Ahmad Baei Jaafar
Walaupun parlimen belum dibubarkan, kempen
pilihan raya sudah mula rancak di sana sini. Menariknya pendekatan yang diambil
kini ialah dengan menggunakan stand agama. Di tempat saya baru-baru ini
dianjurkan Dialog 1Malaysia menolak fitnah. Tahniah UMNO/BN atas pendekatan baru
ini, cuma sedih juga saya apabila melihat sambutannya tidak begitu
membanggakan.
Saya tidak pasti mengapa majlis ini tidak mendapat sambutan.
Adakah kerana mereka tidak berminat dengan program agama, atau kerana mereka
tercium bau politik. Yalah tokoh agamawan mudah UMNO itu sudah tersuhur
namanya. Sah mereka tidak berminat dengan politik.
Saya sempat bersama program itu dan merakamkan gambar majlis
tersebut. Namun perbincangannya agak hambar. Kupasannya tidak menarik, malah penceramah
juga tidak ada gaya penarik. Sebenarnya rakyat Malaysia terutama rakyat Selangor
keliru, dengan tajuk itu, siapa yang patut menolak fitnah dan siapa pula yang
membuat fitnah. Oleh sebab mereka tidak tahu kedudukan itu maka lebih baik
tidak terlibat langsung. Kalau tidak mereka turut terpalit dengan dosa fitnah pula.
Supaya lebih jelas mari kita kupas maksud fitnah terlebih
dahulu. Pada bahasa, fitnah bermaksud huru hara. Maka orang yang buat fitnah
ialah orang yang mencetuskan huru hara dalam masyarakat. Orang yang menyebarkan
fitnah ialah orang yang memanjangkan keadaan hubu hara itu kepada pengetahuan umum.
Terjadinya huru hara ini apabila seseorang manusia dengan secara sedar berniat jahat
untuk membangkitkan ketegangan dalam masyarakat, lalu mereka cerita kisah yang
berkaitan.
Berdasarkan maksud ini, siapa dalam kalangan rakyat Malaysia
yang benar-benar tahu isu yang dibangkitkan itu. Saya percaya jurucakap
mengenai isu ini pun tidak tahu punca isu sebenar. Bayangkan kalau mereka tidak
tahu, tidakkah mereka termasuk dalam membuat fitnah atau menyebarkan fitnah.
Tetapi katalah dalam kalangan mereka ada yang tahu isu
sebenar. Dan dia bercakap kepada umum isu yang sebenar sebagaimana dia tahu, tentulah
sebaran yang disampaikan itu dikira mengumpat. Sedangkan fitnah dan mengumpat di
dalam Islam adalah dosa besar.
Jelas di sini, ustaz yang bercakap dalam majlis itu adalah
pembawa fitnah atau mengumpat. Hadirin di dalam majlis itu jika terpengaruh
dengan penjelasan itu, mereka turut mendapat sahamnya. Di sini beruntunglah
mereka yang tidak datang.
Selain itu, perbincangan
awal lebih tertumpu kepada kalimah Allah. Sedangkan isu itu sudah lama
diselesaikan. Orang Kristian sudah bersetuju menamatkan tuntutan mereka.
Manakala orang Islam sudah sedar bahawa Kalimah Allah itu milik orang Islam. Bahkan
orang bukan Islam juga sudah akur dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu saya
sedih dengan keterampilan tokoh agama dalam UMNO yang mereka didatangkan kepada
masyarakat untuk sekadarkan menjelaskan perkara yang sudah basi. Sepatutnya
mereka datang untuk membangunkan jiwa orang Melayu bagaimana berpolitik secara
profesional, bagaimana orang Melayu harus menguasai ilmu, bagaimana orang
Melayu harus menguasai ekonomi. Dan yang paling penting tokoh ini patut diberi
peluang merancang bagaimana memartabatkan Islam di negara ini.
Dalam majlis lain saya
agak kagum iaitu forum rakyat yang bertajuk; Malapetaka Perpecahan Ummah, Apa
Sudahnya? Dalam poster yang disebarkan tidak disebut tokoh yang terlibat. Barangkali
kerana tajuk yang memang menarik, kehadiran amat menggalakkan.
Alhamdulillah perbincangan
agak ilmiah. Cuma sebelum forum bermula, dalam ucapan alaun daripada tokoh
politik tempatan yang antara lain menyebut tentang pepercahan orang Melayu yang
bermula daripada PAS keluar daripada UMNO sebelum pilihanraya pertama. Kemudian
orang Melayu berpecah lagi dengan tertubuhnya Parti Semangat 46, dan yang
terakhir wujud pula Parti Keadilan Rakyat.
Menurutnya beliau
sedih dengan perpecahan yang amat serius itu. “Haruskan kita biarkan perpecahan
ini terus berlaku dalam masyarakat Melayu,” soalnya.
Persoalan ini kalau
diajukan kepada orang UMNO tentu mereka kata, tak patut dan mereka yang keluar
itu mesti kembali kepada UMNO atau sekurang-kurangnya semua orang Melayu tidak patut
memberi sokongan kepada mereka yang berpecah itu. Tetapi kalau soalan itu
diajukan kepada lawannya tentu mereka akan mentertawakan sahaja. Kenapa?
Tahukah kita bagaimana
tertubuhnya PAS? Sebenarnya seawal penubuhan UMNO dianggotai oleh ulama tetapi
mereka keluar daripada UMNO dan menubuhkan PAS. Tentulah tidak wajar mereka
keluar UMNO kalau pertubuhan Melayu itu sempurna dan baik dasarnya.
Jelas di sini mereka
keluar UMNO kerana dasar yang dibawa oleh UMNO tidak serasi dengan ulama
tersebut. Ulama masuk UMNO adalah untuk sama-sama memperjuangkan Islam,
meninggikan kalimah Allah di bumi ini. Tetapi apabila tidak berlaku maka lebih
baik mereka keluar dan menubuhkan PAS.
Jadi, wajarkan UMNO
salahkan PAS kerana berpecah daripada induk? UMNO kalau sayangkan rakannya,
betulkan dasarnya sebagaimana yang diharapkan iaitu dengan memasukkan perjuangan
Islam. Dengan itu barulah mereka akan kembali kepada UMNO. Kalau begitu, yang
salah dalam hal ini ialah UMNO kerana tidak dapat menjaga hati rakan kongsinya.
Kenapa pula timbul
parti Semangat 46? Bolehlah disalahkan S46 sebagai berpecah daripada induknya?
Tahukah anda wujudnya S46 kerana UMNO diharamkan oleh ROS. Jadi, S46 ditubuhkan
untuk menyelamatkan UMNO yang sudah hilang kuasanya. Sepatutnya semua orang
UMNO masuk S46 bukan menubuhkan UMNO (baru). Kalau begitu kedudukannya, yang
berpecah ialah UMNO (baru) sebab mereka tidak mahu menyokong orang yang
menyelamatkan orang Melayu.
Kemudian tertubuh
pula Parti Keadilan Rakyat (PKR). Wajarkah penubuhan parti ini dikatakan
berpecah daripada Melayu? Tahukah anda penubuhan parti ini selepas Anwar
Ibrahim dilucutkan daripada UMNO dan dipenjarakan beberapa tahun. Penyokongnya
yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia akhirnya menubuhkan PKR demi untuk
menyelamatkan orang Melayu dan Malaysia daripada terus dizalimi pemerintah.
Mereka menuntut keadilan undang-undang dan pemerintahan kerana pada mereka Anwar
Ibrahim tidak diadili secara betul.
Oleh sebab yang menyokong
penubuhan itu terdiri daripada bukan sahaja orang Melayu yang menyokong UMNO
malah bangsa lain wajarkah kita cap mereka sebagai penyebab perpecahan ummah
atau orang Melayu? Tentulah tidak wajar. Perkara ini perlu difahami oleh semua
orang Melayu terutama yang menganggotai UMNO. Jangan sampai mereka tersalah
fahami lalu menjadi pak turut yang membawa kepada neraka Allah.
Bagi menghilangkan
keraguan umat Islam Melayu, suka saya jelaskan di sini bahawa isu yang
menjadikan orang Melayu berpecah bukan kerana banyak parti politik orang Melayu.
Malah wujudnya boleh mencantikkan lagi demokrasi di Malaysia. Tetapi yang
menjadikan perpecahan itu ialah wujudnya orang-orang parti politik yang terus
bercakap, buat fitnah dan caci maki orang daripada parti politik lain walaupun
selepas tamat pilihan raya.
Sebenarnya amalan ini
menjadi budaya pemimpin politik sehinggalah kepada ahli biasa, malah yang
paling tidak terkawal ialah ahli biasa. Tuduh menuduh terus berlaku dalam
setiap ucapan mereka terutama dalam persidangan parlimen. Manakala orang ramai
pula terus berdebat di kedai-kedai kopi apabila bertemu muka. Inilah punca
perpecahan sebenarnya.
Jelas di sini kalau
kerajaan berniat baik untuk menyelamatkan orang Melayu daripada perpecahan
perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah isytiharkan perdamaian setelah
selesai pilihan raya. Pemerintah hendaklah menghulurkan tangan kepada pembangkang
dan parti-parti yang bertanding mohon kemaafan dan bertaubat kepada Allah berdasarkan
firman Allah dalam surah al-Nasr ayat 1-3.
Maksudnya:
1. Apabila datang
pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau Wahai Muhammad berjaya menguasai
negeri Makkah),
2. Dan engkau
melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai,
3. Maka ucapkanlah
tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, Sesungguhnya Dia
amat menerima taubat.
Percayalah dengan
pengisytiharan perdamaian mereka boleh saling membantu dalam memajukan negara. Pembangkang
patut diberi hak untuk membantu kerajaan tertutama dalam hal-hal yang kerajaan
terlepas pandang. Dengan cara ini, insya-Allah tidak akan berlaku perpecahan
lagi dalam kalangan orang Melayu.