Bahagian kedua
(Abaikan Syariat kerana salah faham tuntutan hukum)
Ahmad Baei Jaafar
Selain perintah wajib terdapat juga perintah wajib yang datangnya kemudian yang pada kebanyakan tempat disebut sebagai fardu kifayah. Perintah wajib ini tetap dituntut melaksanakannya terutama mereka yang berkemampuan dalam bidang tersebut. Menurut kaedah usul fiqh:
ماَ لَمْ يَتِمُّ الوَاجِبُ اِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
Maksudnya: Sesuatu yang tidak sempurna wajib itu melainkan dengan perkara itu maka perkara itu juga dikira wajib.
Untuk mudah difahami, perhatikan beberapa contoh:
Wuduk wajib untuk menunaikan solat. Wuduk hanya sah dengan air. Maka hukum mendapatkan air adalah wajib. Setelah dicari tidak juga bertemu barulah boleh bertayamum. Jadi, berusaha mendapatkan air adalah wajib yang datang kemudian.
Menutup aurat adalah wajib apatah lagi untuk melakukan solat. Solat tidak sah tanpa pakaian yang menutup aurat. Jadi, mendapatkan pakaian yang boleh menutup aurat adalah wajib.
Menunaikan zakat wajib, maka untuk membolehkan kita mengeluarkan zakat kita perlu banyak harta yang melayakkan kita mengeluarkan zakat. Jadi berusaha memiliki harta yang banyak adalah wajib.
Menunaikan haji wajib, untuk membolehkan kita di Malaysia ini menunaikan haji ialah dengan kemampuan kewangan yang cukup. Jadi, usaha mencukupkan wang adalah wajib ke atas setiap individu.
Menunaikan puasa Ramadan wajib, untuk membolehkan kita berpuasa dengan sempurna kita perlu sihat. Jadi umat Islam wajib menjaga kesihatan agar sihat sepanjang masa.
Wajib yang mendatang ini tidak pernah diambil kisah oleh umat Islam. Malah mereka tidak rasakan semua itu wajib kepada mereka. Di sinilah kesilapan kita dalam memahami Islam hingga kita mengabaikan perintah wajib.
Jika umat Islam negara ini faham tentang kewajipan ini tentu umat Islam tidak semiskin seperti sekarang. Mengapa? Di sini saya hendak buktikan kepada anda semua bahawa dengan melaksanakan perintah wajib yang mendatang ini, kita akan jadi kaya malah menguasai ekonomi.
Tahukah anda, apabila kita faham wajib mendapatkan air, umat Islam perlu menguasai sumber air. Kita boleh kuasai takungan air, kita boleh kuasai perusahaan plumbing, dan juga boleh kuasai sistem perairan. Kita di negara ini agak bernasib baik kerana air dikuasai kerajaan dan syarikat yang dikuasai oleh orang Islam. Walau bagaimanapun plumbing masih dikuasai oleh orang lain walaupun sudah ada syarikat yang dimiliki orang Islam.
Jika umat Islam faham bahawa wajib menutup aurat, terutama yang menentukan sah solat, maka umat wajib menguasai industri pakaian, tekstil malah mempunyai kilang benang dan kain sendiri. Kita wajib memiliki modal yang besar untuk projek ini dan usaha perlu penglibatan seluruh umat Islam. Tetapi oleh sebab kita tidak nampak kewajipan ini, maka untuk membolehkan kita solat pun disediakan oleh orang bukan Islam.
Seterusnya untuk membolehkan umat Islam mengeluarkan zakat, wajib masing-masing menjadi usahawan yang berjaya. Boleh jadi sebahagiannya menjadi petani yang berjaya, penternak yang berjaya, pelombong yang berjaya, dan pedagang yang berjaya. Kalau berniaga sedikit-sedikit atau kecil-kecilan tentu tidak banyak untung. Zakat tentu dalam keadaan itu belum boleh dibayarkannya lagi.
Tetapi realiti yang berlaku hari ini, umat Islam beranggapan bahawa zakat wajib dikeluarkan hanya kalau cukup nisab dan haul. Oleh sebab itu, kita tidak perlu cukupkan nisab dan haul supaya kita tidak perlu bayar zakat. Cukuplah ala kadar, cukup untuk makan minum keluarga saja. Mengapa kita lebih suka menjadi orang miskin daripada orang kaya?
Untuk menunaikan haji kita wajib mencukupkan tahap kemampuan kewangan. Untuk itu umat Islam wajib menabung secara istiqamah. Di negara kita sudah ada Tabung Haji bagi membolehkan umat Islam menabung. Kalau umat Islam tahu menabung itu wajib sudah pasti mereka akan menggunakan perkhidmatan tabung haji ini. Selain tabung haji, umat Islam juga boleh menabung melalui syarikat takaful. Kita boleh pilih mana-mana syarikat takaful yang dengannya boleh dikhususkan untuk menunaikan haji. Pada masa yang sama setiap penyimpan di takaful diberi perlindungan pula.
Menabung melalui takaful membuatkan kita berdisiplin dalam menyimpan. Maka dengan cara ini kita boleh tentukan bila kita hendak pergi menunaikan haji. Tetapi berapa ramai yang mengetahui bahawa menabung untuk ini menjadi wajib? Ramai yang tidak kisah malah dengan mudah berkata, “apa susah-susah kalau tidak mampu tidak wajib mengerjakan haji.”
Untuk membolehkan kita melakukan puasa dengan sempurna, kita wajib menjadi orang yang sihat. Hari ini ramai umat Islam yang tidak sihat, kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan juga gastrik. Semua ini kerana kita tidak sedar bahawa menjaga kesihatan itu adalah wajib.
Jika mereka sedar tentang kewajipan ini sudah pasti mereka akan menjaga makan dan minum, selalu beriadah dan sebagainya. Umat Islam mesti sihat kerana Rasulullah mengingatkan kita dengan sabdanya, “Mukmin yang kuat dan sihat lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah.”
Untuk memastikan umat Islam sihat, wajib pula dalam kalangan umat Islam mempunyai kepakaran dalam perubatan, jadi doktor dan menguasai klinik dan hospital. Bayangkan kalau umat Islam menguasai bidang ini, umat Islam adalah golongan yang paling sihat dan kaya.
Contoh yang saya senaraikan cukup membuktikan bahawa dengan melaksanakan perintah wajib termasuk wajib mendatang, umat Islam telah menguasai ekonomi yang mantap. Bayangkan kalau kita menguasai ekonomi siapa yang sanggup memperlekehkan umat Islam lagi?
Tetapi semua itu tidak berlaku kerana umat Islam tidak memahami mesej daripada perintah wajib tersebut. Siapakah lagi yang kita nak salahkan kalau kita masih tidak maju pada hari ini?
1 ulasan:
Ya Allah...
Memang ramai yang berada dalam zon selesa... Saya sendiri pun begitu.
Dalam bab mencari rezeki, bukan sedikit yg berkata, "cukuplah kais pagi makan pagi. Esok lusa punya hal, fikirlahlah esok lusa. Kenapa nak pening2 hari ini utk esok.."
Begitu juga dalam hal beribadah. Sekadar mencukupkan yang wajib. Yang sunat, nanti-nantilah bila lapang baru buat. Astagfirullah...
Kadang2 niat itu sudah ada, tapi hendak melawan nafsu dan bisikan syaitan itu yang payah. Jadi, ramai yang memilih duduk dalam zon selesa...
Catat Ulasan