24 Oktober 2009

Solusi isu 13 membina Mukmin Profesional


Mukmin Profesional menjadi fokus Solusi isu 13. Akan ada dalam pasaran pada akhir bulan ini. Mereka yang sudah biasa dengan keluaran yang lalu, jangan ketinggalan dengan isu ini kerana fokusnya banyak membuka mata dan hati umat Islam ke arah menjadi mukin yang berkualiti. Anda yang belum pernah memiliki dan membacanya, sila dapatnya di kedai-kedai di sekitar anda.

Anda juga boleh melanggan dengan mengisi borang yang boleh anda cetak seperti yang disediakan dalam blog ini.

Sejadah berdiri, kenapa difikirkan khurafat

Ahmad Baei Jaafar

Setelah orang ramai dan warga Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di Pasir Mas, Kelantan gempar dengan kejadian 'sejadah berdiri' di surau sekolah berkenaan, berlaku pula kejadian yang serupa di Surau Al-Rahmaniah di Kampung Teluk Yan, Kedah.

Sebelum itu, dilaporkan di beberapa tempat termasuk di Bukit Mertajam, Pulau Pinang berlaku di surau sekolah berkenaan. Sebanyak 35 helai sejadah dilihat berdiri mengikut saf iaitu 15 helai di ruang solat lelaki dan 19 helai di ruang solat wanita dengan sehelai daripadanya berada di bahagian hadapan seolah-olah mengimamkan solat.

Mengulas kejadian itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana terdapat beberapa dakwaan yang serupa sebelum ini terbukti tidak benar.

Beliau berkata, paling dibimbangi umat Islam yang termasuk dalam golongan taksub akan mudah percaya dengan kisah-kisah seperti itu.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom mahu semua pihak tidak menjadikan isu sejadah berdiri diperbesar-besarkan kerana hakikat kebenarannya masih tidak dapat dibuktikan sehingga kini.

Pada masa yang sama Mufti Negeri Perak, Dato’ Seri Harussani Zakarian menyatakan kejadian sejadah berdiri itu adalah mustahil. Maka umat Islam diminta tidak mempercayainya.

DUA daripada tiga 'sejadah berdiri' di surau Al-Rahmaniah
ketika penduduk kampung datang untuk menunaikan solat Asar
di Kampung Teluk Yan, Alor Setar, semalam.

Tiga kejadian ini membuatkan tiga tokoh di atas tidak selesa lalu cuba menafikan kemungkinan keajaiban Allah. Mereka risau dengan kejadian itu masyarakat Islam negara ini akan sesat mempercayai tahyul dan khurafat.

Saya hairan mengapa tiga tokoh di atas berfikiran begitu, berfikir negatif tentang umat Islam di negara ini. Mengapa mereka tidak yakin dengan keimanan umat Islam selama ini. Adakah setelah 50 lebih merdeka, iman umat Islam masih rendah dan lemah? Mengapa ulama tidak benar-benar mendidik mereka selama ini?
Sepatutnya peristiwa ini memberi peluang kepada tiga tokoh di atas dan ulama segera bangun dengan kuasa yang ada untuk mendidik umat Islam ke arah mempercayai kekuasaan dan keajaiban Allah. Apa yang berlaku itu tidak perlu dinafikan kerana tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Bukankah lebih baik kita ingatkan umat Islam agar segera ingat Allah, menunaikan solat dan perintah Allah yang lain. Mereka harus diingatkan bahawa kejadian itu sebagai sindiran Allah kepada umat Islam yang cuai tentang solat.

Saya percaya kalau isu ini dibesar-besarkan dan dapat menjelaskan mesejnya kepada masyarakat kita, setidak-tidaknya dapat menginsafkan mereka yang cuai. Manakala mereka yang sudah kuat ibadah, akan terus meningkatkan ibadah.

Namun semua itu tidak berlaku kerana fikiran tokoh agama negara ini telah diselaputi bayangan negatif, takut taasuf, khurafat dan sebagainya. Padahal umat Islam tidak akan berasa kagum dengan sejadah itu hanya kerana sejadah itu berdiri. Umat Islam juga tidak sujud kepada sejadah itu kerananya. Bahkan mereka tidak akan berfikir semua itu sebagai mainan ahli sihir mahu pun mainan budak-budak nakal.

Jadi, kenapa difikirkan mereka akan melakukan kerja syirik sedangkan rata-rata umat Islam kini tahu dosa syirik. Kerana difikirkan orang yang melihat kejadian itu akan rasa takut, lalu mereka akan memenuhi surau dan masjid dan pada masa yang sama tidak buat kerja harian?
Selagi tokoh agama kita berfikir sesempit itu, selama itulah umat Islam kita akan mundur.

20 Oktober 2009

Nasihat buat suami dan isteri poligami

Ahmad Baei Jaafar

Sejak saya mengupas mengenai hukum hakam poligami, ramai para isteri yang bermadu menghubungi saya menyatakan mereka tidak tahu menahu tetang hukum itu. Masing-masing menyatakan terjerat dik nafsu sendiri. Tidak kurang juga yang mengakui sering terlibat dalam tipuan kerana kepentingan tertentu.

Ramai juga mengakui tiga bulan pertama atau setahun pertama mereka hidup bahagia. Hal ini kerana Isteri pertama suaminya tidak tahu dia ada isteri lain. Setelah semua rahsia terbongkar, suaminya terpaksa lebih banyak di rumah isteri pertama. Ada yang menyedihkan, isteri baru hanya boleh bertemu suaminya di pejabat dalam kadar sejam sahaja.

Suami tatkala berada di rumah isteri pertama, tidak bahagia kerana terpaksa bermain perasaan. Mungkin isteri asyik marah-marah. Walaupun ada dua isteri tetapi hidupnya seperti tiada isteri. Masa untuk berseronoh suka sebagai suami isteri sudah tidak ada. Pada masa yang sama suami sudah tidak boleh keluar ke rumah isteri lain kerana dikawal pergerakannya.

Ada isteri yang mengadu kepada saya, sudah lama dia tidak bersama suaminya, nafkah tidak diberi kerana alasan dia ada pendapatan sendiri. Isteri ini reda dalam keadaan terpaksa. Apalah indahnya poligami sebegini? Saya bersimpati kepada mereka walaupun kalau mereka reda diberi pahala oleh Allah. Saya juga bersimpati kepada suami walaupun mereka terpaksa menempah neraka di dunia dan neraka akhirat.

Saya tidak mampu menasihati para isteri ini kecuali meminta mereka bersabar dengan keadaan itu. Tapi perkara yang paling penting seharusnya saya lakukan ialah menasihati suami terbabit namun kerana suami tidak pernah meminta nasihat apa yang boleh saya lakukan untuk menyelamatkan mereka.

Sebenarnya kalau mengikut ilmu perkahwinan, seharusnya isteri berani memohon taklik atau fasah daripada suaminya. Tetapi apa yang saya dapat maklum balas daripada mereka, mereka masih mahu bersabar. Mungkin mereka tidak sanggup menjadi janda. Saya hormati kehendak mereka, tetapi kalau keadaan itu berterusan, nasihat saya, segeralah mohon taklik atau fasah.

Sebenarnya tidak hina seseorang itu menjadi janda atas sikap suami yang begitu. Cuma yang saya bimbangkan kalau status perkahwinan mereka tidak sah kerana tidak didaftarkan di Malaysia. Kalau ini yang terjadi, dia tidak boleh dilindungi oleh undang-undang Islam di sini. Inilah yang tidak seharusnya berlaku.

Belajar daripada pengalaman ini, saya menyeru kepada semua wanita Islam di negara ini berhati-hati dengan tawaran poligami. Bukan saya menghalang anda berpoligami tetapi kerana pilihan suami yang benar-benar beriman dan bertakwa amat sukar pada zaman ini. Ketahuilah mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang boleh menyelamatkan isterinya walaupun seramai empat orang.

Pada masa yang sama, saya menyeru kepada para suami yang ada niat untuk berkahwin lagi, belajarlah dahulu ilmu fiqah terutama dalam soal poligami. Setelah itu tanyalah kepada diri, untuk apa berpoligami, adakah untuk mendapat nikmat berkeluarga atau apa? Kalau untuk dapat nikmatnya, jangan belajar menipu isteri pertama untuk membolehkah berkahwin. Juga jangan tipu isteri kedua kerana takut isteri pertama. Tapi takutlah kepada Allah, kerana dosa yang anda lakukan akan dihukum di dunia lagi sebelum di humbankan ke dalam neraka.

15 Oktober 2009

Ambil Iktibar daripada kekalahan PAS



Kekalahan teruk calon PAS dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan satu tamparan hebat yang seharusnya diambil iktibar oleh PAS dan PR keseluruhannya dalam menghadapi piliharaya umum akan datang.

Walaupun kemenangan Tan Sri Mohd Isa Samad sudah dijangka kerana DUN itu merupakan kubu kuat BN, namun mejoriti 5000 lebih itu begitu besar, malah memeranjatkan BN. Hasilnya, kini UMNO menjadikan semangat Bagan Pinang sebagai penggerak untuk mengembalikan kekuatan UMNO demi merampas semula negeri yang ditakluki PR.

Saya percaya, UMNO sendiri tidak menaruh kejayaan besar dalam pilihanraya itu, namun mereka mahu menang demi menjaga maruah BN. Oleh sebab itu mereka bekerja keras ke arah itu dengan pelbagai cara. Tidak cukup dengan kempen di pentas tertentu, kempen rumah ke rumah dilakukan secara serius.

Pada masa yang sama, jentera PAS dan PR berkempen dalam keadaan agak selesa. Mereka yakin kemenangan akan berpihak kepada mereka kerana banyak faktor. Antaranya ialah tokoh calon yang dikatakan sudah tercemar. Mereka yakin pengundi akan menolak calon itu, dan sebahagian ahli UMNO akan boikot kerana tidak bersetuju dengan pemilihan calon.

Mereka lupa, pengundi kampung tidak sama dengan pengundi bandar, mereka lupa calon itu orang tempatan yang amat dikenali pengundi sebagai orang banyak jasa. Mereka juga lupa pengundi kampung tidak mudah terpengaruh dengan media moden, malah mereka tidak tahu wujudkan kempen melalu media moden itu.

Atas dasarkan itu mereka kurang memberi perhatian kepada penduduk pendalaman, malah tidak kenal dengan penduduk di dalam kampung terpencil. Yang lebih malangnya, mereka tidak tahu sentimen agama penduduk kampung.

Kempen mereka agak tertumpu di pekan dan bandar yang kehidupan penduduknya agak moden. Modal mereka adalah Islam selain memburukkan calon yang pernah terlibat dengan politik wang tiga tahun lalu. Mereka terlupa untuk membentangkan perancangan untuk membangunkan Bagan Pinang ke arah memajukan Islam.

Selain itu mereka asyik menyalahkan kerajaan dalam undi pos kerana tidak memberi peluang untuk berkempen dalam kem. Padahal di luar kem lebih ramai malah mereka itu ada potensi untuk menyokong mereka kalau betul caranya. Penduduk Cina dan India yang bermasalah dengan kerajaan sepatutnya boleh terpengaruh kepada PKR atau DAP, tetapi itupun gagal diraih.

PAS dan rakan PR seharusnya membina budaya dan sikap tersendiri dan tidak terpengaruh dengan budaya dan sikap BN dan UMNO. PAS yang membawa mesej Islam seharusnya membentuk pasukan Islami yang mengikut pantang larang dan adab sopan Islam. Tidak salah orang Cina dan India dalam kalangan DAP dan PKR berkempen, tetapi mereka juga harus diajar supaya tahu perkara yang dilarang dalam Islam.

Dalam berkempen mereka tidak boleh membuat fitnah, menyebar fitnah, tidak boleh mengumpat dan mendengan mengumpat. Islam melarang umatnya mendedahkan aib orang lain sebaliknya diminta supaya menutup keaiban itu daripada pengetahuan umum.

Yang penting dalam berkempen, kebaikan dan perancangan mereka perlu dipromotkan setiap masa. Usaha ini lebih berkesan daripada menyerang musuh dengan mendedahkan keaiban mereka. Mereka seharusnya belajar daripada bentuk iklan syarikat mempromosi produknya. Dalam iklannya, tidak pernah disalahkan produk syarikat lain. Sebaliknya kebaikan produknya didedahkan sepenuhnya berkali-kali.
Saya percaya kalau mulai hari ini, jentera PR turun padang, masuk dan keluar kampung menghebahkan kebaikannya, lambat laun mereka akan termakan pujukan itu. Tetapi tidak cukup dengan sekali. Pada masa yang sama, mereka harus memberi khidmat bakti kepada penduduk di situ walaupun tidak ada peruntukan daripada parti.

Percayalah usaha ini jika berterusan selama dua atau tiga tahun, semuanya boleh berubah. Namun perlu diingat, jika semua itu tidak dilakukan, bukan sahaja mereka tidak menambah kerusi, malah kerusi yang ada sekarang akan kembali kepada BN semula.

Jadi, hentikanlah perbalahan dalam parti, permainan politik dengan parti lawan, cabar mencabar dan sebagainya kerana sikap itu bukan sahaja dibenci Allah tetapi rakyat yang melihatnya. Islam itu cantik, maka cantikkanlah diri, rumah, kampung, negeri dan negara dengan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Janganlah dicemari dengan fahaman dan amalan yang songsang yang menyebabkan orang benci kepada Islam.

10 Oktober 2009

Budaya Rumah Terbuka Perlu Islamik


Raya sebulan kerana raya sebulan begitulah yang sering kita dengar. Itulah uniknya budaya Melayu mutakhir ini. Dulu-dulu tidak, paling lamapun dua hari, masih adalah kelihatan anak-anak jiran datang beraya dan diberi wang raya.

Zaman berubah, budaya berubah berikutan suasana masyarakat bandar dan kota yang sering sebuk dengan kerja harian. Pada awalnya, pemimpin negara berbuat begitu kerana ingin memberi peluang kepada raykat untuk bertemu mereka. Maka dengan hari rumah terbuka itu dapatlah pemimpin itu menjemput rakyat ke rumahnya.

Majlis ini wajar kerana rumah pemimpin tidak boleh diziarah sebarang orang. Ada peraturan dan kawalan. Jadi dengan majlis itu rakyat bebas berkunjung dan bermesra dengan pemimpin mereka. Namun kadang-kadang pemimpin sebut melayan orang besar, terlupa rakyat jelata. Maklumlah ramai sangat pengunjungnya.

Setelah itu orang bandar mula ikut memandangkan mereka balik kampung pada hari raya, dan setelah pulang ke bandar, itulah peluang untuk beraya dengan kawan, jiran dan sebagainya. Jadi, jamuan raya itu memberi peluang mereka bertemu mesra.

Tetapi kadang-kadang budaya ini nampak macam janggal sedikit kalau berlaku di taman-taman perumahan kerana ziarah raya perlu dijemput. Kalau jemputan berbentuk komuniti agak wajar tetapi untuk individu agak kurang sesuai dengan semangat Islam.

Sebagai contoh, saya sebagai ketua kampung yang semua orang kenal di kampung itu, seharusnya anak kariah kampung itu datang ke rumahnya tanpa diundang. Mungkin kalau takut dia tiada, boleh buat temu janji. Sewajarnya anak buah ziarah ketuanya dahulu. Selepas itu mungkin boleh dilakukan ziarah balik. Inilah budaya yang harus dihidupkan.

Jika jamuan untuk seluruh taman yang dilakukan untuk memgeratkan silaturahim antara anak kariah bolehlah dilakukan secara rasmi. Majlis ini perlu dijemput sama ada secara umum atau khas. Semoga pada suatu hari nanti budaya ini dapat diubah kepada yang lebih Islamik.

02 Oktober 2009

Mesej Allah daripada gempa harus difahami


Gempa bumi berukuran 7.6 pada Skala Richter di Padang Sumatera Rabu lalu meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka terutama yang selamat. Melihat kepada bangunan yang runtuh dan ranap, mereka tidak percaya bahawa mereka masih boleh hidup.

Badrulamin Mohd Sharif, 30, dari Kuala Lumpur yang selamat sampai dari Padang pagi tadi berkata beliau dan enam orang anggota keluarga (dua anak perempuan, isteri, ibu mertua dan dua adik ipar perempuan) bercuti di daerah itu sejak Khamis minggu lalu.

"Ketika sedang membeli-belah di Kompleks Pasar Bukit Tinggi, secara tiba-tiba bangunan itu bergegar dan kelihatan orang ramai lari keluar dan menjerit gempa," katanya.

Cemas melihat kejadian itu, beliau membawa semua anggota keluarganya bergegas keluar dari kompleks itu dan melihat orang ramai berlari ke kawasan lapang kira-kira 100 meter dari kompleks terbabit.

"Alhamdulilah, semua ahli keluarga saya selamat dan tiada yang cedera, selepas dapat maklumat daripada pihak kedutaan Malaysia di sini, saya sekeluarga dibenar pulang bersama-sama pelajar Malaysia ke tanah air," katanya.

Badrulamin sekeluarga yang menaiki pesawat CN235 TUDM berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau bersama-sama pelajar Malaysia pada kira-kira pukul 6 pagi waktu Malaysia.

Beberapa orang mangsa yang cedera dalam kejadian itu turut bersyukur kerana masih diberi peluang hidup di dunia ini. Pelancong bukan Melayu yang baru memasuk bilik hotel pada petang hari kejadian tiba-tiba tercampak ke dalam kolam mandi. Dengan bantuan pekerja hotel itu beliau berjaya dikeluarkan dari bangunan itu.

Banyak lagi cerita aneh dan mengejutkan dapat kita dengar dari mangsa yang pulang dari bumi Padang itu. Namun berapa ramai yang dapat merasai mesej yang Allah kehendaki daripada peristiwa itu. Allah mengungkap kata-kata orang beriman, "Tuhan kami, tidaklah Kamu menciptakan sesuatu itu saja-saja, Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada api neraka."

Umat Islam apatah lagi mereka yang terlibat harus sedar bahawa Allah bila-bila masa boleh berbuat sesuatu terhadap manusia dan alam ini tanpa memberi amaran. Sudah bersediakah kita dengan amalan kebaikan dan meninggalkan dosa dan maksiat sebelum ditimpa bencana?

Malanglah mereka tanpa sebarang persiapan tiba-tiba mati dalam keadaan hina dalam gempa bumi seperti ini. Walaupun negara kita bukan negara gempa bumi, kita tidak boleh berasa selamat kerana bunga-bunganya sudah ada. Beberapa bangunan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Johor pernah mengalami gegaran walaupun tidak runtuh.

Jadi, elakkan diri kita daripada kemurkaan Allah, Tuhan kita.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...