Ahmad Baei Jaafar
Imam al-Ghazali dalam
kitabnya, al-Ihya’ Ulumuddin, ada menyenaraikan beberapa tujuan berkahwin yang
antaranya menghilangkan tekanan perasaan terhadap wanita yang sentiasa datang
mengganggu di dalam ibadat. Dengan perkahwinan juga, seseorang itu dapat
memelihara diri daripada godaan syaitan yang akan membawa ke arah perkara yang
haram.
Berdasarkan itu amat wajar
setiap manusia berkahwin bagi menyelamatkan iman. Apatah lagi pasangan yang sedang
bercinta, segeralah berkahwin kerana mereka berdua terdedah kepada tekanan
tersebut. Pada masa yang sana ibu bapa yang mempunyai anak baik lelaki mahupun
perempuan, perhatikan keinginan mereka. Jika mereka sudah ada rasa keinginan
untuk berkahwin, lihatlah dengan serius apakah dia sudah benar-benar layak atau
tidak.
Jika mereka layak iaitu, ilmu
agamanya sudah matang, ada kemampuan yang boleh menjamin kehidupan mereka, maka
segerakanlah perkahwinan mereka sebelum terjadinya perzinaan. Sebaliknya jika
tidak layak atau belum layak bimbinglah mereka ke jalan yang betul dan
pantaulah pergerakan agar tidak melakukan perkara yang haram.
Sebenarnya hubungan lelaki
dengan perempuan perlu ada batas, bukan dilepas bebas sesuka hati mereka. Namun
begitu pemantauan ibu bapa janganlah sampai anak kita itu rasa takut ketika di
hadapannya, tetapi akan liar dengan gejala sihat di belakang kita. Inilah yang
kita bimbangkan.
Segera berkahwin
Setiap manusia perlukan pasangan
hidup. Adam yang diciptakan dan ditempatkan di dalam syurga setelah dimasukkan
nafsu, telah melahirkan rasa jemu hidup seorang diri, lalu meminta diadakan
pasangan untuknya. Itulah realiti lelaki dan wanita di muka bumi ini. Malah setelah
lelaki berusia baligh rasa inginkan wanita sudah mula berputik. Di sinilah
perlunya bantuan ibu bapa dalam memahami kehendak mereka.
Kalau mereka dilihat sudah layak
berkahwin, carilah calon yang sesuai dengan anak masing-masing. Mungkin ramai
yang dah lupa, dalam budaya masyarakat Melayu tahun sebelum 60-an urusan
mencari jodoh diserahkan kepada ibu bapa. Anak-anak ketika itu boleh menerima
cadangan dan rancangan ibu bapa mereka. Hal ini kerana peluang untuk mereka
mencari sendiri agak terhalang.
Kenapa tak percaya? Sebenarnya dahulu,
wanita banyak berada di rumah dan kalau mereka keluar rumah pun dalam keadaan
malu. Dalam keadaan itu tentulah sukar bagi lelaki untuk berkenalan dengan
wanita tersebut. Oleh sebab tidak tahu status sebenar wanita tersebut maka ibu
bapa perlu keluar merisik kalau-kalau anak perempuan itu masih belum berpunya.
Keadaan ini mungkin tidak jauh berbeza
dengan masyarakat lain. Khadijah sendiri yang dikatakan merisik Muhammad tetapi
hakikatnya masih melalui pembantunya Maisarah. Bagitu juga masyarakat India, terdapat
wakil pihak wanita yang merisik pihak lelaki.
Memilih calon yang syari’i
Dalam Islam perkahwinan mestilah
mengikut proses yang dibenarkan syariat. Walaupun zaman telah berubah,
pendekatan merisik orang orang tua masih releven. Oleh sebab itu tidak wajarlah
lelaki atau perempuan mencari calon sendiri. Selepas pikat seorang, pikat yang
lain pula kononya tidak sesuai. Akhirnya semuanya tidak jadi.
Islam menyediakan panduan yang tidak
rugi mereka yang mengikutnya. Dalam soal memilih calon Islam meletakkan keutamaan
kepada lelaki, namun tidak salah kalau perempuan yang meminati seseorang lelaki
menentukan calonnya. Walau apapun pilihan calon isteri atau suami hendaklah yang
menepati kehendak Allah dan Rasul.
Pemilihan ini penting kerana
hubungan yang serasi atau sekufu sahaja yang boleh menjadi rumah tangga yang
dibina itu sempurna sifat. Cuma persoalan sekarang bagaimana proses mencari?
Ya, kalau zaman dahulu ibu bapa yang mencari tetapi pada zaman ini, semuanya
sudah berubah, lelaki atau perempuan mencari sendiri pasangan mereka. Peranan
ibu bapa hanya pada pusingan terakhir. Jadi, hilanglah keberkatan.
Dalam hal ini Rasulullah memberi
panduan dalam memilih isteri. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dikahwini wanita itu (untukdijadikan isteri)
kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannyadan
agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat
beragama,nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jelas di sini lelaki boleh membuat pilihan malah itulah yang biasanya
menjadi pilihan lelaki iaitu, wanita ada duit, wanita yang berketurunan yang
baik-baik, wanita yang ada rupa dan wanita yang beragama. Cuma dalam hadis ini
Rasulullah mencadangkan agar lelaki itu lebih memilih yang bergama. Hal ini kerana
dengan memilih isteri yang beragama banyak urusan rumah tangga dapat dibantu
oleh isteri tersebut.
Tetapi apa yang sering berlaku pada hari ini, walaupun berkawan
dan bercinta bertahun-tahun belum boleh buat keputusan. Apabila dirasakan agak serasi barulah dia
menghantar wakil merisik. Agaknya apa yang hendak dirisikkan lagi sebab kenalan
mereka sudah lebih daripada merisik. Tegasnya soal agama tidak diberikan
perhatian langsung. Kesannya apabila berkahwin terbungkar segala rahsia yang
selama ini tidak dedahkan.
Sifat suami dan isteri
Sebenarnya perkahwinan yang
mengikut panduan Islam akan menserlahkan keindahan sesebuah kehidupan. Suami
dan isteri sudah tahu hak dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan dalam rumah
tangga. Masing-masing sudah tahu kekuatan dan kelemahan pasangan untuk saling
bekerjasama dalam membina rumah tangga bahagia.
Dalam hal ini isteri perlu tahu apakah hak suami yang
mesti dipatuhi oleh isteri. Sabda Rasulullah SAW:
حَقُّ الزَوْجِ عَلَى الْمَرْأَةِ أن لا
تَهْجُرْ فِرَاسَهُ وأن تَبِرَّ قِسْمَهُ وَأَن تُطِيعَ أمْرَهُ وَأَن لا تَخْرُجَ
الا بإذنه وان لا تُدخِلَ اليه من يَكْرَهُ.
Maksudnya: Hak suami yang mesti dipatuhi isteri
ialah; tidak meninggalkan tempat tidur suami, menerima seadanya pemberian suami,
mentaati perintah suami, meminta izin suami ketika hendak keluar rumah, dan tidak
membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam rumah. (Riwayat
al-Tabrani)
Pada masa yang sama suami perlu tahu apakah hak
isteri yang perlu diberi perhatian olehnya. Sabda Rasulullah SAW:
حَقُّ الْمَرْأَةِ
عَلَى زَوْجِ أن يُطْعِمَهَا اِذَا اَطْعَمَ وَيَكْسُوهَا إِذَا اكْتَسَى وَلا
يَضْرِبْ الوَجْهَ وَلا يُقَبِّحْ ولا يَهْجُرْ اِلاَّ فِى البَيتِ.
Maksudnya: Hak isteri yang wajib dijaga oleh suami
ialah memberi makan kepada isteri apabila dia makan, memberi pakaian kepadanya
apabila dia memakai pakaian, jangan memukul muka isteri, tidak menghina isteri,
dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah.
Jika suami isteri tahu peranan masing-masing tidak
akan berlaku pelanggaran peranan atau salah menyalah antara satu sama lain.
Pada masa yang sama ada rasa bersama dan bekerjasa dalam membina rumah tangga yang
harmoni.
Iman dan ibadah
Sebenarnya untuk menjadi pasangan
ini dapat menjaga semua kehendak Allah dan Rasul, perkahwinan itu mesti
diasaskan atas rasa keimanan yang mantap. Maknanya suami dan isteri benar-benar
takut kepada Allah dan mengharapkan reda-Nya. Suami yang beriman akan mendorong
dirinya untuk melakukan yang terbaik terhadap isterinya. Selain kuat ibadah
kepada Allah mereka tidak akan menganiayai isterinya sebaliknya terus
membimbing isteri ke arah kebaikan.
Suami yang beriman akan
mendorong isterinya untuk melakukan ibadah bersama apatah lagi solat fardu.
Dengan hubungan baik itulah syaitan rasa kecewa kerana peluang untuk menggoda
pasangan itu agak tipis. Ruang untuk mengajak mereka melakukan maksiat sudah
semakin sukar. Oleh sebab itu kalau mereka boleh istiqamah dengan cara ini
hidup mereka akan bahagia selama-lamanya.
Selain itu, isteri yang boleh reda
dengan didikan suami dan sanggup mengikut kehendak suami itulah hakikat bahawa
isteri tahu peranan dan tanggungjawabnya. Tetapi kedudukan isteri ini harus
selalu dikawal kerana syaitan sentiasa mencari peluang untuk merosakkan rumah
tangga yang bahagia.
Sebenarnya, pasangan yang
bahagia pada awal perkahwinan ada jaminan untuk bahagia hingga ke akhir hayat
nanti. Demikian jika hubungan suami dan isteri itu dapat dikukuhkan dan dapat
ditingkatkan iman dan taqwa. Walau bagaimanapun hasil pengalaman yang lampau
banyak menyedarkan saya bahawa kebahagiaan rumah tangga tidak terhasil dengan
lakonan.
Jadi, binalah perkahwinan di
atas asas iman dan taqwa agar nanti setiap perjalanan hidup dalam bantuan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan