28 Februari 2009

Didik anak mengikut fitrah yang betul

Ibu bapa sama ada tua atau tidak, perlu disayangi dan diberi perhatian oleh anak. Kalau sewaktu kecil anak-anak dibelai oleh ibu bapa, tentu pengorbanan itu perlu dibalas sewaktu anak-anak itu dewasa walaupun secara zahirnya ibu bapanya tidak meminta anaknya berbuat begitu.
Lazimnya apabila seseorang anak itu sudah mempunyai kerja dan tinggal berasingan dengan ibu bapa, mereka akan pulang ke kampung sewaktu cuti panjang. Pada musim perayaan akan menjadi pilihan anak-anak untuk bertemu ibu bapa.
Selain itu mereka akan berhubung dengan ibu bapa melalui telefon atau e-mel bagi mereka yang mempunyai kemudahan internet. Jadi, dalam penghidupan di zaman moden ini tiada yang sukar untuk anak-anak bersama ibu bapa. Namun, tidak semua anak-anak bernasib baik, mudah berhubung dengan ibu bapa.
Bagaimanapun dalam Islam ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Sabda rasulullah yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapalah yang bertanggungjawab sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani,” (Riwayat Muslim).
Dalam hal ini jika ibu bapa tersalah didik hingga anak-anak menjadi salah satu dari tiga golongan itu, sudah tentu anak-anaknya tidak akan menjadi seorang Islam yang baik. Lainlah kalau anak itu membesar dan mendapat hidayah sendiri pada pertengahan usianya, lalu kembali kepada fitrah.
Sebenarnya dalam menghuraikan hadis ini, ramai yang tersalah dalam memahami maksud fitrah. Selalu diterjemahkan sebagai putih bersih bagaikan kain putih. Maka kain putih itu perlu dicorakkan semahunya untuk menjadikan kain itu benar-benar cantik.
Ibu bapa yang memahami maksud fitrah seperti di atas akan memilih corak sendiri sama ada Yahudi, Majusi dan Nasrani kerana corak itu sememangnya cantik pada pandangan mata. Pada mereka pilihan itu tepat dan tiada penyesalan malah dibanggakan kerana anak mereka boleh menjadi itu dan ini semahunya.
Percayalah, anak-anak yang mendapat didikan sebegini tidak akan menganggap ibu bapa sebagai aset yang penting. Oleh sebab itu mereka boleh kirim wang untuk ibu bapa terutama semasa mereka sakit, tetapi mereka tidak sanggup pulang melihat kedua-duanya di kampung.
Sungguhpun begitu, anak-anak tersebut tidak boleh disalahkan kerana mereka tidak pernah diajar erti kasih sayang oleh ibu bapa. Tatkala anak-anak dibesarkan, ibu bapa tidak mendidik mereka supaya tahu menghormati perasaan orang lain, apatah lagi ibu bapanya.
Sebenarnya dalam Islam seorang anak adalah penawar kepada ibu bapanya terutama semasa tuanya. Jadi, ibu bapa tidak perlukan wang anak-anaknya apatah lagi kalau anak-anak mereka itu miskin. Tetapi yang diperlukan ialah kasih sayang dan belaian daripada anak-anak.
Sesungguhnya anak yang membelanjakan wang pendapatannya untuk membeli ubatan dan makanan untuk ibu bapanya, sesuatu yang baik dan seharusnya dikekalkan, tetapi mereka juga perlu pulang untuk melihat wajah ibu bapa. Tatapan wajah antara anak dan ibu bapa boleh mengurangkan sebahagian penderitaan rindu mereka.
Oleh sebab itu, mereka yang mempunyai ibu bapa di kampung apatah lagi yang sakit, eloklah pulang melihat wajah mereka. Jika anak pernah terasa hati terhadap ibu bapa, lupakan dahulu dan kalau perlu maafkan mereka berdua. Sikap anak dalam keadaan itu akan menyembuhkan sakit yang dialami oleh kedua-duanya.
Menyedari keadaan ini, mana-mana anak yang tidak mendapat didikan yang betul sehingga mereka tersesat, harus kembali ke pangkal jalan. Tidak perlu salahkan ibu bapa, sebaliknya bertaubat kepada Allah. Kesedaran anak ini sekali gus dapat menginsafkan ibu bapa mereka.
Sebenarnya berdasarkan huraian di atas, maksud fitrah ialah agama Islam, yang setiap anak-anak yang dilahirkan “rohnya” telah mengiktiraf Allah sebagai tuhannya.
Jika umat Islam menyedari kedudukan ini sudah pasti ibu bapa tidak akan mengkhianati amanah Allah itu. Sudah tentu dia akan mendidik anaknya mengikut panduan Islam supaya keislaman anaknya sejak kecil itu tidak dirosakkan.
Ibu bapa dalam keadaan itu sewajarnya berhati-hati sewaktu memberi didikan agar tidak terseleweng daripada ajaran Islam. Mereka tidak akan membiarkan anak-anak mereka menjadikan Yahudi, Majusi mahupun Nasrani.
Jika anak-anak dididik sebegini sudah pasti sewaktu dewasa kelak mereka akan mengasihi ibu bapa mereka, apatah lagi sewaktu mereka berdua sakit. Ibu bapa pasti bahagia dengan anak didik mereka itu.

25 Februari 2009

Sudahkah kita taat kepada Allah, Rasul dan Pemimpin?

Pada Jumaat, 20 Februari 2009 lalu Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata perbuatan menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa besar berdasarkan dalil daripada Al Quran dan Sunnah. Tahukah anda apakah bentuk dalil al-Quran dan Sunnah itu?
Suka saya mengajak anda meneliti kupasan berikut supaya fikiran itu tidak dikelirukan oleh pihak yang berkepentingan. Firman Allah: Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu...
Taat kepada pemimpin adalah pakej yang datang sekali dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul. Ertinya orang yang beriman setelah taat kepada Allah dan Rasulnya, dia juga wajib taat kepada pemimpinnya. Mereka yang tidak taat kepada pemimpin bermakna ketaatannya kepada Allah dan Rasulnya agak tercemar, tidak seratus peratus keislamannya.
Walau bagaimanapun ketaatan kepada pemimpin tersebut bersyarat iaitu dia juga taat kepada Allah dan Rasul, patuh kepada undang-undang dan peraturan Allah dan Rasul, dan menganjurkan perkara yang berasaskan perintah dan larangan Allah dan Rasul kepada rakyatnya.
Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya ketaatan itu adalah pada yang makruf (perkara yang jelas diperintah oleh Allah dan Rasul atau tidak bercanggah dengan Syariat)." Riwayat Muslim.
Dalam hadis lain, "Mendengar dan taat terhadap seseorang Muslim adalah pada apa yang disukai ataupun yang dibenci selama dia tidak memerintahkan sesuatu yang menjurus kepada maksiat. Maka apabila dia memerintah melakukan maksiat (menentang peraturan dan undang-undang Allah dan Rasul atau yang tidak bercanggah dengan syariat) maka jangan dengar dan taat lagi." Bukhari.
Rasulullah juga bersabda: "Sesiapa yang keluar dari ketaatan (menentang ketaatan) dan bermufarakah (keluar) daripada jemaah (kumpulan ramai yang dia sertainya) maka jika matinya mati dalam kategori jahiliah." Bukhari.
Berdasarkan al-Quran dan sunnah di atas, apakah perbuatan tunjuk perasaan bertujuan mencabar pemerintah adalah haram?
Perlu dijelaskan di sini kategori pemimpin atau pemerintah supaya semua yang dalam kategori rakyat dapat melaksanakan perintah taat di atas. Sebenarnya sebagai rakyat Malaysia pemimpin kita ialah Perdana Menteri yang dilantik secara sah. Manakala pemerintah ialah Yang diPertuan Agong. Semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan juga parti wajib taat kepada kedua-dua selagi perintah itu tidak melanggar undang-undang dan syariat.
Bagi rakyat di negeri-negeri seluruh Malaysia, pemimpin mereka ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri. Manakala pemerintahnya ialah Sultan dan Yang diPertua bagi negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, dan Sarawak. Seluruh rakyat yang bermustautin dan bermukim di negeri-negeri berkenaan tanpa mengira agama, bangsa, dan parti politik wajib taat kepada pemimpin dan pemerintah mereka selagi kedua-duanya tidak mengarahkan sesuatu yang melanggar undang-undang dan syariat.
Persoalan sekarang, adakah realiti rakyat Malaysia hari ini taat kepada pemimpin dan pemerintah? Adakah pemimpin dan pemerintah sekarang ikut undang-undang dan syariat dan mengarahkan sesuatu yang berlandaskan undang-undang dan syariat? Apakah mereka adil dalam melaksanakan amanah Allah dan rakyat?
Mengikut pemerhatian saya, ada pemimpin yang tidak adil kepada rakyat yang berlainan parti. Ada pemimpin yang memilih kroni untuk memberi projek kerajaan. Ada juga pemimpin yang cakap tak serupa bikin, janji politik yang sukar ditunaikan. Pemimpin sebegitu sudah tentu tidak mengikut undang-undang dan syariat, maka sesiapa yang terlibat dalam urusan dengan pemimpin itu, tidak perlu taat. Tetapi dalam perkara lain yang elok dan menepati undang-undang dan syariat masih wajib ditaati.
Berdasarkan sikap pemimpin di ataslah barangkali rakyat Malaysia tidak boleh bersatu. Mereka yang pro pemimpin akan taat pemimpin walaupun pemimpin itu melakukan kesalahan. Tetapi kalau rakyat yang pro pembangkang akan menentang pemimpin negara walaupun dalam perkara yang baik. Semua ini berlaku kerana sikap pemimpin di atas. Padahal dalam Islam semua rakyat perlu taat kepada pemimpin yang memerintah negara.
Begitulah juga yang berlaku di negeri-negeri, terdapat ketidak adilan dalam pengagihan kemakmuran dan kebaikan dan manfaat kepada semua rakyat. Mereka yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin. Dalam keadaan ini, sudah tentu rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemimpin itu akan terus menentang pemimpin negeri tersebut. Keadaan yang tidak selaras dengan kehendak Islam ini harus diperbetulkan semula oleh pemimpin, pemerintah dan juga rakyat jelata. Semuanya perlu kembali kepada Allah.
Sebenarnya kalau semua rakyat ikut perintah Allah dan Rasul, mereka pasti tidak menjadi pembangkang kepada pemimpin yang telah dilantik. Maknanya seluruh rakyat Malaysia akan taat kepada Perdana Menteri dan pemimpin di bawahnya. Seluruh rakyat negeri Selangor wajib taat kepada Mengeri Besar dan pemimpin di bawahnya. Seluruh rakyat Perak wajib taat kepada Menteri Besar yang sah dan pemimpin yang di bawahnya. Begitu juga di negeri-negeri lain termasuk pemimpin yang bukan Islam seperti di Pulau Pinang.
Rakyat tersebut boleh menjadi pembangkang kepada perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan Syariat tetapi dengan cara yang betul dan melalui saluran yang betul. Dalam ini yang menjadi pembangkang bukan semestinya daripada golongan parti pembangkang, sebaliknya mereka daripada parti pemerintah juga boleh membangkang pemimpin. Kalau perkara ini boleh dipraktikkan oleh rakyat, pastilah negera kita akan maju, aman dan mendapat keredaan Allah.
Sedarlah wahai pemimpin dan pemerintah dan juga seluruh rakyat Malaysia, kita dihidupkan oleh Allah di muka bumi ini untuk memakmurkan bumi ini. Kalau kita asyik mempertikaikan itu dan ini, masa bila kita hendak memakmurkan bumi ini. Ingatlah amanah Allah akan dipersoalkan di akhirat nanti, jadi fikirlah sebelum kita semua dijemput oleh Allah bertemunya nanti.
Label: Soalan Ketaatan dipetik daripada blog http://tanyamasalah.blogspot.com

24 Februari 2009

Tiada agenda politik dalam masjid?

Kata ulama, politik dengan Islam tidak boleh dipisahkan. Benar, tetapi politik yang dimaksudkan itu bukan politik seperti yang difahami oleh orang Melayu sekarang. Politik dalam faham Islam ialah seperti yang dibawa oleh Rasulullah, tidak membawa umat Islam kepada berpecah belah sebaliknya menyatukan umat manusia di dunia ini.
Suka dijelaskan di sini politik ialah satu ilmu yang memberi panduan kepada manusia tentang mengurus dan mentadbir sesuatu dengan baik dan sempurna. Seorang suami perlu tahu ilmu politik supaya dia dapat mentadbir rumah tangga, seorang guru perlu tahu ilmu politik untuk membolehkan dia mentadbir dan mengurus sekolah atau kelasnya dengan sempurna.
Begitu juga seorang pendakwah dia perlu tahu ilmu politik untuk memastikan orang yang didakwahkannya itu beroleh ilmu yang betul dan boleh diterima oleh pihak yang didakwahkan. Manakala pemimpin masyarakat sama ada kecil atau besar, mereka perlu tahu ilmu politik untuk membolehkan mereka mengurus dan mentadbir negeri atau negara dengan baik dan sempurna.
Kalau begitu kedudukannya, semua orang tidak boleh terlepas daripada politik. Inilah yang dimaksudkan bahawa “Islam dan politik tidak boleh dipisahkan”. Ibarat isi dengan kuku tidak boleh dipisahkan, kalau dipisahkan nescaya akan berasa perit sakitnya.
Kalau begitu mengapa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang umat Islam membicarakan hal politik dalam masjid? Sebenarnya yang dimaksudkan dengan larangan membawa politik ke dalam masjid ialah parti politik bukan politik seperti yang disebut di atas. JAIS melarang umat Islam di negeri ini membawa pengaruh parti politik ke dalam masjid kerana lazimnya orang politik beremosi hingga boleh mencetuskan pergaduhan.
Mereka yang dipengaruhi parti politik di negara ini sering membawa kompleks dalam masyarakat. Pertimbangan mereka sering menimbulkan perbalahan dan pergaduhan dalam kalangan masyarakat Melayu.
Untuk menjaga umat Melayu Islam supaya tidak terus bergaduh dan berbalah, maka masjid seharusnya dijadikan zon aman. Aman daripada pengaruh politik kepartian. Biarlah semua jemaah yang pelbagai fahaman politik dapat melakukan ibadah menghadap Allah, Tuhan yang satu dengan aman damai. Mereka harus bersatu hati seketika tanpa memikirkan isu politik kepartian lagi.
Realiti yang tidak dapat dinafikan di sini ialah, pengaruh parti politik dalam masyarakat Melayu kadang-kadang melihat orang lain yang tidak sehaluan dengannya sebagai musuhnya. Baik yang ada pada orang lain dianggap buruk dan buruk pada kawannya masih dianggap baik. Sikap mereka inilah yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai asabiah.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jauhilah perjuangan asabiah.” Sahabat bertanya, “Apakah yang dimaksudkan asabiah itu? Apakah kecintaan seseorang terhadap bangsanya dikatakan asabiah?” Rasulullah menjawab, “Tidak! Yang dimaksudkan asabiah ialah apabila seseorang menolong bangsa atau kumpulannya dalam melakukan kezaliman.” (Riwayat Ibn Majah).
Oleh sebab itu selagi umat Islam di negara ini tidak boleh membebaskan dirinya daripada fahaman asabiah, taksub kepada seseorang sama ada pemimpin, kumpulannya, atau bangsanya selama itulah mereka dilarang membawa masuk fahaman itu ke dalam masjid. Kalau tidak mereka akan turut menyokong kejahatan kumpulan dan bangsa mereka sama ada secara langsung atau tidak. Ketika itu, masjid tidak akan mampu ditadbir dengan baik dan aman lagi.
Percayalah kalau fahaman asabiah ini dibenarkan berlaku dalam masjid nescaya kumpulan itu akan membela dan mencari alasan untuk menyokong kumpulannya sahaja. Akibatnya akan berlaku pergaduhan dan pertelingkahan masyarakat dalam kariah tersebut.
Sebagai contoh, seorang pemimpin masjid sama ada nazir atau imam yang sering dipuja atau dipandang hebat oleh pengikut atau anak buahnya, jika terdapat keburukan terhadapnya akan dilindungi dan dia akan terus disokong dalam apa keadaan sekalipun.
Kadang-kadang seorang pemimpin itu jelas melakukan amalan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam seperti suka membuat fitnah dan mengapi-apikan permusuhan antara satu kumpulan dengan satu kumpulan lain, tetapi demi kerana "orang kita" dia tetap akan disokong. Lazimnya fahaman asabiah ini datang daripada pengaruh parti politik.
Mungkin tidak semua ahli kumpulan parti politik bersikap begitu tetapi agak majoriti anggotanya bersikap sedemikian. Oleh sebab itu fahaman yang berasaskan pengaruh parti politik tidak wajar dibenarkan membawa masuk ke dalam masjid demi menjaga konsep zon aman di atas.
Menyedari keadaan itu semua pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid mesti membebaskan diri mereka daripada pengaruh parti politik semasa mentadbir masjid. Sungguhpun begitu, tidaklah bermakna mereka tidak boleh menganggotai mana-mana parti politik atau menyokong mana-mana parti politik. Larangan hanya semasa mentadbir urusan masjid supaya faedahnya boleh dimanfaatkan oleh ahli kariah yang pelbagai fahaman politik.
Sebenarnya pengurusan sebuah masjid sama seperti mengurus sebuah kerajaan negeri atau pusat. Semua anak kariah adalah tanggungjawab Ahli jawatankuasa masjid yang ketuanya ialah nazir. Semua ahli kariah tanpa mengira apa fahaman politik mereka akan mendapat hak yang sama. Tegasnya nazir atau AJKnya yang memberi layanan yang berbeza terhadap ahli kariah berdasarkan fahaman politik adalah satu kesalahan di dalam Islam.
Jadi, pelantikan AJK dan pegawai masjid mesti dilakukan dengan berhati-hati agar tidak dikuasai oleh mereka yang berkemungkinan mempunyai pengaruh parti politik. Perkara ini adalah penting selain status mastautin dan kesediaannya untuk memberi khidmat secara sukarela untuk kariah tersebut.
Dalam hal ini Jabatan Agama Islam Selangor yang bertanggungjawab memilih dan mengesahkan jawatan AJK dan pegawai masjid sesuatu kariah mesti mengikut kriteria yang ditetapkan. Maka supaya adil jabatan perlu melihat dokumen tertentu melalui temuduga sama ada secara langsung atau tidak. Pemilihan yang dibuat itu mesti adil dan menepati keperluan yang disebut di atas.

22 Februari 2009

Bertunang bukan lesen menghalalkan pergaulan

“Perigi mencari timba” selalu dikaitkan dengan amalan hina bagi wanita yang mencari sendiri teman lelakinya. Kononnya tidak manis bagi wanita menyatakan hasrat untuk berkahwin mendahului kaum lelaki.
Kesannya ramai juga pada hari ini wanita bergelar andartu atau andalusia kerana wanita tidak mahu menyuarakan hasratnya kepada lelaki idamannya. Pada masa yang sama lelaki takut untuk masuk meminang mereka kerana statusnya yang tua atau berpangkat lebih dari lelaki.
Betul juga adab itu, malah menjadi kesopanan bagi wanita menunggu di rumah, mengharapkan dipinang oleh lelaki. Tetapi amalan itu memang telah dipraktikan pada zaman dahulu malah relevan kerana ibu bapa masing-masing bertanggungjawab terhadap terhadap anak gadis mereka.
Ibu bapa akan segera melihat perkembangan dan perubahan fizikal anak-anaknya. Kalau anaknya sudah layak berkahwin, dia akan cadangkan sebuah perkahwinan kepada anaknya. Maka bapa lelaki akan mencari dan merisik anak kawan atau jirannya dan jika sesuai akan terus dipinang.
Tetapi kini, ibu bapa lepas bebas anaknya di tengah gelanggang dunia, maka adab itu perlu diubah suai sedikit mengikut perubahan masa dan tempat. Sebenarnya dalam sejarah silam, Khadijah sendiri pernah meminang Muhammad, pekerjanya untuk dijadikan suaminya. Selain itu, guru-guru pondok juga sering memilih anak murid lelakinya yang pandai dan dipercayai untuk dijadikan anak menantunya.
Jadi, adab itu boleh dipakai untuk satu keadaan dan tidak boleh dipakai untuk keadaan lain. Semuanya bergantung kepada keperluan semasa. Bagaimanapun, jika wanita itu sudah suka kepada lelaki itu, dia harus meminta pihaknya untuk masuk meminangnya jika dia mahu menjaga maruah wanita.
Sebenarnya untuk memilih pasangan hidup, Islam memberi panduan cara memilih kepada lelaki sebelum memutuskan untuk meminang. Sabda Rasulullah SAW: “Lazimnya wanita itu dinikahi kerana empat sebab: Kecantikannya, hartanya, keturunannya dan kerana agamanya. Maka utamanya yang kuat pegangan agamanya supaya selamat kedudukanmu.” (Riwayat al-Bukhari).
Beruntunglah, jika seseorang lelaki itu beroleh pakej keempat-empat itu serentak, tetapi kalau tidak dapat sebahagiannya, pilihlah yang beragama. Bagaimanapun beragama yang dimaksudkan di sini bukan sekadar beragama Islam sahaja tetapi sikap, tabiat, akhlak, akidah dan ibadahnya ikut petunjuk agama.
Apabila seseorang lelaki itu sudah mengenal pasti orangnya, perlulah disempurnakan ikatan pertunangan. Ikatan itu perlu dilakukan secara rasmi tetapi tidaklah pula perlu mengikut adat yang sampai menyusahkan pihak lain, apatah lagi boleh berlaku pembaziran.
Manakala pihak yang menerima peminangan boleh menilai lelaki tersebut sama ada kufu atau tidak, bagaimana agama dan akhlaknya. Jika semuanya sesuai dengan anaknya, wajarlah menerima dan merestui perkahwinan mereka.
Sabda Rasulullah SAW: “Apabila meminang lelaki akan anak kamu yang kamu merestui agamanya dan akhlaknya, maka kahwinilah dia. Jika kamu tidak berbuat begitu ditakuti timbul fitnah di muka bumi dan berlakulah kerosakan.” (Riwayat at-Tarmizi).
Berikut adalah panduan yang boleh dicontohi bagaimana proses pertunangan yang seharusnya dilakukan agar tidak bercanggah dengan Islam.
1. Hendaklah seorang wanita menyerahkan kepada seorang keluarganya menyelidiki lelaki yang meminangnya iaitu tentang agamanya, fahamannya, nilai peribadinya dan juga ketepatan janjinya.
2. Hendaklah dia memerhatikan keluarga tunangnya itu dan penghuni-penghuni rumahnya.
3. Perhatikan tentang pelaksanaan solatnya secara individu dan jemaahnya.
4. Perhatikan matlamat perniagaan dan perusahaannya (jika dia terlibat).
5. Hendaklah menggalakkan tunangnya dalam memperkuatkan agamanya, tidak dalam bidang harta bendanya atau sikap hidupnya tanpa mengira kedudukannya.
6. Hendaklah dia bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah.
7. Hendaklah dia mematuhi kehendak bakal suaminya itu supaya dapat menguatkan hubungan, pergaulan dan menetapkan rasa kasih sayang.
Perlu diingat, dalam tempoh pertunangan hubungan pasangan itu belum boleh bergaul bebas, apatah lagi berdua-duaan. Pertemuan hanya boleh di rumah perempuan dengan ditemani oleh muhramnya.
Ingatlah jika sekadar bertunang, sudah bebas ke mana-mana, menginap di hotel dan sebagainya, mereka boleh disabitkan kesalahan jenayah dalam Islam. Maka sebelum semua itu berlaku dan menghindari sesuatu yang tidak diingini, wajarlah mereka dikahwinkan segera oleh ibu bapa.

19 Februari 2009

Bukti siapa yang bijak dalam bermain politik

Setelah melihat secara jelas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan dapatlah dinilai betapa bijaknya Penasihat PKR bermian politik.
Mungkin apa yang berlaku di Perak ini bukan dirancang olehnya tetapi apa yang berlaku di sini memberi pengajaran kepada kita bahawa sesebuah kerajaan itu tidak boleh ditumbangkan secara kauboy. Perlu dilakukan secara rundingan dan penyerahan secara berhemah.
Inilah yang ingin dilakukan oleh DS Anuar Ibrahim sewaktu ura-ura hendak mengambil alih kerajaan Malaysia. Walaupun dia tahu cukup dan mampu untuk membentuk kerajaan tetapi dia cuba hendak berunding dengan Pak Lah. Kalau Pak Lah tak mahu, diberikan masa lagi. Dia tidak mahu ambil secara rampas kuasa kerana kesannya ialah tidak kukuh kerana Yang DiPertua Dewan Parlimen masih kekal. Jadi, Anuar lebih bijak daripada Najib dan Pak Lah dalam hal ini.
Keputusan yang diumumkan oleh Speaker DUN Perak V Sivakumar selepas selesai bersidang hari ini sepatutnya dipelajari oleh orang BN khususnya UMNO. Janganlah bermusuh dengan Pembangkang terutama orang Melayu yang tidak sebulu dengannya. Bukankah lebih baik mereka beri peluang mereka memerintah dan sama-sama membantu mana yang tidak sempurna, bukan asyik kritik saja, kepentingan rakyat akan terabai nanti.
Orang UMNO kena belajar dengan peristiwa YB Wong walaupun dia DAP, kawan-kawannya dari MCA turus simpati dan mahu membela. Macam isu Hindraf, MIC turut membela. Kenapa orang UMNO tidak boleh bersikap begitu. Kena ubah manteliti itu mulai sekarang.
Perkembangan terbaru ini akan meletakkan Perak ke dalam satu lagi krisis baru, siapa nak memerintah Perak, Menteri Besar dah tiada. Sedang dewan DUN tidak boleh diadakan. Nanti projek kerajaan tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Yang jadi mangsanya ialah rakyat. Kalau begitu bagaimana rakyat nak beri kepercayaan lagi kepada UMNO dan BN.

Enam exco yang terlibat ialah Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang). Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

13 Februari 2009

Innalillah wainna ilaihi rajiun

Perginya ayahandaku bertemu ilahi
Maaf, dua minggu lamanya saya tidak lakukan kemas kini blog ini, kerana dalam tempoh itu saya sebuk dengan kerja selain balik kampung atas urusan keluarga. Sebenarnya ayahanda saya sedang uzur dan dikatakan sudah nazak, maka kami perlu mendapinginya. Jadi, urusan lain diketepikan dahulu.
Seperti yang dijangkakan ayahanda saya, Jaafar bin Harun sudah sampai masanya untuk dipanggil oleh Allah untuk menemuinya di alam baqa. Perginya pada 11 Februari 2009, jam 9.30 pagi itu hampir menggenapkan umurnya 82 tahun hidup di dunia ini.

Sebenarnya pada 4 Februari lalu saya diberitahu kakak dan adik saya yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan keselamatan ayahanda di kampung bahawa doktor sudah berputus asa untuk merawat sakit ayahanda saya setelah dimasukkan dalam ICU, Hospital Seberang Jaya selama lebih seminggu.
Berdasarkan maklumat itu kami mengambil keputusan membawa balik ayahanda kami untuk keluar hospital dan menjaga di rumah sahaja sehingga sampai ajalnya. Saya dan keluarga dalam keadaan yang tenang pulang segera pada malam itu untuk bersama ayahanda di saat akhirnya.
Bagaimanapun setelah tiga hari di kampung, didapati ayahanda masih bernafas dengan sempurna dan ini memberi isyarat kepada saya bahawa hayat ayahanda saya masih panjang lagi. Namun kami tetap teruskan membaca surah Yaasin untuknya selain memohon kepada Allah agar mengambilnya dalam keadaan dia benar-benar tenang dan husnul khatimah.
7 Januari, saya dan keluarga mengambil keputusan pulang semula ke ibu kota untuk menyambung tugas yang sentiasa banyak di pejabat. Namun hati kami tetap di kampung mendoakan kebaikan untuk ayahanda. Kami setiasa berhubung dengan adik beradik di kampung untuk mendapat maklumat terbaru.
Tetapi pada pagi 11 Februari dalam keadaan tenang saya menerima panggilan telefon dari kampung, adik saya, Sofiah memaklumkan dengan nada sedih bahawa ayahanda kami sudah tiada. Dengan tenang saya menyebut, “Inna lillah wainna ilaihi rajiun” tanda reda pemergiannya menemui Allah.

Saya segera pulang ke kampung dengan niat sempat untuk memandikan jenazahnya dan seterusnya mengambil wuduk untuknya। Alhamdulillah dalam perjalanan ke kampung berjalan dengan baik dan sampai ke kampung dengan selamat. Mereka baru memulakan urusan memandi jenazah ayahanda lima minit yang lalu dan saya dapat bersama mereka menguruskan jenazah itu.
Sebenarnya ayahanda kami amat bertuah kerana bersusah paya dia mendidik kami sekeluarga berbalas juga pada akhir hayatnya. Dia pernah berkata kepada kami sewaktu dia masih sihat, kalau dia mati, dia mahu semua anak-anaknya mengurus jenazahnya. Emak kami, Che Nah Bakar sebelum meninggal dunia pada 10 Mei 2005 lalu ada menyebut bahawa ayah berpesan jika dia meninggal dunia, gunakan kain ihram hajinya sebagai kain kapan.
Niat ayahanda itu semuanya dapat dilaksanakan oleh anak-anaknya. Kebetulan adik saya, Ahmad Yusof bertugas di masjid sebagai imam dan pengurus jenazah untuk ahli kariah di sini setelah mengambil alih tugas ayahanda semasa sihatnya. Dialah yang mengetuai urusan mandi dan kami, anak-anak lelakinya seramai lima orang (seorang tidak dapat balik) membantu menyiram air mandi itu.

Memang sedih tetapi kami tetap berbangga kerana dapat memandikan ayahanda dengan baik sebagaimana dia mandikan kami sewaktu kami kecil-kecil dahulu. Setelah selesai yang fardu, saya mengambil wuduk untuk ayahanda dengan dibantu adik saya, Ahmad Yusof.
Setelah selesai urusan mandi, turut diberi peluang kepada kakak dan adik perempuan dan isteri masing-masing juga cucunya untuk sama-sama memambil berkat memandikan jenazah itu. Alhamdulillah semuanya dapat berbuat begitu kecuali dua orang cucunya yang tidak sanggup melakukannya kerana sedih dan tidak sampai hati.
Urusan kafan dan solat jenazah semuanya melibatkan adik beradik di rumah sebelum dibawa ke masjid sebelah rumah sebelum azan Asar. Solat jenazah di masjid diimamkan oleh adik saya, Ahmad Yusuf dengan makmumnya seramai lebih kurang 200 orang kenalan dan masyarakat kampung.
Jenazah dibawa ke kubur di Tanah Perkuburan Islam Permatang Janggus, Permatang Pauh dan selesai pada jam 6.00 petang. Saya berpeluang membaca talkin untuk ayahanda walaupun itulah pertama kali saya lakukan sehingga setakat ini. Niatnya untuk peringatan kepada semua yang hadir di situ walaupun kata-katanya sudah biasa bagi masyarakat kampung.
Selamat tinggal ayahanda, kami kembali ke rumah untuk urusan dunia yang belum selesai dan kami serahkan ayahanda kepada urusan Allah, semoga ayahanda ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan bertakwa. Ini bukan saja doa kami, juga doa kawan-kawan kami baik yang jauh mahupun dekat.




Sedikit fakta untuk renungan bersamaAyahanda setelah kematian bonda berada dalam keadaan yang tidak sihat. Hatinya yang selalu di masjid akan ke masjid setiap kali masuk waktu sembahyang. Walaupun dalam keadaan bertongkat dia masih mahu ke masjid. Untuk kebaikan dan keselamatannya, kakak saya, Sobehah yang rumahnya bersebelahan masjid sanggup menjaganya sehingga akhir hayatnya.
Sewaktu pulang dari hospital, kakak yang banyak berkorban hidupnya untuk menjaga termasuk menukar pampersnya. Dalam keadaan dia tidak sedar itu tentu sukar untuk melakukan semua itu seorang diri. Apatah lagi apabila menyentuh tubuhnya, dia berasa sakit, namun semua perlu dilakukan juga untuk membuang najis pada tubuhnya.
Sebenarnya pada 10 Februari telah ada tanda dan isyarat awal bahawa ayahanda akan meninggal dunia bila-bila masa, tetapi hal itu tidak diberi perhatian serius oleh kakak. Iaitu pada jam 11 pagi itu ayahanda ada berkata-kata, “sakit nak, panas” dengan nada dan suara yang kurang jelas tetapi boleh difahami. Padahal sebelumnya dia tidak pernah berkata-kata kecuali mengerang tanda sakit.
Selepas peristiwa itu ayahanda terus tidur dalam keadaan pernafasan masih ada. Kakak masih menjaga seperti biasa, malah pada waktu malam itu dia cuba memberi air, tetapi dia tersedak. Seolah-olah dia sudah tidak mahu menerima sebarang makanan lagi. Kakak ketika itu sudah berasa bimbang, tetapi tidak berani untuk memberitahu keadaan itu kepada adik-adik lain.
Pada Subuh 11 Februari, tidak seperti lazimnya, adik dan anak kakak yang selalu membaca al-Quran dan Yaasin tidak melakukannya seperti biasa. Hanya kakak saya membaca sendiri. Adik perempuan saya, Sofiah turut membaca Yaasin pada jam 9.00 pagi. Waktu itu penafasan ayahanda masih ada walaupun tidak sekuat sebelumnya.
Isyarat ini masih tidak disedari oleh kakak dan adik saya walaupun mereka berdua di sampingnya ketika itu. Malah isyarat yang paling jelas ialah ketika kakak hendak menukar pampers pada jam 8.00 pagi itu, sentuhan kaki dan tubuhnya tidak lagi menyebabkan ayahanda mengadu sakit seperti belumnya. Ini tandanya roh pada bahagian kaki sudah tiada, dan semakin naik secara pelahan-lahan. Waktu itu ayahanda masih kelihatan tenang, dadanya masih bergerak dan bernafas.
Adik saya terus membaca Yaasin sambil melihat wajah ayahanda. Apabila tamat bacaan Yaasin pada jam 9.30 pagi dan selepas melihat wajahnya kali ketiga, didapati ayahanda tidak bernafas lagi. Setelah memanggil kakak untuk mensahihkan kematiannya, adik saya terus menghubungi saya yang ketika itu berada di Puchong, Selangor.
Ingatan kepada semua pembaca blog ini, yang masih ada ibu dan bapa, perhatikan alamat atau isyarat di atas supaya kita bersedia untuk menghadapi kematian orang yang disayangi. Peluang ini memberikan kita ruang untuk mendampinginya dan membaca talkin “Lailahaillah” selagi rohnya belum sampai ke halqum. Wallahu a’lam.


Saya dan adik beradik saya mengikut susunan

Sobehah binti Jaafar
Ahmad Baei bin Jaafar
Ahmad Yusof bin Jaafar
Ahmad Hamzah bin Jaafar
Ahmad Dhoha bin Jaafar
Sofiah binti Jaafar
Ahmad Bunyamin bin Jaafar
Mohd Azam bin Jaafar