Ahmad Baei
Jaafar
“Selamat
Hari Raya Maaf Zahir dan Batin” itulah ucapan yang selalu diucapkan oleh orang
Melayu sempena menyambut hari raya Idulfitri. Malah ucapan itu kini telah diterjemahkan
dalam bentuk kad ucap selamat sejak awal Ramadan lagi. Budaya ini turut
dikongsi oleh umat Islam di Singapura sehingga ke hari ini.
Selain itu satu
lagi budaya yang boleh dimasukkan dalam kategori adat Melayu. Adat yang
dimaksudkan ialah bersalaman pada pagi hari raya. Acara ini bermula pada pagi
hari raya sebelum masing-masing menuju ke masjid untuk solat Idulfitri. Dalam
acara itu, anak-anak akan menghadap ibu bapa dan sebelum itu isteri menghadap
suami untuk melafazkan ucapan selamat. “Minta maaf banyak-banyak,” atau “minta
maaf zahir dan batin” itulah ucapan lazim yang dilafazkan setiap kali berjumpa
sanak saudara.
Saya tidak
pasti bagaimana masyarakat Islam di negara lain memulakan sambutan hari raya
mereka. Apakah dalam masyarakat mereka turut diadakan acara menghadap bapa,
memohon kemaafan yang dimulai oleh isteri. Setelah itu anak-anak akan bersalam
memohon kemaafan kepada bapa dan ibu. Mungkin keunikan adat ini hanya dimilik
oleh orang Melayu sahaja.
Persoalannya,
adakah adat ini boleh diteruskan atau dikembangkan kepada masyarakat lain?
Adakah adat ini sesuai dengan Islam?
Walaupun
adat dan budaya ini tidak dilakukan oleh Rasulullah dan Sahabat tetapi amalan
itu didapati tidak bercanggah dengan hukum Islam. Bahkan ada yang dianjurkan
oleh Islam. Antaranya Islam menganjurkan umat Islam saling bermaaf-maafan dan
saling bersalaman.
Daripada Abu
Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW pernah naik mimbar kemudian berkata: Amin,
Amin, Amin” Ditanyakan kepadanya: “Ya Rasulullah, engkau naik mimbar kemudian mengucapkan
Amin, Amin, Amin?” Beliau bersabda: “Sesungguhnya Jibril a.s datang kepadaku,
dia berkata: “Barang siapa yang memasuki bulan Ramadan tapi tidak diampuni
dosanya maka akan masuk neraka dan akan Allah jauhkan dia, katakan
“Amin”, maka akupun mengucapkan Amin….”
Maknanya
kalau seseorang ada dosa, dia perlu minta maaf dan kalau orang minta maaf, maka
kita harus memaafkannya. Cuma dalam hadis ini dianjurkan kita memohon keampunan
sebelum Ramadan.
Dalam hadis yang lain malaikat Jibril
berdoa: “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki
bulan Ramadan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: Tidak memohon maaf
terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); Tidak bermaafan
terlebih dahulu antara suami istri; Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan
orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah pun mengatakan Aamin sebanyak 3 kali.“
Berdasarkan
itu tidak salah bersalaman dan bermaafan pada pagi hari raya Idulfitri, dan
tidak salah juga selepas solat hari raya, sesama jemaah bersalaman dan memohon
kemaafaan. Tetapi janganlah jadikan amalan itu hanya bermusim sedangkan dosa
yang dilakukan adalah setiap hari. Ingatlah sifat orang mukmin ialah apabila
melakukan dosa segera meminta maaf, apatah lagi berdosa dengan Allah.
Selain acara
itu, ada lagi sahabat andai yang menjemput kawannya ke rumah mereka. Budaya ini
amat baik kerana saling ziarah menziarah ini boleh mengeratkan persaudaraan,
menghapuskan permusuhan dan dapat menjernihkan kehidupan yang kelam sebelumnya.
Cuma dalam hal adalah tidak digalakkan bersalaman antara lelaki dengan
perempuan yang bukan mahram.
Namun
begitu, berdasarkan hadis di atas alangkah baiknya kalau semua umat Islam
memulai pada Ramadan kali ini dengan bersalaman dan memohon kemaafan sesama
kita sebelum menjelang Ramadan. Dengan cara ini semua umat Islam dapat
melakukan puasa dalam keadaan tidak ada dosa. Bayangkan kalau semua umat Islam
dalam keadaan bersih, sudah tentu doa dan ibadahnya mudah diqabulkan.
3 ulasan:
Benar, memaafkan orang dan memohon maaf atas kesalahan dituntut, tetapi bukan dalam bulan syawal sahaja. bila bersalah wajib minta maaf. jangan tangguh ke hari raya baru nak minta maaf.
Cuma dalam artikel ini menyebut lebih baik sebelum masuk ramadan pastikan kita tidak berdosa dan perlulah minta maaf. dan tidak salah meminta maaf pada hari raya kerana kita selalu melakukan dosa.
Ustaz Baei, itulah yang pernah 'diperdebatkan' di al-Falaah skit masa dulu... saya tak setuju kita tangguh minta maaf pada hari raya saja, yang peliknya, ramai benar umat Melayu mohon maaf pada hari raya, minta halal makan minum bla bla bla... padahal, kita sendiri tak tahu bila ajal akan menjemput.
Maafkan saya ustaz, kekadang (sebenarnya, selalu juga) saya ini 'laser' dengan orang, harap-harap tiada yang mengguris perasaan ustaz...
Saya dah cuba kawal 'laser' saya di al-Falaah, tapi sukar juga, sebab saya dibesarkan agar berterus-terang. Memang pada sesetengah orang, kenyataan itu pahit, saya pun tak nafikan, kekadang pahit juga saya hendak terima buah fikiran orang lain. Betullah kata Nabi, lebih baik diam daripada menyakiti orang lain, tapi kalau kita tak sebut, macamana orang hendak tahu yang bukan setiap masa mereka itu betul...?
Susah juga ya ustaz...
Tugas kita menjelaskan apa yang kabur. di sinilah perlunya sabar dalam memahamkan orang yang tidak tahu.
Catat Ulasan