24 Februari 2009

Tiada agenda politik dalam masjid?

Kata ulama, politik dengan Islam tidak boleh dipisahkan. Benar, tetapi politik yang dimaksudkan itu bukan politik seperti yang difahami oleh orang Melayu sekarang. Politik dalam faham Islam ialah seperti yang dibawa oleh Rasulullah, tidak membawa umat Islam kepada berpecah belah sebaliknya menyatukan umat manusia di dunia ini.
Suka dijelaskan di sini politik ialah satu ilmu yang memberi panduan kepada manusia tentang mengurus dan mentadbir sesuatu dengan baik dan sempurna. Seorang suami perlu tahu ilmu politik supaya dia dapat mentadbir rumah tangga, seorang guru perlu tahu ilmu politik untuk membolehkan dia mentadbir dan mengurus sekolah atau kelasnya dengan sempurna.
Begitu juga seorang pendakwah dia perlu tahu ilmu politik untuk memastikan orang yang didakwahkannya itu beroleh ilmu yang betul dan boleh diterima oleh pihak yang didakwahkan. Manakala pemimpin masyarakat sama ada kecil atau besar, mereka perlu tahu ilmu politik untuk membolehkan mereka mengurus dan mentadbir negeri atau negara dengan baik dan sempurna.
Kalau begitu kedudukannya, semua orang tidak boleh terlepas daripada politik. Inilah yang dimaksudkan bahawa “Islam dan politik tidak boleh dipisahkan”. Ibarat isi dengan kuku tidak boleh dipisahkan, kalau dipisahkan nescaya akan berasa perit sakitnya.
Kalau begitu mengapa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang umat Islam membicarakan hal politik dalam masjid? Sebenarnya yang dimaksudkan dengan larangan membawa politik ke dalam masjid ialah parti politik bukan politik seperti yang disebut di atas. JAIS melarang umat Islam di negeri ini membawa pengaruh parti politik ke dalam masjid kerana lazimnya orang politik beremosi hingga boleh mencetuskan pergaduhan.
Mereka yang dipengaruhi parti politik di negara ini sering membawa kompleks dalam masyarakat. Pertimbangan mereka sering menimbulkan perbalahan dan pergaduhan dalam kalangan masyarakat Melayu.
Untuk menjaga umat Melayu Islam supaya tidak terus bergaduh dan berbalah, maka masjid seharusnya dijadikan zon aman. Aman daripada pengaruh politik kepartian. Biarlah semua jemaah yang pelbagai fahaman politik dapat melakukan ibadah menghadap Allah, Tuhan yang satu dengan aman damai. Mereka harus bersatu hati seketika tanpa memikirkan isu politik kepartian lagi.
Realiti yang tidak dapat dinafikan di sini ialah, pengaruh parti politik dalam masyarakat Melayu kadang-kadang melihat orang lain yang tidak sehaluan dengannya sebagai musuhnya. Baik yang ada pada orang lain dianggap buruk dan buruk pada kawannya masih dianggap baik. Sikap mereka inilah yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai asabiah.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jauhilah perjuangan asabiah.” Sahabat bertanya, “Apakah yang dimaksudkan asabiah itu? Apakah kecintaan seseorang terhadap bangsanya dikatakan asabiah?” Rasulullah menjawab, “Tidak! Yang dimaksudkan asabiah ialah apabila seseorang menolong bangsa atau kumpulannya dalam melakukan kezaliman.” (Riwayat Ibn Majah).
Oleh sebab itu selagi umat Islam di negara ini tidak boleh membebaskan dirinya daripada fahaman asabiah, taksub kepada seseorang sama ada pemimpin, kumpulannya, atau bangsanya selama itulah mereka dilarang membawa masuk fahaman itu ke dalam masjid. Kalau tidak mereka akan turut menyokong kejahatan kumpulan dan bangsa mereka sama ada secara langsung atau tidak. Ketika itu, masjid tidak akan mampu ditadbir dengan baik dan aman lagi.
Percayalah kalau fahaman asabiah ini dibenarkan berlaku dalam masjid nescaya kumpulan itu akan membela dan mencari alasan untuk menyokong kumpulannya sahaja. Akibatnya akan berlaku pergaduhan dan pertelingkahan masyarakat dalam kariah tersebut.
Sebagai contoh, seorang pemimpin masjid sama ada nazir atau imam yang sering dipuja atau dipandang hebat oleh pengikut atau anak buahnya, jika terdapat keburukan terhadapnya akan dilindungi dan dia akan terus disokong dalam apa keadaan sekalipun.
Kadang-kadang seorang pemimpin itu jelas melakukan amalan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam seperti suka membuat fitnah dan mengapi-apikan permusuhan antara satu kumpulan dengan satu kumpulan lain, tetapi demi kerana "orang kita" dia tetap akan disokong. Lazimnya fahaman asabiah ini datang daripada pengaruh parti politik.
Mungkin tidak semua ahli kumpulan parti politik bersikap begitu tetapi agak majoriti anggotanya bersikap sedemikian. Oleh sebab itu fahaman yang berasaskan pengaruh parti politik tidak wajar dibenarkan membawa masuk ke dalam masjid demi menjaga konsep zon aman di atas.
Menyedari keadaan itu semua pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid mesti membebaskan diri mereka daripada pengaruh parti politik semasa mentadbir masjid. Sungguhpun begitu, tidaklah bermakna mereka tidak boleh menganggotai mana-mana parti politik atau menyokong mana-mana parti politik. Larangan hanya semasa mentadbir urusan masjid supaya faedahnya boleh dimanfaatkan oleh ahli kariah yang pelbagai fahaman politik.
Sebenarnya pengurusan sebuah masjid sama seperti mengurus sebuah kerajaan negeri atau pusat. Semua anak kariah adalah tanggungjawab Ahli jawatankuasa masjid yang ketuanya ialah nazir. Semua ahli kariah tanpa mengira apa fahaman politik mereka akan mendapat hak yang sama. Tegasnya nazir atau AJKnya yang memberi layanan yang berbeza terhadap ahli kariah berdasarkan fahaman politik adalah satu kesalahan di dalam Islam.
Jadi, pelantikan AJK dan pegawai masjid mesti dilakukan dengan berhati-hati agar tidak dikuasai oleh mereka yang berkemungkinan mempunyai pengaruh parti politik. Perkara ini adalah penting selain status mastautin dan kesediaannya untuk memberi khidmat secara sukarela untuk kariah tersebut.
Dalam hal ini Jabatan Agama Islam Selangor yang bertanggungjawab memilih dan mengesahkan jawatan AJK dan pegawai masjid sesuatu kariah mesti mengikut kriteria yang ditetapkan. Maka supaya adil jabatan perlu melihat dokumen tertentu melalui temuduga sama ada secara langsung atau tidak. Pemilihan yang dibuat itu mesti adil dan menepati keperluan yang disebut di atas.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...