Ahmad Baei Jaafar
Berbicara persoalan nikah ramai yang suka dengar. Orang yang
duduk jauh pun akan datang dekat untuk mendengar perbincangannya. Tetapi kalau
bercakap soal talak atau cerai ramai yang berkedut dahi, takut hendak
membincang halnya lebih lanjut. Kenapa? Bukan kah kita perlu fahami dan dalami
persoalan tentang cerai atau talak sama seperti nikah supaya hidup kita terarah
kepada panduan yang betul?
Memang orang yang tahu dan faham berbeza dengan yang tidak
tahu, berbeza sifatnya, berbeza perangainya, berbeza tindakannya. Orang yang
tahu dan faham hukum Allah mereka akan berhati-hati dalam sebarang tindakan.
Pada mereka semua yang hendak dilakukan mesti mengikut kehendak Allah dan
rasul-Nya.
Sebenarnya dalam Islam ada tidak perkara yang perlu kita
tahu. Hal ini kerana perkara tersebut jika dilakukan dengan serius akan jadi,
dan jika bergurau juga akan jadi. Rasulullah bersabda:
ثَلَاثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ ،
وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Yang bermaksud: “Tiga perkara yang apabila seseorang itu
bersungguh-sungguh maka natiahnya berlaku sungguh-sungguh dan apabila dia
bergurau, maka natijahnya tetap berlaku sungguh-sungguh. Tiga perkara itu ialah
perkahwinan, talak dan rujuk.” (Riwayat Imam Tarmizi dan Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis itu, seorang bapa kepada anak dara mahupun
janda tidak boleh bergurau soal perkahwinan. Kalaupun secara berseloroh dia
mengahwinkan seseorang lelaki dengan anak perempuannya, maka sah. Begitu juga
dengan seorang suami tidak boleh bergurau dalam soal talak, kerana talak yang
diucapkan itu sudah sah. Begitu juga dengan pasangan yang baru bercerai tidak
boleh bergurau soal rujuk. Rujukan suami itu akan dikira sah.
Kedudukan hukum di atas sama sahaja dengan seseorang yang
berada dipentas lakonan. Sebagai contoh yang mudah, jika pelakonnya terdiri
daripada pasangan suami isteri dan mereka memegang watak yang sama seperti
namanya, maka ucapan talak suami ketika itu dikira sah. Walau bagaimanapun kalau
kedua-dua pelakon di atas melakonkan watak orang lain, maka ucapan talak itu tidaklah
jatuh dengan sebab itu. Apatah lagi kalau pelakon itu bukan suami isteri.
Kuasa Suami
Allah menetapkan lelaki sebagai pemimpin, maka sebab itu
seseorang suami diberi kuasa tertentu yang kuasa itu tidak diberikan kepada
isteri. Tujuan kuasa itu diberi kepada suami adalah untuk mengekalkan keharmonian
sesebuah perkahwinan. Suami diberi kuasa tersebut kerana lazimnya lelaki lebih
sabar, lebih berhati-hati dan lebih ilmunya.
Sebenarnya suami dibekalkan kuasa mutlak berdasarkan hadis
di atas. Kuasa itu adalah alat penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga. Namun
kuasa atau alat itu perlu disimpan rapat di dalam hatinya. Kuasa yang
dimaksudkan ialah talak, iaitu kuasa yang hanya boleh digunakan apabila
sangat-sangat diperlu demi kebaikan rumah tangga mereka.
Supaya suami benar-benar menjaga kuasa ini agar tidak
digunakan sewenang-wenangnya, Rasulullah memberi peringatan yang berupa
ancaman. Sabda Rasulullah SAW:
أَبْغَضُ
الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقُ .(ابن ماجه)
Maksudnya: Seburuk-buruk perkara halal di sisi Allah ialah
Talak.” (Riwayat Ibnu Majah)
Memahami hadis daripada Abdullah bin Umar ini, Allah mahu
umatnya hidup damai dan bersefahaman. Walaupun talak itu dihalalkan oleh Islam
tetapi perbuatan dan tindakannya amat dibenci Allah. Oleh sebab itu berhati-hatilah
dalam menggunakan kuasa talak ini kerana padahnya bukan kepada suami sahaja
tetapi kepada isteri dan anak-anaknya.
Selain kuasa suami di atas, apabila dia menjadi bapa,
kuasanya ditambah lagi menjadikan keseluruhannya tiga kuasa. Kuasa ini juga
perlu difahami sebaiknya jika dia sayangkan anak kelahiran mereka. Jika kuasa itu
digunakan secara salah, yang menderitanya adalah anaknya sendiri. Oleh sebab
itu fahamilah kuasa tersebut dengan baik.
- Nikah, bapa tidak boleh sewenang-wenangnya menikahkan anak gadisnya dengan lelaki tanpa diselidiki latar belakang agama dan keturunannya. Walaupun bapa ada kuasa penuh, menikahkan anak tanpa persetuan anak sendiri adalah satu penyelewengan kuasa.
- Talak, suami walapun benci kepada isterinya, tidak boleh bertindak menceraikannya kerana anak-anak mereka akan kehilangan kasih sayang ibu dan bapa. Demi anak berhemahlah dalam menggunakan kuasa talak.
- Rujuk, suami yang masih sayangkan isteri dan anak-anak renunglah kehidupan lampau. Insafilah kesilapan lampau. Jika mereka benar-benar insaf dalam tempoh iddah bolehlah rujuk kembali. Tapi ingat, rujukan itu bukan kerana kehendak nafsu sahaja.
Kuasa suami ini perlu digunakan sebaiknya bagi pasangan yang
rindukan kehidupan dalam syurga. Oleh sebab itu, jangan pilih jalan perceraian
kerana bimbang dengan sebab itu mereka tidak berpeluang untuk masuk ke dalam
syurga. Dan kalaupun salah seorang boleh masuk syurga, tentu pasangan itu tidak
akan bertemu lagi. Itulah sebabnya mengapa Allah membenci talak itu.
Kunci Bahagia Pada Isteri
Selain suami perlu menyimpan kuasa talak, isteri pula perlu
menjaga kunci kebahagiaan agar suami boleh masuk ke dalamnya bila-bila masa
yang diperlukan. Kunci yang ada pada tangan isteri perlu berada dalam keadaan
bersedia agar suami boleh masuk ke dalamnya dengan hati yang ceria dan tenang. Tetapi
jika isteri menyalahgunakan kunci itu, bukan sahaja suami yang menderita malah
anak-anak juga menerima nasib yang sama.
Untuk memestikan kunci itu dapat digunakan dengan baik, beberapa
adab perlu diberi perhatian oleh isteri. Antara perkara yang penting ialah:
1. Jaga adab suami isteri, maka dalam hal ini isteri perlu
meminta izin suami dalam semua aktiviti. Tetapi bagi suami, dia hanya cukup
dengan memberitahu segala aktiviti. Selain itu isteri juga boleh meminta
bantuan suami untuk membuat sesuatu bukan memerintah atau menyuruh dia membantu
kerja-kerja isteri.
2. Jaga syariat, selain menunaikan solat fardu dan sunat,
puasa fardu dan sunat isteri perlu menjaga aurat dan maruah diri dan maruah
suami. Selain itu isteri perlu taat perintah dan kehendak suami selagi perintah
itu tidak melanggar syariat. Contoh mudah dalam hal ini, suami ingin bersama
isteri sewaktu dalam haid, maka tiada ketaatan dalam hal ini kecuali sentuhan pada
bahagian selain di antara pusat dengan lutut.
3. Jaga emosi suami. Emosi suami boleh berubah bergantung
kepada apa yang dialaminya baik di pejabat, jalan raya dan di rumah. Dalam
keadaan ini isteri boleh mengawal emosi suami agar tenang dan bahagia semula.
Sambutlah kepulangan suami dengan senyuman walaupun anda bermasalah, berikan
pelukan sayang bersama air penyejuk hati. Berikan peluang kepada suami berehat
jika dia mahu. Ketika itu segala masalah yang di dalam fikirannya akan
dilupakan dengan sekelip mata.
Suami Tak Cakna
Tidak dinafikan dalam banyak-banyak pasangan yang berkahwin terdapat
suami yang bermasalah. Terdapat suami yang tidak cakna dalam pergaulan dengan
isteri, dia tetap dengan panas barannya walaupun isteri amat penyabar. Sebenarnya
suami seperti ini sememang bermasalah sebelum mereka berkahwin lagi.
Mungkin pada waktu itu wanita tersebut tidak dapat mengesan
keburukan bakal suaminya. Atau mungkin sudah dapat mengesannya, cuma dia
bersangka baik bahawa perangai buruknya itu boleh berubah setelah berkahwin. Atas
keyakinan itu mereka teruskan niat berkahwin. Tetapi biasanya andaian itu
salah.
Lazimnya lelaki seperti itu apabila menjadi suami, dia tidak
boleh sabar dengan karenah isterinya. Apabila dia menghadapi masalah dalam
rumah tangga dia akan menyalahkan isterinya. Kadang-kadang boleh berlaku
pergaduhan yang berpanjangan. Isu yang pada asalnya kecil bertukar menjadi
besar hingga sukar dibendung lagi.
Selain itu ada juga suami yang tidak nampak kebaikan
isterinya, malah isteri yang sering membantu kerja-kerjanya dia tidak mahu menghargainya.
Pendek kata dia tidak peka dengan sikap isteri dan keadaan di sekelilingnya. Hasil
tinjauan rambang sikap suami seperti ini berpunca daripada tidak taat kepada
Allah dan tidak patuh kepada ajaran Islam.
Benar, suami seperti ini tidak solat atau cuai solat. Malah
kalau isterinya hendak solat pun dia larang. Mereka ini bukan tidak tahu
tentang agama tetapi lebih mementingkan kehendak nafsu. Tetapi apabila kehendak
nafsu tidak tercapai akan berlaku pergaduhan. Keluarga seperti inilah yang
sering membawa kepada perceraian.
Walau bagaimanapun kalau isteri pandai mengawal keadaan
masalah ini tidak akan berpanjangan. Allah menyangi hambanya yang beriman
walaupun imannya senipis kulit bawang. Walaupun nafsu amarah melonjak, namun perceraian
tidak berlaku. Kalaupun berlaku juga mereka akhirnya menyesal dan rindukan
pasangan masing-masing.
Ya, selagi isteri dalam tempoh iddah, tentu suami ada hak
untuk merujuk kembali kepada perkahwinan mereka yang asal. Dalam mazhab Syafi’I,
suami ada kuasa rujuk walaupun tanpa keizinan isteri. Semoga dengan kesedaran
baru ini hubungan suami isteri akan lebih baik dan bahagia.
Sungguhpun begitu, setiap pasangan suami isteri wajar terus
mempelajari ajaran Islam dan memahaminya dengan betul. Percayalah dengan
pengetahuan yang jelas mereka boleh hidup bahagia tanpa gangguan luaran mahupun
dalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan