13 September 2010

Cabaran Idulfitri setelah sebulan ditarbiah

Khutbah hari raya Idulfitri dibacakan di Masjid Putra Perdana, Taman Putra Perdana, Sepang.

oleh Ahmad Baei Jaafar

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
اَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ وَأَشْهَدُ أَنْ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
اَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُونَ0
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh melaksanakan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Dan yang paling penting tidaklah kita dimatikan melainkan dalam keadaan Islam.
Kita baru sahaja tamat menghadiri kursus membina ketaqwaan sepanjang bulan Ramadan. Kini kita berkumpul di sini seolah-olah untuk menerima sijil atau ijazah daripada Allah sebagai menandakan kita telah berjaya mencapai target kursus iaitu membina taqwa. Atau sekurang-kurangnya kita berpeluang menerima sijil penyertaan, adapun ijazah kejayaan mungkin agak sukar kerana tidak semua yang ikuti kursus itu berjaya mematuhi kehendak pengajur, Allah.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu puasa sama seperti yang difardukan keapda orang yang terdahulu, semoga kamu beroleh taqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)
Dalam tempoh kursus itu kita diberi latihan:
1. Kawal nafsu syahwat agar tidak terdorong kepada yang diharamkan.
2. Kawal mata daripada melihat perkara yang diharamkan
3. Kawal telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan
4. Kawal lidah daripada bercakap perkara yang diharamkan
5. Kawal perut daripada menerima yang diharamkan
6. Kawal tangan agar tidak mengambil perkara yang haram
7. Kawal kaki agar tidak menuju ke tempat yang haram.
Dalam tempoh itu juga kita diajar:
1. Membudayakan segera berbuka puasa
2. Dilewatkan bersahur
3. Dimulakan dengan buah yang terbaik iaitu kurma
Dalam tempoh itu juga kita dibiasakan ibadah sunat:
1. Solat sunat tarawih
2. Solat witir
3. Solat tahajud
4. Solat hajat
5. Iktikaf
6. Sedekah
Selama 30 hari kita diasak, diorientasikan dengan amalan yang baik itu, kita dilatih tubi berhari-hari. Persoalannya adakah asakan orientasi dan latihan tubi selama 30 hari ini sudah cukup untuk mendidik kita? Apakah kita perlu ditambah hari lagi. Jawapannya tentu tidak mahu, tetapi apakah yang kita semua dapat hasil latihan itu?

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Saya percaya hari ini kita masing-masing mengharapkan agar dianugerahkan ijazah ketaqwaan, namun adakah kita dapat rasai hari ni bahawa aku layak mendapatnya? Yang pastinya, ijazah ketaqwaan ini akan diberi kepada mereka yang berjaya dalam semua latihan yang disebut tadi. Oleh sebab itu mulai saat, marilah kita muhasabah diri sendiri apakah sudah layak atau tidak.
Walau bagaimanapun Allah yang Maha Adil tidak mahu mengisytiharkan secara jelas, sebaliknya membiarkan kita menilai sendiri. Oleh sebab itu sebagai motivasi diri sendiri marilah kita bersangka baik bahawa kita telah berjaya.
Kuncinya, mereka yang berjaya melepasi latihan itu pasti nafsu dan anggota lahirnya sudah terpimpin, kehidupan akan terbiasa perintah yang baik, dan ibadahnya sudah boleh diistiqamahkan. Mereka dalam keadaan ini sudah tentu berjaya mendapat tawaran Allah, itqun minalnar, pembebasan daripada neraka. Mereka inilah yang selayaknya menyambut idulfitri.
Idulfitri yang bermaksud kembali kepada fitrah merujuk kepada umat Islam yang menyambut idulfitri pada hari ini. Maka secara umumnya kita telah diiktiraf sebagai telah kembali kepada keadaan manusia yang tiada dosa, sebaliknya bertambah pahala. Kita sudah tahu untuk mengawal nafsu syahwat agar tidak terdorong kepada yang diharamkan. Sudah pastinya dia sudah tahu mengawal mata daripada melihat perkara yang diharamkan. Pada masa yang sama dia juga dapat mengawal telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan.
Selain itu kita akan mula berdisiplin dengan menyegerakan amalan yang diperintahkan supaya segera dan melewatkan ibadah yang dibenarkan. Kita juga boleh berdisiplin dalam soal makan minum agar memilih yang halalan taiba. Akhirnya kita boleh berdisiplin dalam melakukan ibadah atau terus istiqamah.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Beginilah keadaan kita pada hari ini. Kita masih bersih sebersih fitrah. Bersih seperti kain putih, bersih seperti baru dilahirkan. Tetapi apakah yang akan terjadi selepas ini dan hari-hari selepas ini? Apakah kita akan terus berada dalam keadaan fitrah? Inilah cabaran yang kita akan hadapi selepas ini.
Nanti selepas ini kita akan menerima tetamu sahabat handai dan rakan taulan. Apakah bualan kita nanti? Siapakah yang akan kita umpatkan? Tetamu yang berkunjung pula akan melihat itu dan ini, apakah yang dilihat itu sesuatu yang halal atau sebaliknya? Biasanya apa yang dilihat itulah yang akan diumpatkan.
Televisyen yang mempunyai pelbagai rangkaian kini telah menyediakan program hiburan yang langsung tidak mendidik jiwa. Anak dan isteri akan terpaku di hadapan TV sehinggalah mereka tertidur. Apakah yang ditonton itu habis begitu sahaja? Tidak, mata akan melihat aurat artis, lidah akan mengumpat, dan telinga akan mendengar perkara yang lagha.
Kalau mereka keluar berziarah, apakah yang akan mereka lihat di sekeliling? Apakah yang akan dibualkan semasa itu. Kalau kita sedang berpuasa, mungkin kita akan beringat-ingat takut hilang pahala puasa, tetapi selepas puasa berakhir tidak ada alasan lagi untuk mereka melihat semua itu.
Ingatlah, kursus selama 30 hari untuk memungkinkan kita beroleh taqwa hanya setahun sekali, maka setelah kita berjaya memperolehnya tentu tidak wajar kita musnahkan hanya tidak sampai satu hari. Bayangkan bagaimana kita harus berhadapan dengan 11 bulan lagi, kalau sehari pun kita sudah gagal. Jadi, awasi semua itu dengan tingkatkan iman diri, isteri dan anak-anak agar mereka terus berada dalam keadaan fitrah.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Sidang hadirin sekalian
Sesungguhnya Allah berbesar hati mengurniakan idulfitri kepada kita pada hari ini, maka gunakan kesempatan ini untuk bergembira sesama kita. Maka ucapkan tahniah kepada sahabat handai, kawan taulan yang kita temui kerana mereka telah berjaya mengharungi ujian dan kita beroleh taqwa. Kalau kita ucapkan tahniah sudah pasti kita juga akan menerima ucapan balas. Ertinya kita saling berdoa ke arah kebaikan. Allah yang mendengar doa hambanya ini akan segera kabulkannya kerana Allah mengikut sangkaan hamba-Nya.
Dengan cara ini, semua orang boleh dinilai sebagai berjaya pada hari ini. Cuba budaya seperti ini belum ada dalam masyarakat kita. Dan inilah yang saya ingin mengajak kita semua ke arah itu. Ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin tiada nilai di sini Allah kerana ucapan selamat menyambut hari raya walaupun ada nilai doa tetapi rendah nilainya. Begitu juga maaf zahir dan batin, kini sudah menjadi ucapan mainan, bukan lagi benar-benar permohonan maaf daripada segala dosa dan kesalahan.
Kalau anda perasan, satu iklan TM di tv3 dialognya berbunyi begini:
Budak lelaki Melayu: “Saya minta maaf”
Budak perempuan Cina: “Buat apa minta maaf tunggulah hari raya”
Padahal mohon maaf mesti dilakukan setiap hari sebaik saja kita melakukan kesalahan. Kita banyak dosa dengan ibu bapa, kawan-kawan, malah dengan Allah. Sudahkah kita meminta maaf? Jangan tunggu hari raya kerana umur kita tidak menjamin untuk sampai ke hari raya akan datang.
Jadi, mulai hari ini selain mengekalkan budaya lama, eloklah kita tukar kepada ucapan tahniah, “Tahniah anda berjaya di hari raya ini, maafkan salah silap saya dan doakan kebaikan saya.” Jawablah, “Terima kasih, tahniah juga atas kejayaan anda, maafkan kesalahan saya dan doakan kebaikan saya.”
Dalam masyarakat Arab Islam selalu diungkapkan:
تهنية بالعيد، انتم من العائدين والفائزين، كل عام وانتم بالخير
Selain saling berdoa kebaikan orang lain, orang ramai yang merasai masih kurang sempurna ibadahnya, bolehlah ditambahkan dengan amalan sedekah kepada anak-anak termasuk anak yatim, kerana pemberian yang ikhlas itu pasti mendapat doa yang baik daripada anak itu. Jadi, selepasa ini berilah kepada mereka walaupun sekadar RM1.00 semoga dinilai oleh Allah.

الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ ، أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ .
Maksudnya: “Orang yang mendirikan solat dan membelanjakan apa yang direzekikan kepada mereka, mereka itu adalah orang yang beriman yang sebenarnya, bagi mereka beberapa darjat di sisi tuhan mereka dan pengampunan dan rezeki murah.”(Surah al-Anfal 3-4)

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى، وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى، بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا، وَالاَخِرَةًُ خَيْرٌ وَأَبْقَى
“Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan diri dengan beriman dan menyambut-menyebut dengan lidah dan hati akan nama tuhannya serta mengerjakan solat dengan khusyuk. Tetapi kamu orang yang kafir memilih dan menyayangi kehidupan dunia padahal kehidupan akhirat lebih dan kekal.” (Surah al-A’la :14-17)
بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.
أقول قولي هذا وأستغفرالله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم.
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، لا اله الا اللهُ والله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

08 September 2010

Salam Idulfitri buat semua teman dan sahabat

سلامت هاري راي عيد الفطر

من العائدين والفائزين

كل عام وانتم بخير

Ikhlas daripada

Ahmad Baei Jaafar

Rosnah Yahya

Rohani Mohammad

Mohd Arrabe

Ahmad Salim

Syafiqah


Malam ini 8 September 2010 bersamaan 29 Ramadan 1431 akan diisytiharkan sama ada esoknya Hari Raya atau menyempurnakan puasa pada hari ke 30. Jangan panik dengan keadaan ini kerana kita sudah pernah lalui keadaan ini bertahun-tahun lamanya. Berilah kepercayaan kepada pihak berkuasa menentukannya.

Dulu, memang ada masalah, setiap kali melihat anak bulan kita terpaksa menunggu pengumuman daripada Pemegang Mohor Diraja. Waktu itu kita menggunakan kaedah rukyah sahaja. Kalau tidak nampak anak bulan mereka yang belum buat persiapan berasa lega, tetapi bagi mereka yang sudah buat persiapan akan rasa kecewa. Tetapi lazimnya semua umat Islam telah membuat persiapan untuk berhari raya kecuali rebus ketupat, maka apabila tidak dapat raya, mereka masih bersabar dan meneruskan puasa.

Walau bagaimanapun sejak lebih 10 tahun lalu, kerajaan telah memutuskan penentuan hari raya atau puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab. Mengikut kaedah itu, anak bulan akan dicerap pada 29 Ramadan dan perkiraannya adalah berdasarkan hisab. Kalau dalam perkiraan hisab malam itu tidak nampak, rukyah tetap dijalankan juga sebagai ikhtiar, mana tahu kalau-kalau nampak. Jika nampak anak bulan, raya akan diisytiharkan, tetapi kalau tak nampak maka perkiraan hisab akan dipakai.

Sebaliknya, jika mengikut perkiraan hisap falak anak bulan boleh kelihatan pada malam 29 Ramadan, tetapi setelah dibuat rukyah didapati tidak kelihatan kerana cuaca yang tidak mengizinkan, maka perkiraan falak itu akan diterima pakai. Ertinya apa yang telah tertulis pada taqwim itu sudah boleh dibuat panduan. Apatah lagi kebanyakan perkiraan falak setakat ini semuanya benar.

Cuma dalam seminggu ini, kita dikejutkan dengan ramalan bahawa kemungkinan anak bulan boleh kelihatan pada malam 29 Ramadan. Berita ini sedikit sebanyak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam terutama yang merantau. Ternyata mereka tidak bersedia untuk berhari raya awal daripada yang ditetapkan falak. Mereka yakin perkiraan falak sudah betul lalu persiapan untuk pulang kampung telah ditetapkan pada hari Khamis.

Bayangkan kalau berlaku hari raya pada hari Khamis, sedangkan waktu bertolak ke kampung ditetapkan pagi Khamis, sudah tentu mereka akan terlepas upacara solat hari raya. Atau terpaksa dibatalkan kepulangan pada pagi itu dan ditunda selepas solat Raya. Inilah kemungkinan yang boleh berlaku.

Oleh sebab itu saya ingin tegaskan di sini, jangan panik dengan ramalan itu. Walaupun apa pun kita harus berpegangan kepada keputusan kerajaan yang akan diisytiharkan oleh Pemegang Mohor Diraja nanti. Ingatlah perkiraan falak atau hisap selalunya tepat. Tetapi kita juga perlu yakin bahawa Allah boleh mengubahnya dan menjadikan anak bulan boleh kelihatan. Maka jika boleh kelihatan kaedah pertama yang disebut di atas perlu diambil kira. Ingatlah semua itu adalah kurniaan Allah yang kita belum tahu hikmahnya.

Semoga perancangan untuk berhari raya anda itu tidak terjejas dan ibadah yang dirancang juga tidak terabai. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

04 September 2010

Apa salahnya orang bukan Islam masuk surau?

Ahmad Baei Jaafar

Saya sering mencari jawapan sendiri tentang mengapa orang bukan Islam tidak tertarik kepada Islam di negara ini. Padahal di sudut politik orang bukan Islam terlalu rapat orang Islam, mereka bersama UMNO yang sebelumnya Perikatan dan kina Barisan Nasional. Pemimpin mereka selalu bersama pemimpin UMNO tetapi mengapa tidak terdetik di hati mereka untuk terima Islam.

Antara jawapan yang diperoleh ialah, belum dapat hidayah, sikap orang Islam tidak menjadi penarik sebaliknya penolak. Walaupun jawapan itu ada kebenarannya tetapi dengan peristiwa baru-baru ini memberikan saya jawapan yang lebih tepat lagi.

Apabila Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memasuki sebuah suara atas jemputan berbuka puasa dan diberi peluang pula untuk memberikan ucapan selepas solat Tarawih, timbul pihak yang membantah. Peristiwa inilah yang menyedarkan saya betapa orang politik sebenarnya yang menjadi penghalang kepada orang bukan Islam untuk mengenal Islam.

Anda boleh pastikan sendiri, berapa ramai orang Melayu berkawan dengan orang India, baik orang politik mahupun orang biasa. Tetapi berapa ramai orang Melayu mahu menceritakan tentang Islam kepada mereka. Sebaliknya kalau orang bukan Islam bertanya sesuatu tentang Islam mereka marah atau meberi jawapan yang tidak tepat.

Kalau kita tanya mereka, mengapa kamu tidak mahu ceritakan tentang Islam dan kebaikannya kepada orang bukan Islam, maka dengan tegas mereka berkata, “takut sensitif”. Persoalannya mengapa kita hendak ceritakan perkara sensitif? Adakah soal agama amat sensitif untuk dikongsikan kepada orang lain. Padahal, mereka sudah tahu tentang Islam melalui pembacaan dan tontonan rancangan televisyen. Malah ada yang mahu lebih tahu tentang Islam. Jadi, kitalah yang sebenarnya menyekat untuk Islam berkembang di Malaysia.

Sebenarnya saya tidak dapat bayangkan, kalau YB Teo itu dijemput untuk berbuka puasa, tentu dia tiba jam 7.00 malam atau lebih awal daripada itu. Kemudian dia dijemput untuk memberi ucapan dalam majlis ringkas selepas solat Tarawih, mungkin sekitar jam 10.00 malam. Di mana beliau ketika umat Islam bersolat?

Saya tidak fikir dia balik dan datang semula kerana lazimnya kalau YB Melayu setelah balik tidak akan datang lagi. Tapi kalau YB Teo balik dan datang lagi, saya sungguh kagum. Katalah dia tidak balik, tentu dia akan disediakan tempat khas di surau itu dan tentunya temani oleh seorang muslimah. Tidak mengapa, memang muslimah sepatutnya melayan wakil rakyat wanita. Muslimah itu tentu tidak rugi apa-apa tanpa solat Tarawih malam itu kerana pahala melayan tetamu lebih besar daripada solat itu. Tetapi kalau dia tidak boleh solat kerana uzur tentulah dia juga mendapat pahala seperti oleh yang bersolat.

Bayangkan selama tiga jam mereka berbual di situ, apakah topik perbualan mereka. Cerita projek pembangunan, cerita bagaimana hendak menjatuhkan orang itu dan ini, atau cerita lagha. Alangkah baiknya pada waktu itu diselitkan cerita Islam, kehebatan Islam membangunkan umahnya pada zaman silam. Mungkin cerita itu belum mendorongnya untuk memeluk Islam tetapi satu hari nanti, mungkin anak cucunya memeluk Islam. Saya harapkan itulah yang diperbualkan pada waktu itu.

Selain itu, cuba kita bayangkan seorang bukan Islam apabila mahu tunggu orang Islam solat dalam tempoh yang panjang, apakah niat di hatinya. Adakah kemungkinan dia mahu mengkhianati Islam dan umatnya. Atau dia buat begitu sebagai usaha memancing undi untuk pilihan raya akan datang. Walaupun apa pun niatnya, tentu niat umat Islam dalam melayannya lebih Allah nilai sebagai kebaikan.

Tetapi saya percaya, kesudian dia mahu berada di surau itu sedikit sebanyak akan menambahkan ilmunya tentang Islam. Setidak-tidaknya dia tidak akan memburukkan Islam dan umatnya lagi selepas ini. Semua ini akan menjadi kenyataan jika peluang itu digunakan sebaiknya oleh muslimah ketika itu.

Tetapi sungguh tidak di sangka, ada pihak lain yang membuat ribut, membuat tuduhan yang tidak berasas, tanpa ilmu agama yang benar sehingga menimbulkan rasa kurang senang hati orang bukan Islam kepada orang Melayu. Rasa gembira bersama orang Islam hanya seketika kerana kutukan orang Melayu terhadapnya telah memusnahkan impiannya.

Ingatlah selagi orang Melayu suka bersangka buruk terhadap bangsa lain yang bukan beragama Islam, sampai bila pun orang bukan Islam tidak boleh mengenali Islam. Hari ini, Perdana Menteri telah menyeru kepada orang bukan Islam supaya menukar persepsi mereka terhadap Islam. Tetapi itu mungkin di luar Malaysia, tentu lain keadaannya di negara kita kerana mereka sudah lama mengubah persepsi itu. Tetapi sebaliknya, orang Melayu yang selalu bersangka buruk terhadap mereka.

Dalam hal ini sebenarnya, orang Melayu sama ada pemimpin atasan mahu pun orang bawahan, amat kurang ilmu pengetahuan tentang Islam, tetapi mereka masih mahu bercakap tentang Islam. Mereka sering menghukum yang tidak tepat hingga boleh menyinggung perasaan orang lain. Kesannya, orang bukan Islam terus menjauhkan diri daripada Islam.

Di sini saya cuba paparkan antara yang sering tersalah pada pihak kita ialah:

1. Kita masih meletakkan wujudnya golongan kafir harbi di negara ini. Sebenarnya sudah tidak wujud lagi golongan ini di negara ini. Kalau ada pun hanya satu dua orang sahaja. Sebaliknya yang ada ialah Melayu Harbi, yang mereka ini amat menentang Islam.

2. Masjid dijadikan tempat yang terlalu eksklusif sehingga orang bukan Islam tidak boleh masuk. Kalau hendak masuk kena pakai tudung dan jubah. Padahal hukum itu untuk orang Islam sahaja. Orang bukan boleh masuk masjid walaupun mereka dalam keadaan berhadas. Masjid tidak tercemar dengan kemasukan mereka kecuali kalau mereka berniat jahat. Larangan ketika haid itu hanya terhadap orang Islam, itupun kalau wanita yang haid masih boleh lalu dalam masjid. Mereka ini kalau masuk dan duduk dalam masjid berdosa, namun masjid tidak akan tercemar dengan sebab itu. Namun hukum seumpama ini tidak dikena pada surau.

3. Merujuk kepada isu Teo, dia masuk ke dalam surau atas jemputan, dan ucapan dalam majlis itu adalah juga atas jemputan, jadi kenapa kita menimbulkan suasana tegang. Apatah lagi dengan menggunakan istilah tazkirah yang langsung tidak tepat kerana lazimnya tazkirah merujuk kepada peringatan ringkas untuk menyedarkan umat kepada agama.

Suka saya ingatkan orang Melayu yang terlibat dengan parti politik seharusnya belajar menerima hakikat bahawa dalam perjuangan menegakkan bangsa dan agama seharusnya tidak ada permusuhan. Dalam perjuangan ini mereka harus bekerjasama menyelesaikan masalah ummah dengan memberi idea yang baik kepada pemerintah. Dan cuba membetulkan mana yang kurang pada pentabiran. Kecaman dan kutukan bukan menyelesaikan masalah, tetapi menambahkan masalah.

Jadi, hentikan pertikaian antara orang Melayu hanya kerana nak cari pengaruh. Dengarlah nasihat Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Matlamat kita ialah tegakkan Islam dan menyelamatkan orang Melayu, maka dengan cari pengaruh, nanti kelemahan kita akan dihidu musuh Islam. Dan ketika itu kita akan terus kalah dalam perjuangan.

25 Ogos 2010

Sejauh Mana Cinta Kita Kepada-Nya?


Solusi isu no 23 akan menemui anda Jumaat ini. Semua pembaca dan peminat Solusi bolehlah mula mencari di kedai-kedai majalah anda mulai hari Sabtu 28 Ogos. Paparan kali ini "Sejauhmana Cinta Kita Kepada-Nya?, mendedahkan erti cinta sebenar. Kita kata cinta kepada Allah, apa buktinya?

Kita telah melakukan solat, puasa dan sebagainya, adakah semua cukup membuktikan kita cinta kepada Allah? Inilah persoalan yang harus anda baca dan cuba menilai sejauhmana kecintaan kita kepada-Nya.

Kita selalu baca al-Quran, sudahkah kita mengambil manfaat daripada isu dan mesejnya. Itulah surat cinta Allah terhadap hamba-Nya. Tetapi apakah kita membaca cinta itu, mungkin kita baca sambil lewa sahaja. Padahal kalau kita baca surat cinta, kita amat khusyuk maksyuk.

Jadi, milikilah Solusi 23 untuk membaiki cinta kita kepada Allah.

17 Ogos 2010

Sempurnakan zakat fitrah anda tahun ini

Ahmad Baei Jaafar

Saban tahun kita membayar zakat fitrah. Alhamdulillah, tidak ada yang terkecuali untuk membayarnya walaupun mereka dalam kalangan orang miskin. Pengalaman saya sebagai amil zakat beberapa tahun kebelakangan ini, tidak ada yang enggan membayar kecuali yang terlupa atas kesibukan bekerja, lalu mereka membayarnya juga selepas solat hari raya.

Tahukah anda mengapa umat Islam berlumba-lumba membayar zakat fitrah walaupun mereka miskin? Adakah kerana kadar zakat fitrah terlalu rendah dan mampu untuk membayarnya? Adakah kerana ketiadaan membayar zakat fitrah itu akan menyebabkan puasanya tergantung? Adakah kerana ramai orang membayarnya lalu mereka perlu ikut orang ramai? Atau adakah kerana promosi tentang kewajipannya sering dibuat?

Empat kemungkinan itu sedikit sebanyak mempengaruhi fikiran umat Islam untuk membayarnya. Tetapi faktor nilai atau kadar rendah bukanlah alasan yang kuat. Buktinya, kadar yang tinggi diperkenalkan pada tahun lalu masih tidak menjejaskan jumlah pembayarnya. Begitu juga faktor ikut orang ramai, kerana masing-masing sudah tahu kewajipannya. Malah lazimnya orang ramai ingat akan zakat fitrah kerana sudah sinonim dengan puasa Ramadan.

Namun saya percaya, ramai yang terpanggil untuk membayar zakat fitrah ini kerana pengaruh promosi yang berterusan di mana-mana media massa. Apatah lagi dalam promo yang disiarkan itu menjelaskan kewajipannya dan kesan bagi yang tidak menunaikannya. Semua itu telah menimbulkan kesedaran kepada orang ramai untuk segera menunaikannya.

Memang benar, peranan iklan dalam menyedarkan masyarakat amat tinggi. Sebab itu apa-apa yang hendak dilakukan dengan jayanya perlukan iklan yang kerap dan menarik. Malah dikatakan jika seseorang itu mendengar atau melihat sesuatu itu berulang kali sebanyak 40 kali, perkara itu akan terlekat pada hati seseorang itu. Syabas diucapkan kepada pusat zakat negeri-negeri kerana anda telah berjaya memainkan peranan itu dengan sebaiknya.

Kadar bayaran zakat fitrah
Menyentuh soal kadar zakat yang agak tinggi mulai tahun lalu, mungkin agak mengejutkan umat Islam. Tetapi tidak ada yang mahu membantahnya kerana menyedari bahawa zakat fitrah adalah ibadah yang wajib. Di negeri Selangor sebelum ini zakatnya bernilai RM5.70 tetapi terus melonjak ke RM7.00. Kadar ini meningkat mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh rakyat Selangor waktu ini. Begitu juga yang berlaku pada negeri-negeri lain.

Persoalannya mengapa kadarnya mengikut nilai harga beras? Sebenarnya, zakat fitrah pada asal hukumnya ialah mengeluarkan segantang makanan asasi masyarakat setempat. Maknanya kalau di negara Arab yang makanan asasinya kurma, maka segantang kurma perlu dikeluarkan sebagai zakat fitrah. Bagi rakyat negara ini, makanan asasi kita ialah beras maka perlu dibayarkan segantang beras itu sebagai zakat fitrah.

Walau bagaimanapun jenis gantang yang diambil kira ialah gantang baghdadi yang bentuk dan saiznya kecil sedikit daripada gantang Malaysia. Kalau beras diisi dalam gantang Malaysia dan ditimbang, beratnya ialah 3.6 kg. Tetapi kalau beras yang sama diisi dalam gantang baghdadi beratnya hanyalah 2.7 kg, ertinya kecil sedikit.

Berdasarkan itu, rakyat Selangor yang makan beras dengan kadar harga di sini perlu didarabkan dengan 2.7kg dan kadar harganya itulah yang dibayarkan sebagai zakat fitrah. Majlis Agama Islam Selangor dengan mengambil kira jenis beras yang kebanyakan rakyat Selangor memakannya iaitu beras yang bernilai RM2.60 sekilo ditentukan kadar zakat fitrah pada tahun ialah RM7.00.

Cara mengiranya begini, 2.60 X 2.7 = 7.02. Maka digenapkan kadar itu menjadi RM7.00. Kadar purata ini dikira munasabah bagi rakyat Selangor yang berpendapatan sederhana.

Cuma di kesempatan ini saya ingin bertanya kepada semua rakyat Malaysia, berapa ramai yang menyedari cara kiraan ini. Mengikut kajian saya, ramai yang tidak tahu. Dan mereka boleh membayar mengikut apa yang ditetapkan oleh kerajaan. Tidak mengapa, yang penting kita perlu membayar mengikut kadar yang tepat.

Tetapi tahukah anda bahawa kita seharusnya perlu membayar zakat fitrah mengikut kadar beras yang kita makan setiap hari. Sekali lagi soalan ini apabila ditanyakan kepada mereka, katanya, “kami tidak tahu”. Ya, betul kita membayar zakat fitrah mengikut kadar harga beras di negeri tersebut, tetapi jenis beras yang kita makan tentu tidak sama harganya. Sedangkan kadar yang ditetapkan oleh majlis itu hanya berdasarkan lazimnya rakyat awam di Selangor makan. Apa halnya dengan orang kaya yang harga berasnya lebih daripada RM3.00?

Jadi, sempurna atau tidak zakat fitrah kita yang dibayar RM7.00 sedangkan kita makan beras yang bernilai RM2.80, RM3.00 atau lebih? Mari kita kira kadar sebenar, 2.80 X 2.7 = 7.56, 3.00 X 2.7 = 8.10, kalau itulah yang sepatutnya kita perlu bayar maka kita sebenarnya telah terhutang sebanyak 56 sen atau RM1.10. Bayangkan berapa banyak umat Islam yang tidak sempurna zakatnya.

Saya tidak katakan zakat mereka tidak sah, tetapi tidak sempurna kerana masih terhutang. Semoga Allah ampun dosa yang lalu dengan taubat kita pada hari ini. Tetapi untuk tahun ini saya mengajak umat Islam secara jujur mengira kadar zakat sendiri. Oleh sebab itu anda perlu terus membayar kepada amil zakat pada kadar yang ditetapkan, tetapi baki daripada kadar itu bolehlah diberikan kepada asnaf yang lain secara sendiri.

Terdapat lapan asnaf yang boleh menerima zakat fitrah iaitu; fakir, miskin, amil yang mengurus soal zakat, muallaf, orang yang berhutang (dalam proses membayarnya), orang bermusafir, hamba yang dalam proses tebusan, dan yang berjuang fi sabilillah. Jadi, mana-mana dalam kalangan lapan jenis orang ini bolehlah diberikan kadar yang baki itu.

Semoga zakat fitrah anda semua pada tahun ini sempurna dan diberi ganjaran keberkatan. Nantinya, Idulfitri yang disambut akan lebih bermakna.

13 Ogos 2010

Kenapa Melayu susah bersatu?

Ahmad Baei Jaafar

Isu bersatu atau perpaduan sudah lama dilagukan oleh pemimpin negara. Baru-baru ini ditimbulkan lagi oleh pihak tertentu dengan nada yang sama. Tegasnya, isu ini timbul bermusim. Bila berlalu musim itu berlalulah isu itu, bak kata orang sekarang macam biskut, sekejap ada dan sekejap tiada. Mengapa?

Susahkah orang Melayu hendak disatukan? Adakah isu ini sengaja dibesarkan sedangkan realitinya orang Melayu sudah bersatu. Atau adakah bersatu atau perpaduan yang dimaksudkan itu lain daripada yang difahami oleh orang Melayu?

Sebenarnya orang Melayu tidak susah untuk bersatu, buktinya apabila berlaku kematian orang jauh mahupun dekat akan datang berziarah mengucap takziah kepada keluarga itu walaupun mereka tidak pernah kenal. Selepas itu mereka boleh bergaul mesra dengan tetamu yang datang. Di sini sudah wujud kerjasama tanpa terancang.

Begitu juga apabila berlaku kenduri kahwin, semua sanak saudara, rakan taulan dan mereka yang menerima jemputan boleh datang dengan hati yang tenang. Antara tetamu itu dapat berbual mesra tanpa ada sebarang sangka buruk. Malah ada yang boleh bergurau senda yang mencuit hati.

Selain itu orang Melayu juga boleh bersatu dan bekerjasama ketika bergotong-royong untuk membersihkan kampung, taman, masjid dan surau. Berdasarkan itu apakah halangan untuk orang Melayu bersatu dan berpadu pada waktu-waktu lain?

Jawapan mudahnya ialah faham politik sempit dan amalan berpolitik yang tidak secara profesional dalam kalangan orang Melayu menjadi puncanya. Mereka menganggap golongan dalam parti lawan sebagai musuh lalu tidak boleh bertegur sapa kerana benci.

Kita bukan nak salahkan politik, malah politik itu perlu dalam membina negara yang cemerlang. Kita juga tidak salahkan orang yang menyertai parti politik tertentu, tetapi yang salahnya ialah matlamat orang yang menyertai politik itu tidak benar-benar jelas. Matlamat perjuangan parti tidak difahami oleh mereka. Hal ini kerana mereka tidak diberi ilmu tentang kepentingan politik dalam Islam.

Perlu difahami di sini bahawa bersatu dan berpadu adalah tuntutan agama disebut oleh Allah dan Rasul dalam banyak tempat. Bersatu dalam soal bertuhan, bersatu dalam matlamat hidup dan bersatu dalam perjuangan. Namun bersatu dalam konteks ini perlu diasaskan oleh hati yang tulus dan mulus.

Sungguhpun begitu tuntutan bersatu di atas asas itu tidak menghalang daripada umat Islam berfikir dan berhujah dalam sesuatu perkara. Malah Islam mahu umatnya kreatif dalam memberi pandangan dalam memajukan hidup di dunia ini.

Menyedari halangan di atas, usaha menyatukan umat Islam dan mengukuhkan perpaduan orang Melayu dua perkara berikut perlu diberi perhatian:
1. Parti politik berasaskan orang Melayu perlu diberi penjenamaan baru. Parti yang bukan mencipta musuh tetapi mendekatkan dan menjinakkan musuh. Selain itu, politik bukan untuk kepentingan kelompok tertentu tetapi untuk kepentingan rakyat.
2. Penyatuan ummah ini perlu ditaja oleh pihak berkecuali dan tiada berkepentingan dengan mana-mana parti politik.

Sesuai dengan bulan Ramadan, bulan yang boleh menghimpunkan orang Melayu dan Islam di masjid dan surau, sebaiknya perpaduan ini diterjemahkan kepada semua jemaah. Guru-guru yang memberi tazkirah Ramadan harus menyedarkan umat Islam agar mengelak permusuhan. Begitu juga mimbar-mimbar masjid harus memberi ilmu tentang perpaduan ummah.

Perpaduan tersebut seharusnya atas tujuan membina kekuatan ummah, meningkatkan ekonomi dan memantapkan kedudukan bangsa dan memelihara maruah Islam dan umatnya. Kalau semua orang Melayu sedar akan kepentingan itu, tidak mungkin mereka menolak untuk bersatu. Dan percayalah jika dengan bersatu atas dasar ini tidak mustahil orang Melayu yang berada dalam parti yang berlain juga boleh bersatu.

Mereka boleh bersatu dan berpadu dalam memperakui pandangan lawannya jika hujahnya munasabah dan relevan. Tetapi jika pandangan itu berlainan dan tidak elok, dibantu bagi mencantikkannya. Inilah kesan perpaduan yang dikehendaki Islam.

Dalam keadaan sekarang kita seharusnya berhati-hati dengan orang yang berjuang ke arah bersatu atau perpaduan tetapi mempunyai kepentingan politik tertentu. Sebagai contoh, mereka inginkan orang Melayu bersatu supaya menyokongnya dalam pilihan raya akan datang. Maka dengan cara ini kedudukan parti yang satu lagi akan lenyap.

Sudah sampai masanya kesatuan orang Melayu berani menaiktarafkan Islam di negara ini. Orang Melayu perlu bergerak atas semangat Islam, jiwa Islam dan akhlak Islam supaya dengan itu orang bukan Islam akan hormat dan tidak menghina Islam dan umatnya.

Pada masa yang sama orang Melayu seharus tidak menjadi batu penghalang kepada orang lain untuk mengenali Islam dengan sikap kita. Jangan sampai orang lain takut kepada Islam kerana sikap kita yang suka bermusuhan. Jangan juga sampai orang lain membenci Islam kerana sikap buruk yang kita miliki kini. Malah lebih malang lagi kalau ada orang lain yang hendak mengenali Islam, kita gambarkan yang negatif tentang Islam.

10 Ogos 2010

Salam Ramadan buat semua pelawat fikrah islamiah

Ahmad Baei Jaafar

Malam ini kita akan mula bertarawih, malam ini juga kita akan mula berniat untuk melakukan puasa Ramadan dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan. Malam ini jugalah kita akan mula bangun sahur dengan penuh rasa bersemangat untuk memulakan puasa. Mungkin pada malam pertama ini juga ada yang sudah memulakan amalan taddarus al-Quran. Selamat memulakan ibadah atau amalan yang baik pada malam ini kerana lazimnya sesuatu yang bermula pada malam pertama dengan baik akan berakhir dengan yang baik juga.

Ramadan 1431H mungkin merupakan ulang tahun ke 40 bagi sesetengah orang, boleh jadi juga ada yang pada kali ini menyambut ulang tahun ke 60 malah 70 tahun bagi yang kini berusia 85 tahun. Kiraan ini mengambil kira usia seseorang ketika mula berpuasa iaitu pada usia 15 tahun. Tapi kalau seseorang itu berpuasa lebih awal daripada usia itu, tentu lebih lama dia bersama Ramadan.

Walau bagaimanapun mereka yang baru memulakan puasa pada usia yang agak lewat kerana terleka, tidak tahu atau malas, mereka masih ada peluang untuk menyemai kedudukannya dengan ibadah orang sebaya dengannya. Mereka masih diberi peluang untuk mengqada mana-mana yang tertinggal.

Bayangkan dalam usia yang begitu lama kita mengerjakan puasa dan saban tahun kita telah melakukan ibadah sunat, tentu sudah banyak manfaat yang telah diperoleh. Puasa yang dilakukan dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan itu telah dijamin kebaikannya oleh Rasulullah. Sabdanya:

إن الله فرض صيام رمضان وسن لكم قيامه فمن صامه وقامه إيمانًا واحتسابًا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه (أحمد ، والنسائى عن عبد الرحمن بن عوف)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memfardukan puasa Ramadan dan disunatkan bagi kamu qiyam pada malamnya. Maka sesiapa yang berpuasa dan qiyam dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan akan dikeluarkan dosanya seperti hari dia dilahirkan ibunya.”(Riwayat Ahmad, Nasai daripada Abdulrahman bin Auf)

Subhanallah, sudahkah kita berada di tahap itu? Sekian lama kita berpuasa saban tahun, berapa banyak dosa yang telah digugurkan. Masya-Allah, kalau kita sudah tiada dosa, sudah tentu mudahlah kita beroleh ketakwaan. Kalau ini yang terjadi tercapailah matlamat puasa seperti yang dikehendaki oleh Allah. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, difardukan kepada kamu puasa sebagaimana yang pernah difardukan kepada orang sebelum kamu, semoga kamu beroleh taqwa.” (al-Baqarah 2: 183)

Peningkatan taqwa kepada seseorang dapat dilihat pada setiap hari mereka berpuasa dan kemuncaknya dapat diserlahkan pada malam hari raya. Pada hari-hari berpuasa tutur katanya terkawal daripada dosa, ibadahnya lebih baik dari sebelumnya. Bukan itu sahaja, malah kesihatannya lebih bermutu. Dan pada malam raya, dia terus beribadah, memuji Ilahi dengan tahmid, tasbih dan takbir. Mereka ini sedih untuk meninggalkan Ramadan.

Saya percaya anda sekalian sudah mampu memperoleh ketaqwaan seperti yang disebut di atas. Namun jika anda berasa belum memperolehnya, belumlah lagi terlambat untuk anda memilikinya. Mulakan pada malam ini dengan mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Jadi, tidak ada yang mustahil dalam dunia ini. Allah mahu kita beroleh kebaikan dengan pelbagai cara. Puasa adalah jalan pintas untuk mereka beroleh taqwa. Maka rebutlah dengan sebaiknya semoga anda dan saya juga berjaya dalam mengharungi ibadah sepanjang Ramadan kali ini.