Ahmad Baei Jaafar
Meneliti malaysiakini tengah hari ini (4 November 09) saya rasa agak kecewa dengan pandangan Penolong pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin al-Ghari mengenai ijazah dan jawatan mufti yang pernah disandang oleh Dr Asri Zainul Abidin sekali gus menampakkan ketidaklayakan dia memberi komen.
Saya menjangkakan penafian beliau terhadap apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia boleh menyelesaikan masalah tetapi rupanya menambahkan masalah. Jawapan dan ulasannya melalukan Jakim kerana memberikan jawatan itu kepadanya.
Saya paparkan jawapan beliau pada hari ini:
"(Wartawan) bukan tanya palsukan kelulusan tapi dia tanya saya, status sebenar ijazah Dr Asri."Saya kata Dr Asri cuma ada ijazah sarjana muda bahasa Arab daripada fakulti sastera Universiti Jordan, bukannya mempelajari jurusan syariah dan pengajian Islam."Laporan daripada (akhbar Utusan) lah yang salah kerana dia kata saya dakwa dia palsukan Ijazah," jelasnya.Katanya lagi, Dr Mohd Asri tidak mendasari ilmu di bidang syariah dan pengajian Islam kerana bekas mufti itu hanya seorang lulusan bahasa Arab."Dia bukan seorang ahli hukum, maksudnya bukan seorang yang mahir tentang al-Quran, hadis tafsir atau fekah."Beliau hanya belajar bahasa Arab, macam mana dia dapat menggali ilmu Islam, apatah lagi untuk berinteraksi secara mendalam tentang al-Quran dan hadis."Kalau ada (kelulusan) syariah dan pengajian Islam barulah layak dilantik ke jawatan mufti," katanya lagi.
Saya percaya Zamihan tidak menyedari bahawa dengan ijazah sarjana muda seseorang itu tidak boleh menjadi pensyarah, sedangkan Asri kini adalah pensyarah USM. Untuk pengetahuan umum untuk menjadi pensyarah perlu memiliki sarjana (MA).
Di sini sahaja kita dapat faham bahawa Asri sudah ada MA, kenapa Zamihan tidak selidik dalam bidang apa MA Asri itu? Selain itu adakah Zamihan tidak sedar bahawa di hadapan Asri itu ada Dr bererti dia memiliki Phd. Sudahkan Zamihan mengkaji apakah bidang yang dikaji untuk mendapatkan Phd itu?
Jadi, jawapan seorang penolong pengarah Jakim itu sungguh memalukan Jakim. Seharusnya Pengarah Jakim perlu menilai semula jawatan yang disandangnya. Setidak-tidaknya apakah kelayakannya untuk menjawab persoalan itu kepada media.
Untuk pengetahuan umum juga kebanyakan mufti di negara ini hanya memiliki ijazah sarjana muda waktu dilantik, malah ada yang sekadar sekolah pondok. Jadi, jangan pertikai orang hanya berdasarkan penilaian yang cetek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan