Ahmad Baei
Jaafar
Isu murtad
sudah banyak kali ditimbulkan oleh pendakwah dan dibesarkan oleh media, namun
apa yang ditimbulkan itu hanya tinggal begitu sahaja. Bising sekejap kadar
seminggu, setelah ada pihak menafikannya, isu tersebut hilang begitu sahaja
tanpa apa-apa tindakan. Persoalannya
benarkah murtad menjadi-jadi mutakhir ini?
Kalau
kenyataan itu keluar daripada orang yang berautoriti bolehkah kita terima
sebagai sah. Persoalannya siapa yang berautoriti dalam hal ini? Sudah tentu
mereka yang berurusan mendaftar, peguam syari’ dan hakim syari’. Mereka inilah
yang paling tahu kadar sebenar. Apapun orang lain hanya sekadar mendengar
maklumat daripada orang lain.
Kita tidak
nafikan ada orang yang murtad tetapi tetapi apakah kepentingan kita besarkan
isu itu? Kadang-kadang isu itu dibesarkan oleh musuh untuk menjadikan kita
panik dan takut sekali gus melemahkan jiwa umat Islam sendiri. Hal ini mungkin
mereka sudah merasa umat Islam semakin lemah atau berpecah.
Kadang-kadang
kenyataan itu dikeluarkan oleh tokoh Islam sendiri sebagai amaran kepada umat
yang masih leka lalu membiarkan diri dan keluarganya terpesong jauh daripada
Islam. Isu itu mungkin tidak besar mana, tetapi dibesarkan untuk melahirkan
kesedaran dan kewaspadaan. Walau apapun kedua-dua keadaan ini ada pro dan
kontranya.
Realiti isu
murtad
Umat Islam
yang dikatakan murtad terdiri daripada golongan muallaf yang terbiar tanpa
bimbingan. Mereka ini apabila memeluk Islam tidak menghadiri sebarang kursus
atau kelas pengajian. Mereka meneruskan kehidupan harian seperti biasa.
Sedangkan amalan Islam tidak diamalkan seperti yang sepatutnya.
Golongan ini
juga sesetengahnya tidak ada pekerjaan maka sepanjang kehidupannya mengharapkan
bantuan zakat dan sumbangan orang ramai. Sebahagian mereka memberi alasan sakit
dan ditinggalkan isteri atau dibuang kerja. Mereka ini kalau terus dibiar tanpa
didikan Islam lambat laun akan murtad akhirnya.
Golongan
kedua terdiri daripada orang yang berkahwin dengan orang Islam. Pasangan Islam
ini pula tidaklah berniat untuk membimbing pasangannya. Lebih malang lagi
pasangan yang asal Islam ini tidak menunaikan solat, bagaimana dalam keadaan
itu dia boleh menjadi contoh kepada pasangan yang baru memeluk Islam itu.
Di sinilah
kadang-kadang jodoh mereka tidak lama, pasangan yang muallaf ini seperti laying
putus talinya. Apabila tiada lagi tempat bergantung, dia akan mencari orang yang
boleh membantunya. Bagaimana kalau dia bertemu dengan orang bukan Islam yang
mengajaknya supaya murtad, tentu dia dengan mudah boleh murtad.
Dua keadaan
ini, siapa yang boleh kita salahkan? Jelas di sini, orang Islam sendiri yang
patut disalahkan. Orang yang mengislamkannya sama ada dengan cara dakwah atau
dengan berkahwin sepatutnya dihukum kerana cuai membimbing ke jalan yang benar.
Jadi kalau begitu mengapa kita asyik menyalahkan orang yang murtad? Memang
mereka hendak Islam tetapi orang Islam yang tidak mahu mendidik dengan cara
yang betul.
Orang Islam
sendiri, tidak banyak yang bertindak murtad kecuali mereka lemah Islamnya lalu
berjaya dipujuk ke arah murtad. Biasanya mereka ini dipujuk oleh pasangan
kekasih atas alasan cinta. Mereka tidak juga faham agama itu dengan baik
sebagaimana dia tidak memahami Islam dengan sebaiknya. Mereka ini biasanya
menipu ibu bapa dalam pergaulan kerana sering dikongkong oleh ibu bapa.
Dalam kes
sepertinya, ibu bapa juga boleh dipersalahkan selain anak itu sendiri. Kecuai
mereka mendidik anak dengan sempurna ada dosa besar. Kita kena ingat iman tidak
diwarisi, maka kalau tidak dididik dengan yang betul pasti tidak menjadi.
Apabila anak dibiar atas alasan percaya dia bersekolah agama adalah suatu
tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Punca murtad
Gelaja murtad yang disebut di atas berlaku apabila seseorang
itu dalam keadaan goyah imannya. Tetapi tahukah anda orang yang ada iman malah
kuat imannya juga boleh menjadi murtad. Mereka boleh murtad dengan rosaknya
iman di dada. Ada tiga perkara atau tiga cara iman itu boleh rosak:
1.
Iktiqad.
2.
Perkataan.
3.
Perbuatan.
Melalui iktiqad, iman boleh rosak dengan sebab-sebab berikut:
1.
Kurang yakin atau ragu-ragu dengan satu atau
lebih dari sifat-sifat yang wajib bagi Allah. Contohnya: Ragu dengan Qudrat
(kekuasaan) Allah. Sebaliknya ia yakin bahawa ada kuasa lain yang boleh memberi
bekas selain Allah.
2.
Ragu dengan perkara-perkara ghaib seperti
wujudnya malaikat, Hari Qiamat, Alam Barzakh, syurga, neraka dan lain-lain
seumpamanya.
3.
Ragu dengan satu atau lebih dari sifat-sifat nabi
dan rasul.
4.
Ragu tentang mampunya Islam, dengan panduan al-Quran
dan Sunnah, sebagai pembawa keselamatan.
Jadi, semua keraguan tentang perkara yang disuruh beriman
dengannya oleh Allah boleh membawa kepada rosaknya iman seseorang. Oleh sebab itu
amat perlu bagi tiap-tiap individu memastikan hatinya tidak ada sebarang
keraguan.
Selain itu iman juga boleh rosak melalui perkataan. Ianya
boleh berla ku sama ada sedar atau tidak. Antara perkataan yang boleh
merosakkan iman ialah:
1.
Mengatakan Allah itu kejam, zalim, tidak adil dan
lain-lain yang mencacatkan kesempurnaan sifat Allah.
2.
Mengata dan mencaci Rasulullah sama ada tentang
perkataan, perbuatan dan seluruh ajaran baginda.
3.
Mengatakan syariat Islam tidak sesuai untuk semua
zaman. Ia hanya sesuai untuk "zaman unta" dan sebagainya.
4.
Menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang
halal. Contohnya: Menghalalkan riba, zina, arak, judi dan lain-lain.
Mengharamkan poligami dan lain- lain.
Pendek kata apa sahaja perkataan yang dikeluarkan berbentuk
cacian dan penghinaan pada kemuliaan dan kebenaran Islam, sama ada sengaja atau
tidak boleh merosakkan iman seseorang. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga
perlulah kita berhati-hati dalam bercakap, jagalah perkataan yang keluar dari
mulut kita.
Seterusnya perbuatan juga boleh merosakan iman. Perkara ini boleh
berlaku kerana dua keadaan:
1.
Sujud pada selain Allah, sama ada pada patung,
pokok kayu, matahari, bulan dan lain-lain.
2.
Meraikan dan membesarkan hari-hari agama lain.
Jelas di sini seseorang yang melakukan salah satu dari tiga
cara di atas, dalam sedar dan yakin, adalah seorang yang telah rosak imannya.
Dengan kata lain mereka telah murtad. Dengan kedudukan ini munasabahlah ramai
umat Islam murtad. Boleh jadi murtad jenis ini lebih besar.
Selamatkan
yang murtad
Menyedari
keadaan ini semua pihak perlu bertanggungjawab menyedarkan umat Islam ada yang
sudah murtad dan mereka yang termasuk dalam gejala murtad di atas. Untuk
mengembalikan mereka tidak cukup dengan demontrasi, kempen berpidato dan
sebagai. Semua itu boleh menjadikan musuh Islam mengelakkan kita.
Menggubalkan
undang-undang atau akta murtad memang bagus, kerana kewujudannya boleh
menghalang orang Islam daripada murtad. Dan kalau ada yang murtad boleh dihukum
dengan undang-undang itu. Tetapi itu semua untuk mereka yang sudah murtad.
Bagaimana yang dalam gejala murtad yang semakin ramai kini?
Di sinilah
pentingnya dakwah dan pengajian untuk orang Islam. Usaha ini perlu dijalankan
dengan serius. Usaha ini sepatut disokong oleh kerajaan dan NGO Islam. Orang
yang selama ini menentang gerakan dakwah sepatutnya insaf bahawa sebenarnya
gejala murtad itu ada kaitan dengan penentangan mereka. Oleh sebab itu bukalah
peluang yang luas untuk menyebar luaskan ajaran Islam di mana-mana.
Umat Islam
perlu disedarkan dengan perkara yang boleh membatalkan iman kerana semua itu
jalan kepada murtad. Jadi, usahakan agenda ini dengan serius agar iman umat
Islam kembali teguh. Pada masa yang sama didiklah orang yang baru memeluk Islam
dengan sebaiknya.
Percayalah
kalau semua pihak bergerak aktif pasti umat Islam akan kembali gemilang. Ketika
itu negara dan kepimpinannya akan disegani oleh musuhnya.
2 ulasan:
Salah satu puncanya ialah meminggirkan pendidikan agama di sekolah. Subjek agama bukan menjadi subjek teras. Subjek agama menjadi picisan sahaja. Bila asas agama lemah, maka tunggulah kehancurannya termasuklah gejala murtad dan masalah sosial.
Memang betul, tetapi yang lebih utama ialah didikan imam perlu dimantapkan oleh ibu bapa, guru dan ulama. Apabila iman mantap sepanjang masa, ruang untuk agama lain mencelah sudah tertutup.
Catat Ulasan