27 Januari 2010

Tindakan anda jangan malukan Islam

Ahmad Baei Jaafar

Isu kepala babi dalam masjid, isu menghina sultan, isu bakar gereja dan sekolah adalah isu yang sangat sensitif pada masa ini. Sehingga ke hari ini kita tidak tahu siapa sebenarnya ampunya angkara. Walaupun sesetengahnya sudah ada tangkapan tetapi kita tidak tahu indentiti mereka sebenarnya. Polis masih merahsiakannya kerana masih dalam siasatan.

Sebenarnya perkara ini boleh dilakukan oleh siapa saja sama ada orang Melayu, atau India, atau Cina, orang tua, orang muda, bahkan kanak-kanak. Pastinya manusia bukan binatang dan bukan jin. Kita juga tidak tahu motifnya, adakah kerana balas dendam, atau sengaja ada pihak nak jolok sarang tebuan, ataupun sengaja membaling batu sembunyi tangan.

Tanda tanya ini kita serah kepada pihak berkuasa menyelesaikannya. Kita tiada jawapan dan tidak boleh menuduh siapa yang bertanggungjawab. Tunggulah dahulu siasatan dan perbicaraan mereka di mahkamah.

Tetapi tahukah anda bahawa perbuatan mereka yang terlibat itu sangat menyusahkan orang lain. Tindakan mereka mencetuskan sangkaan buruk sesetengah pihak terhadap Islam walaupun bukan angkaran orang Islam.

Berdasarkan itu, saya menyeru kepada semua orang Melayu dan seluruh orang Islam hindarilah daripada kerja yang sia-sia apatah lagi yang melanggar undang-undang Negara dan Islam. Ketahuilah di saat ini kalau kita membuat satu kesalahan, orang ramai malah dunia akan salahkan Islam. Mereka tidak salahkan individu yang terlibat.

Oleh sebab itu, setiap yang terlintas di dalam hati, fikirkan risikonya. Kalau risikonya hanya kita seorang diri tidak mengapa, tetapi lazimnya kesalahan kita akan menjejaskan nama baik ibu bapanya, nama baik bangsanya, nama baik pemimpinnya dan nama baik agamanya. Percayalah setiap kesalahan kita, ramai orang mendapat malu. Dan apabila Islam dipandang hina kerana perbuatan kita, tentulah kesalahannya sukar diampunkan.

Jadi, berhati-hatilah selepas ini setiap apa yang anda fikirkan.

26 Januari 2010

Solusi isu 16 akan menemui anda menjelang Februari


Akhir-akhir ini banyak dipaparkan berita ibu bapa terbiar bahkan ada anak-anak meninggalkan bapanya di hospital, tepi jalan, dan masjid. Lebih teruk daripada itu, anak sanggup membunuh ayah, keluarga dan datuk sendiri. Mengapa keadaan ini boleh berlaku?

Kita sering melabelkan anak itu sebagai derhaka, tetapi tahukah anda kenapa anak-anak itu boleh jadi derhaka. Kita perlu ingat, kadang-kadang perbuatan anak adalah hasil didikan bapanya. Jadi, untuk menyalahkan anak semata-mata tentu tidak adil. Boleh jadi dalam kes seperti ini bapa sendiri yang derhaka kepada anaknya.

Solusi isu 16 ini cuba mengupas isu ini. Anda sebagai bapa dan anda sebagai anak patut memiliki Solusi keluaran ini demi mengelak perkara ini berulang dalam keluarga anda.

Dapatkan di pasaran pada akhir bulan ini atau terus melanggan dengan kami.

Wang ihsan kenapa ditolak Kerajaan Kelantan

Ahmad Baei Jaafar

Berdasarkan berita tv semalam, iaitu hasil daripada Kerajaan Kelantan menolak cadangan kerajaan pusat untuk melantik wakil kerajaan dalam jawatankuasa perundingan wang ihsan, rakyat Kelantan menggesa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertimbangkan semula penolakan itu.

Saya mendengar dengan penuh teliti kata-kata beberapa orang yang ditemubual bagi menyokong berita tersebut. Kata mereka, Menteri Besar patut pertimbangkan semula penolokan itu demi rakyat. "Rakyat miskin perlukan wang ihsan itu, dia dah ada gaji tak mengapalah," kata seorang wanita 60-an.
"Ketepikan soal politik, sebab wang ihsan ini akan diberi sama rata kepada rakyat tanpa mengira parti Pas atau Umno," kata seorang lelaki 60-an.

Ada juga yang berkata, wang ihsan untuk rakyat Kelantan kenapa pula hendak disekat. Kata-kata ini sudah tentu merujuk kepada tindakan kerajaan Kelantan itu sebagai menyekat kemasukan wang ihsan.

Saya tidak pasti sama ada ucapan itu sudah diset oleh wartawan atau idea mereka sendiri. Kalau ucapan itu datang daripada mereka sendiri, adalah mereka mewakili seluruh rakyat Kelantan. Hal ini kerana mengikut laporan berita tv itu pandangan tersebut sebagai mewakili hampir keseluruhan rakyat Kelantan.

Kalau jawapan itu sudah diset begitu, berita ini secara tidak langsung mendedahkan ketidakcerdikan orang Kelantan kerana jawapan itu menunjukkan mereka sendiri tidak tahu hakikat wang ihsan. Lebih malang lagi kalau jawapan itu diajar oleh orang politik, maka rakyat menjadi mangsa politik mereka. Sepatutnya mereka dijelaskan terlebih dahulu konsep wang ihsan dan bagaimana akan diagihkan.

Saya percaya ramai lagi yang ditemubual, tetapi jawapan mereka mungkin tidak mahu dipimpin maka sebab itu suara mereka tidak disiarkan. Orang Kelantan yang saya kenal, mereka bijak berfikir maka tidak mungkin akan memberi jawapan seperti di atas. Sebaliknya mereka akan melihat isu yang diperbincangkan.

Dijelaskan di sini, wang ihsan seperti yang dijanjikan Kerajaan Pusat tetap akan sampai ke negeri Kelantan sama ada dipersetujui Kerajaan Kelantan atau tidak. Kemudian penubuhan jawatankuasa perundingan wang ihsan sama ada disertai oleh Kerajaan Kelantan atau tidak, wang ihsan akan tetap sampai ke Kelantan.

Pada saya Kerajaan Kelantan menolak tawaran itu mungkin kerana dua sebab ; pertama walaupun kerajaan menyertainya wang ihsan akan disalurkan seperti yang dirancang oleh kerajaan pusat; kedua dengan menyertai jawatan kuasa itu bererti kerajaan negeri menerima konsep wang ihsan tajaan kerajaan pusat. Ini bermakna, rancangan saman kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat terpaksa dihentikan.

Sebenarnya, wang ihsan akan diberikan kepada Ketua Bahagian Umno seluruh Kelantan. Merekalah yang akan mengagihkan wang itu mengikut perancangan yang ada. Namun wang itu tidaklah diberi kepada individu sebaliknya melalui projek Kerajaan Pusat.

Berdasarkan itu, rakyat Kelantan sama ada yang bercakap dalam tv atau yang mendengarnya tetap tidak akan mendapat wang ihsan. Maknanya sama ada kerajaan Kelantan bersetuju atau tidak, rakyat Kelantan tidak akan merasai wang itu kecuali dalam bentuk projek seperti jalan, bangunan dewan dan sebagainya.

Dalam hal ini rakyat Kelantan yang bercakap dalam tv itu harus diberitahu hakikat wang ihsan ini dan perbezaannya dengan wang royalti yang diminta oleh Kerajaan Kelantan. Jika kerajaan memperolehi royalti, wang itu akan dimasukkan dalam tabung negeri. Maka kerajaan negeri akan menggunakan wang itu untuk projek kerajaan negeri secara lebih tersusun.

Saya melihat isu ini berlanjutan hanya kerana mainan politik yang tidak bijak. Kerajaan pusat boleh terus menggunakan istilah wang ihsan tetapi konsepnya perlu diubah iaitu wang itu hendak dimasukkan dalam tabung kerajaan negeri. Dengan cara ini kerajaan pusat akan lebih dilihat mementingkan rakyat daripada politik sesuai dengan falsafahnya, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Saya yakin kalau Kerajaan Pusat sanggup berbuat begitu, seluruh rakyat Malaysia akan hormat dan bangga terhadap Perdana Menteri dan pada masa yang sama Kerajaan Kelantan akan hentikan usaha menyaman Kerajaan Pusat. Hal ini kerana wang ihsan dan royalti adalah sama.

23 Januari 2010

Fahami yang tersirat dalam hati suami

Ahmad Baei Jaafar

Berapa tahun anda mendirikan rumah tangga? Ada yang kita temui mengakui sudah bertahun-tahun bersama suami, tetapi ada yang masih tidak mengenali hati budi suami masing-masing. Kalau yang baru berkahwin tidak menjadi masalah kerana mereka baru hendak mengenali hati masing-masing. Namun kadang-kadang mereka tidak mengambil kesempatan pada masa itu untuk mengenali satu sama lain.

Sebelum ini saya pernah mencadangkan kepada setiap pasangan yang baru berkahwin agar menulis dan menyenaraikan apakah yang digemari pasangan, dan yang dibencinya. Apabila sudah mengenali kegemaran dan kebencian pasangan, carilah jalan tengah supaya masing-masing boleh menerima seadanya.

Walau bagaimanapun bagi mereka yang tidak sempat melakukan semua itu pada awal perkahwinan, mereka boleh belajar untuk memahami sikap suami dan isteri dalam pergaulan harian. Dalam ruang yang terbatas ini saya akan menjelaskan bagaimana untuk mengenali hati dan sikap pasangan.

Perhatikan sikap dalam jadual di bawah, jika masalah anda sama dengannya, bertindakkah seperti yang dicadangkan di situ.

Bil

Sikap Suami

Maksud Tersirat

Tindakan

1

Memuji masakan isteri

Dia suka dengan masakan dan rasanya sesuai dengan cita rasanya.

Ambil perhatian dan ingat risipi itu untuk masakan akan datang.

2

Memuji masakan orang lain

Dia memang suka masakan itu dan dia mahu isterinya belajar masakan seperti itu.

Ambil tindakan segera untuk belajar risipi tersebut.

3

Memuji pakaian seseorang wanita

Dia mahu isterinya pakai pakaian seperti itu dan bersedia membantu isterinya ke arah itu.

Isteri perlu tanya pandangan suaminya secara ikhlas.

4

Memuji seorang wanita

Dia mahu isterinya bersikap seperti wanita itu sama ada akhlaknya atau carnya bergaul dengan suaminya.

Isteri perlu mengkaji apa yang istimewa pada wanita itu dan cuba mencontohi.

5

Suami selalu bercakap tentang masalah rumah tangga orang lain.

Dia mahu isteri ambil iktibar agar tidak mengulangi sikap isteri yang bermasalah itu.

Isteri perlu selidik mengapa mereka bergaduh.

6

Suami suka bercakap tentang sebab-sebab keluarga jirannya berpoligami.

Dia mahu isterinya pandai menjaganya, jangan jadi macam jiranya. Kalau tidak, dia akan merima nasib yang sama.

Isteri perlu membuat kajian mengapa boleh berlaku poligami dan cuba membendung dalam pergaulannya.

7

Suami suka mengambil sikap berdiam diri daripada bercakap banyak.

Dia mahu isteri ambil perlu bercakap dengannya dan mahu dilayan dan dimanjai

Isteri perlu mengambil tindak mengubah cara hidup dan pergaulannya selama ini.

8

Suami mengajak isteri mengurut belakangnya.

Dia mahu bermanja dengan isterinya.

Segeralah masuk ke dalam bilik dan mengemas bilik tidur.

9

Suami masuk tidur awal

Dia mahu mengajak isterinya masuk bersama untuk tidur.

Hentikan segala urusan dan memberi perhatian kepada suami.

10

Suami membawa balik makanan yang dibeli di luar.

Suami mahu mengucapkan terima kasih kepada isteri yang selalu memasak untuknya.

Isteri perlu mengucap terima kasih dan memberi layanan yang baik kepada suaminya.

Paparan ini adalah pandangan peribadi saya hasil pengalaman dan kajian secara rawak dalam kalangan umat Islam. Lazimnya isteri tidak faham maksud itu, lalu bertindak sebalik sehingga berlaku pergaduhan antara suami dan isteri. Contoh yang paling dekat ialah no 6, apabila suami berbuat begitu, isteri mensyakki sesuatu terhadap suaminya. Dia segera mengenakan syarat yang berbagai-bagai.

Suami sebenarnya tidak mahu poligami tetapi kadang-kadang sikap isteri itu seperti mendoakan pula. Akhirnya suaminya kahwin lain. Jadi, betulkan sikap isteri demi menjaga keharmonian rumah tangga.

19 Januari 2010

Ciri-ciri wanita yang paling baik

Ahmad Baei Jaafar

Kekuatan lelaki bergantung kepada wanita yang baik. Sebaliknya wanita yang jahat boleh merosakkan masa depan lelaki. Kenyataan ini mungkin tidak disenangi oleh baik lelaki mahupun wanita. Tapi kenyataan itu boleh dibuktikan seperti berikut:

Bil

Wanita

Lelaki

1

Isteri sambut kepulangan suami dengan senyuman

Masalah suami di pejabat hilang serta merta, hati gembira melihat keadaan isteri

2

Isteri menyediakan air minuman untuk meredakan kepenatan suami

Suami terhibur dengan layanan isteri, kepenatan menempuh jalan jem sudah terbalas

3

Isteri menyediakan kain tuala dan berus gigi untuk suami mandi sebelum solat maghrib

Suami mandi dan tubuhnya kembali segar sebelum menghadap Allah

4

Isteri siapkan tempat tidur untuk suami berihat selepas solat isya’

Jiwa suami tenang sambil merihatkan minda dan tenaga.

5

Isteri menemani suami menjelang tidur dengan perbualan yang menghiburkan

Suami beroleh tenaga baru kerana mendapat aura isteri

6

Isteri siapkan pakaian untuk kerja dan menghidangkan sarapan pagi

Suami pergi kerja dalam keadaan jiwa yang tenang dan terhibur

7

Isteri menjaga diri, maruah diri, dan menjaga harta dan anak suami

Suami dalam perjalanan ke tempat kerja penuh keyakinan dan dapat bekerja yang penuh ikhlas

Inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. tentang sifat dan sikap sebaik-baik wanita atau isteri. Sabda Rasulullah s.a.w:

وَخَيرُ النِّسَاءِ مَنْ تَسُرُّكَ إِذَا أَبْصَرْتَ وَتَطِيعُكَ إِذَا أَمَرْتَ وَتَحْفَظُ غَيْبَكَ فِى نَفْسِهَا وَمَالِكَ

Hadis riwayat Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim ini bermaksud: “Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu.

Lihatlah betapa cerianya suami ketika pulang dari tempat kerja. Keadaan itu berterusan sehingga suami tidur dan bangun semula. Suami tidak mengharapkan sesuatu daripada isterinya kecuali belaian kasih dan manja sepanjang masa.

Sebaliknya jika isteri jahat, iaitu tidak mengikut panduan di atas, maka suami akan berhadapan dengan tekanan perasaan. Perhatikan contoh berikut:

Bil

Isteri

Suami

1

Isteri menyembut kepulangan suami dengan pelbagai soalan perangkap

Suami yang hendak masuk rumah berkira-kira untuk keluar rumah semula, masalah menjadi bertambah berat

2

Isteri sebuk di dapur untuk membuat makan malam, tidak bertanya khabar

Suami yang dahaga ke dapur untuk mengambil sendiri air minuman

3

Waktu malam isteri asyik menonton tv

Suami juga menonton tv tanpa berbual

4

Isteri tertidur di hadapan tv

Suami sabar menunggu ditemani isteri di atas katil

5

Isteri menghantar suami di hadapan pintu tanpa memohon maaf kerana tidak berasa bersalah kepada suami

Suami pergi kerja dalam keadaan tidak ceria dan terbuku pelbagai persoalan yang belum terjawab

6

Isteri tidak menjaga maruah diri dan harta suami diperlakukan sesuka hati.

Suami yang berada di tempat kerja penuh kebimbangan.

Isteri yang tidak dapat melakukan perkara yang disebut dalam hadis di atas, adalah dikira sejahat-jahat isteri. Dia telah merosakkan masa depan suaminya; suami tidak beroleh pahala malah boleh jadi berdosa. Menyedari keadaan ini, seseorang isteri harus melatihkan diri ke arah menjadi wanita yang terbaik. Semoga kehidupan mereka nanti terarah ke arah yang dikehendaki Islam.

12 Januari 2010

Perkara penting untuk pengetahuan pengantin

Ahmad baei jaafar

Pasangan yang hendak berkahwin harus mengetahui perkara yang dipandang remeh, tetapi amat besar maknanya. Perkara di bawah adalah berdasarkan pengalaman bagi membantu membina rumah tangga bahagia.

1. Tujuan berkahwin, apa yang kamu niatkan?

- Bagi lelaki, untuk mendapatkan sesuatu yang tidak boleh diperoleh di luar perkahwinan.

- Kasih sayang dan belaian manja dari seorang perempuan.

- Bagi wanita, untuk mendapat perlindungan dari seorang yang bergelar lelaki atau suami.

2. Apakah kewajipan suami?

- Memberi nafkah – makan – pakaian – tempat tinggal

- Mendidik isteri – sejak awal perkahwinan.

3. Apakah hak isteri?

- Taat suami kecuali perkara yang bertentangan dengan syarak

- Hormati suami dan keluarga suami.

4. Apakah isteri wajib masak dan membasuh?

Pada dasarnya bukan kewajipan isteri tetapi kalau suami minta masuk atau membasuh dia wajib taat.

Kalaulah suami tidak suruh masak dan tidak suruh membasuh, dia seharusnya memasak kerana menghormati suami yang baru balik kerja. Dia juga seharusnya membasuh baju suami kerana menghormati suami yang pakaiannya kotor.

Sebenarnya isteri yang baik dia tidak mempertikaikan tentang urusan basuh dan masak itu kerana kedua-dua kerja itu adalah fitrah bagi seorang wanita.

5. Apakah persiapan awal suami isteri sebelum dan selepas kahwin?

- Kuatkan iman, taqwa dan ilmu agama

- Mengenali hati budi pasangan

- Mengetahui kesukaan dan kebencian pasangan

- Hindari kebencian pasangan

Formula menyelesaikan masalah rumah tangga

Bil

Masalah

Penyelesaian

1

Bila banyak urusan tidak menjadi, walaupun sudah diusahakan masih gagal.

Nilai hubungan kita dengan Allah, solat dan ibadah lain mungkin tidak diterima Allah.

2

Suami isteri mula renggang, suka bergaduh

Nilai semula solat suami dan solat isteri mungkin ada yang cuai atau tidak melakukan solat.

3

Suami isteri dilihat tidak mesra dengan anak-anak.

Lihatlah, mungkin suami dan isteri tidak mesra di atas katil.

4

Isteri rasa tak senang hati terhadap suami

Lihatlah mungkin suami buat dosa di luar rumah, buat maksiat. Perlulah bertaubat segera.

5

Suami rasa kurang selesa dengan isteri

Lihatlah mungkin isteri melakukan dosa di luar rumah. Bertaubatlah segera.

6

Bila anak tidak taat kepada ibu bapa

Lihatlah mungkin suami isteri ada masalah yang tidak diselesaikan, apatah lagi dosa dengan Allah.

7

Bila anak buat dosa di luar rumah

Ibu bapa/suami isteri tidak mendidik anak cara yang betul.


09 Januari 2010

Demonstrasi kerana agama atau politik?

Ahmad Baei Jaafar

Pada awal Jumaat ini kita dikejutkan dengan berita sebuah gereja dibaling dengan bom petrol hingga mengakibatkan tingkat bawahnya terbakar. Manakala dua lagi gereja di Lembah Kelang dipercayai turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam lalu.

Angkara siapa, masih disiasat oleh polis Malaysia yang terkenal antara yang tercekap di dunia. Kita percaya pengkhianat itu akan dapat dikesan dalam masa yang terdekat. Kalau baru-baru ini pembunuh empat sekeluarga yang paling ngeri dapat dikesan dengan pantas, apalah susahnya untuk dikesan penceroboh geraja ini.

Tetapi tidak tahulah kalau semua ini dikerjakan oleh pihak tertentu yang “membaling batu sembunyi tangan”. Lebih malang lagi kalau dilakukan oleh orang politik. Kalau begitulah kedudukannya, pencerobohnya sukar dicari. Itulah realitinya kalau melibatkan orang politik.

Manakala di sebelah petang pula beberapa ratus umat Islam menyertai demonstrasi di Masjid Negara selepas solat Jumaat. Tujuan perhimpunan itu adalah kerana membantah penggunaan perkataan Allah dalam majalah mingguan Herald di Sabah.

Perhimpunan yang sama di adakan di Masjid Jamik Kampung Baru dan Masjid Negeri Shah Alam. Penyertaan di tiga tempat tersebut melibatkan ahli beberapa pertubuhan Melayu tanpa mengira fahaman politik.

Cuma yang menimbulkan persoalan dalam fikiran saya, adakah perhimpunan itu kerana agama atau politik. Adakah peserta yang terlibat itu tahu bahawa perjumpaan itu ada kepentingan agama? Mereka tahukah adab-adab agama dalam berhadapan dengan agama lain?

Mungkin mereka sedar bahawa demonstrasi tersebut adalah untuk membantah penggunaan perkataan Allah di penerbitan Katholik. Tetapi sebagai orang Islam adakah kita sudah menggunakan perkataan Allah sepenuhnya? Sejauh mana kita telah mengagungkan perkataan Allah dalam penerbitan kita? Malah ada dalam kalangan orang Melayu yang tidak mahu menggunakan perkataan Allah atas alasan hendak menarik orang bukan Islam kepadanya.

Kalau kita tidak mahu menggunakan perkataan Allah, mengapa pula kita hendak halang orang bukan Islam menggunakannya. Sepatutnya kita mengajak orang bukan terutama orang Kristian agar menggunakan perkataan Allah dengan betul. Mereka perlu dijelaskan bahawa Allah dalam Islam perlu diiktiraf dan diyakini sama oleh Kristian, iaitu Allah tuhan yang esa.

Sebenarnya Allah ialah Tuhan sekelian Alam, Tuhan semua makhluk termasuk binatang dan tumbuh-tumbuhan. Allah Tuhan semua manusia malah Dia yang menjadikan semua makhluk ini. Hakikatnya, orang bukan Islam mengakui bahawa alam dan makhluk ini diciptakan oleh Allah, tetapi mereka tidak mengiktiraf Allah sebagai Tuhan.

Berdemonstrasi membakar perasaan, menjerit di sana sini, tidak memberi kesan kepada orang yang kita tentang itu. Kenapa tidak ada pendekatan berbincang, bermuzakarah, berdialog dengan mereka? Inilah peluang yang tidak pernah diambil oleh orang Islam.

Tetapi tidak tahulah kalau niat demonstrasi ini ada kepentingan politik. Kalau itulah yang berlaku, saya bimbang banyak pihak yang terperangkap dengan agenda sempit itu. Ramai yang menyokong atau membantah perkara tersebut bukan untuk mempertahankan Islam tetapi untuk kepentingan politik tertentu. Sudah tentu tiada nilai pahala untuk mereka.

Sebenarnya cara penentangan dalam demonstrasi itu secara tidak langsung akan merenggakan hubungan rapat orang Islam dengan orang bukan Islam. Keyakinan orang bukan Islam kepada mereka nanti akan berkurangan. Malah paling membimbangkan, mereka akan memerangi orang Islam pula.

Jadi, berhati-hati dalam menyertai demonstrasi dalam sesuatu isu yang diangkat. Islam mempunyai cara yang lebih baik dalam mengatasi isu yang ditimbulkan. Ingatlah orang bukan Islam bukan musuh Islam kecuali mereka yang benar-benar menentang Islam. Oleh sebab itu berkawanlah dengan orang bukan Islam dan dekati mereka demi kebaikan ummah.

05 Januari 2010

Mengapa Perkataan Allah penting kepada Kristian?

Ahmad Baei Jaafar

Setelah sekian lama penganut Kristian di Sabah dan Sarawak diperkenalkan perkataan Allah melalui majalah mingguan Herald, baru Kerajaan Persekutuan sedar dan segera mengharamkan pengguna perkataan itu awal tahun lalu. Namun, pada 16 Feb 2009, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram.

Hampir setahun isu itu berjalan melalui proses undang-undang, namun umat Islam termasuk pemimpin negara tidak berbuat apa-apa. Barangkali benarlah kata Tun Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri bahawa orang Melayu mudah lupa. Tetapi apabila Hakim Datuk Lau Bee Lan memutuskan, Herald berhak menggunakan perkataan itu, sekali lagi umat Islam bangun membantah.

Entah sampai bila umat Islam dan pemimpinnya mahu bersikap begitu. Hari ini kita lihat mereka bersemangat menentang, tetapi setelah isu itu diredakan dengan penangguhan pelaksanaan, umat Islam kembali tidur semula. Isu itu dilupakan seketika tanpa melakukan apa-apa tindakan susulan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menggunakan peruntukan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, untuk membenarkan Herald menggunakan perkataan Allah bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian.

Menurutnya berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan "Allah" untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Mereka sedar, penggunaan perkataan Allah untuk menyebarkan agama kepada orang Islam satu kesalahan, tetapi apa jaminan perkataan itu tidak disalahgunakan? Kalau perkataan Allah untuk tujuan keagamaan, apakah Kristian mengiktiraf Allah sebagai tuhan?

Perlembagaan Persekutuan
Keputusan hakim dalam kes di atas berdasarkan Perkara 11 dan 12 perlembagaan. Persoalannya, tepat atau tidak keputusan itu? Tetapi sejauhmana umat Islam di negara ini memahami peruntukkan Perkara 11 dan 12 itu? Barangkali ramai yang tidak sedar kepentingannya untuk umat Islam?

Maka di kesempatan ini saya mengajak anda untuk memahami peruntukan Perkara 11 dan 12 sekali gus menjawab persoalan mengenai isu perkataan Allah. Di sini saya bentangkan dua Perkara tersebut sepenuhnya.

Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.
(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak:
(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.
Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.
(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir:
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).
(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.
(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Huraian
Perkara 11(1) membenarkan semua rakyat Malaysia menganuti dan mengamalkan agamanya. Rakyat Malaysia dibenarkan menganut agama yang dia kehendaki dan yakini dan mereka boleh mengamalkan ajaran agamanya. Maknanya apa sahaja yang ada dalam ajaran agama boleh diamalkan tanpa ragu dan bimbang.

Umat Islam yang tidak memahami mesej peruntukan ini tidak sanggup mengamalkan ajaran Islam dan tidak mahu mengamalkan ajarannya sepenuhnya. Malah ada yang takut hendak melakukan ajaran Islam secara berterus terang. Berbeza dengan penganut Kristian mereka berani mengambil peluang itu. Malah yang bukan termasuk dalam ajarannya juga dimasukkan sebagai ajarannya.

Dalam agama Kristian, Allah tidak diiktiraf sebagai Tuhan sebaliknya terdapat tiga tuhan, tetapi dalam konteks Sabah dan Sarawak mereka memasukkan perkataan Allah sebagai Tuhan mereka. Jelas di sini, penggunaan perkataan Allah bagi mereka adalah bertentangan dengan Perkara 11(1).

Manakala Perkara 11(4) memberi hak kepada kerajaan negeri menyekat atau mengawal apa-apa ajaran atau doktrin dalam kalangan umat Islam. Maknanya kerajaan negeri boleh menyekat penyebaran ajaran sesat dan mengawal umat Islam agar tidak terpengaruh dengan ajaran sesat itu.

Melalui perkara ini juga kerajaan negeri boleh menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam. Maka dengan peruntukan ini umat Islam akan selamat daripada pengaruh ajaran agama lain apatah lagi ajaran sesat. Namun dalam keadaan itupun ramai juga umat Islam yang tersesat dalam beragama. Bayangkan kalau tiada peruntukan itu langsung, akan lebih ramai umat Islam yang tersesat.

Perkara 12 tidak membenarkan ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, bangsa dan sebagainya. Mereka diberi hak yang sama dalam pendidikan. Malah perkara 12(2) membenarkan mereka menubuhkan badan agama, sekolah dan sebagainya.

Walau bagaimanapun peruntukan itu membenarkan kerajaan negeri menubuhkan institusi dan badan Islam untuk umat Islam di samping usaha individu ke arah yang sama. Peruntukan ini adalah sesuai dengan Islam adalah agama persekutuan.

Melihat kepada peruntukan ini, sepatutnya umat Islam negara ini lebih maju dalam agama dan lain. Kita boleh buat apa sahaja untuk Islam dan umatnya. Tetapi sayang, peluang ini tidak diambil sepenuhnya oleh umat Islam, sebaliknya orang bukan Islam berlumba-lumba memajukan agamanya walaupun jelas tidak ada dalam agama mereka yang asal.

Sedarlah umat Islam, bangunlah daripada tidur yang panjang. Kita tidak perlu halang orang lain beragama tetapi kita sendiri harus tingkatkan iman dan amal dalam beragama.