17 Januari 2012

Betulkah Anwar sokong golongan gay


Ahmad Baei Jaafar
Membaca laporan akhbar arus perdana mengenai temu bual Anwar Ibrahim dengan sebuat stesen TV luar negara, saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam laporan itu. Bila saya menonton TV3 ketika menyiarkan semula rakaman wawancara itu, dapat dikesan padanya ada bahagian yang diedit untuk tidak disiarkan.
Untuk kepastian saya membuka laporan Malaysiakini yang bertarikh 15 Januari 2012 antara lain menyebut: “Menjawab soalan berkaitan hak-hak golongan gay dan sama ada beliau bersedia untuk menerima "idea anti-diskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay", Anwar berkata dalam satu wawancara dengan BBC pada Khamis, bahawa "kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami."
"Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan."
Saya cuba baca banyak kali untuk mendapat jawapan tentang apa yang ditimbulkan orang tertentu termasuk mufti Perak dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor. Saya cuba mencari isu yang ditimbulkan namun tidak menemui jawapannya. Sebaliknya saya temui betapa telitinya jawapan orang yang bijak dalam berpolitik.
Cuba anda perhatikan, walaupun soalan menyebutkan tentang hak-hak golongan gay, namun jawapan tidak menjurus kepadanya secara langsung. "…kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami." Memang undang-undang Kanun Keseksaan sudah lapuk, walaupun sudah ada pindaan, tetapi ada juga sudah tidak sesuai. Oleh lebih adil, saya salin semula peruntukan yang ada kena mengena dengan golongan gay untuk nilaian bersama.
Seksyen 377 Kanun Keseksaan, mereka yang melakukan  persetubuhan luar tabii dengan haiwan, hukumannya ialah penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Seksyen 377A iaitu kesalahan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii sama ada melalui mulut atau dubur, hukuman ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Seksyen 377B mengatakan bahawa sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan.
Seksyen 377C merujuk kepada persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dan pesalah boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Seksyen 377CA iaitu perhubungan seks dengan objek sama ada melalui dubur atau kemaluan, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Seksyen 377D iaitu melanggar kesopanan dengan melakukan kelucahan melampau, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga dua tahun manakala kesalahan mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau, membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.
Perhatikan seksyen 377B dan 377C, munasabahkan orang yang melakukan secara sukarela dihukum penjara maksima 20 tahun dan kalau secara tanpa kerelaan, pesalah boleh dipenjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 20 tahun. Masih relevenkah undang-undang ini, orang yang melakukannya tanpa rela sama sahaja hukumnya dengan orang melakukannya secara sukarela?
Dan lihatlah juga kesalahan yang lain, semua hukumnya penjara maksima 20 tahun. Adakah kadar itu masih sesuai pada zaman ini. Mengapa tidak ada perbezaan antara satu kesalahan dengan kesalahan yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan lapuk.
Selain itu menurut Pegawai Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah, siasatan pelaku seks songsang adalah mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana meliwat. “Bagaimanapun, amat sukar kedua-dua individu yang melakukan seks luar tabii itu untuk tampil memberi keterangan yang menyebabkan pihak berkuasa tidak boleh membawanya ke muka pengadilan. Ini berlaku kerana kedua-dua pelaku seks songsang itu melakukannya secara rela tanpa paksaan. Biasanya, dalam serbuan yang dibuat, individu terlibat mengakui ada aktiviti seks yang dilakukan berdasarkan kondom-kondom basah yang ditemui tetapi enggan memberi keterangan ketika dalam siasatan,” kata Razali.
Kenyataan polis itu menjelaskan betapa sukar untuk menyelesaikan kes liwat. Oleh sebab itu beberapa kaedah dan undang-undang dalam kes ini perlu dibaik pulih. Beberapa peruntukan perlu ditukar dan ditingkatkan denda sesuai dengan zaman ini.
Selain itu, dalam jawapan kepada wartawan BBC itu Anwar menjelas pendiriannya, "Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan."
Pendirian ini menjelaskan bahawa rakyat Malaysia keseluruhannya menyokong perkahwinan lelaki dengan perempuan. Ertinya beliau menolak perkahwinan  golongan gay. Sungguhpun begitu menurutnya adalah diharapkan golongan ini tidak menuduh kerajaan menyusahkan mereka dek kerana  undang-undang lapuk itu.
Jadi, golongan ini mesti diberi hak sebagai rakyat Malaysia yang merdeka. Maka jika mereka orang Islam mereka tertakluk kepada undang-undang Islam, dan yang bukan Islam perlu mengikut tatasusila yang dibenarkan. Maka jalan penyelesaian ialah dengan mewujudkan undang-undang Islam secara total.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...