29 Ogos 2009

Berita kematian Datuk Ismail bukti kebenaran al-Quran


Ahmad Baei Jaafar


Seluruh rakyat Malaysia terkejut dengan berita kematian Datuk Dr Ismail Salleh pada Khamis, 27 Ogos 2009 kerana serangan jantung. Beliau dalam pernerbangan pulang dari China ke Singapura disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi.


Pakar Ekonomi yang dikagumi dunia ini adalah cacat penglihatan. Kematiannya mungkin sukar diganti apatah lagi dalam kalangan orang kurang upaya (OKU). Jenazah Allahyarham Datuk Dr Ismail dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Kantan Kajang pada malam Jumaat, 10 malam.

Belumpun hilang kesedihan rakyat tentang kematian itu, tersebar pula melalui SMS bahawa Dato’ Ismail Kamus meninggal dunia di Tanah Suci Makkah. Berita asal dari orang pertama itu, diperpanjangkan keseluruh negara. Sekali lagi rakyat Malaysia gempar.

Sepantas kilat SMS tersebar ke seluruh negara, ribuan umat Islam sempat membaca al-Fatihah untuknya. Peliknya sehingga hari ini masih ada lagi orang tertentu yang menerima mesej tersebut. Hanya beberapa orang kenalan rapat Dato’, cuba mendapatkan kepastian daripada keluarga Dato’ sendiri.

“Ustaz masih sihat, saya baru bercakap dengannya, dia kata akan balik esok,” kata keluarga Dato’.

Mengapa umat Islam yang menerima berita itu terus percaya? Mengapa mereka tidak boleh bertindak seperti dua tiga orang cuba mencari kepastian dari keluarga terdekatnya? Bukankah Islam mengajar begitu?

Oleh sebab itu orang pertama yang mengeluarkan berita itu perlu diletakkan pada tahap orang fasiq, iaitu orang yang boleh jadi melakukan dosa. Hal ini kerana hanya rasul sahaja dalam kalangan manusia yang tidak fasiq. Jadi, sebarang berita yang sampai kepada kita perlu dipastikan kesahihannya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6).

Sebenarnya, orang pertama yang mendapat berita itu terkeliru dengan berita kematian Datuk Prof Dr Ismail Salleh, lalu menyangka Dato’ Ismail Kamus. Jadi, kalau semua umat Islam memahami ayat al-Quran itu sudah pasti mereka tidak akan keliru dan membuat orang lain keliru.

Percayalah dengan peristiwa ini dapat membuktikan kepada kita bahawa perkhabaran al-Quran itu adalah benar dan tepat, meragui adalah kafir.

2 ulasan:

Gurindam Jiwa berkata...

Saya sekarang sudah hampir tiada lagi menerima SMS yang mengelirukan sedemikian. Mungkin kerana saya sudah tidak melayan lagi gossip sebegitu. Saya pernah menerima gossip Ust Wan Sohor meninggal dunia beberapa tahun lalu. Hah! :-)

Kali terakhir menerima SMS sedemikian ialah berita Shahnon Ahmad dulu. Hingga hari ini, org yg hantar SMS itu tidak lagi berSMS atau bertelefon atau berjumpa dengan saya. Kalau jumpa, saya akan tanya dia tentang berita Shahnon Ahmad tu.

Syarikat gergasi telekomunikasilah yg paling untung dalam hal ini.

Mungkin mereka yg memulakan SMS sebegini. Mungkin sahaja...

baei berkata...

Orang Islam sepatutnya lebih beringat dalam sebegini.