Ahmad Baei
Jaafar
Tahniah
kepada BN kerana berjaya mengekalkan kuasa pemerintahan di Malaysia, dan tahniah
juga kepada PR kerana boleh mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan di
tangan mereka. Semoga mandat yang diberikan rakyat kepada parti berkenaan dapat
digalas dengan baik sekali gus dapat melaksanakan amanah negara dan
tanggungjawab kepada rakyat dengan sebaiknya.
Cuma kepada Ustaz
Azizan yang sebelum ini memimpin Kedah saya tidak berhasrat hendak ucap takziah
tetapi ingin menegaskan bahawa kegagalan Azizan mengekalkan Kedah suatu
tazkirah daripada Allah. Jadi, buatlah perubahan sikap yang positif kepada
rakyat apatah lagi kepada wartawan untuk masa depan. Mereka semua akan aset
negeri Kedah yang amat bernilai. Sekali mereka berkecil hati, walaupun kerajaan
boleh memberi kemajuan kepada mereka, luka mereka sukar dirawat.
PAS dalam
hal ini ada pengalaman ngeri, bukankah kita pernah tawan Terengganu, tetapi
setelah menang rakyat terutama musuh politik tersinggung. Bayangkan kalau kita
boleh menjaga hati mereka, musuh akan menjadi kawan. Itulah yang gagal dilakukan
oleh kerajaan PAS di Terengganu pada masa itu. Malangnya Azizan tidak belajar
daripada kegagalan itu.
Begitu juga
dengan semua calon PR yang bertanding di kerusi Parlimen yang sememangnya sudah
dikuasai selama 5 tahun tetapi dapat dirampas BN semula, ingin saya mengajak
kalian agar muhasabah diri, mengapa mereka boleh kalah setelah menguasai 5
tahun. Saya tidak pasti apakah 15 kerusi parlimen itu sudah dianggap selamat oleh
mereka lalu tidak diberi perhatian serius oleh calon atau pun mereka sudah
usahakan cuma tersalah strategi.
Perlu
dijelaskan di sini, masyarakat Melayu amat berbeza dengan masyarakat Cina di
sudut cara berfikir. Masyarakat Melayu bermentaliti duit maka apa yang
difikirkan ialah duit. Berbeza dengan orang Cina, mereka tidak fikirkan duit
kerana mereka memang pandai cari duit malah sudah kaya. Yang mereka fikirkan
ialah keamanan supaya dengan itu mereka boleh berniaga dengan senang dan maju.
Mereka juga tidak mahu serabutkan fikiran mereka dengan cerita mengumpat,
fitnah dan rasuah dalam kalangan orang Melayu.
Berdasarkan
itu cara kempen kepada kumpulan sasar adalah tidak sama. Oleh sebab itu untuk
orang Melayu, selain menyuntik keyakinan tentang kemampuan parti, mereka mahu
tahu apakah keuntungan di sudut kewangan yang boleh mereka perolehi. Mereka
juga mahu tahu apakah jaminan yang membolehkan mereka tinggal di negara ini
dengan senang lenang tanpa perlu berhijrah jauh. Persoalannya adakah sepanjang
5 tahun menjadi wakil, sudahkah semua itu diberikan penjelasan kepada rakyat.
Bagi orang
Cina pula mereka tidak susah untuk berkempen seperti orang Melayu. Oleh sebab
itulah DAP mudah memukau mereka, lalu dengan itu mereka secara ramai-ramai
memberi undi kepada DAP, PAS dan PKR. Cara kempen inilah yang menyebabkan
kerusi yang dipertandingkan oleh DAP mendapat kemenangan besar. Turut mendapat
kemenangan mana-mana kerusi PAS dan PKR yang dihadiri oleh pemidato DAP. Namun
tidak dinafikan juga orang Melayu di kawasan tersebut tidak lagi berfikir tentang
duit.
Berbeza
dengan 15 kerusi yang kalah, mentaliti orang Melayu di situ masih pada tahap
rendah iaitu berfikir duit. Biasanya untuk kerusi ini tidak melibatkan pemidato
DAP, dan kalau ada pun mereka tidak bercakap soal duit. Benar, mereka janjikan
turun harga minyak, hapus tol dan pendidikan percuma, tetapi hujah yang diberi
tidak meyakinkan. Dengan sebab itu hujah mereka dapat dikalahkan oleh pemidato
BN yang sentiasa menabur janji duit. Tegasnya, calon dan pemidato tidak begitu
memahami kehendak rakyat setempat.
Sebagai bukti
perhatikan senarai 15 kerusi yang dirampas BN
1) Titiwangsa (PAS)
2) Kuala Selangor (PAS)
3) Pendang (PAS)
4) Balik Pulau (PKR)
5) Bagan Serai (PKR)
6) Kulim-Bandar Baru (PKR)
7) Hulu Selangor (PKR, menang pada 2008 tetapi tewas dalam pilihan raya kecil 2010)
8) Padang Terap (PAS)
9) Jerai (PAS)
10) Sik (PAS)
11) Merbok (PKR)
12) Baling (PAS)
13) Machang (PKR)
14) Ketereh (PKR)
15) Tanah Merah (PKR)
1) Titiwangsa (PAS)
2) Kuala Selangor (PAS)
3) Pendang (PAS)
4) Balik Pulau (PKR)
5) Bagan Serai (PKR)
6) Kulim-Bandar Baru (PKR)
7) Hulu Selangor (PKR, menang pada 2008 tetapi tewas dalam pilihan raya kecil 2010)
8) Padang Terap (PAS)
9) Jerai (PAS)
10) Sik (PAS)
11) Merbok (PKR)
12) Baling (PAS)
13) Machang (PKR)
14) Ketereh (PKR)
15) Tanah Merah (PKR)
Walau
bagaimanapun semua yang berlalu itu, biar menjadi sejarah. Untuk masa depan, PR
kena ubah strategi seperti yang digambarkan di atas. Boleh mula bertindak pada
hari ini demi masa depan negara dan rakyat.
Guna Pendekatan Surah al-Fath
Cuma untuk
hari ini saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada semua wakil rakyat yang
telah menang dalam PRU 13 ini terutama yang berjaya membentuk kerajaan agar
mereka segera berisytighfar daripada dosa terutama semasa kempen. Seterusnya sujud
kepada Allah tanda terima kasih kerana demikian itu dianjurkan oleh Allah
seperti yang terdapat dalam surah al-Fath.
Setelah itu
sebagai pemerintah sebaiknya rapatkan hubungan di antara pemerintah dengan
pembangkang dan campak jauhkan rasa permusuhan kerana parti. Malah kalau boleh jadikan
mereka sebagai rakan dalam pemerintahan. Ingatlah pembangkang dalam sesebuah
kerajaan amat penting kerana mereka boleh mengawal kesetabilan sesebuah
kerajaan.
Sebenarnya pembangkang
dalam sesebuah kerajaan berperanan untuk membetulkan kesilapan kerajaan terutama
dalam pengurusan dan pentadbiran. Malah pembangkang boleh mengutarakan idea
yang baik dalam membangunkan negara. Sesungguhnya pemerintah yang baik akan
mengambil pandangan mereka dan melaksanakannya jika cadangan itu menguntungkan
rakyat.
Pendekatan di
atas harus sama-sama dipraktikkan oleh kerajaan pusat mahupun negeri. Malah
bagi kerajaan negeri yang berlainan parti dengan pemerintah pusat harus merapatkan
hubungan dengan kerajaan pusat. Hal ini kerana negeri-negeri tersebut iaitu
Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan sebahagian daripada Malaysia. Tetapi jangan
salah anggap, tindakan tersebut bukan bermaksud kita perlu melutut sembah seperti
pengemis sebaliknya bertemu anak dengan bapa yang sering berselisih pendapat.
Sebenarnya,
kerajaan negeri dalam keadaan apapun tidak wajar bermusuhan dengan kerajaan
pusat, apatah lagi kerajaan pusat tidak sepatutnya memusuhi kerajaan negeri
kerana negeri itu sebahagian daripadanya juga. Sikap menganaktirikan kerajaan
yang berlainan parti adalah tidak sihat. Hal ini kerana pemerintah kerajaan
negeri itu hakikatnya menolong kerajaan pusat dalam mentadbir negerinya mengikut
kaedah atau pendekatan mereka.
Berdasarkan
itu kerajaan negeri tersebut berhak mendapat peruntukan daripada kerajaan pusat
secara saksama mengikut keperluan negeri tersebut. Kerajaan pusat pula
bertanggungjawab memberikan peruntukan itu sama seperti negeri-negeri lain
menerimanya. Jadi, supaya hak dan tanggungjawab itu terlaksana dengan sempurna,
kedua-dua pihak perlu hilangkan permusuhan.
Di sini suka
saya mengambil iktibar bagaimana kerajaan Kelantan yang sekian lama memerintah
negeri itu tanpa peruntukan yang secukupnya daripada kerajaan pusat. Semua ini
kerana sikap bermusuhan yang terus disemai dalam jiwa pemimpin negeri dan
pusat. Percayalah jika wujud hubungan baik antara kedua-duanya peruntukan yang
sewajarnya akan sampai ke negeri tersebut tanpa sebarang ragu.
Jadi, sesuai
dengan perlantikan Menteri Besar baru Kelantan, YAB Ahmad Yaakob, saya berharap
beliau boleh mulakan tugas berdasarkan surah al-Fath, kemudian berbaik-baik
dengan kerajaan pusat. Semoga dengan itu peruntukan pusat akan turun ke
Kelantan sama seperti negeri lain juga. Bukan
lagi melalui wang ehsan yang hanya disampaikan melalui UMNO.
1 ulasan:
Mengikut rekod pengunjung dan membaca artikel ini amat ramai, tetapi saya tidak pasti berapa ramai pemimpin yang sanggup membacanya. Boleh jadi tiada. buktinya, pemimpin kita mahu rapat dengan rakyat, nak lupakan politik demi rakyat, tetapi tidak seorang pun yang sanggup minta maaf kepada lawan dan rakyat. Kalau begitu bagaimana mereka boleh menjalinkan perpaduan ummah?
Catat Ulasan