09 September 2013

Kenapa Pertikai Takdir Allah

Ahmad Baei Jaafar

Sehari dua ini ramai yang memberi komen dalam fb kononnya kenaikan harga barang ketentuan Allah. Saya hairan kenapa timbul isu dengan kenaikan harga barang, apakah ada kaitan dengan kenaikan harga minyak. Tetapi yang saya perhatikan dalam hal minyak ini, bukan harga minyak yang naik tetapi sabsidi minyak yang dikurangkan. Maka dengan itu kita kena bayar lebih untuk beli minyak itu.
Nak kata barang lain naik, saya tidak pasti sangat sebab jarang ke pasar. Tetapi isu naik harga dan turun harga barang bukan baru hari ini. Harga ikan naik dan turun setiap hari, begitu juga dengan harga sayuran. tetapi kenapa waktu ini timbulkan isu kenaikan harga barang ketentuan Allah.
Sebenarnya, kalau umat Islam masing-masing kuat tauhidnya, masing-masing berpegang kepada qada dan kadar Allah, mereka tidak mudah melatah. Bukankah kita faham bahawa kita dan makluk seluruh alam ini ciptaan Allah. Dia yang menentukan hidup kita dan apa yang kita lakukan. Kita boleh menulis, boleh bernafas, boleh makan adalah dengan kehendak Allah dan itupun telah ditentukan Allah.
Percaya tak, ada orang yang sedang berjalan tiba-tiba terhenti lalu jatuh, kena angin ahmar. Itu menunjukkan Allah tak izinkan dia berjalan padahal sebelum itu sihat. Dan sudah pasti itu adalah takdir Allah. Sebaliknya, apbila segala yang ditentukan itu berlaku, barulah perkara itu dikatakan qada (maksudnya terlaksana ketentuan Allah itu).
Barangkali kalau apa yang dipaparkan itu dikaitkan dengan kenaikan harga barang dan turun kemudiannya, tentu bolehlah kita katakan "ketentuan Allah". Bagaimana boleh jadi begitu? Apabila barang banyak, harga akan turun dan apabila barang kurang atau permintaan ramai dan kehendak tidak mencukup maka harga barang dinaikkan. Memang harga barang itu ditentukan oleh pasaran dan permintaan tetapi siapa yang mengurangkan hasil dan menambahkan hasil, tidakkah itu kehendak Allah?
Sebagai orang Islam, kita harus sedar bahawa takdir Allah sudah ditentukan sejak kita belum lahir lagi termasuk apa yang kita hendak lakukan. Cuma sebagai makhluk Allah kita tidak tahu apa yang telah Allah takdirkan kepada kita. Maka berbekalkan akal dan hati budi, ilmu dan petunjuk Rasul dan ulama kita bertindak. Kita bukan bergerak ikut angin bertiup tetapi mengikut ilmu dan akal. Di situ kadang-kadang kita berjaya dan kadang-kadang kita gagal. Setelah itu terjadi baru kita sedar bahawa sudah ditakdirkan begitu.
Sungguhpun begitu, setelah kita sedar daripada kegagalan itu, kita bangun semula daripada kegagalan, kerana kita tidak tahu apa yang Allah takdirkan untuk kita selepas itu. Mungkin dengan sebab itu kita berjaya, maka sedarlah kita bahawa telah ditakdirkan Allah begitu.
Begitulah kefahaman yang sepatutnya kita hayati dalam hidup ini selepas ini. Kita tidak boleh serah kepada takdir kerana kita belum tahu apa yang Allah takdirkan kepada kita selepas ini. Berdasarkan ilmu ini jika kaitkan dengan isu harga naik, ya memang itu takdir Allah, tetapi apa yang Allah takdirkan untuk kita dengan harga barang itu. Kitapun tidak tahu. Boleh jadi dengan harga naik itu, kita menjadi usahawan berjaya. Boleh jadi dengan harga barang itu kita boleh mencipta barang baru. Inilah peluang yang selalu kita lupa dalam hidup ini. Percayalah kalau umat Islam belum mahu sedar dalam hal seperti ini, kita akan terus mundur.
Ayuh bangun segera wahai orang Islam. Kita ada Allah, Allah maha kaya. Dia boleh mengayakan kita kalau kita tidak banyak mempertikaikan takdir Allah. Wallahu aklam.

06 September 2013

Kasim Selamat tidak pernah menceraikan Sabariah

Ahmad Baei Jaafar

Anda masih ingat kisah dalam filem “ibu mentuaku” yang Nyonya Mansoor mengambil helah untuk memisahkan anaknya Sabariah dengan suaminya, Kasim Selamat. Dia datang meziarahi anaknya atas jemputan anaknya yang sedang mengandung. Setelah melihat keadaan anaknya, dia meminta izin menantunya Kasim Selamat untuk membawa pulang anaknya ke Singapura kononnya supaya dapat bersalin lebih selesa.
Atas permintaan itu suami Sabariah terpaksa merelakan pemergian isterinya bersama ibu mentuanya. Lagipun dia tidak dapat membaca niat buruk ibu mentuanya itu. Dia benar-benar menyangka bahawa ibu mentuanya sudah berubah dan insaf. Agaknya itulah mentaliti seorang ahli muzik, tidak mampu berfikir di luar kotak.
Sabariah meskipun sayang kepada suaminya Kasim Selamat, dia juga tidak dapat membaca niat buruk ibunya. Surat cinta yang dikirimkan kepada suaminya melalui ibunya semuanya ditongsampahkan tanpa disedari olehnya. Suami yang terputus hubungan masih bersangka baik kepada isterinya. Namun, isteri yang mengharapkan suratnya berbalas sudah menyangka sesuatu yang buruk terhadap suaminya.
Sebelum itu, pada hari kelahiran cucunya, Nyonya Mansoor telah menghantar telegram kepada menantunya bahawa Sabariah meninggal dunia sewaktu bersalin. Kerana berita sedih itu, Kasim Selamat menangis berhari-hari sehingga buta matanya. Tanpa kerja dan tanpa pendapatan akhirnya dia diusir keluar dari rumah sewanya itu.
Sabariah yang tidak tahu kisah sebenar, kecewa dengan sikap suaminya yang padanya tidak bertanggungjawab terhadapnya. Apabila perasaan itu diluahkan kepada ibunya, “pulang paku buah keras” digunakan secukupnya oleh ibunya. “Sudah aku katakan, suami kamu sudah lupakan kamu dan kini boleh jadi kembali menyanyi di kelab malam,” katanya.
“Kalau begitu apa yang saya patut buat?” tanya Sabariah.
“Senang sahaja, mula-mula tuntut fasakh di pejabat agama, selepas habis iddah kahwin dengan Dr Asmadi,” kata Nyonya Mansoor.
Akhirnya, Sabariah berkahwin dengan Dr Asmadi, namun mereka tidak dikurniakan anak lagi. Dipendekkan cerita, Kasim Selamat yang buta itu telah membuat persembahan di Singapura. Kebetulan persembahan itu turut dihadiri oleh Sabariah dan suaminya, Dr Asmadi.
Saya percaya anda tahu kisah seterusnya, maka sebab itu saya tidak mahu melanjutkan kisahnya di sini.
Saya percaya anda menonton filem ini bukan sekali tetapi berkali-kali. Bahkan saya percaya setiap kali anda menontonnya, pasti mengalirlah air masih sedih dan simpati. Namun berapa ramai yang mengambil pengajaran ke arah membaiki rumah tangga masing-masing.
Sebenarnya merujuk kepada kisah di atas, perkahwinan Dr Asmadi dengan Sabariah setelah berjaya difasakhkan dengan suaminya Kasim Selamat hasil tipu muslihat ibunya adalah sah. Hal ini kerana setelah habis iddah dia sudah boleh berkahwin dengan Dr Asmadi.
Tetapi tahukah anda perancangan rapi ibu mentua Kasim Selamat bagi memisahkannya dengan Sabariah adalah dosa. Dosa meruntuhkan rumah tangga anak menantunya sendiri. Dan tahukah anda, fasakh yang dirancang atas alasan suami yang tidak bertanggungjawab kepada isteri dan anak adalah satu penipuan besar. Perbuatan itu adalah dosa yang amat besar terhadap anaknya sendiri.
Sebenarnya menurut hukum Islam, seseorang suami yang hilang selama 4 tahun, isteri bolehlah beranggapan bahawa suaminya sudah meninggal dunia. Dengan itu dia boleh berkahwin dengan suami baru. Tetapi jika dalam tempoh beberapa bulan setelah berkahwin, suaminya muncul kembali, maka ketika itu hubungannya dengan suaminya masih sah sebagai suami isteri.
Berdasarkan peruntukan undang-undang, suaminya berhak memohon di mahkamah bagi memfasakhkan perkahwinan isterinya dengan suami baru itu. Dan mereka boleh meneruskan kehidupan suami isteri tanpa perlu dinikahkan semula.
Hukum ini kalau dirujuk kepada kisah dalam “ibu mentuaku”, Kasim Selamat sewaktu menyedari isteri Dr Asmadi yang merawat matanya adalah isterinya sepatutnya mengambil tindakan saman terhadap Dr Asmadi mohon difasakhkan perkahwinan isterinya dengan Dr Asmadi itu. Isterinya Sabariah adalah tetap miliknya yang tidak pernah diceraikan.
Jelas, kalau Kasim Selamat tahu kedudukan hukum ini, sudah pasti dia tidak akan bertindak untuk membutakan matanya semula hanya semata-mata mendengar kata-kata Dr Asmadi itu. Sebaliknya ucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Asmadi kerana dia telah mengembalikan dua perkara kepadanya; penglihatan dan isterinya.

Alangkah baiknya kalau filem sebaik ini dihayati oleh penonton selaras dengan kehendak Islam.

28 Ogos 2013

Petriotikkah anda tanpa hormat lagu petriotik?

Ahmad Baei Jaafar

Adakah anda tidak petriotik? Begitulah antara soalan yang sering kita dengar dilemparkan oleh pemimpin masyarakat setiap kali kita menyuarakan pandangan yang seperti mengkritik kerajaan. Apakah maksud petriotik? Apakah dengan mengkritik pemimpin atau kerajaan boleh dianggap tidak petriotik?
Perkataan patriotik berasal daripada perkataan patriot yang bermaksud orang yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan negaranya, pembela negara. Jadi patriotik bermaksud bersifat patriot iaitu orang yang sifat mencintai negara dan mempertahankan kedaulatan negara. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.
Berdasarkan pengertian di atas polis, askar dan seumpama mereka sah-sahlah petriotik. Begitu juga pegawai kerajaan terutama guru-guru sekolah, mereka pasti petriotik kerana kerja mereka untuk membantu negara dan rakyat. Namun dalam menjalankan tugas mereka tidak terlepas daripada mengkritik kerajaan atau pemimpin.
Dalam setuasi itu mereka seharusnya tidak disifatkan sebagai tidak bersifat petriotik. Malah boleh jadi mereka sangat pertriotik kerana mereka tidak senang hati atau sensitif dengan penyelewengan atau kelemahan kerajaan. Orang yang mengkritik kerajaan tentu kerana mereka lihat sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran kerajaan.

Siapa yang tidak Petriotik?

Sebenarnya orang yang tidak bersifat petriotik boleh dilihat pada tindakan hariannya dalam negara ini. Jika mereka kelihatan tidak sayang kepada negara sekali gus membuka ruang kepada orang lain untuk mempermain-mainkan negara maka dia tidak lagi petriotik. Anda mungkin pernah menonton sebuah filem Melayu lama bagaimana Melaka diserang Portugis. Seorang pembesar negeri yang rasa kecewa dengan sultan Melaka lalu membuka sempadan dan berpakat dengan pedangang Portugis untuk menggulingkan sultan. Sah beliau tidak petriotik.
Adakah masih wujud rakyat Malaysia yang sifatnya seperti pembesar Melaka itu? Mungkin ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang memburuk-buruk nama baik Malaysia di luar negara atau suka mendedahkan keaiban kerajaan kepada pihak musuh. Atau ada pegawai kerajaan yang mendedahkan rahsia atau strategi kerajaan kepada musuh. Mereka ini sebenarnya boleh dikategorikan sebagai tidak petriotik.
Suatu ketika kita dihebohkan ada rakyat Malaysia yang mempermain-mainkan lagu “negaraku”. Saya sendiri tidak pernah dengar lagu itu dan tidak pernah membaca lirik yang diubahsuai itu. Ramai yang memberi respons memarahi tindakannya. Ya, kalau dia dengan lagu itu menghina dan meletakkan Malaysia di tempat yang rendah sahlah dia tidak petriotik.
Tetapi kalau ada orang luar Malaysia memburukkan Malaysia, menghina pengangan agama kita, mereka itu tidak boleh dikatakan tidak petriotik kerana mereka bukan warganegara. Namun jika ada rakyat Malaysia yang tidak membantah tindakan mereka itu maka hakikatnya rakyat Malaysia itulah yang tidak pertriotik. Adakah wujud rakyat Malaysia seperti itu?
Dalam setuasi lain, pernah kita jumpa bendera Malaysia, Jalur Gemilang jatuh menyembah bumi. Mungkin ikatannya tidak kuat atau digamkan dengan gam yang kurang kuat. Apakah sikap anda apabila melihat bendera itu? Kalau anda hanya mengais dengan kaki ke tepi jalan kerana menganggapnya sebagai sampah sahaja. Maka perbuatan itu seperti tidak menghormati Malaysia kerana bendera itu adalah lambang kewujudan Malaysia. Sikapnya ketika itu sudah dikira tidak petriotik.
Keadaan ini berbeza kalau seseorang itu meletakkan bendera itu pada keretanya tetapi kemudian terjatuh sewaktu tengah memandu di jalan raya. Dia bukan tidak petriotik kalau tidak berhenti mengambil bendera itu kembali. Keadaan itu tidak mengizinkan untuk dia berhenti.
Tetapi adakah orang yang tidak pasang bendera jalur gemilang di mana-mana primisnya atau kenderaannya dikira sebagai tidak petriotik? Di sini kita perlu menilai apakah sebab dia tidak mahu memasang. Mungkin kerana tiada wang untuk membelinya atau rasa tidak selamat diletakan di sini. Mereka ini masih petriotik. Tetapi kalau dia menganggap enting, dan dianggap tidak ada erti apa-apa dengan bendera itu padanya, maka sahlah dia tidak petriotik.

Lagu Petriotik

Apakah tidak menghormati lagu petrotik boleh dikira tidak pertriotik? Tidak dinafikan lagu petriotik dapat melahirkan rasa cinta kepada negara. Namun tidak semua lagu petriotik membawa mesej yang boleh membangunkan jiwa kita kepada cintakan negara. Jika ketika lagu itu dimainkan kita menutup telinga atau menutup radio, adakah kita boleh dikategorikan sebagai tidak petriotik?
Ya, sikap itu memang tidak enak dipandang. Kalau kita tidak suka dengar, biarlah lagu itu berlalu tanpa sebarang kritikan. Biarlah lagu itu dengan nyanyiannya, tidak rugi apa-apa pun. Mungkin pada kita, tidak memberi apa-apa makna, tetapi lain pula pada orang lain. Namun tidaklah boleh dianggap tidak petriotik dengan sikap itu, apatah lagi kalau dia memang tidak minat menyanyi. Setiap orang diberi anugerah yang tidak sama.

Apakah petriotik dianjurkan Islam?

Tidak ada dalil baik daripada al-Quran mahupun hadis yang secara jelas menyuruh kita cintakan negara. Memang ada satu ungkapan yang disebut-sebut sebagai hadis ialah “cinta negara sebahagian daripada iman” namun kata-kata itu dipertikaikan kesahihannya. Jadi secara jelasnya memang tidak ada dalil.
Walau bagaimanapun, di segi amalinya Rasulullah dan para Sahabat baginda amat cintakan Madinah, negara Islam pertama. Mereka mempertahankan negara daripada serangan musuh dalam beberapa peperangan. Malah tidakan seorang sahabat yang berniat untuk membocorkan rahsia bahawa rombongan tentera Islam akan bertolak menyerang Makkah terus diambil tindakan.
Sahabat tersebut ialah Hathib bin Abi Baltaah dia menulis surat kepada sanak saudaranya yang berada di Makkah tentang serangan yang bakal dibuat oleh Rasulullah. Surat itu diserahkan kepada seorang wanita yang sedang menuju ke Makkah. Baginda yang mendapat maklumat itu telah mengarahkan Saiyidina Ali supaya menahan wanita itu dan mengambil surat itu.
Dalam surat itu dengan jelas menyebut daripada Hathib bin Abi Baltaah meminta Quraisy bersedia dengan serangan Rasulullah. Akhirnya Rasulullah menangkap Hathib bin Abi Baltaah untuk soal siasat. Atas pengakuan salahnya baginda pertimbangkan untuk memaafkan namun dihalang oleh sahabat lain. Kemaafan itu adalah kerana Hathib salah orang tentera Badr.
Berdasarkan kisah di atas, wajarlah kita bersifat petriotik. Siapapun kita, atas nama rakyat Malaysia kita wajar sayangkan Malaysia apatah lagi dengan berada di negara ini kita boleh melakukan ibadah dengan baik dan dapat melaksanakan hukum Allah dengan sempurna. Bahkah kita tidak dihalang untuk berdakwah bagi menyedarkan manusia kepada Allah dan rasul-Nya.  

07 Ogos 2013

Selamat Hari Raya Edul Fitri

Ramadan berlalu Syawal mendatang meraikan orang yang bertaqwa. Dengan ini saya dengan rendah hatinya mengucapkan selamat hari raya kepada semua pengunjung dan Temanku blog ini, semoga Allah menerima segala ibadah kita dan kamu juga. Hendaknya kita digolongkan dalam kalangan orang yang kembali kepada fitrah dan orang yang berjaya. Dan semoga setiap tahun kita berada dalam keadaan baik dan berkat.
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ مِنَ العَائِدِينَ وَالفَائِزِينَ
كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيرٍ
Selamat Hari Raya Edul Fitri
Maaf Zahir dan Batin
Daripada
Ahmad Baei Jaafar dan Keluarga

1 Syawal 1434

31 Julai 2013

Hari Raya Menguji Ketakwaan Umat Islam

Ahmad Baei Jaafar

Setelah kita berhempas pulas bermujahadah menahan nafsu sepanjang bulan Ramadan, kini sampai masanya kita bersuka ria menyambut hari kemenangan yang dinamakan Aidilfitri. Tarikh 1 Syawal tetap menjegah kita tanpa gagal sama ada kita berpuasa atau pun tidak. Namun Aidilfitri datang secara khusus untuk meraikan umat Islam melakukan puasa sepenuhnya.
Walau bagaimanapun mereka tidak melakukan puasa sepenuhnya termasuk kanak-kanak boleh turut menyambut hari kemenangan ini, malah dalam realitinya merekalah orang yang paling gembira dengan kedatangan Syawal ini. Yalah, bagi kanak-kanak mereka akan mendapat duit raya, malah sesetengahnya mendapat beratus ringgit juga. Manakala golongan yang puasanya kurang sempurna berasa gembira kerana tekanan lapar sudah berakhir dan kini boleh membalas dendam, makan sepuasnya. Selain itu, mereka boleh berhibur semahunya.
Sebaliknya mereka yang mampu berpuasa dengan sebaiknya tidak sebegitu ghairah menyambutnya. Mereka selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri akan berziarah sanak saudara. Selepas itu mereka akan menyambung puasa sunat Syawal pada 2 Syawal. Barangkali mereka inilah golongan yang akan beroleh taqwa. Persoalannya di mana kedudukan anda?

Siapa yang layak menyambut
Sememangnya orang yang berpuasa diharapkan mencapai tahap taqwa seperti yang difirmankan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183; “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Jadi, bagaimana dengan puasa anda, mencapai taqwa atau tidak? Sudahkah anda berpuasa dengan penuh rasa iman dan taqwa? Ya, mereka yang beriman dan bertaqwa berpuasa bukan sekadar tidak makan dan minum dan tidak melakukan perkara yang membatal puasa, tetapi turut menjaga lidah, tangan, kaki, mata dan telinga daripada melakukan dosa kecil apatah lagi besar.
Selain itu mereka yang berjaya menambah pahala sunat seperti solat sunat tarawih yang sempurna, membaca al-Quran dan memberi makan orang berbuka puasa dengan seikhlasnya berpeluang menambahkan mutu Ramadannya. Ibadah ini merupakan bonus untuk menjadikan mereka bertaqwa seperti yang diharapkan Allah dalam ayat di atas.
Mereka yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dan segala amalan sunat dalam bulan Ramadan tentu Allah melihatnya dengan penuh rahmat. Apa tidaknya, mereka ini boleh berakhlak baik dengan manusia apatah lagi dengan Allah. Mereka juga boleh berakhlak dengan haiwan dan alam sekitar. Jika inilah hasil daripada ibadah puasanya, tidak syak lagi mereka ini adalah orang yang paling layak untuk menyambut Aidilfitri.
Sejarah Rasulullah dan Sahabat mencatatkan bahawa mereka menyambut hari raya secara sederhana malah mereka bersedih dengan pemergian Ramadan. Oleh sebab itu mereka akan melakukan segala amalan sunat sebaik sahaja diisytiharkan sudah masuk satu syawal. Mereka mulakan dengan takbir dan tasbih raya.
Seterusnya pada siang hari diulang lagi amalan takbir sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan imam. Sebelum itu sebelum solat subuh mereka akan mandi sunat hari raya. Dan selepas solat subuh mereka  akan makan sebagai tanda tidak berpuasa lagi.
Lazimnya selepas solat Aidulfitri mereka akan melakukan amalan ziarah rumah ke rumah, bermula dengan jiran terdekat dan kemudiannya menziarahi sanak saudara terdekat. Mereka rapatkan hubungan terutama silaturrahim dalam kalangan kaum keluarga.

Siapa yang dihalang menyambut
Sebenarnya Islam tidak pernah menghalang sesiapa pun untuk menyambut hari raya ini. Malah orang bukan Islam juga boleh bersama-sama orang Islam meraikannya. Oleh sebab itu tidak salahlah orang yang gagal berpuasa sebagaimana yang sewajarnya, menyembut hari raya seperti orang lain. Hal ini kerana mereka adalah golongan yang berpuasa kategori orang awam.
Tetapi lazimnya kita dapati mereka ini menyambut hari raya bak kata ibarat “lebih sudu dari kuah”. Sambutan mereka lebih hebat daripada orang yang layak dalam kalangan golongan khawas dan khususul khawas. Mereka menyambut secara melampau dalam berhibur. Malah hiburan adalah keutamaan mereka, sedangkan amalan ziarah sudah dikesampingkan.
Sepatutnya mereka dalam kategori awam ini menyambut Syawal sebagai meraikan golongan yang berjaya termasuk kanak-kanak. Mereka sepatutnya bertemu orang yang berjaya dan mengucapkan tahniah dan doakan kebaikan. Tetapi bagaimana kita hendak kenal mereka yang berjaya kerana lazimnya orang yang berjaya pun tidak mahu mengaku berjaya.
Maka atas semangat itu Islam menganjurkan amalan menyambut Syawal dengan mengucapkan tahniah dan doa kepada orang yang kita temui. Dengan saling mengucap tahniah yang sekali gus berdoa akan kejayaan orang lain, diharapkan kita semua beroleh kejayaan. Kalaupun tidak sampai ke tahap taqwa, setidak-tidaknya kita menjadi orang yang redha dengan keputusan Allah.
Pada masa yang sama, kita digalakkan bersedekah kepada anak-anak semoga dengan sumbangan ikhlas itu Allah ampun dosa kita dan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Kita tidak tahu sejauhmana amalan kita diterima Allah, tetapi kalau kanak-kanak yang suci hati turut mendoakan kita tentu sedikit sebanyak ada penambahan kebaikan untuk kita.

Amalan Sunnah
Rata-rata umat Islam di sini telah melakukan aturcara di atas tetapi sejauhmana mereka dapat melakukannya sebagai yang dianjurkan oleh Islam. Berapa ramai umat Islam yang bangun melakukan mandi sunat Aidilfitri? Wanita yang uzur juga tidak harus ketinggalan untuk melakukan mandi sunat. Kalau begitu semua umat Islam patut melakukannya tanpa gagal.
Begitu juga dengan amalan berkunjung ke tempat solat Aidilfitri, wanita yang uzur masih ada tempat dan ruang untuk sama-sama mendengar khutbah raya. Kalau semua umat Islam datang lebih awal untuk mengambil tempat yang sesuai tentulah besar ganjaran untuk mereka. Wanita uzur walaupun tidak boleh solat mereka boleh duduk di tempat khas di luar masjid untuk sama-sama mendengar khutbah hari raya.
Tetapi saya tidak pasti, berapa buah masjidkah yang menyediakan tempat khas untuk wanita uzur? Atau adakah wanita uzur sendiri tidak berminat untuk mendengar khutbah lalu kerana itu tempat mereka tidak disediakan? Realitinya wanita yang uzur lebih selesa berada di dalam rumah semasa orang lain bersolat hari raya. Alangkah ruginya mereka kerana tidak mendapat nasihat yang baik pada pagi hari raya.
Sebenarnya solat sunat hari raya dan khutbahnya amat besar faedahnya. Selain solat berjemaah itu mendapat pahala berlipat kali ganda, dapat pula umat Islam berkenal mesra antara satu sama lain. Ya, kadang-kadang jiran rumah pun kita tidak berpeluang bercakap, maka pada hari ini kita berpeluang berbual sambil mengucap tahniah atas kejayaan menjalankan ibadah puasa.
Namun tidak dinafikan, ada umat Islam yang walaupun berkumpul ramai-ramai, mereka tidak mahu mengambil perluang berkenalan dengan rakan solat di sebelahnya. Adakah mereka malu untuk berkenalan atau mereka sombong kerana menilai orang tidak layak berkenalan dengannya. Kalau itu yang difikirkan bagaimana kita boleh berjaya dalam menempuh ujian Allah. Boleh jadi inilah tanda awal kita gagal melaksanakan ibadah puasa.
Sebaiknya sewaktu bersalaman kita memperlawa mereka ke rumah anda. Inilah amalan orang soleh sejak zaman berzaman. Mereka akan berziarah jiran terdekat selain sanak saudara dengan saling mengucap tahniah kerana berjaya memenuhi ibadah puasa. Cuma dalam amalan masyarakat Melayu, kita sering ucapkan “Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin” kepada orang yang kita temui. Semoga ucapan itu dinilai sebagai doa juga.
Bagi menambah baik ucapan itu bolehlah juga kita susuli dengan ucapan; “tahniah anda berjaya beroleh taqwa, tahniah anda berjaya melaksanakan puasa dengan sempurna dan yang seumpamanya. Bagi masyarakat Arab mereka sering ucapkan كل عام وأنتم بالخير yang bermaksud semoga setiap tahun kamu dalam keadaan baik.
Sebenarnya pada zaman Rasulullah ada satu ucapan yang turut dipakai, ini berdasarkan sebuah hadis
 daripada Wasilah bin al-Asqa’ katanya, aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya lalu aku berkata: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maka baginda berkata: ya  تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maksudnya: “Semoga Allah terima amalan daripada kami dan kamu juga.”
Amalan yang diucapkan oleh sahabat ini untuk Rasulullah adalah untuk menunjukkan adab memberi ucapan tahniah. Selain itu apabila baginda membalas dengan ucapan yang sama menunjukkan ucapan itu boleh digunakan oleh umat Islam.

Berdasarkan itu ucapan sebegini masih releven diucapkan sewaktu kita berziarah ke rumah orang yang kita hormati juga kawan-kawan yang kita sayangi. Semoga amalan ini juga boleh dijadikan hiburan buat kita sepanjang berhari raya.

18 Julai 2013

Sembunyi status wali, anak jadi mangsa wati syubahah

Ahmad Baei Jaafar

Sepanjang saya mengendalikan urusan perkahwinan umat Islam, terdapat pelbagai kes yang membabitkan anak tak sah taraf. Tidak kurang juga yang datang memohon perkahwinan dalam keadaan mereka sedang mengandung anak luar nikah. Sedih memang sedih tetapi sebagai Penolong Pendaftar Nikah, saya tidak menghukum sebaliknya akan memudahkan urusan perkahwinan setakat yang dibenarkan syarak dan undang-undang agama Islam negeri. Yang penting mereka boleh berkahwin secara sah.
Namun saya agak terkilan dengan dua kes yang pernah saya hadapi; satu kes telah saya nikah pasangan itu tetapi selepas beberapa jam pernikahan itu, seorang bapa saudara pengantin membuat aduan di pejabat agama bahawa anak yang dinikahkan itu adalah anak tak sah taraf. Satu lagi kes, belum sempat mengahwinkan lagi apabila bapanya mengubah fikiran dengan membuat pengakuan di hadapan kadi daerah.
Kes pertama, bila dihubungi bapa saudara pengantin itu saya agak terkejut. Yalah, bagaimana boleh jadi anak tak sah taraf sedangkan mengikut penelitian surat nikah ibu bapa menunjukkan anak itu sah taraf. Subhanallah, rupanya ibu bapa itu setelah melakukan dosa berzina dan berkahwin selepas pasangannya disahkan mengandung. Apabila anak itu lahir, pendaftaran tarikh lahir anak itu dilewatkan sebulan.
Kenapa mereka sanggup menipu anak sendiri, menipu kerajaan dan menipu orang ramai. Kenapa ibu bapa sanggup meminda tarikh kelahiran anak untuk menutup kesalahan mereka sedangkan kesannya ialah anak apabila hendak berkahwin. Kenapa mereka sanggup menyembunyikan status anaknya yang tidak sah sedangkan yang bersalah ialah mereka bukan anak itu?
Alasan mereka supaya anak itu tidak malu, tetapi sebenarnya mereka buat semua itu kerana mahu menutup keaiban mereka sendiri. Apakah ibu bapa ini tidak sedar bahawa dengan perbuatan itu akan memberi kesan kepada pernikahan anaknya iaitu nikah tidak sah.
Ya, seperti dalam kes di atas, ibu bapa anak itu melewatkan tarikh lahir dari yang sebenar. Dengan cara itu, kelihatan anak itu adalah sah taraf. Maka kalau tiada siapa yang mendedahkannya nescara anak itu berkahwin secara tidak sah. Mujurlah, bapa saudara anak itu menyedarinya sebelum pasangan itu bersama.
Cuma dalam kes ini, saya rasa terkilan kerana bapa saudaranya tidak memberi teguran awal sebelum pasangan itu berkahwin. Bukankah dengan makluman awal, isu yang memalukan ini dapat dielakkan sebelum berkahwin. Anak yang terpinga-pinga dengan keadaan itu akhirnya terpaksa dinikahkan semula dengan menggunakan wali hakim.
Tetapi dalam kes kedua, ibu bapanya meminda tarikh pernikahan mereka agar munasabah dengan tarikh kelahiran anaknya. Dalam kes ini, ibu bapanya berkahwin baru sebulan, tetapi sudah mendapat menimang anak sulung, luar biasa. Supaya tidak mengaibkan status anak kononnya, mereka meminda tarikh perkahwinan mereka dengan memadam bulannya. Mereka memang cerdik menipu Allah dan menipu anak sendiri.
Sebenarnya sebelum membuat permohonan perkahwinan anaknya, seorang lelaki (bapa gadis yang memohon kahwin) datang ke pejabat saya untuk bertanyakan  tentang kedudukan anak tak sah taraf, dan dia mengaku terlibat. Saya telah memberi jaminan untuk membantunya bagi mendapatkan wali hakim. Tetapi sewaktu dia membawa anaknya untuk menandatangi borang permohonan nikah itu, dia tidak mengulangi isu yang pernah dibincangkan dengan saya suatu ketika dahulu.
Sememang saya sudah lupa akan wajah (lelaki) yang datang bersama anak perempuan itu adalah lelaki yang sama pernah berjumpa saya bertanyakan soal anak tak sah taraf. Orang sebab tidak mengesyaki sesuatu yang tidak kena, saya menyokong borang itu seperti biasa. Dengan sokongan saya pejabat agama meluluskan permohonan itu.
Walaupun semua berjalan baik, lelaki ini mula rasa bersalah lalu berpatah balik ke pejabat agama lalu membuat pengakuan sebenar di hadapan tuan kadi. Alhamdulillah, berkat Ramadan dan tarikh perkahwinannya pun masih lambat, maka borang permohonan itu bolehlah dipinda untuk mendapatkan wali hakim.
Sungguhpun begitu, saya masih terkilan kerana dia masih mahu menyembunyikan status anaknya sebagai tidak sah taraf. Sampai bila keadaan ini mahu dirahsiakan? Sesungguhnya tidak menyesal kalau diberitahu awal keadaan sebenar daripada membiarkan keadaan itu. Bagaimana kalau dia mendapat tahu keadaan sebenar selepas berkahwin daripada orang lain?
Wahai ibu dan bapa juga yang bakal menjadi ibu dan bapa, ambillah iktibar daripada dua kes ini. Jangan ulangi demi maruah Islam dan diri umat Islam. Memang dalam hukum Islam, anak yang dilahirkan selepas enam bulan satu lahzah ibu bapanya berkahwin, dianggap sah taraf. Tetapi kalau ada pihak yang mendakwa bahawa isterinya sudah mengandung, maka anak itu tetap dihukumkan tak sah taraf.
Begitulah juga kalau berlaku perkahwinan secara tidak sah, sedangkan pasangan itu tidak menyedarinya, pergaulan mereka dikira wati syubahah dan anak yang dilahir dalam tempoh itu dikira anak wati syubahah. Anak yang dilahirkan itu boleh dibin/bintikan kepada bapanya. Hakikatnya anak itu adalah sah taraf. Tetapi kalau pasangan itu menyedari bahawa perkahwinan itu tidak sah, kedudukan mereka sebagai suami isteri perlu dipisahkan serta merta.
Berdasarkan isu di atas, berterus teranglah wahai ibu dan bapa kepada anak-anak demi masa depan mereka. Pada masa yang sama, wahai ibu bapa kalau anda sedar bahawa anak anda sudah mengandung anak luar nikah, laporkan kepada pejabat agama atau sekurang-kurangnya kepada Penolong Pendaftar Nikah semasa memohon pernikahan mereka. Tindakan ini penting demi masa depan mereka di dunia dan akhirat.
Selain itu sebagai Penolong Pendaftar Nikah kami perlu serius mengesan status ibu bapa dan anak yang hendak disokong. Pada kami biar pasangan yang melakukan kesalahan jenayah syariah diambil tindakan undang-undang selain berkahwin demi menyelamatkan maruah mereka dan Islam.

09 Julai 2013

Selamat Menyambut Ramadan Mubarak 1434H

Selamat Datang Ramadan 1434H, selamat kita melakukan ibadah puasa. Ibadah yang satu-satunya mampu menguji tahap ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Oleh sebab itu marilah kita mulakan siri ibadah Ramadan malam ini dengan solat Tarawih.
Solat Tarawih tidak akan ditemui kecuali pada bulan Ramadan, maka rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan jumlah rakaat pada solat Ramadan. Mulakan juga membaca al-Quran pada setiap kali melakukan solat fardu lima waktu, sebelum dan selepas solat dua muka surat.
Seterusnya mulakan sahur pagi nanti dengan makanan yang boleh memberi tenaga sepanjang hari. Ingatlah bersahur adalah satu-satunya amalan yang membezakan puasa umat Islam dengan umat Yahudi.
Percayalah sesuatu yang dimulakan dengan betul dan bersungguh-sungguh akan menghasilkan natijah yang baik pada akhir Ramadan nanti. Selamat Menyambut Ramadan.