Memang benar mengerjakan haji satu perjuangan, banyak
rintingan yang perlu dilului dan banyak ujian yang perlu ditempuhi bagi
mencapai haji yang mabrur. Sesiapa yang boleh melepasi semua itu dengan baik
pasti mendapat haji yang mabrur. Tetapi berapa ramai yang berjaya?
Saya dan isteri memilih haji ifrad walaupun ramai kumpulan
kami yang memilih tamatta’. Kata mereka, haji ifrad berat sikit, kena berada
dalam ihram tempoh yang lama, takut kena banyak dam. Yalah 13 larang semasa
ihram. Gambaran itulah barangkali yang
menakutkan semua jemaah.
Alhamdulillah kami memakai ihram sejak di Kelana Jaya lagi dan
berniat haji semasa berada dalam kapal terbang. Bayangkan sepanjang penerbangan
itu kami sudah diharamkan 13 perkara. Kalau melanggarnya perlu membayar dam. Tapi
dalam fikiran saya, kita hanya nak buat haji, bukan nak salah. Tetapi kalau
tersalah juga bayarlah dam, bukankah dam juga ibadah.
Mujurlah dalam kapal terbang boleh tidur walaupun kurang
selesa. Dan dengan itu kami kuranglah bercakap. Jadi, kesalahan yang melibatkan
lidah itu tiadalah berlaku. Apatah lagi
larangan rafath dan jidal. Alhamdulillah selamat.
Sesampai di hotel, kami berpisah tempat tinggal. Cuma
sesekali boleh berjumpa untuk makan terutama waktu sarapan pagi kerana waktu
pagi tidak disediakan makanan. Namun kerap juga berjumpa tatkala untuk ke
masjidil haram kerana di sana disyaratkan pergi bersama. Bukan apa, untuk
keselamatan diri di tempat orang yang sememangnya ramai orang. Kalau sesat
sukar berjumpa kembali.
Oleh sebab itulah kami boleh hidup dalam keadaan ihram tanpa
melakukan larangan yang ditetapkan itu. Malah kami masih dapat menjaga larangan
terutama yang membabitkan suami isteri. Alhamdulillah dalam tempoh itu tidak
ada pertengkaran atau pergaduhan besar walaupun sekali sekala terasa juga kecil
hati apabila berseorangan menanggung kesakitan (rasa isteri tidak simpati).
Padahal itu semua ujian kecil yang cuba digoda syaitan.
Syukur kepada Allah kerana dalam tempoh 12 hari berihram
kami dapat menjalani hari-hari itu
dengan amalan kebajikan, malah dapat melakukan ibadah sunat di masjidilharam,
membaca al-Quran dan solat sunat termasuk tawaf sunat. Sebenarnya dalam tempoh
itu perjuangan yang perlu kami tempuh bukanlah sengit dan tidaklah mencabar
sangat.
Di Makkah, perjuangan kesabaran boleh dihadapi dengan sikap
tenang dan berfikiran positif terhadap apa yang berlaku. Cuma perjuangan bagi mengekalkan
wuduk agak mencabar. Yalah, kadang-kadang sudah hampir hendak azan, terbatal
wuduk pula. Bayangkan kalau nak keluar ke bilik air agak jauh. Kalau keluar,
pasti tiada peluang masuk semula. Nak guna spray yang dibekalkan Tabung Haji takut
basah tempat solat pula. Mujur ada tempat air zamzam dalam masjid maka bolehlah
ambil wuduk di situ. Tapi tak bolehlah basuh tiga kali seperti biasa.
Bayar Dam
Berbalik kepada larangan ihram, ramai juga jemaah haji yang
tidak perasan dengan bulu ari-ari, bulu dada dan hidung boleh gugur. Ada juga yang terkeliru antara sengaja dan
tidak sengaja dalam menggugurkan bulu tersebut. Waktu kursus kita diberitahu
tentu larangan menggugurkan rambut atau sebarang bulu pada tubuh badan. Juga
diterangkan tentang maksud sengaja atau tidak sengaja. Tetapi apabila tiba
waktu praktikalnya, banyak juga yang terlupa dan tidak perasan.
Saya sendiri waktu belajar itu beranggapan larangan itu
tidak menjadi masalah bagi lelaki. Tetapi apabila sudah berada dalam
realitinya, baru tersedar bahawa lelaki juga sama. Yalah, waktu kita mandi,
bulu dada boleh gugur. Dan kadang-kadang secara tidak semena-mena, dicabutnya
bulu hidung. Kalau yang gugur itu sehelai atau dua, tentunya kecil. Tapi kalau
tiga helai sekali gus tentulah banyak.
Bayangkan, kalau setakat dua helai boleh diselesaikan damnya
dengan memberi kepada orang miskin atau pekerja klener di Masjidilharam dengan
kadar SAR 5 (lima rial). Tetapi kalau tiga helai, damnya seekor kambing yang
bernilai SAR 330. Inilah perjuangan yang terpaksa ditempuh sepanjang ihram.
Beruntunglah mereka yang memikirkan dam itu juga sebagai ibadah maka wang yang
dikeluarkan itu ada nilaian di sisi Allah.
Kemuncak Perjuangan
Semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah kemuncak
perjuangan yang kalau gagal di sini gagallah haji. Antara larangan semasa ihram
ialah menebang pokok dan memburu binatang. Sewaktu belajar, saya berfikir
adakah pokok di sana, dan adakah binatang buruan di sana. Tetapi apabila
sampai di sana baru kita sedar,
sememangnya Allah ingin menguji kita.
Tahukah anda, di Arafah banyak pokok yang ditanam oleh
kerajaan. Tentunya pokok itu ditanam untuk mencantikkan kawasan. Tetapi tahukah
anda pokok itu juga termasuk dalam 13 larangan semasa ihram. Bayangkan kalau
kita secara sedar menyandar dan menggonjangkan batang itu, lalu gugur daunnya,
berapa banyak dam yang perlu dibayar. Itu satu hal, satu lagi apabila masuk di
dalam khemah, ada pula anak pokok. Kawan saya hampir menyentuhnya. Bayangkan
kalau dia tergatal tangan lalu memetik satu dua helai daun, berapa dam yang
perlu dibayar.
Dalam hal ini, isteri saya ada menceritakan yang kawannya
secara tiba-tiba seekor belalang terbang kepadanya. Dan dia sepantas kilat
menepisnya lalu matilah belalang itu. Membunuh binatang buruan adalah satu
kesalahan yang wajib membayar dam. Kita nampak hal ini kecil tetapi sebenarnya
besar di sisi Allah.
Di Mini sesekali nampak burung merpati turun mencari makanan
di atas jalan. Walaupun jumlah di sini tidak sebanyak di Makkah, kehadiran
burung merpati yang kelihatan jinak itu boleh memerangkap jemaah haji. Sebenarnya
kalau ada jemaah haji yang masih dalam ihram (hari ke 10 Zulhijjah) menabur
makanan lalu burung itu memakannya, maka dia termasuk dalam kategori memburu
binatang.
Mujurlah larangan di Mina itu hanya satu hari iaitu pada 10
Zulhijjah, bolehlah bebas sedikit. Tidak lagi risau hal keguguran rambut atau
mencabut pokok juga memburu binatang. Sungguhpun begitu mereka masih ada tiga larangan
yang melibatkan suami isteri. Jadi, pada hari ke 11, 12 dan 13 mereka agak selesa
apatah lagi sudah boleh berpakaian biasa.
Perjuangan belum selesai
Walaupun larangan sudah kurang, perjuangannyanya masih belum selesai. Kadang-kadang
sewaktu menuju ke Jamarat untuk acara melontar jamrah nafsu kita diuji. Bayangkan
setiap hari berulang alik ke jamarat berdua-dua dalam keadaan bersesak-sesak, kalau
tidak dikawal nafsu salah seorang daripada mereka sudah pasti dam menanti
mereka.
Selain itu perjalanan sejauh tiga kilometer juga satu
cabaran. Waktu pergi agak kuat dan bertenaga, tetapi waktu pulang masing-masing
keletihan. Waktu ini kalau tidak kuat jiwa, akan tercetus banyak dosa lagi. Kita
perlu ingat walaupun sudah tidak pakai ihram, bukan bermakna kita boleh buat
apa sahaja.
Perjuangan sebenarnya akan berakhir apabila balik ke Makkah.
Di sana semua jemaah akan mengadakan tawaf ifadah dan saei. Tapi bagi yang buat
haji ifrad cukup dengan tawaf ifadah sahaja. Ibadah tersebut juga perlu
berhadapan dengan ujian bersesak-sesak. Kadang-kadang kaki mereka tersentuh
kaki perempuan Afrika yang tidak pakai stoken.
Memang betul dalam mazhab Syafii bersentuh tanpa syahwat
dalam keadaan ini tidak batal wuduk, tetapi bagaimana kalau waktu tersentuh
itu, hati anda terasa sesuatu, tentu terbatal wuduk. Tapi anda mengabaikan
perasaan itu lalu diteruskan tawaf. Tentu tidak sempurna tawafnya ketika itu. Bayangkan
kalau ini gagal, bagaimana saeinya? Inilah yang saya maksudkan perjuangan
terakhir.
Tawaf kedai
Selepas selesai haji, masing-masing bebas dengan aktiviti
harian, selain berulang alik ke Masjidilharam, waktu pulang ke hotel, mereka
akan tawaf kedai terlebih dahulu. Sesetengahnya window shoping dahulu, tetapi
tidak kurang juga yang terus membeli belah untuk buat buah tangan orang di kampung.
Kalau 20 hari di Makkah, entah berapa hari mereka menapak di kedai-kedai sekitarnya.
Dan berapa banyak pula yang mampu dibeli.
“Mari-mari tengok dulu” itulah bahasa yang digunakan oleh
penjual Arab bila melihat orang Malaysia alalu di hadap kedai mereka. “Malaysia
bagus” ucapan pujuk yang sering digunakan oleh mereka membuatkan kita tergoda
lalu membeli barang itu. Memanglah murah harga di sini, tetapi kualitinya kita
tidak tahu. Nampak cantik tetapi belum tentu cantik. Kalau jubah memang cantik
dan bermutu kalau harganya lebih 30 rial.
Saya beli seterika yang mengguna air, harganya baru 40 rial,
kalau duit kita baru 30 ringgit lebih. Saya beli bukan sebab murah tetapi sebab
nak gosok baju yang sudah berkedut. Saya
berpuas hati dengan alat itu, cuma apabila bawa balik ke Malaysia, plaknya
tidak boleh sesuai dengan soket di sini. Plak dua batang di sana tidak sama
dengan lubang soket di sini. Sekarang alat itu disimpan dahulu sebelum
menggantikan plak tiga batang. Harap-harap boleh digunakan setelah digantikan
plak baru.
Sebenarnya orang Arab memang suka dengan orang Malaysia, kerana
lazimnya orang kita suka membeli. Mengikut rekod mereka, orang Malaysia banyak
membeli barang mereka. Tapi kadang-kadang mereka tidak suka apabila sebahagian
mereka suka menawar harga yang bukan-bukan. Berbeza dengan orang Indonesia,
mereka berbelanja seperti orang kaya. Mungkin mereka berniaga waktu di tanah
air mereka. Inilah realiti jemaah haji sebelum pulang ke tanah air.
Sesetengahnya tawaf kedai ini disambung sewaktu di Madinah.
Maka sebahagian barang itu diposkan dari Makkah dan sebahagian lagi diposkan di
Madinah. Jadi yang pasti untung dalam hal ini ialah pekedai dan pos Malaysia.
Bayangkan, saya sendiri belanja pos bernilai SAR700. Harga barang tentu lebih
mahal daripada itu. Tapi tak mengapa kerana semua itu perlu dibeli untuk dijadikan
hadiah buat mereka yang melawat di kampung nanti.
Solat 40 Waktu
Setiba di Madinah, solat 40 waktu di Masjid Nabawi tidak
dilepaskan peluang itu oleh semua jemaah haji. Di sudut fadilat, saya tidak
sebut kerana sudah banyak kali dijelaskan oleh penceramah, tetapi mesej yang
tersirat daripada amalan itu perlu dilihat semula. Tidak dinafikan ibadah di Masjid
Nabawi besar pahalanya, apatah lagi sampai 40 waktu, tetapi berapa ramai yang
melakukan amalan itu secara ikhlas. Dan berapa ramai pula yang melakukan ibadah
ini kerana sudah ada peluang di hadapan mata.
Sebenarnya solat 40 waktu yang dilakukan di Masjid Nabawi
ini lebih daripada tujuan pahala yang besar.
Tahukah anda, sesuatu yang dilakukan sebanyak 40 kali akan menjadi satu
kebiasaan. Kalau anda hendak menghafal al-Quran, maka sesatu ayat itu hendaklah
diulang sebanyak 40 kali, barulah benar-benar terlekat pada hatinya. Bagitu juga
apabila kita mendengar sesuatu iklan sebanyak 40 kali, nanti kita akan mencuba
juga akhirnya.
Maknanya, Allah mahu jemaah haji rasa seronok melakukan
ibadah solat secara jemaah. Nanti dia akan rindukan solat berjemaah apabila
balik ke tanah air. Ketika itu kalau dia tidak dapat melakukan solat jemaah
sekali dirasakan amat menyesal dan rugi. Itulah yang akan terjadi kalau mereka
lakukan solat 40 waktu di Masjid Nabawi dengan ikhlas kerana kehendak Allah dan
rasul-Nya.
Setelah balik ke Malaysia, berapa ramai haji dan hajjah yang
boleh mengekalkan solat jemaah di masjid atau surau? Saya tidak ada angka
sebenar, tetapi kebanyakan jemaah haji sudah lupa amalan jemaah itu. Kalau wanita
memang tidak perlu berjemaah (tidak digalakkan kecuali jika ada pengajian) di
masjid atau surau, tetapi setidak-tidaknya mereka boleh mengekalkan solat di
awal waktu. Tetapi itupun tidak mampu dilakukan oleh golongan ini.
Kalau begitulah amalan para haji dan hajjah ketika balik ke
Malaysia, bolehkah mereka kekal sebagai haji mabrur. Mereka yang gagal mendapat
haji mabrur awal-awal lagi kita tidak bimbangkan, kerana mereka memang tidak
mampu melakukan ibadah sebagaimana yang dikehendaki Allah. Tetapi mereka yang
sudah mendapat haji mabrur, tentulah rugi kerana semuanya lebur selepas itu.
Tidak dinafikan semua yang berlakukan ini ada kaitan dengan
dosa yang kita lakukan sama ada secara sengaja atau tidak selepas berada di
tanah air. Tetapi sesungguh sesuatu yang berlaku di sini tentu ada puncanya di
sana. Jadi sebagai umat Islam apatah lagi haji dan hajjah yang baru pulang,
marilah kita bertaubat dan sesalilah segala dosa dan kesilapan lalu. Semoga
Allah ampuni dan kembalikan kita ke tempat yang sebaiknya di sisi Allah.
1 ulasan:
Alangkah baiknya kalau dibukukan. tentu banyak lagi idea dan ilmu boleh dicurahkan.
Catat Ulasan