Ahmad Baei Jaafar
Penahanan Mohd Asri oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah malam 2November 2009 dan kemudiannya dilepaskan tanpa didakwa keesokannya amat memalukan institusi agama di Negara ini. Apatah lagi institusi itu berada dalam pentadbiran kerajaan PR yang EXCOnya adalah PAS.
Menurut laporan malaysiakini, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang. Katanya ketika itu Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.
Menurut laporan itu lagi, Thalia Rohaina Abdul Latif, salah seorang peguam yang hadir di pejabat agama sementara menunggu dakwaan di mahkamah syariah di situ berkata, perkara ini tidak sepatutnya terjadi dan JAIS sepatutnya membuat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penahanan.
"Mereka (JAIS) datang menyerbu beliau di premis rakannya dan pada waktu itu beliau sedang menikmati makan malam, dan bukannya sedang memberikan ceramah seperti yang didakwa,” kata Thalia.
Star online dalam laporannya pula menyebut sejumlah pegawai penguatkuasa agama dan polis sampai ke premis tersebut pada 9.30 malam untuk menahan Dr Asri. Namun mereka tidak dibenarkan masuk oleh pengikutnya yang berada di luar premis.
Walau bagaimana mereka dibenarkan masuk pada jam 12 tengah malam yang ketika itu Asri baru selesai makan malam. Beliau ditahan atas kesalahan memberi ceramah tanpa tauliah kerajaan Selangor.
Peliknya anggota polis yang dilibatkan dalam penahanan itu turut bertindak tidak profesional seperti pegawai penguatkuasa agama. Lazimnya polis akan bertindak apabila kes berlaku di hadapan mata, kalau tidak akan dilepaskan.
Tetapi pegawai agama yang mendakwa Asri berceramah tanpa tauliah menahannya dengan bantuan polis semasa beliau tidak berceramah. Tentulah tindakan itu tidak profesional kerana menahan tanpa sebab dan bukti yang sah.
Oleh sebab itu Jais dan pejabat agama dalam hal ini seharus bertindak secara profesional dalam menjalankan tugas supaya orang ramai tidak mengekalkan persepsi mereka bahawa pejabat agama memang low class. Dalam hal ini, kita mengalu-alukan semakan semula tentang syarat permohonan tauliah.
Di Selangor sejak kerajaan pimpinan PR, masjid dan surau malah di mana-mana meriah dengan pengajian agama. Sedangkan guru bertauliah amat sedikit dan sesetengahnya tidak mampu menarik minat orang ramai untuk belajar (kerana penceramah yang tidak bermutu).
Jadi, kebenaran tanpa tauliah boleh diberi kepada golongan pensyarah universiti tempatan. Setidak-tidaknya permudahkan urusan memberi kebenaran kepada pihak penganjur bagi menjemput penceramah berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan