir dan miskin. Oleh sebab itu sebahagian umat Islam berasa bangga kalau
menjadi fakir dan miskin. Malah kalau mereka tidak terpilih sebagai asnaf,
mereka akan marah dan terus merayu kepada pihak berkuasa. Sepatutnya umat Islam
berasa malu kalau diisytiharkan miskin.
Memang pelik, umat Islam kini boleh berasa bangga dengan
kemiskinan itu. Adakah ini kerana mereka ada terbaca sebuah hadis yang antara
lain menyebut Rasulullah berdoa agar dia hidup miskin dan dibangunkan semula bersama
golongan orang miskin.
Atas dasar itu barangkali mereka lebih rela jadi miskin dan
dengan itu tidak perlu fikirkan soal zakat. Padahal dengan sikap itu mereka
telah terlepas daripada satu rukun Islam yang asas iaitu zakat. Kalau begitu keadaannya
kukuhkah Islam mereka tanpa zakat?
Ubah sikap sebagai pengeluar zakat
Umat Islam sepatutnya mengubah sikap ke arah menjadi pembayar
zakat. Bukankah tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, maka wajib
kita berada di atas sebagai pembayar. Untuk merealisasikan perintah
mengeluarkan zakat ini, umat Islam seharusnya berusaha agar mereka menjadi kaya
raya, malah jutawan. Firman Allah yang bermaksud:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang
jika Kami berikan kepada mereka kekuatan (kekayaan) di atas muka bumi nescaya
mereka akan mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka juga akan menyuruh
berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang
mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj: 41)
Berdasarkan ayat itu Allah bersedia memberikan kekayaan kepada
umat jika mereka mahu. Oleh sebab itu mereka perlu rebut peluang ini dengan
bersungguh-sungguh. Jadi, umat Islam harus menjadi usahawan dan jutawaan supaya
dengan itu mereka boleh melakukan ibadah dengan lebih baik lagi sempurna. Bukan
sahaja mereka boleh melakukan solat dan zakat malah mereka juga akan aktif berdakwah.
Sebenarnya melalui konsep zakat ini, umat Islam tidak boleh duduk diam,
sebaliknya merasa malu kepada Allah kalau tidak mampu mengeluarkan zakat. Oleh
sebab itu kita perlu berazam untuk menjadi kaya malah jutawan. Namun pada masa
yang sama mereka perlu hindari daripada sifat tamak dan bakhil kerana harta
zakat yang dikeluarkan itu tidak akan menjadikan mereka miskin sebalik
bertambah subur dan kaya.
Daripada
Abdul-Rahman bin Auf daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang
bermaksud: "Tiga perkara yang aku bersumpah kerananya: Tidak akan
berkurang harta kerana sedekah maka sedekahkanlah dan tidaklah kemaafan seseorang
lelaki kerana kezaliman yang dizalimi melainkan Allah tambahkan kepadanya
kemuliaan, maka maaflah nanti Allah akan muliakan kamu. Dan tidaklah seorang lelaki
yang membuka ruang masalah melainkan Allah akan membuka baginya pintu
kefakiran." (Nuruddin al-Haitami Kitab al-Astar)
Jadi sebagai umat Islam kita perlu terus berusaha untuk menjadi
kaya supaya dengan itu kita menjadi orang yang selalu memberi daripada
menerima. Kalaupun kita belum cukup nisabnya kita boleh memberi sedekah sunat. Untuk
mencapai ke tahap itu, kita tidak boleh menampakkan masalah atau membuka
peluang kepada masalah kerana menurut hadis di atas Allah akan bukan pintu
kekafiran kepada kita pula.
Percayalah kalau umat Islam
boleh berazam untuk mengeluarkan zakat dalam jumlah yang banyak. Kita akan
lihat hasil pencapaiannya. Ketika itu zakat akan dapat
dikeluarkan mengikut kaedah dan sistem yang ditetapkan. Dan kesannya, zakat itu
boleh diagihkan dengan sempurna kepada sasarannya. Namun sebaliknya jika orang
kaya enggan mengeluarkan zakat mereka akan menerima akibat di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang
siapa yang Allah telah berikan harta kepadanya kemudian dia tidak menunaikan
zakatnya maka pada hari kiamat nanti hartanya akan menjadi ular botak yang
mempunyai dua titik hitam di atas kepalanya lalu mengalungkannya sambil
berkata: "Aku adalah simpananmu, aku adalah hartamu". Kemudian
ular itu membaca ayat: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil
dengan harta yang telah Allah berikan kepada mereka dari karnia-Nya, menyangka
bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka, sebenarnya bahawa kebakhilan itu adalah
buruk bagi mereka, harta-harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di
lehernya kelak di hari kiamat." (Riwayat Bukhari Kitab
Zakat 3:268 no.1403)
Inilah cara basmi kemiskinan
Bayangkan suatu hari nanti, negara kita dihuni oleh ramai ushawan,
ahli korperat dan jutawan dari perbagai bidang, dan mereka pula setiap tahun
mengeluarkan zakat, tentu ketika itu asnaf zakat akan memperoleh agihan zakat
dalam jumlah yang besar. Bayangkan juga kalau semua asnaf boleh memperoleh
setiap bulan sudah tentu mereka tidak akan meminta-minta lagi selepas itu.
Tetapi bagaimana kalau zakat yang dikeluarkan setiap tahun
itu diagihkan kepada asnaf secara berpilih dengan harapan zakat itu boleh
dijadikan modal perniagaan, sudah tentu dalam tempoh beberapa tahun lagi mereka
sudah tidak perlu zakat lagi sebaliknya mereka pula yang akan mengeluarkan
zakat. Saya difahamkan kerajaan Selangor melalui Lembaga Zakat Selangor telah
mempelopori agenda ini, tetapi belum menyeluruh kerana pembayar zakat masih
rendah.
Saya percaya, kalau jumlah pembayar zakat semakin bertambah,
dan sistem pengagihan dapat disampaikan kepada sasaran dengan tepat pasti kita
akan menikmati satu zaman seperti zaman Khalifah Umar al-Khattab yang susah
untuk mencari orang yang miskin. Kalau ini yang terjadi pasti wang zakat boleh
disalurkan ke baitulmal yang kemudiannya boleh digunakan untuk pembangunan
negara.
Dengan cara ini, golongan fakir miskin boleh dibasmi secara
beransur-ansur. Nanti zakat yang dikeluarkan itu boleh diagihkan kepada asnaf yang
lain dalam jumlah yang besar juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan