Ahmad Baei Jaafar
“Aku terima
nikah Aminah binti Muhammad dengan mas kahwinnya RM300 tunai."
Demikian jawab
pengantin lelaki sebaik-baik sahaja bapa pengantin perempuan mengusulkan, “Aku
nikahkan dikau dengan anakku, Aminah binti Muhammad dengan mas kahwinnya RM300
tunai.”
Lafaz sebegini pada sesetengah orang, boleh
dilakukan dengan sekali lafaz sahaja. Walau bagaimanapun, terdapat juga pada
sesetengah tempat, saksi mahu lafaz itu diulangi sehingga tiga kali walaupun
pada dasarnya ia sudah boleh diterima. Ada saja kesalahan yang dicari walaupun
amat remeh temeh. Pada pandangan mereka, cara itu adalah untuk mendapat pahala
sunat tiga kali. Benarlah, dalam Islam tiga kali itu sunat, tetapi tidak semua
perkara perlu diulang sebanyak tiga kali.
Sebenarnya
dalam soal ijab kabul ini banyak bergantung kepada kuasa dan ilmu penolong
pendaftar nikah yang dilantik kerajaan, atau wali yang menikahkan anaknya itu. Ini
kerana dia yang menerima ucapan atau lafaz balas menerima perkahwinan itu,
tentulah dia yang mendengarnya secara langsung. Maka dia yang boleh menentukan sama
ada lafaz itu terpakai atau tidak.
Saksi yang
diminta hadir ke dalam majlis itu bukan bertujuan mengesahkan lafaz ijab kabul
perkahwinan itu tetapi untuk menjadi saksi kewujudan majlis akad pada hari itu.
Boleh jadi tanpa saksi, wali dan pengantin boleh menyembunyikan keadaan
sebenar. Dan, boleh jadi tidak wujud majlis akad nikah pun.
Berdasarkan
itu, saksi tidak perlu membantah jika wali telah menerimanya sebagai sah
kecuali jika memang ternyata salah yang tidak disedari walinya. Dalam keadaan
itu, wali perlu akur dengan pandangan saksi.
Kesan Ijab Kabul
Apabila
seseorang lelaki berjaya melafazkan ijab kabul, semua orang berasa lega dan
gembira terutama pengantin lelaki. Mereka gembira kerana penantian pasangan tersebut
untuk disatukan sudah tamat. Pastinya pengantin yang terbabit lebih berasa lega
kerana segala pantang larang selama ini sudah tamat dan kini mereka bebas
sebagai pasangan suami dan isteri.
Tetapi
persoalannya, tahukah pengantin lelaki itu akan mesej yang terkandung dalam
lafaz ijab kabul itu? Saya percaya kalau pengantin lelaki itu faham tentu dia hanya
akan gembira sedikit kerana mengenangkan tanggungjawabnya yang besar selepas
itu. Mengapa tidak? Bapa mentuanya telah melepaskan tanggungjawab menjaga anak
perempuannya kepada menantunya. Maknanya dia mahu anaknya dijaga seperti dia
menjaganya. Dia mahu anaknya dididik dengan iman dan takwa, mana-mana yang
tidak sempat dididik semasa di tangannya.
Selain itu sedarkah
dia bahawa segala kesalahan dan dosa isteri, dia perlu ambil tanggungjawab
untuk menyelesaikannya? Dosa yang lalu memanglah tertanggung pada bahu
masing-masing, tetapi selepas berkahwin, suami perlu bertanggungjawab
membendungnya. Dalam keadaan ini kalau dia membiarkan sahaja segala perlakuan
si isteri tanpa tunjuk ajar yang betul, maka dia turut berdosa seperti
pengamalnya juga.
Menyedari
keadaan itu, suami perlulah lebih serius dalam mengurus dan mentadbir rumah
tangga sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Oleh sebab itu, suami perlu
lebih tahu tentang ilmu agama khususnya dalam soal hukum-hukum yang berkaitan
hal rumah tangga. Suami juga perlu lebih kuat iman dan takwa terutama dalam
mendidik isteri dan anak-anak.
Suami yang
cukup ilmu pengetahuan agama dan ditambahkan dengan iman dan takwa pasti mampu
membawa isterinya ke jalan syurga dengan mengamalkan ajaran Islam dalam seluruh
aspek kehidupan. Pada masa yang sama dia akan mengelak dari jalan-jalan ke
neraka bagi menyelamatkan diri dan isterinya.
Sejauh Mana Suami Faham?
Walaupun
pengantin lelaki dan perempuan diingatkan oleh imam nikah dalam khutbah
nikahnya tentang tanggungjawab dan kewajiban suami dan isteri, mereka yang sedang
dalam keadaan teruja dan terlalu gembira itu begitu mudah melupai pesanan itu. Buktinya,
apabila kenduri kahwin diadakan, pengantin perempuan akan bertukar wajah,
pakaian sopan semasa akad nikah di masjid itu hilang serta-merta dang berganti
dengan berbagai-bagai persalinan yang tidak menitikberatkan soal syariat.
Pendedahan
aurat berlaku tanpa menghormati hukum Islam lagi. Alasan biasa yang diberi,
kehendak mak andam atau ibu bapa, maka mereka tidak boleh buat apa-apa.
Sesungguhnya perempuan yang kuat iman dan takwanya pasti mampu menolak. Hal ini
kerana masa untuk memilih pakaian telah dilakukan sebelum majlis itu diadakan lagi.
Selain itu pengantin
lelaki yang kini berjawat tanggungjawab seorang suami juga tidak boleh
bersuara, apa yang berlaku terpaksa diterima. Namun sebagai suami tanggungan
hukum sudah berada di atas bahunya selepas diijab kabulkan. Ketika itu dia
sudah wajib melarang isterinya mendedahkan aurat. Maka secara sedar dia turut
berdosa atas perbuatan isterinya itu jika tidak melakukan apa-apa untuk
menegahnya.
Kemudian pada
hari-hari berikutnya, kehidupan rumah tangga berjalan seperti lazimnya. Rasa
bahagia dan kasih sayang dapat dilihat pada wajah mereka berdua. Namun ketika
itu kesalahan isteri akan dibiarkan begitu atas dasar sayang dan cinta. Mungkin
juga atas rasa masih awal untuk menegur kesalahannya. Tetapi akhirnya kesalahan
itu menjadi kebiasaan yang kemudiannya sukar ditegur lagi. Ketika itu teguran suami
akan ditentang lalu dengan itu sukar baginya bertindak sebagai suami.
Bayangkan
berapa banyak dosa sebagai suami yang harus dipikul selain dosanya sendiri.
Inilah kesan daripada kejahilan mereka tentang hukum Allah. Semuanya berpunca
daripada kecuaian dalam mendalami ilmu agama sebelum berkahwin dan semasa melayari
bahtera rumah tangga. Memang sebelum berkahwin setiap pasangan menghadiri
kursus pra perkahwinan. Tetapi kursus selama dua hari itu tidak cukup untuk
mematangkan ilmu agama mereka. Banyak lagi ilmu yang mereka perlu tahu termasuk
ilmu pentadbiran dan pengurusan rumah tangga.
Tanggungjawab Utama
Menerima ijab kabul
bererti seorang suami menerima amanah ibu bapa isterinya dan Allah. Maka dengan
sebab itu dia tidak harus ada alasan untuk mengelak daripada amanah itu. Dalam
ruangan yang ada ini, mari kita selongkar amanah yang tersirat dalam ijab dan kabul
itu.
Amanah dalam Lafaz Ijab Kabul
·
Amanah Allah.
Suami wajib menjadi khalifah Allah atau
dalam bahasa mudah menjadi pemimpin kepada isteri dan anak-anak. Sebagai
pemimpin suami ada dua peranan iaitu memastikan isteri dan anak-anak mematuhi
perintah Allah. Pastikan mereka melaksanakan solat, puasa, zakat dan haji.
Pastikan mereka sentiasa jauh daripada melakukan dosa walaupun dosa kecil.
Peranan
kedua, mengurus rumah tangga dan menyediakan keperluan hidup agar isteri dan anak tidak
kebuluran. Oleh sebab itu suami perlu bekerja bagi mendapat upah yang
selayaknya untuk menyara isteri dan anak-anak. Suami perlu menyediakan
keperluan hidup mengikut kemampuan, maka kalau sedikit rezekinya, itulah yang harus
diberikan kepada mereka. Dan kalau banyak jangan pula sampai membazir kerana
pembaziran adalah amalan syaitan.
·
Amanah ibu bapa
mertua.
Menantu diberi kepercayaan yang tidak
berbelah bahagi oleh mertua dalam menjaga anaknya. Maka sebagai suami dia wajib
menjaga keperluan isterinya zahir dan batin. Suami tidak boleh menyakiti hati
isterinya kerana dengan itu akan terguris hati ibu bapanya. Maka dengan sebab
itu kalaulah berlaku krisis rumah tangga, selesaikan dengan baik secepat
mungkin.
Kecuaian suami
dalam menjaga keperluan ini mengakibatkan krisis yang sedikit akan membesar dan
akhirnya membawa kepada perceraian. Ini tidak seharusnya berlaku dalam rumah
tangga. Oleh sebab itu bendunglah krisis itu dengan sebaik-baiknya dengan
menjauhi perkara-perkara yang boleh menjadi punca berlaku krisis. Dan jika ia
terjadi juga, duduklah berbincang dan hindari sikap saling salah menyalahkan.
Masing-masing pihak perlu melapangkan dada dan sama-sama mencari jalan
penyelesaian dengan matlamat, apa jua tindakan yang dilakukan adalah demi mendapatkan
keredaan Allah SWT. Jika perlu mintalah bantuan pakar bagi menyelamatkan
keadaan.
Pada masa yang
sama, jangan lupa untuk meminta khidmat nasihat ibu bapa masing-masing. Mungkin
dengan itu mereka dapat menyumbang petua yang baik untuk memulihkan keadaan.
Cuma dalam hal ini, ibu bapa jangan sesekali menyalahkan menantu kerana
kesannya bukan merawat tetapi hanya meruntuhkan kebahagiaan sesebuah rumah
tangga.
Saya percaya jika
suami dapat memelihara amanah Allah dan amanah ibu bapa ini dengan sebaik-baiknya,
akan tercapaikan apa yang dikatakan rumah tangga bahagia, yang di dalamnya wujud
rasa mawaddah dan rahmah, ada rasa kasih sayang dan saling
mencintai kerana Allah.
2 ulasan:
Alhamdulillah.
Terima kasih atas ulangkaji kali ini.
Para suami yang patut membaca tulisan ini kerana banyak teguran yang melibatkan suami.
Catat Ulasan