29 Oktober 2012

Sahkah qurban anda?

Ahmad Baei Jaafar

Hari ini 13 Zulhijjah 1433 adalah hari terakhir untuk kita melakukan qurban. Apabila tenggelam sahaja matahari atau dalam kata lain masuk sahaja waktu Maghrib, maka qurban tidak boleh dilakukan lagi. Jika dilakukan juga maka jadilah sembelihan itu sebagai sembelihan biasa.
Dengan berakhirnya waktu qurban berakhir jugalah takbir hari raya. Tidak berpeluanglah kita untuk bertakbir setiap kali lepas solat fardu atau sunat. Oleh sebab itu peluang pada hari terakhir ini perlulah diambil dengan sebaiknya sama ada berqurban atau bertakbir.
Bagi mereka yang ingin berqorban pada hari ini suka saya ingatkan kepada mereka beberapa perkara berhubung dengan niat. Sebenarnya ada dua niat yang perlu dilakukan dalam ibadah qurban ini iaitu:

  1.    Niat membeli bahagian qurban
  2.     Niat menyembelih qurban.
Kebanyakan kita di negara ini tidak berpeluang membeli sendiri. Jika kita tidak boleh membeli sendiri maka bolehlah diwakilkan kepada seseorang untuk membelinya. Maka akad wakil membelinya perlu dibuat kepadanya. Begitu juga kalau kita tidak boleh atau tidak mampu menyembelih, bolehlah diwakilkan sebelihan kepada tukang sembelih. Untuk itu lafazkan akad wakil penyembelihan itu kepadanya.
Walau bagaimanapun timbul isu di sini bagaimana kalau ada hartawan yang bermurah hati menghadiahkan seekor lembu dan dia mahu tujuh nama individu untuk qurban itu. Dalam hal ini hartawan itu perlu niat membeli lembu tersebut untuk qurban. Boleh juga kalau dia wakilkan kepada seseorang untuk membeli bagi pihaknya.
Apabila lembu itu diserahkan untuk urusan sembelihan qurban, dia perlu dapatkan nama yang hendak qurban tersebut. Individu yang terlibat perlulah melafazkan aqad wakil kepada penyembelih. Dengan penyerahan itu maka sahlah qurban itu haknya. Dan dia berhak mengambil 1/3 daripada bahagiannya.
Sebenarnya, urusan sebegini jarang diberi peringatan kepada pihak yang berqurban mahupun pihak yang menjadi wakil pembeli dan penyembelih. Semoga urusan ini dapat difahami oleh umat Islam pada masa-masa akan datang. Selamat berqurban.

24 Oktober 2012

Salam Haji dan Salam Eduladha

Ahmad Baei Jaafar


Pada saat jemaah haji berjuang untuk mencapai haji mabrur umat Islam di Malaysia dan lain-lain negara membuat persiapan untuk menyambut hari raya Eduladha dan ibadah qurban. Tetapi pada saat jemaah haji membanyakkan ibadah sunat di tanah haram umat Islam di tanah halal leka dengan kerja harian yang kadang-kadang sia-sia.
Pada waktu ini sebahagian Jemaah berada di Madinah dan sebahagian lagi sudah sampai ke Masjidilharam. Beruntunglah mereka yang berniat haji tamattu’ kerena berpeluang untuk membuat umrah sebanyak mungkin sebelum tiba 9 zulhijrah. Peluang ini juga digunakan sebaiknya untuk beriktikaf, membaca al-Quran dan solat sunat kerana peluang ke tanah haram ini amat terhad apatah lagi bagi orang miskin.
Walau bagaimanapun mereka yang berniat haji ifrad dan qiran walaupun tidak dapat melakukan umrah mereka masih berpeluang untuk melakukan iktikaf, solat sunat, bacaan al-Quran dan sebagainya. Maknanya peluang mereka adalah sama di Tanah Haram ini. Cuma dalam keghairahan itu kita bimbang tentang keceluparan mulut mereka sewaktu bercakap sesama mereka.
Alangkah ruginya kalau peluang ini mulut tidak dijaga dengan baik sehingga tercetus aktiviti mengumpat dan mengeji orang lain. Adakah patut wang yang  dikumpul sejak bernilai RM10 hingga mencapai RM11 000 tetapi semuanya habis hanya dalam tempoh 44 hari di Tanah Haram tanpa pahala yang diperoleh. Bukankah banyak tenaga diperlukan dan berapa banyak masa dikorbankan untuk mendapatkan wang itu? Tetapi mengapa pahala yang ditawarkan kepada mereka diabaikan.
Atas pengalaman itu, adalah diharapkan bakal jemaah haji terutama yang sedang berada di Tanah Haram sekarang supaya memberi tumpuan kepada urusan ibadah haji dan segala ibadah dan amalan yang berkaitan demi mendapat haji mabrur. Ingatlah Allah tidak mudah menghadiahkan haji mabrur ini hanya kerana melaksanakan rukun dan wajib haji, tetapi akan nilai ibadah lain yang sanggup direbut sewaktu di Tahan Haram.
Selain itu kalau ada lebihan wang, peruntukkan sedikit untuk sedekah kepada fakir miskin dan juga ibadah korban. Ketahuilah sebarang ibadah yang dilakukan di Tanah Haram besar ganjarannya. Jadi peluang ini tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Bagi umat islam terutama sanak saudara yang berada di tanah air harus ambil kesempatan itu untuk sama-sama berdoa kepada Allah agar semua Jemaah haji beroleh haji mabrur. Semoga doa itu juga dinilai sebagai ibadah dan kebajikan. Selain doa, kita boleh juga berikan jemaah haji kegembiraan dengan memberi hadiah yang berupa wang tunai sebagai ucapan tahniah kepadanya.
Sebenarnya budaya memberi sedekah kepada jemaah haji yang hendak berangkat ke Tanah Suci ini tidak wajar diteruskan. Hal ini kerana jemaah haji sudah cukup keperluannya dan kerana itu mereka sudah tidak layak menerima sedekah. Oleh sebab itu budaya ini perlu diubah kepada pemberian hadiah berserta ucapan tahniah dan doa. Inilah amalan yang paling tepat buat mereka. Selamat beribadah dan berkorban.

Haji Mabrur Bukan Marlboro

Ahmad Baei Jaafar


Saya masih terngiang-ngiang kata-kata pembimbing haji ketika di Makkah tahun lalu, kalau tidak buat haji betul-betul yang dapatnya haji marlbaro bukan haji mabrur. Dengarnya kelakar tetapi setelah berada di tanah air sekarang, baru terasa benar kata-katanya.
Rupa-rupanya untuk dapatkan haji mabrur tidak semudah tuturan lidah. Banyak halangan dan rintangan yang perlu ditempuh. Ada latihan yang perlu dilalui dan ada ujian yang mesti diterima. Kalau semua itu dapat dikecapi dengan sempurna, peluang mendapat haji mabrur itu agak cerah.
Sebenarnya cabaran yang getir bagi jemaah haji ialah semasa berada di Mina untuk acara melontar tiga jamrah. Jemaah berasak-asak pada hari ke 10 Zulhijjah ke jamrah aqabah untuk membolehkan mereka melepasi tahallul awal. Waktu melontar disertakan doa:  
عَنْ زَيْدٌ أَبُو أُسَامَةَ   قَالَ : " رَأَيْتُ سَالِمَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ عُمَرَ ، اسْتَبْطَنَ الْوَادِيَ , ثُمَّ رَمَى الْجَمْرَةَ بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ ، يُكَبِّرُ مَعَ كُلِّ حَصَاةٍ : اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُورًا وَذَنْبًا مَغْفُورًا وَعَمَلا مَشْكُورًا ، فَسَأَلْتُهُ عَمَّا صَنَعَ , فَقَالَ : حَدَّثَنِي أَبِي ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْمِي الْجَمْرَةَ فِي هَذَا الْمَكَانِ ، وَيَقُولُ كُلَّمَا رَمَى بِحَصَاةٍ مِثْلَ مَا قُلْتُ " .
Zaid Abu Usamah berkata aku melihat Salim bin Abdullah bin Umar memasuki Mina, kemudian dia melontar jamarat sebanyak tujuh biji batu kerikel, dia bertakbir setiap kali melontar; Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahumaj-‘alhuhajjan mabrura, wazamban maghfura wa amalan masykuran. Maka aku bertanya tentang apa yang dilakukannya. Dia berkata bapaku menceritakan bahawa Nabi SAW melontar jamarat di tempat ini, dan dia membaca setiap kali melontar seperti yang aku baca.” (Riwayat al-Baihaqi)
Hari ke 11 hingga ke 13 mereka masih berkampung di Mini untuk melengkapkan wajib haji. Ketiga-tiga jamarat; ula, wusta dan aqabah perlu dilontar setiap hari. Amalan yang sama akan dilakukan setiap kali melontar jamrah. Doa yang sama perlu dibaca. Namun siapa dalam kalangan jemaah haji yang dapat menghayati doa itu.
“Allah maha besar 2x, ya Allah jadikan lontaran itu haji yang diterima sebagai baik dan jadikan juga lontaran itu dosa yang diampunkan, dan jadikan juga lontaran itu sebagai amalan yang disyukuri.” Demikian maksud doa yang jemaah patut membacanya. Cuma persoalannya sewaktu membacanya apakah mereka faham.
Biasanya jemaah haji diajar supaya berniat merejam syaitan waktu melontar jamrah itu. Tetapi berapa banyak syaitan yang telah berjaya dilontar? Tidak salah kita niat begitu tetapi kalau kita niat mencampak dosa kita tentu lebih baik dan relevan. Kalau dosa kita berjaya dicampak ke dalam jamarat sudah tentu kebaikan dan pahala akan bertambah. Inilah yang dijamin Rasulullah dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ , أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةُ مَا بَيْنَهُمَا , وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةَ "
Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Umrah ke satu Umarah menghapuskan dosa antara keduanya, dan Haji yang mabrur (baik) tiada baginya balasan kecuali syurga.” (Riwayat al-Hakim)
Saya percaya kalau semua jemaah haji dapat merealisasikan amalan di Mina sudah cukup untuk mendidik mereka menjadi orang yang baik di Tanah Haram dan di tanah air. Ini belum dicampur dengan amalan dan ujian semasa di Arafah dan Muzdalifah dan Kaabah. Ujian dan cabaran di tiga tempat masyair tersebut boleh menambah nilai haji mereka di sisi Allah.

14 Oktober 2012

Melayu Sukar Nak Mengaku Bodoh


Ahmad Baei Jaafar
Kita sering mengatakan “jahil” kepada orang yang tidak tahu tentang agama. Dengan perkataan itu pihak yang terbabik tidak berasa tersingguh. Tetapi kalau kita kata orang itu bodoh, rasanya ramai yang melenting, padahal jahil dan bodoh itu adalah sama maksudnya.
Jahil bukan sahaja dalam soal agama, maka begitu juga “bodoh” bukan sahaja dalam soal-soal lain daripada agama. Tetapi itulah cantiknya bahasa Melayu, amat bersopan dalam memilih bahasa dalam percakapan dan tulisan. Yang penting dalam pemilihan itu boleh mendidik orang Melayu menjadi orang yang peka.
Tetapi kadang-kadang kalau selalu sangat menggunakan perkataan itu, tidak juga mampu menyedarkan orang, perlu juga ditukar kepada perkataan lain. Yalah, berapa lama kita guna perkataan jahil, tetapi ada juga orang Melayu yang masih berada dalam stutus jahil itu. Mereka tetap tidak mahu berubah.
Berapa ramai orang Melayu yang melakukan amalan khurafat kerana jahil persoalan akidah. Meskipun selalu diingatkan, tidak juga mahu sedar. Berapa ramai orang Melayu masih merokok kerana jahil persoalan hukum Islam. Walaupun telah dikeluarkan pelbagai fatwa, tidak juga mahu berubah. Agaknya sesekali mereka perlu dikatakan bodoh. Barangkali dengan itu mereka akan tersentak.
Akhir-akhir ini kita didatangi seorang penceramah yang diminati ramai iaitu Ustaz Azhar Idrus. Beliau dalam ceramah banyak menggunakan perkara “bodo” yang bermaksud bodoh mengikut pelat Terengganu. Alhamdulillah dengan perkataan itu, ramai anak-anak remaja sedar dan boleh berubah ke arah kebaikan. Tahniah ustaz Azhar teruskan perjuangan.
Sebenarnya kobodohan orang Melayu ini bukan sahaja dalam soal agama tetapi juga dalam soal politik. Tetapi jarang kita mengelarkan mereka sebagai bodoh atau jahil. Barangkali sebab itulah orang Melayu kita terus berpolitik secara tidak profesional. Agaknya kalau kita kata mereka jahil atau bodoh boleh menyedarkan mereka.
Menyentuh soal ini suka saya contohkan kebodohan orang Melayu dalam berpolitik, kalau boleh kita ambil manfaat dan berubah Alhamdulillah.
  • 1.       Rakyat negeri Selangor ada yang tidak mahu baca akhbar Selangorkini sebab mereka bukan ahli parti pemerintah atau bukan pro pemerintah. Mereka ini bodoh kerana dengan membaca mereka dapat maklumat untuk mematah balik tuduhan yang tepat. Tetapi kalau betul boleh sama-sama menyokong yang baik.
  • 2.       Rakyat negeri Selangor ada yang tidak mahu ambil manfaat atau peruntukan kerajaan negeri hanya kerana tidak mahu termakan budi pemimpin yang bukan pilihan mereka. Mereka adalah bodoh kerana wang yang digunakan kerajaan itu adalah hak rakyat, bukan hak ahli parti pemerintah.
  • 3.       Rakyat Malaysia yang tinggal di Selangor tidak mahu ambil peruntukan kerajaan pusat kerana mereka bukan penyokong parti kerajaan pusat. Mereka ini juga bodoh kerana peruntukan itu untuk rakyat Malaysia tanpa mengira parti.
  • 4.       Ada rakyat Malaysia yang tidak mahu baca akhbar arus perdana kerana beritanya banyak yang tidak adil kepada parti yang mereka anggotai. Mereka juga bodoh kerana tidak semua berita di dalamnya salah. Mana yang tidak betul boleh diambil untuk dijadikan peluru untuk tembak semula.
  • 5.       Ada ahli satu parti tidak mahu hadir majlis satu parti lain walaupun dijemput kerana takut terpengaruh. Mereka juga bodoh kerana dengan menghadiri majlis itu mereka tahu apa kebaikan dan keburukan mereka. Kalau mereka menuduh partinya, boleh digunakan untuk membetulkan maklumat yang salah itu.
  • 6.       Ada ahli satu parti apabila mendengar tuduhan kepada pemimpin kesayangannya terus melenting dan membuat tindak balik yang sia-sia. Mereka ini bodoh kerana tuduhan dalam politik hanya sebagai pemanas sahaja. Itulah pemainan politik, biarkan sahaja.
Inilah sebahagian contoh kebodohan orang Melayu dalam berpolitik selain jahil dalam agama. Jadi, kalau anda orang Melayu jangan jadi Melayu seperti di atas. Kita perlu jadi orang Melayu Islam yang profesional bertindak dengan bijak demi kebaikan diri, agama, bangsa dan Negara.  

08 Oktober 2012

Mandi hadas cukup dengan satu baldi


Ahmad Baei Jaafar

Hairan saya kerana sehingga ke hari ini masih ada lagi umat Islam yang bertanyakan tentang cara mandi hadas besar yang sempurna. Puas saya memikirkan hal ini, mengapa boleh jadi begini sedangkan pelajaran mengenai hadas ini telah disentuh sejak sekolah rendah lagi. Semasa sekolah menengah diulangi lagi. Apakah semua itu belum cukup?
Dalam hal ini ada beberapa kemungkinan; boleh jadi guru tidak pandai mengajar, atau anak murid tidak ambil perhatian kerana tak faham, atau ilmu itu belum sesuai diajar pada usia kanak-kanak. Tidak mengapa, pada kali ini saya akan ulang balik ilmu itu sebagai ulangkaji.
Baiknya kali ini kita lakukan amalinya sekali agar ilmu yang diajar terus melakat pada otak masing-masing. Baiklah, secara umumnya semua orang sudah tahu hukum mandi dan mengapa perlu mandi hadas. Dan untuk mandi pula masing-masing sudah tahu rukunnya iaitu niat dan meratakan air ke seluruh tubuh.
Jadi pada kali ini kita dalami secara amalinya semoga dengan itu tidak menjadi masalah lagi untuk kita mandi cara yang betul. Sebelum mandi kita perlu pastikan ada air kerana itulah syarat utama sah mandi. Kalau tiada air, cukuplah dengan bertayammum.
Kemudian pastikan air yang hendak digunakan itu mutlak atau cukup dua kolah. Inilah perkara utama yang perlu ada sebelum mandi. Kalau air yang ada dirumah cukup dua kolah bolehlah kita mandi seperti biasa, cuma beza dengan mandi biasa ialah niatnya. Mandi biasa tidak perlu niat tetapi mandi wajib perlu niat.
Akan tetapi bagaimana kalau air tidak cukup dua kolah, masih boleh mandi asalkan air itu tidak mustakmal. Jadi, air mutlak adalah syarat utama yang perlu dijaga oleh umat Islam sebelum mandi. Kalau begitu kita boleh mandi dengan air satu baldi sahaja. Bagaimana caranya?
Sebenarnya, cara mandi sama ada dengan air yang cukup dua kolah atau satu baldi sama sahaja cara. Kita wajib berjimat menggunakan air walaupun air banyak. Untuk itu lakukan mengikut senarai berikut:
1. Bersihkan tangan kadar melepasi pergelangan tangan. Bacakan bismillah sebelum membasuhnya,
2. Basuhkan bahagian anggota sulit (yang sukar sampai) dari tubuh anda.
3. Ambil wuduk seperti biasa dengan niat sunat untuk mandi.
4. Dengan menggunakan tangan yang sudah bersih itu, ambilkan air dari baldi sebagai gayung dan basuhkan dari kepala sampai ke muka. Sebelum basuhan kedua dan seterusnya pastikan tangan sudah tiada air yang boleh menitik.
5. Dengan menggunakan tangan itu juga ambil air dan sapukan ke anggota sebelah kanan dari bahu ke bawah.
6. Dengan cara yang sama basuhkan anggota sebelah kiri dari bahu ke bawah.
7. Dengan cara yang sama sapukan air ke anggota bawah dari bahagian pinggang.
8. Air yang berbaki itu boleh digunakan untuk disiramkan ke bahagian yang balum terkena air.
Kaedah inilah yang digunakan oleh Rasulullah dan sahabat sama ada air banyak atau sedikit. Dengan ini tidak akan berlaku pembaziran air. Percayalah kalau kita mahir dengan cara ini, air yang penuh dua kolah tidak akan berkurang kecuali suku sahaja. Selamat mancuba semoga anda berjaya.

26 September 2012

Fahami Hak dan Tanggungjawab dalam membina rumah tangga


Ahmad Baei Jaafar

Masyarakat Melayu pada zaman ini sesetengahnya terpengaruh dengan kehidupan budaya Barat. Mungkin kerana banyak sangat menonton drama atau filem dari Barat. Malah drama dan filem tempatan juga memaparkan cerita persis drama kehidupan orang Barat. Lalu dengan sebab itu suami isteri melayari rumah tangga mengikut cita rasa yang dipaparkan itu.
Umat Islam pasca merdeka jauh daripada peraturan Islam kecuali masyarakat kampung yang tidak terdedah dengan kehidupan Barat. Rata-ratanya masyarakat bandar hidup seperti tiada peraturan tertentu kecuali apa yang dilihat pada kehidupan orang-orang terdahulu. Selebihnya mereka terpengaruh dengan filem atau drama. Ada yang lebih malang daripada itu, merek tidak mahu mendirikan solat secara istiqamah.
Mereka ini walaupun tahu, suami adalah pemimpin yang wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak yang dilahirkan, tahu juga sebagai isteri wajib taat kepada suami dan menyediakan keperluan suami secukupnya namun tidak mampu dipatuhinya. Pada mereka peraturan itu sudah tidak releven lagi pada masa ini.
Sering berlaku dalam masyarakat kita, isteri keluar rumah tanpa meminta izin suami. Ada juga suami yang tidak berusaha mencari keperluan hidup kerana isterinya sudah mempunyai pendapatan yang besar. Manakala anak-anak boleh keluar masuk rumah tanpa perlu memuliakan atau menghormati ibu bapanya. Semua ini bertitik tolak daripada kekurangan ilmu pengetahuan agama yang dimiliki oleh mereka.

Hak dan tanggungjawab
Hak dan tanggungjawab adalah dua hukum yang berlainan tetapi sebahagian umat Islam tidak memahaminya malah kadang-kadang bertukar antara keduanya. Hak ialah sesuatu yang menjadi keperluan, wajib dipenuhi. Maka suami ada hak atau keperluan yang wajib dipenuhi, begitu juga isteri ada hak yang wajib dipenuhi.
Hak suami dan hak isteri tidak sama, tetapi kedua-dua hak itu kalau dapat dipenuhi akan menjadi kehidupan mereka bahagia dan tenang. Maknanya hak suami dan hak isteri saling kait mengait. Firman Allah yang bermaksud:
“Para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.” (Surah al-Baqarah : 228)

Begitu juga dengan suami jika difahami ayat itu secara terbalik iaitu, “para suami mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.” Ertinya hak yang dimiliki oleh seorang isteri atas suaminya sama seperti hak suami atas isterinya dari sudut masing-masing mesti mematuhi baik perintah mahupun larangan Allah. Oleh sebab itu Ibn Abbas pernah berkata:
“Sesungguhnya aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana ia berhias untukku. Aku pun suka meminta agar ia memenuhi hakku yang wajib dia tunaikan untukku, sehingga aku pun memenuhi haknya yang wajib aku tunaikan untuknya.”  

Tanggungjawab suami bermaksud beban yang dipikulkan kepada suami dan begitu juga tanggungjawab isteri, maka isteri dipikulkan kepada isteri supaya memenuhi hak suami. Suami sebagai contoh dipikulkan beban melindungi isteri, memberi nafkah dan mendidiknya. Tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan kerana sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Engkau (suami) harus memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah engkau menempeleng wajahnya, janganlah engkau menghinanya, dan jangan pula membiarkannya kecuali di dalam rumah.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Ibn Hibban)

Isteri juga dipikulkan tugasan bagi memenuhi keperluan atau hak suami. Contoh dalam hal ini ialah isteri dipertanggungjawabkan menjaga tempat tidur suami. Maka isteri tidak boleh meninggal tempat tidur suami selagi suami berada di rumah. Apabila isteri berjaya memikul beban ini dengan sempurna, akan bahagia dan tenanglah suami dan isteri tersebut.

Bina keluarga dengan ilmu yang betul
Suami isteri perlu mengambil pendekatan menghayati ilmu Islam sebelum dan semasa membina rumah tangga. Selain menghadiri kursus pra perkahwinan selama dua hari, mereka masih perlu membaca ilmu tentang rumah tangga Islam dalam buku-buku yang tersedia dijual di pasaran. Ilmu yang penting dalam rumah tangga ialah tentang hak dan tanggungjawab masing-masing.
Perhatikan carta berikut:
Hak Suami
Tanggungjawab Isteri
Dihormati
Tidak membawa masuk ke rumah orang yang dibenci suami, meminta izin ketika keluar rumah
Disayangi dan dihargai
Menerima seadanya pemberian suami
Ditaati
Taati perintah suami selagi tidak melanggar hukum
Dilayani
Tidak meninggalkan tempat tidur suami

Hak Isteri
Tanggungjawab Suami
Mendapat nafkah secukupnya
Menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal
Dilindungi maruah
Menjaga keselamatan isteri, sentiasa berada di dalam rumah
Disayangi
Tidak memukul muka isteri, tidak menghinanya dan membelai tubuh isteri dengan penuh kasih sayang
Diadili dan mendapat keadilan
Memberi secukupnya keperluan isteri terutama yang bermadu

Dengan memerhatikan hak dan tanggungjawab dua belah pihak, kita dapati antara satu sama lain ada kait mengait dan sokong menyokong. Maknanya apabila kedua-dua belah pihak menunaikan hak masing-masing akan terbina kasih sayang yang kukuh. Hal ini kerana hak masing-masing telah dipenuhi pasangan dengan sebaiknya.
Di sini suka saya contohkan satu hak dan tanggungjawab iaitu hak isteri untuk disayangi, selain dia tidak dihina suami, keperluan seksual isterinya diberi perhatian serius. Malah dalam Islam sekurang-kurangnya empat bulan sekali perlu dipenuhi jika keadaannya tidak mengizinkan. Maknanya kalau suami dengan sengaja meninggalkan atau mengabaikan seksual isteri dalam tempoh itu adalah satu kesalahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kepada orang-orang yang hendak bersumpah untuk menjauhkan dirinya daripada isteri-isterinya, bagi mereka ada masa tangguh sampai empat bulan. Kemudian jika mereka kembali kepada isterinya maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah : 226)

Walau bagaimanapun dalam keadaan biasa seseorang isteri itu perlukan belaian suami sekurang-kurangnya sekali dalam setiap empat hari. Pada zaman Umar bin al-Khattab ketetapan semacam ini pernah dilakukan berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“Nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi dua, tiga, atau empat.” (Surah an-Nisa’ : 3)

Difahami daripada maksud ayat di atas, jika seorang suami itu mempunyai empat orang isteri (maksimum) maka jarak giliran antara setiap orang isteri adalah empat hari. Oleh sebab itu, empat hari adalah had maksimum bagi suami melayani isteri. Maknanya, walaupun isterinya hanya seorang, panduan ini masih boleh dipakai.
Bayangkan kalau hak isteri ini dipenuhi suami dengan penuh kasih sayang, apa mungkin akan berlaku keretakan rumah tangga. Hakikatnya hak dan tanggungjawab inilah yang menjadi asas kebahagian rumah tangga. Sebaliknya kalau hak ini diabaikan atau dinafikan, pasti berlaku kemurungan yang akhirnya membawa pergaduhan besar.
Menyentuh soal seks, suka dijelaskan di sini Islam menetapkannya sebagai keperluan kedua-dua pihak. Seks bukan nafkah seperti yang difahami orang kebanyakan sebagai nafkah batin. Tetapi satu keperluan yang ada pada kedua-dua belah pihak. Apabila dikatakan keperluan, maka samalah kedudukannya dengan keperluan untuk makan dan minum. Maka jika suami perlukan seks, isteri wajib memenuhinya, dan jika isteri perlukan seks, suami perlu mempertimbangkannya.
Begitulah seterusnya hak dan tanggungjawab lain seperti yang dicatatkan dalam carta di atas. Percayalah kalau suami dan isteri dapat memahaminya dan melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna tiada siapa yang akan berkecil hati dan bermasam muka.

Elak Nusyuz
Nusyuz ialah pelanggaran isteri terhadap perintah dan larangan suami secara mutlak. Namun nusyuz ini hanya boleh berlaku apabila isteri melanggar hak suami dan mengabaikan tanggungjawabnya semasa suami berada di dalam rumah sahaja.  Antara hak suami yang boleh dicontohkan di sini ialah hak ditaati. Memanglah pada dasarnya isteri tidak ditugaskan untuk mengurus rumah tangga, membancuh teh, memasak nasi dan membasuh pakaian. Bahkan suami yang sayang isteri boleh menggajikan petugas untuk melakukan kerja-kerja itu.
Walau bagaimanapun jika suami menyuruh isterinya membancuh teh, membasuh pakaian, memasak makanan, maka isteri wajib melaksanakan pemintaan itu. Isteri wajib mentaati permintaan suami kerana perintah itu tidak melanggar syariat. Apabila permintaan itu diabaikan apatah lagi dengan penolakan yang kasar maka isteri tersebut telah melakukan nusyuz terhadap suaminya. 
Hukuman terhadap isteri yang nusyuz telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: 
“Wanita-wanita yang kalian khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya, dan pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak membekas), jika mereka mentaati kalian, janganlah kalian mencari-cari alasan untuk menghukum mereka” (Surah an-Nisa’: 34)

Jelas di sini terdapat tiga bentuk hukuman yang boleh diambil oleh suami bagi memulihkan keadaan iaitu: 
1. Menasihatinya dan memberi peringatan kepadanya.
2. Mengasingkan tempat tidur.
3. Memukulnya dengan pukulan yang tidak membekas.
Jika dengan salah satu tindakan itu isteri tersebut boleh sedar dan kembali taat kepada suaminya, maafkan dia dan lupakan sengketa lama dan mulakan kehidupan baru. Semua itu bergantung kepada kebijaksanaan suami mengurus rumah tangga. Percayalah jika suami dapat memberikan kasih sayang kepada isterinya, sudah tentu akan berakhir dengan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
“Sebaik-baik kamu ialah mereka yang paling baik terhadap keluarganya, dan akulah orang yang terbaik antara kamu terhadap keluargaku.” (Riwayat Muslim)

27 Ogos 2012

Erti Kemenangan Sebenar Di Idulfitri


Ahmad Baei Jaafar

Dalam sesuatu perjuangan hanya terdapat dua natijahnya iaitu menang atau kalah atau dalam bahasa yang lebih murni gagal. Kita baharu sahaja selesai berjuang dalam bulan Ramadan namun secara rasminya keputusannya tidak dikeluarkan. Tetapi rata-ratanya kita mahukan kemenangan dalam perjuangan ini.
Persoalan di sini, apakah yang kita perjuangkan dalam Ramadan? Di sini saya cuba senaraikan seperti berikut:
  1. Berjuang menahan nafsu makan dan minum
  2. Berjuang mengawal nafsu seks
  3. Berjuang menahan nafsu mata
  4. Berjuang menahan nafsu telinga
  5. Berjuang menahan nafsu lidah
  6. Berjuang menambahkan pahala ibadah
  7. Berjuang menambahkan pahala sedekah
  8. Berjuang mencantikkan akhlak
Berdasarkan senarai itu, mana satu yang anda rasa benar-benar berjaya dalam Ramadan kali ini? Mungkin rata-rata mengakui telah berjaya dalam menahan nafsu makan dan minum juga seks. Itupun setelah bertungkuslumus berlawan dengan nafsu lapar. Jenuh jugalah berjuang mengawal nafsu seks, yalah tengok isteri mungkin boleh kontral, tetapi bagaimana kalau melihat gadis seksi di luar rumah? Namun tidak ada yang terbabas.
Tetapi perjuangan lain yang lagi enam itu bagaimana? Rasanya ramai yang gagal menahan nafsu mata, lidah, telinga apatah lagi ibadah dan sedekah. Ramai yang terbeliak mata melihat aurat wanita terutama ketika di pasar Ramadan. Manakala perempuan pula rambang mata melihat makanan, pakaian dan sebagainya ketika membeli belah. Begitu juga dengan nafsu telinga dan lidah, tidak boleh dikawal terutama ketika bertemu sahabat handai. Padahal Rasulullah sudah mengajar kita supaya berkata, “maaf aku berpuasa” – sebanyak tiga kali.
Kalau di sudut ibadah ternyata ramai yang tewas, minggu pertama Ramadan ramai yang pergi ke masjid dan surau. Tetapi selepas itu semakin berkurangan apatah lagi pada malam fasa ke 10 terakhir. Penyakit malas sudah menyerang. Mengenai sedekah pula, ramai lagi yang berkira-kira untuk menghulurkan sumbangan. Kalau begitulah kedudukannya apalah erti kemenangan kepada umat Islam yang berpuasa ini?
Kalau kita hanya menang 2/7 tentulah tidak berbaloi. Oleh sebab itulah barangkali ibadah puasa yang kita lakukan tidak membuahkan akhlak yang mulia. Akhlak mereka tidak bertambah cantik walaupun kita telah menempuh puasa setiap tahun.
Kalau begitu siapa yang boleh menang dalam perjuangan ini? Tidak syak lagi mereka yang berjaya dalam perjuangan ini hanyalah orang yang bertaqwa. Tetapi bagaimana kita boleh mengenali orang yang bertaqwa? Ya, taqwa bermaksud orang yang boleh mengawal jiwa dan raga dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah.
Itulah natijah sebenar daripada ibadah puasa ini. Mereka menjadi orang yang taat kepada Allah dalam semua perkara, mencontohi Rasulullah dalam melaksanakan ibadah dan boleh berakhlak dengan munusia dalam semua keadaan. Adakah anda termasuk dalam kategori orang yang bertaqwa ini?
Melihat keadaan itu tentu ramai yang gagal dalam perjuangan ini. Namun sebagai umat Islam kita tidak seharusnya kecewa kerana Allah tidak pernah mahu menzalimi hambanya. Buktinya Allah tidak isytiharkan siapa pemenang dan siapa yang gagal. Dan yang kedua Allah masih memberi peluang kepada mereka untuk menutup kekurangan sekali gus membaik pulih mana yang belum sempurna.
Tindakan yang harus dilakukan bagi mengatasi kegagalan itu ialah dengan melakukan perkara berikut:
  1. Bayar zakat fitrah
  2. Banyakkan takbir
  3. Banyakkan sedekah kepada anak-anak
  4. Doakan sahabat handai, kawan taulan agar mereka berjaya dan seterusnya ucap tahniah atas kejayaan itu.
  5. Memohon kemaafan dan saling berkasih sayang.
Semoga dengan cara ini semua umat Islam boleh dikategorikan sebagai berjaya dalam perjauangan ini. Hendaknya setiap tahun anda berada dalam kebaikan.