02 Mei 2013

Wakil rakyat bukan semestinya pemimpin


Ahmad Baei Jaafar
Dalam Islam memilih atau melantik pemimpin adalah penting, malah menurut Rasulullah SAW apabila tiga orang keluar musafir hendaklah dilantik seorang dalam kalangan mereka sebagai ketua. Jadi, berdasarkan hadis itu tentu lebih wajar dalam masyarakat kampung, daerah, negeri dan negara dilantik seorang pemimpin dalam kalangan mereka.
Walau bagaimanapun orang yang berhak melantik pemimpin di negara ini bukan berada dalam tangan rakyat tetapi hak Yang Dipertuan Agung dan Sultan negeri-negeri berdasarkan ketokohan mana-mana wakil rakyat yang mewakili parti terbesar. Biasanya pemimpin itu dicadangkan oleh parti yang memang dalam pilihan raya berdasarkan kelayakan tertentu dan pada masa yang sama dia boleh diterima oleh semua pihak.  
Manakala wakil rakyat pula mereka dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum yang dilakukan lima tahun sekali. Dalam pilihan raya tersebut, rakyat diberi kuasa mutlak untuk memilih wakil mereka berdasarkan kemampuan mereka menjalankan tugas, amanah, dan bijaksana. Biasanya pemilihan rakyat mengikut parti yang membawa dasar yang baik.
Berdasarkan itu semua pemimpin adalah wakil rakyat tetapi tidak semua wakil rakyat itu pemimpin. Inilah yang sesetengah rakyat kita terkeliru. Mereka mengganggap wakil rakyat itu adalah pemimpin mereka lalu dalam banyak mereka merujuk kepada wakil rakyat itu. Salah faham inilah yang menjadikan mereka sering menyalahkan wakil rakyat dalam soal kepimpinan.

Pilih pemimpin
Sebenarnya siapapun kita, adalah wajib memilih pemimpin yang statusnya Islam berdasarkan firman Allah yang bermaksud: 
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang-orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan dari kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi tujuan Allah untuk menyiksamu?"  ( Surah An-Nisa', Ayat 144)
Walau bagaimanapun dalam konteks Malaysia, rakyat tidak bertanggungjawab untuk melantik pemimpin negara atau negeri. Jadi, rakyat tidak boleh dipersalahkan kalau pemimpin itu tidak menepati kehendak Islam. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pemimpin negara akan dipilih oleh Sultan atau Yang diPertuan Agung dalam kalangan orang bukan Islam. Namun jika pemimpin itu dilantik dalam kalangan orang bukan Islam, rakyat tidak akan dipertanggungjawabkan lagi.
Cuma sebagai rakyat kita sangat mengharapkan pilihan atau perlantikan pemimpin ini menepati syarat yang ditetapkan oleh Islam iaitu qawi, amin, hafiz dan alim. Percayalah jika pemimpin sesebuah negara atau negeri itu dipilih atas dasar di atas sudah pasti kerajaan yang dipimpin oleh mereka itu akan maju, aman dan disegani oleh musuh.
Wakil rakyat bukan pemimpin
Menyentuh soal syarat atau ciri-ciri pemimpin, sebenarnya rakyatlah yang sewajarnya meneliti dan memastikan mereka sebelum pilihan raya. Dan melului pemilihan wakil rakyat dalam pilihan raya umum itu nanti, akan dilantik sebahagiannya untuk menjadi pemimpin negara.
Oleh sebab itu mengundi tidak boleh dibuat sambil lewa sahaja. Maka rakyat perlu serius dalam menentukan wakil rakyat itu memenuhi ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi pemimpin. Pastikan wakil rakyat pilihan kita itu qawi iaitu kuat fizikal dan mentalnya. Maknanya mereka itu mestilah sihat dan mampu menjalankan tugas yang diamanahkan.
Pastikan juga mereka itu amin ialah amanah dan bertanggungjawab terhadap bebanan yang diberikan kepadanya. Selain itu mereka juga hendaklah terdiri daripada orang yang hafiz iaitu berkemampuan dan berkemahiran dalam menjaga khazanah negara. Mereka amanah terhadap wang negara pada cara perbelanjaan agar tidak boros atau kedekut. Mereka juga alim iaitu berpengetahuan tinggi dalam ilmu pentadbiran dan pengurusan selain soal-soal agama.
Jelas di sini mana-mana wakil rakyat yang tidak dilantik sebagai pemimpin negara, mereka kekal sebagai wakil rakyat. Mereka bukan pemimpin tetapi wakil kepada rakyat yang mereka ini akan bercakap di dewan rakyat dan DUN bagi pihak rakyat. Maknanya mereka akan membela rakyat dan memperjuangkan hak rakyat setiap kali berada dalam dewan.
Oleh sebab itu wakil rakyat bukan pemimpin kepada rakyat sebaliknya qadam atau pembantu kepada rakyat. Atas status itu wakil rakyat tidak sepatutnya melupakan rakyat selepas mereka memang dalam pilihan raya. Malah mereka sepatutnya selalu berjumpa dengan rakyat atau menyediakan jadual untuk memberi ruang kepada rakyat untuk bertemu dengan mereka.
Wakil rakyat seharusnya memberi perhatian kepada rakyat baik meskin mahupun kaya. Mereka hendaklah berusaha memberi bantuan jika diperlukan rakyat. Namun perlu diingat, peranan wakil rakyat bukan untuk membantu kewangan rakyat, tetapi berusaha mendapatkan wang untuk mereka melalui saluran kerajaan.
Jadi, berdasarkan peranan wakil rakyat ini, tidak salahlah mereka itu dipilih dalam kalangan orang bukan Islam. Hal ini kerana mereka bukan pemimpin rakyat tetapi hanya wakil rakyat sahaja. Jadi, wakil rakyat tidak tertakluk kepada larangan ayat di atas. Kalau begitu tidak timbullah isu orang Islam tidak boleh memilih orang bukan Islam sebagai wakil rakyat.

Pilih berdasarkan parti
Selain memilih wakil rakyat berdasarkan ciri-ciri di atas, kita harus juga melihat kepada parti yang diwakilinya. Pastikan parti yang disertainya itu mempunyai dasar yang jelas untuk keamanan, keadilan, kebajikan rakyat, kemakuran negara dan rakyat dan yang paling penting meletakkan Islam tinggi sebagai penyelesaian masalah rakyat dan negara.
Berdasarkan itu jika wakil rakyat itu kurang lengkap ciri-ciri di atas maka bolehlah dilengkapkan dengan dasar dan perjuangan parti. Dengan kaedah ini, mereka yang terpilih akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat berdasarkan dasar parti tersebut.
Semoga tarikh 5 Mei 2013 ini semua rakyat boleh turun dan keluar untuk mengundi. Walaupun kerajaan dalam hal ini tidak mewajibkan mengundi, sedarkan bahawa Islam mewajibkan mengundi bagi memilih kerajaan yang berwibawa di bawah pemimpin yang hebat dan wakil rakyat yang beramanah. Selamat mengundi.

Tiada ulasan: