Ahmad Baei Jaafar
Baru-baru ini saya
ditanyakan tentang sebuah hadis yang menyebut Sultan bayangan Allah. Isu ini
turut dibincangkan dalam fb dan blog tertentu. Ramai juga yang memberi komen mempertikaikan
kesahihan hadis tersebut. Melihat pertikaian itu saya cuba merujuk kepada
kitab-kitab hadis. Antara yang ditemui ialah riwayat dalam kitab al-Jami’
al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut:
السلطان ظل الله في الأرض، فإذا
دخل أحدكم بلدا ليس به سلطان فلا يقيمن به
Maksudnya:
“Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu
negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya”.
Sultan dalam
riwayat ini merujukkan kepada pemimpin sesebuah negeri atau negara. Jadi,
sultan termasuk presiden, gabenor, raja, perdana menteri, menteri besar dan
ketua menteri. Kesemua pemimpin itu menurut riwayat itu adalah bayangan Allah.
Ada yang
mempertikaikan riwayat itu dengan mengatakan bayangan Allah besar sangat,
layakkah pemimpin sekarang menjadi bayangan Allah. “Bayang” biasanya terbentuk
dengan adanya matahari, bulan atau lampu. Bayang sesuatu benda tidak sama
dengan bentu tersebut tetapi kalau baying dalam cermin atau air ada persamaan. Sungguhpun
begitu bayang itu tetap tidak sama dengan yang original di segi kandungannya.
Kalau begitu
apakah maksud bayangan Allah? Sebelum menjawab persoalan itu kita fahami dulu
maksud hadis di atas. Sebenarnya hadis berkenaan dengan bayangan Allah ini ada
nilai sastera. Dalam ilmu balaqah hadis tersebut adalah termasuk “tasybih” yang
dibuangkan adat (alat) tasybih. Sepatutnya hadis itu berbunyi yang maksudnya, “Sultan
adalah seperti bayangan Allah”.
Tasybih ialah
umpama, maka setiap yang diumpamakan itu tidak merujuk kepada semua tetapi
sebahagian sahaja. Barangkali tasybih ini sering kita guna dalam bahasa Melaya,
sebagai contoh kita selalu berkata kepada seseorang yang bodoh, “kamu lembu”. Ayat
ini bukan bermaksud kamu itu binatang lembu. Tetapi bermaksud, kamu seperti
lembu. Apabila disebut seperti lembu, tentu kita faham bahawa orang yang
dimaksudkan itu bukan berkaki empat, ada ekor dll. Tetapi maksud “seperti lembu”
itu adalah di sudut sifat lembu yang bodoh, boleh ditarik hidung ke mana-mana.
Begitulah
yang sepatutnya kita faham dengan hadis di atas. Seharusnya kita faham hadis di
atas begini, sultan yang memerintah adalah seperti bayangan Allah di sudut
menjalankan urusan pentadbiran negara. Maka sultan atau pemimpin mesti mentadbir
dengan cekap dan bijak seperti pentadbiran Allah. Jika sultan seperti kedudukan
di atas maka wajarlah mereka disanjungi dan dihormati.
Sebaliknya jika
sultan atau pemimpin zalim, tidak cekap, tidak amanah dia sudah mencabuli
bayangan Allah. Maka mereka tidak wajar disanjungi. Seterusnya hadis itu
diakhiri dengan amaran, jika seseorang masuk ke sebuah negeri yang tidak ada pemimpin
diingatkan agar tidak tinggal dalam negeri tersebut. Larangan ini merujuk
kepada negeri yang tidak ada pemimpin yang berjiwa bayangan Allah. Oleh sebab
itu umat Islam harus bernaung di bawah pemimpin yang dimaksudkan di atas. Wallahu
aklam.
5 ulasan:
yang kamu nk mempertahan hadis itu fasal apa - dan buat bandingan hal lembu jadadi siapa percaya hadist tasybih itu depa adalah macam lembu iaitu,ikut aja macam kena cucuk hidug seperti lembu lembu lembu. bodoh punya hadis
Siapa kita yang berani menafikan hadis rasulullah. Kalau kita pakar dan hafiz hadis pun banyak lagi hadis yang kita tak jumpa. Jangan mudah2 mengatakan hadis bodoh.
Kalaupun kata-kata ini bukan hadis sekalipun, kata-kata itu tidak ada apa salahnya.
Anda yang arif boleh baca hadis ini
حديث مرفوع) وَحَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَحْمَدَ: حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ الْحَكَمُ بْنُ نَافِعٍ: حَدَّثَنَا أَبُو الْمَهْدِيِّ سَعِيدُ بْنُ سِنَانٍ، عَنْ أَبِي الزَّاهِرِيَّةِ، عَنْ كَثِيرِ بْنِ مُرَّةَ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ : السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الأَرْضِ، يَأْوِي إِلَيْهِ كُلُّ مَظْلُومٍ مِنْ عِبَادِهِ، فَإِنْ عَدَلَ كَانَ لَهُ الأَجْرُ، وَكَانَ، يَعْنِي: عَلَى الرَّعِيَّةِ، الشُّكْرُ، وَإِنْ جَارَ أَوْ حَافَ أَوْ ظَلَمَ كَانَ عَلَيْهِ الْوِزْرُ، وَعَلَى الرَّعِيَّةِ الصَّبْرُ، وَإِذَا جَارَتِ الْوُلاةُ قَحَطَتِ السَّمَاءُ، وَإِذَا مُنِعَتِ الزَّكَاةُ هَلَكَتِ الْمَوَاشِي، وَإِذَا ظَهَرَ الزِّنَا ظَهَرَ الْفَقْرُ وَالْمَسْكَنَةُ، وَإِذَا خَفَرَتِ الذِّمَّةُ أُدِيلَ لِلْكُفَّارِ أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا.
Rasulullah SAW bersabda,sultan (pemimpin) bayangan Allah di bumi, semua orang yang dizalimi dalam kalangan hambanya (rakyat) berpaut kepadanya, maka jika dia adil terhadap rakyatnya adalah baginya pahala atau ganjaran. Sebaliknya, … (anda boleh terjemahkan sendiri sehingga akhir)
xsalah sy, 'sultan' itu merujuk kepada Sultana Auliya', pemimpinan yg mendapat mandat dari Allah dan dipimpin dari guru yg tidak terputus wasilahnya spt Khalifah ar Rasyidin, Umar Ibnu Abdul Aziz dan selainnya.. Perkara yg terlalu tersirat utk dihujahkan dgn akal sbb ianya melibatkan kerohanian hati yg tinggi.. Wallahu'alam..
Saya percaya jika semua pembaca dapat menghayati artikel ini, dia akan faham maksud tersirat, apatah lagi pada para terakhir. satu keputusan yang paling tepat. Wallahuaklam.
Catat Ulasan