Ahmad Baei Jaafar
Sewaktu belajar agama di sekolah dahulu, ada ustaz memberitahu bahawa perkara yang boleh membatalkan solat ialah bercakap. Waktu itu, sebagai pelajar tiada persoalan yang mencurigakan kerana hokum itu telah tercatat dalam kitab. Kita terima sahajalah.
Tetapi di dalam hati timbul juga persoalan, “takkanlah tengah solat nak bercakap” kerana sepanjang masa kita perlu membaca doa tertentu selain ayat al-Quran. Jadi, tidak mungkin orang yang solat boleh bercakap.
Walau bagaimanapun dengan kreatif ustaz yang mengajar itu, dia cuba membawa cerita yang pada saya rekaan semata-mata, tidak kena mengena dengan orang yang hidup mahupun yang mati. Kata ustaz, ada tiga orang muallaf melakukan solat di sebuah surau yang ketika itu sudah tidak ada orang lain.
Salah seorang daripada mereka menjadi imam, dan dua lagi menjadi makmum di belakangnya. Yang menjadi imam itu agak lebih lama masuk Islam malah lebih tahu daripada dua sahabatnya walaupun masih jahil. Sewaktu solat salah seorang makmum terlupa bacaan dalam fatihah. Maklumlah dia membaca secara kuat dan terangkak-rangkak.
Oleh sebab bacaan yang agak kuat menyebabkan perbuatannya itu mengganggu makmum seorang lagi. Bacaan yang diulang-ulangkan berkali-kali turut menjadikan bacaan tidak dapat disempurnakan.
Dalam keadaan itu imam terus rukuk dan makmum yang terganggu itu segera menyuruh sahabatnya turut rukuk. “Ikut saja imam rukuk”, beritahunya dalam bahasa Melayu. “Fatihah tak habis lagi macam mana?” tanya balasnya. Namun imam yang sudah rukuk itu tiba-tiba bersuara, “kenapa kamu berdua bercakap?”
Moral storynya, orang yang tidak cukup ilmu untuk solat perlu ikut bersama-sama dengan orang yang benar-benar faham ilmu solat. Tanpa contoh solat yang baik, ketiga-tiga mereka itu telah terbatal solat. Walaupun ini paparan ini sekadar contoh, entah betul atau tidak, tapi yang penting bercakap sewaktu solat boleh membatalkan solat.
Mendengar cerita itu saya rasa selamat kerana kesilapan itu hanya boleh berlaku kepada orang yang baru belajar solat atau orang yang baru masuk Islam. Maka orang yang sudah lama Islam tidak mungkin boleh tersilap seperti itu.
Tetapi tahukah anda, pada hari ini ramai umat Islam bercakap dalam keadaan dia melakukan solat, tetapi dia terus melakukan solat tanpa sedar bahawa dia sudah terbatal. Ya, ramai yang tidak sedar, tetapi tahukah anda sewaktu melakukan solat berjemaah ada jemaah yang sempat membaca tulisan pada baju T jemaah yang berdiri di hadapannya.
Benar, mereka membaca di dalam hati, dan keadaan itu tidak salah dan tidak membatalkan solat. Namun walaupun mereka membaca dalam hati, kita tidak tahu mungkin sesaat bergerak juga lidah untuk membacanya. Maka ketika itu sudah boleh membatalkan solat.
Saya sendiri ada pengalaman, pernah bersolat di belakang remaja yang memakai baju T bertulis kata-kata yang menarik. Ada juga yang tulisannya seperti buku sejarah dan tidak kurang juga yang menggunakan bahasa gila-gila. Ya, tanpa sedar kita terpanggil untuk membaca kata-kata itu.
Oleh sebab itulah ada ulama yang mengharamkan orang yang bersolat memakai baju T yang bertulis atau bergambar baik di hadapan mahupun belakang. Mungkin dengan pemakaian itu menyebabkan orang lain terbatal solat. Jadi, jangan pakai baju T seperti itu lagi demi menghormati ibadah solat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan