16 Julai 2010

Mengapa wujudkan tembok pengadang?

Ahmad Baei Jaafar

Entah tiba-tiba kedengaran bahawa Timbalan Perdana Menteri (TPM), Muhyiddin Yassin mengatakan UMNO bersedia untuk bertemu dengan PAS bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Walaupun tidak terkejut dengan kenyataan itu saya tercari-cari juga puncanya. Apakah perkara ini ditimbulkan wartawan?

Seperti yang dilaporkan Malaysiakini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi maklum balasnya katanya, beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai "apa juga perkara". Namun kata Menteri Besar Kelantan itu, perjumpaan tersebut biarlah tanpa diatur oleh mana-mana pihak ketiga.

Walaupun cakap-cakap seumpama ini sudah semakin memualkan kita, kerana cakap orang politik selalunya tidak ikhlas, namun rakyat masih mengharapkan pertemuan itu menjadi realiti. Rakyat sudah lama menunggu dan tidak sanggup lagi melihat sandiwara ini terus dimainkan. Sebagai rakyat Malaysia kita menyokong pertemuan yang boleh membuahkan kebaikan kepada rakyat.

Melihat kepada pengalaman silam, saya sehingga ke hari ini amat kecewa dengan keadaan itu. Malah saya semakin tidak faham dengan mainan politik orang Malaysia, Melayu yang amat suka main sandiwara. Yang menjadi mangsanya sudah tentulah pelakonnya, sedangkan pengarahnya mengaut keuntungannya. Namun yang lebih untung dalam kes ini ialah pemerhati politik yang sangat pandai mengambil kesempatan.

Sudah sampai masanya kita belajar main politik seperti amalan Rasulullah. Suka saya jelaskan di sini, ilmu politik Islam amat cantik dan mudah diikut oleh semua orang termasuk bukan Islam. Hal ini kerana konsep politik Islam tiada tembuk pengadang antara parti dan agama apatah lagi bangsa. Tiada konsep musuh dalam politik. Maknanya kalau semua pihak faham konsep ini, tidak akan ada musuh dalam politik.

Saya senaraikan di sini antara konsep tersebut:

1. Islam menolak perjuangan berasaskan asabiah. Mereka yang berjiwa asabiah akan tunduk kepada bangsa dan puaknya, sehingga apabila bangsanya atau puaknya melakukan kesalahan akan dibela dengan pelbagai cara. Pada dalam Islam, Rasulullah memberi jaminan “kalau anakku Fatimah mencuri akan kupotong tangannya.”

2. Pemimpin yang dipilih adalah dalam kalangan orang yang bersih daripada dosa, bukan penjenayah (penzina, pencuri, perasuah atau menerima rasuah dll.), tetapi sebaliknya kuat hubungannya dengan Allah. Cara pemilihan boleh berubah dari masa ke masa mengikut perubahan dunia.

3. Pegawai tadbir kerajaan adalah bebas daripada pengaruh parti politik kerana pengaruh itu boleh menyebabkan ketidakadilan dalam mengurus hak rakyat. Oleh sebab itu pegawai tadbir perlu tunduk dan patuh kepada pemerintah.

4. Pemerintah yang terdiri daripada perdana menteri sehingga menteri dan timbalannya atau menteri besar dan ketua menteri dan exconya wajib adil dalam pentadbirannya terhadap rakyat. Dalam konteks ini, pemerintah harus mengenali dan memahami bahawa semua yang tinggal secara sah dalam negara ini atau negeri adalah rakyatnya.

5. Dalam konteks Malaysia, hubungan kerajaan pusat dengan kerajaan negeri mestilah rapat ibarat bapa dengan anak. Hubungan baik itu adalah kewajipan bagi kerajaan pusat dan bagi kerajaan negeri menanti hak secara adil.

6. Rakyat mempunyai hak pelindungan, keselamatan, dan keadilan tanpa kecuali.

Melihat kepada konsep itu apakah halangan Timbalan Perdana Menteri untuk bertemu dengan Menteri Besar Kelantan? Sudah tentu tiada halangan dan tidak boleh ada yang mengadang pertemuan itu. Sebagai bapa beliau boleh datang bila-bila masa tanpa perlu membuat temu janji. Malah wajib bagi beliau menziarahi negeri Kelantan kerana negeri itu sebahagian dari Malaysia yang ditadbirnya.

Tetapi agak malang kerana setahu saya pemimpin negara termasuk menteri kabinet tidak pernah melawat negeri Kelantan dan akhir-akhir ini di negeri Selangor, Pulau Pinang, dan Kedah juga menerima nasib yang sama. Adakah mereka tidak anggap negeri itu negeri mereka juga? Bukankah negeri tersebut termasuk dalam Malaysia? Di sinilah kesilapan pemerintah pusat sama ada dilakukan secara sedar mahupun tidak sengaja.

Dalam hal ini mungkin ada pihak yang menafikan kenyataan saya ini dengan berkata, pemimpin negara termasuk menteri selalu ke negeri-negeri tersebut. Ya, saya tidak nafikan mereka ada datang ke negeri tersebut, tetapi kedatangan mereka bukan atas nama melawat negeri dan rakyat, tetapi melawat parti dan ahli parti pimpinannya. Ertinya kalau Datuk Seri Najib Tun Razak pergi ke negeri tersebut bukan sebagai Perdana Menteri tetapi sebagai presiden parti. Kedudukan kedua-dua jawatan itu tidak sama.

Selain itu, kalau Perdana Menteri datang melawat sesuatu negeri, Menteri Besar atau Ketua Menteri mesti menyambutnya, itulah protokol yang sepatutnya dijaga. Apatah lagi kalau majlis itu dihadiri oleh Sultan, Menteri Besar mesti menjadi pengiringnya. Tetapi kalau mereka masuk ke negeri tersebut tanpa pengetahuan tuan rumah samalah macam pencuri. Kenapa jadi seperti itu? Kenapa pemimpin kita tidak boleh bersikap profesional dalam hal ini?

Kerjasama UMNO – PAS

Berbalik kepada isu pertemuan yang dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, memang wajar disambut oleh Menteri Besar. Memang TPM perlu melawat Kelantan, dan MB Kelantan wajar sambut dan melakukan pertemuan empat mata. Dan perkara yang menjadi perbincangan mereka nanti tentulah hal negeri dan kemajuannya.

Sebagai pemimpin yang diamanahkan rakyat sudah tentu berhak terhadap negerinya dan rakyatnya. Dan TPM sebagai bapa wajar melihat keperluan negeri dan rakyat negeri tersebut, maka persoalan peruntukan kewangan, kebajikan rakyat, projek dan pembangunan untuk rakyat dan seumpama perlu disepakati. Itulah skop yang boleh diusahakan dalam konteks itu.

Walau bagaimanapun jika TPM sebagaimana yang dilaporkan berminat hendak bincang soal kerjasama antara UMNO dengan PAS, maka Kelantan bukanlah tempat yang selayaknya. Dan MB Kelantan pun tidak perlu sambut, tetapi yang selayaknya ialah ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur. Dan orang yang layak bertemu dengan beliau hanyalah Timbalan Presiden PAS. Manakala Presiden PAS di segi protokolnya lebih sesuai berbincang dengan Presiden UMNO. Tetapi kalau hendak berbincang persoalan bebas, tanpa tajuk khusus, beliau boleh berjumpa sesiapa saja dan di mana-mana di negara ini.

Kalau semua pemimpin sama ada yang memerintah mahupun pembangkang boleh lakukan seperti yang dibentangkan, itulah ukuran kematangan kita dalam politik. Ketika itu semua yang dirancang untuk negara dan negeri dapat dilakukan dengan sebaiknya. Tidak akan timbulkan beberapa tindakan bodoh yang boleh ditertawakan oleh pihak lain.

Dengan kedewasaan kita berpolitik, malah melebihi 50 tahun kini tindakan bodoh itu tidak harus timbul lagi. Pemimpin yang memerintah negara tidak seharusnya melihat parti pembangkang sebagai musuh, sebaliknya sebagai rakan kongsi dalam membangunkan negara. Maka teguran pembangkang harus dinilai sebagai usaha mencantikkan pentadbiran negara.

Begitu juga dengan pemimpin di peringkat negeri, wakil rakyat pembangkang harus diberi hak memberi pandangan untuk membaik pulih kepincangan negeri tersebut. Namun semua ini perlukan ketelusan dan keikhlasan semua pihak bagi tujuan yang dimaksudkan.

Bayangkan hayat pemerintahan kita hari ini, apa yang boleh dilakukan secara mantap dengan mendapat sokongan semua pihak? Idea yang baik sering dibangkang oleh pihak yang berkepentingan, walaupun majoriti dewan boleh meluluskannya, namun kepuasan semua pihak tidak dapat dihasilkan. Jadi, akan ada cakap-cakap di luar dewan.

Di sinilah pentingnya kita bertindak secara matang dan profesional dalam berpolitik. Inilah masanya untuk kita semua bergerak untuk berubah.

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...