26 September 2010

Wang syubahat harus dimanfaat umat Islam

Ahmad Baei Jaafar

An-Nu’man bin Basyir berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat/samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rusak, maka seluruh tubuh itu pun rusak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.’” (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w. secara jelas bersabda yang bermaksud: “Yang halal itu jelas, yang haram juga jelas, antara keduanya kesamaran hukumnya. Yang kesamaran inilah yang kebanyakan umat Islam tidak tahu. Kesan daripada tidak tahu itu, ramai umat Islam yang terbabas. Lalu tidak rasa bersalah mengambilnya setiap hari.

Tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan kesamaran itu? Untuk mudah difahami saya datangkan beberapa contoh di sini untuk perbandingan:

  • Beras jelas halalnya. Tetapi beras itu dimasak oleh orang bukan Islam yang kita tidak pasti proses membasuh dan memasak mengikut panduan Islam atau tidak. Begitu juga dengan ayam yang telah disembelih oleh orang Islam, tetapi kari yang masak oleh orang bukan Islam, kita tidak pasti sama ada mengikut proses yang betul atau tidak. Jadi, kalau kita makan nasi dan kari yang disediakan oleh orang bukan Islam itu termasuk dalam kesamaran atau syubahat. Maknanya nak kata halal tidak pasti, nak kata haram pun tidak pasti. Namun jika kita maka, kita berada dalam keadaan membimbangkan, takut-takut terjerumus dalam kancah haram.
  • Gula, tepung dan segala yang dijual di kedai runcit (pasar mini dan sebagainya) jelas halalnya. Pada masa yang sama, kedai tersebut turut menjual arak, daging babi, dan judi. Perkara itu jelas haramnya. Hasil jualan itu dimasukkan sekali dalam satu tempat untuk dijumlahkan. Setelah ditolak modalnya, 10 peratus daripadanya adalah keuntungannya. Keuntungan yang terkumpul sebulan itu diagihkan kepada pekerjanya sebagai gaji. Gaji yang mereka dapat itu adalah hasil yang dicampurkan bahan halal dan haram. Pada gaji itu tidak dapat dijelaskan mana yang halal dan mana yang haram. Itulah yang dimaksudkan syubahat atau kesamaran itu.
  • Pegawai atau kaki tangan kerajaan atau swasta, mendapat gaji bulanan berdasarkan hasil yang diperoleh orang kerajaan atau swasta. Apakah hasil kerajaan? Segala jenis cukai yang dipungut daripada rakyat, pendapatan daripada sewaan peniaga dan pelabur, juga hasil cukai judi, arak, dan rokok. Daripada wang itulah digunakan untuk pembangunan kerajaan dan membayar gaji. Di mana bahagian manakah gaji anda itu halal dan mana pula yang haram? Tidak dapat dipisahkan lagi. Itulah yang dikatakan syubuhat.

Dalam keadaan itu ada ulama yang menyatakan harus menggunakan wang itu kerana tidak jelas halal dan haramnya. Perlu diingat, harus bukan bermakna halal. Akan tetapi kalau jelas wang gaji itu diambil daripada wang haram seperti pekerja di kilang buat arak, jelaslah gajinya haram bukan syubahat lagi.

Walau bagaimanapun berdasarkan hadis di atas, rasulullah mengingatkan kita bahawa orang yang terlibat dengan syubahat ini sama seperti mengembala kambing di tanah lapang yang berhampiran dengan kawasan larangan. Kalau dia terleka, pasti kambing itu akan masuk kawasan larangan itu. Ertinya, lebih baik tidak terlibat dalam kancah syubahat.

Mereka yang terlibat dengan gaji syubahat ini perlu banyak buat kebajikan selain bertaubat, semoga dengan itu Allah ampunkan dosa syubahat itu. Kalau tidak wang gaji mereka tidak berkat walaupun belum masuk dalam kategori haram.

Hukum wang syubahat yang dibincangkan ini agak berlainan dengan wang kebajikan yang disumbangkan oleh individu atau kerajaan kepada orang susah atau rumah kebajikan. Untuk lebih jelas saya datangkan beberapa contoh:

1. Saya ada wang riba, kalau saya maka pasti haram. Tapi kalau wang itu digunakan untuk bina tandas awam atau rumah kebajikan, bangunan yang dibangunkan itu adalah halal. Namun penderma itu tidak mendapat pahala sedekah.

2. Saya mendapat wang rasuah, wang itu haram dimakan oleh saya dan keluarga saya. Saya berikan wang itu kepada baitulmal. Baitulmal dengan kuasa yang ada, diberikan wang itu kepada rumah kebajikan atau golongan yang memerlukan seperti warga emas, ibu tunggal dan sebagainya. Wang yang mereka terima itu sudah bertukar menjadi halal.

3. Seorang hamba Allah beli tiket lotri lalu dia memenangi RM1Juta. Dia tidak mahu guna wang itu kerana menyedari wang itu haram. Lalu dia agihkan wang itu secara sendiri kepada warga emas dan seumpamanya dengan seorang mendapat RM500. Warga emas itu boleh guna malah untuk membeli makanan kerana wang itu sudah bertukar menjadi halal bagi mereka. Walaupun hamba Allah itu tidak beroleh pahala sedekah, namun perbuatannya telah memberi kelegaan kepada warga emas itu. Semoga Allah nilai juga kerja dan niat baiknya itu.

Umat Islam yang menyimpan wang haram harus bertindak seperti ini bagi membersihkan diri kita daripada terus berdosa. Walau bagaimanapun saya percaya sudah ramai umat Islam yang tidak terlibat dalam perkara haram secara sedar. Tetapi yang tidak sedar itulah yang perlu diambil kira. Wang itu perlu diserahkan kepada baitulmal atau pejabat zakat.

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...