20 Mei 2009

Pendakwah kita tiada kreatif dalam dakwah

Ahmad Baei Jaafar

Setiap umat Islam adalah pendakwah, masing-masing ada tugas untuk mengajak manusia lain kepada Islam dan mengamalkan Islam. Malah urusan dakwah perlu dipelbagaikan mengikut sasaran penerimanya.

Mungkin beberapa orang pendakwah perlu dihantar ke beberapa perkampungan orang Asli untuk duduk bersama orang Asli beberapa lama bagi tujuan mengislamkan mereka. Tetapi untuk mendakwah orang Cina atau India, tidak perlu duduk bersama mereka, tetapi cukup dengan bergaul dengan mereka setiap hari.
Tetapi satu persoalan yang perlu fikirkan hari, sejauhmana umat Islam menjalankan kerja dakwah tersebut. Berapa ramai yang turun padang dan berada di lokasi dakwah dalam tempoh yang lama? Negara ini negara kita dan Perlembagaan Persekutuan melindungi Islam dan umatnya dalam urusan dakwah, tetapi kenapa kita takut untuk berdakwah.
Dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Menurut perkara itu Islam menjadi agama untuk seluruh negara termasuk dalam perkampungan orang Asli. Ke mana tempat yang kita pergi di seluruh perusuk negara boleh dilaksanakan Islam di situ. Jika ada pihak yang menghalang pengamalan Islam di situ, mereka sebenarnya telah melanggar perlembagaan.
Walau bagaimanapun perlembagaan memberi kebenaran kepada pengamal agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka dengan bebas. Malah mereka boleh menyebarkan agama mereka kepada orang lain selain daripada umat Islam.
Selain itu dengan peruntukan Perkara 3(1) juga menjadikan Islam berada di atas dalam pentadbiran negara. Ertinya, pemerintahannya mesti berasaskan Islam, pemimpinnya orang Islam dan semua urusan dalam pentabiran dirujuk kepada Islam.
Berdasarkan itu, urusan dakwah di negara ini boleh dijalankan dengan bebas tanpa kekangan mana-mana pihak malah disokong oleh pemerintah. Tetapi sejak negara merdeka sehingga ke hari ini, urusan dakwah di negara ini masih terdapat kekangan kerana semua pihak yang terlibat tidak benar-benar memahami peruntukan perlembagaan itu.
Pendakwah yang melebalkan diri mereka sebagai pendakwah bebas kononnya akan bergerak ke mana-mana tempat di negara ini berdasarkan permintaan. Ada yang memberi ceramah di masjid, ada juga yang berceramah di surau, dan tidak kurang juga yang membentangkan kertas kerja di dewan tertentu. Pendakwah bebas atas nama bebasnya agak lantas memberi hujah termasuk mengkritik pemerintah.
Tetapi belum ada lagi pendakwah bebas ini turun padang ke kampung orang Asli dalam tempoh yang lama. Apatah lagi untuk duduk berkampung dan berkahwin dengan orang Asli. Alasannya, tiada siapa yang sanggup membayar perkhidmatan mereka dalam tempoh dalam perkampungan itu.
Manakala pendakwah kerajaan pula, mereka tertakluk kepada peraturan pejabat, kalau dipanggil untuk memberi ceramah di masjid dan surau atau di mana-mana seminar anjuran kerajaan, mereka dibayar alaun. Malah kadang-kadang penganjur akan memberi saguhati lagi kepada mereka.
Sungguhpun begitu, mereka juga berpeluang berdakwah di tempat tertentu di luar waktu pejabat. Namun mereka pergi ke tempat tersebut atas permintaan penganjur dan dibayar setiap kali memberi ceramah di situ.
Persoalan sekarang, adakah pendakwah kerajaan turut turun padang berdakwah orang bukan Islam termasuk orang Asli? Jawapannya, ada. Tetapi tenaganya tidak ramai dan waktu yang diperuntukkan amat terbatas. Mungkin masuk kawasan orang bukan Islam hanya untuk urusan memberi hadiah. Dan keberadaan mereka di perkampungan orang Asli hanya selama dua tiga hari.
Kadang-kadang pendakwah kerajaan ini menjadikan aktiviti ini sekadar untuk menghiburkan diri bagi menghilangkan tekanan kerja di pejabat. Selain itu mereka beroleh alaun bertugas di luar pejabat.
Keadaan ini amat berbeza dengan mubaligh Kristian, mereka membuat kerja dengan betul-betul. Selain tenaga mereka yang ramai, mereka sanggup berkampung dan beranak pinak di sesuatu tempat yang menjadi sasaran mereka.
Bagi mubaligh Kristian mereka tidak fikirkan soal kewangan kerana banyak NGO bukan Islam yang memberi sokongan kepada mereka. Mereka tidak perlu fikir hendak makan apa kerana di mana mereka pergi, mereka boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat dan boleh makan bersama mereka.
Dalam hal ini saya mengucap syabas kepada kumpulan Tabligh kerana mereka sanggup berjalan seluruh dunia untuk berdakwah tanpa memikirkan soal kewangan. Mereka sanggup keluar duit sendiri malah sanggup cuti tanpa gaji untuk urusan dakwah.
Walau bagaimanapun penulis tidak tahu apakah pendakwah ini turut turun padang menemui orang bukan Islam termasuk orang Asli. Apa yang boleh dipastikan, mereka juga bergeligar dalam kalangan orang Islam dan mengajak orang yang sedia ke masjid dan surau untuk bersama–sama mereka.
Jelas di sini, peruntukan perlembagaan itu tidak digunakan sepenuhnya oleh umat Islam, pihak berkuasa agama, dan kerajaan sendiri. Semua pihak hanya bertindak sekadar melepaskan batuk di tangga.
Hakikatnya kita tidak serius mengajak orang lain untuk mengenali Islam walaupun tidak sanggup mengajak mereka kepada Islam. Buktinya, sepanjang kita bergaul dengan kawan kita yang bukan Islam, pernahkan kita menceritakan kebaikan Islam kepadanya? Kita tidak berani, kononnya sensitif. Padahal mereka tidak pernah berfikiran begitu.

15 Mei 2009

Keperluan yang sering diabaikan suami isteri

Sebelum sesuatu pasangan hendak diijabkabulkan, Penolong Pendaftar Nikah (juru nikah) akan bertanya kepada pengantin sesuatu yang asas tentang Islam dan perkahwinan. Antara soalan yang penting ialah, apa yang wajib bagi suami setelah diijabkabulkan?

Kebanyakan bakal suami memberi jawapan yang agak betul, iaitu memberi nafkah zahir dan batin. Apabila ditanya apakah yang dimaksudkan dengan nafkah zahir, dia menjawa, beri makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Jawapan yang cukup cemerlang.

Tetapi apabila ditanya apa pula yang dimaksudkan dengan nafkah batin, dia terdiam tidak dapat menjawab. Biasanya kalau tidak menjawab adalah kerana tidak tahu atau malu nak jawab. Ya, dalam soalan ini ternyata dia malu hendak menjawab.

Kenapa dia malu? Dia malu kerana jawapan yang dimaksudkan ialah seks. Itulah sebabnya dia tersipu-sipu nak jawab. Tetapi benarkah jawapan itu? Di sinilah kesilapan umat Islam yang jawapan itu telah lama diwarisi entah sejak bila.

Sebenarnya, jawapan itu salah kerana nafkah yang sebenarnya hanya satu itu nafkah zahir. Tetapi boleh juga disebut nafkah batin dengan merujuk kepada memberi didikan ilmu agama kepada isteri. Batin atau jiwa isteri perlu dididik ke arah kebaikan dan ketakwaan serta keimanan. Nafkah inilah yang sering diabaikan oleh suami. Dan atas sebab itulah mengapa berlaku masalah rumah tangga yang sukar diselesaikan.

Menyentuh soal seks, suka dijelaskan di sini bahawa ia satu keperluan yang Allah sediakan kepada makhluknya. Allah bekalkan keinginan seks kepada manusia sama seperti yang diperlukan binatang. Tetapi keperluan itu dibezakan dengan perkahwinan yang sah untuk menambahkan keharmonian rumah tangga.

Allah sebutkan dalam al-Quran, “kamu pakaian bagi mereka dan mereka juga pakaian bagi kamu,” (al-Baqarah) adalah hendak menunjukkan betapa lelaki dan perempuan itu saling memerlukan. Maka seks itu adalah pengikat kasih sayang selain anak yang dilahirkan hasil hubungan intim antara pasangan itu.

Walau bagaimanapun hubungan seks halal ini sering diabaikan oleh pasangan sama ada suami atau isteri kerana tidak memahami peranan dan fungsi di atas. Malah sesetengahnya menganggapnya kotor atau kerja sia-sia yang sekadar melepaskan nafsu syahwat sahaja.

Oleh sebab itu kita lihat, ada suami yang lebih sebuk dengan kerja lalu lupa hendak bermesra dengan isteri. Ada juga isteri yang sebuk dengan urusan kerja baik dalam rumah atau luar hingga tidak berpeluang untuk bermesra dengan suami.

Kemungkinan mereka berdua ada masalah, tetapi tidak cuba diselesaikan dengan cara yang baik sehingga akhirnya menjadi kudis dan barah. Sebenarnya beberapa kes yang pernah dirujuk kepada saya, suami mengadu isteri tidak mahu menyerahkan dirinya kepada suami setelah empat tahun berkahwin.

Tetapi apabila bertanya punca, jawapan yang diberi oleh suami dan isteri sering bercanggah. Mereka sering tuduh menuduh. Namun apabila persoalan yang sama ditanya pada sesi temu bual tertutup secara empat mata, isteri mengakui tidak mendapat kepuasan seks setiap kali bersama suami.

Jadi, berdasarkan jawapan itu boleh disimpulkan bahawa ramai suami dalam kes seumpama ini tidak mengambil berat soal kepuasan seks isterinya. Padahal keperluan ini perlu diberi perhatian sama dengan keperluan makan dan minum dan sebagai.

Oleh sebab itu perkara ini perlu diberi perhatian oleh kedua-dua belah pihak secara jujur. Suami perlu berterus terang dengan isteri jika ada masalah kesihatan. Dan isteri juga perlu berterus terang dengan suami jika ada kekurangan yang boleh menjejaskan hubungan.

Ingatlah jika kedua-dua pihak boleh membaiki kelemahan masing-masing mereka mampu memanjangkan hayat perkahwinan mereka. Selain itu, lelaki yang bergelar suami harus sedar bahawa mereka telah berbelanja besar untuk berkahwin malah sesetengahnya hutang bertahun-tahun. Tentulah tidak wajar suami sanggup membiarkan wang yang dilaburkan itu habis begitu sahaja.

Jadi, binalah perkahwinan dengan sebaiknya melalui kesefahaman yang jitu. Manakala isteri perlu setia dengan hubungan itu dengan saling memahami keperluan di atas kerana suami lazimnya sentiasa mengharap belaian kasih sayang isteri sepanjang hayat sama seperti malam pertama.

12 Mei 2009

Selamat menjalankan tugas

Tahniah Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kerana diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Saya doakan dengan pengisytiharan ini, negeri Perak akan lebih maju sekali gus menyelamatkan negeri daripada kemelut yang merugikan rakyat.

Saya lihat tindak yang bakal diambil itu amat baik dan perlu dilakukan segera sebelum dipintas oleh pihak lain yang berkepentingan. Alasan pembubaran DUN perlulah berasaskan kepentingan rakyat daripada kepentingan politik. Sultan yang berjiwa rakyat akan mempertimbangkan itu dengan sebaiknya.

Bukti kekecohan dalam dewan dan di luar dewan boleh dijadikan hujjah yang kuat untuk mendapat simpati sultan. Rakyat sultan tidak seharusnya menjadi mangsa pertelagahan politik yang amat memalukan ini. 

Allah pasti memehak kepada kebenaran selagi kebenaran itu menggunakan sterategi yang betul dalam urusan pentadbiran negeri ini. Selamat Berjaya.

10 Mei 2009

Bijak bijak, kita perintah dulu

Sehingga ke hari ini saya masih keliru dan belum mendapat jawapan yang tepat siapa di pihak yang benar. Bila mendengar kenyataan orang BN, Menteri Besarnya menuduh ADUN pembangkang menyerang mereka dan melanggar undang-undang serta mencemar kemulian dewan dan menghina institusi raja.

Bila dengar ADUN pembangkang terutama Datuk Seri Nizar, BN yang tidak menghormati undang-undang, meruntuhkan demokrasi dan membuat tindakan memalukan dalam sejarah politik negara. Adakah ini sama seperti cerita "Bangau oh Bangau", masing-masing menyalahkan lawan. Tapi yang menang BN kerana dia masih boleh memerintah.

Jelas daripada peristiwa yang memalukan ini, amalan politik amat kotor dan hina kecuali mereka yang betul-betul mengikut kehendak Allah. Politik kotor perlukan kebijaksaan bagi memutar belit. Teringat saya pada sejarah Islam ketika Maawiyah hendak naik takhta kerajaan Islam. Sayidina Ali, khalifah ke4 berada dalam keadaan tertekan, ramai yang mendesaknya supaya mencari dan menghukum orang yang membunuh Othman Affan.

Ali gagal mendapatkan pembunuh itu, dan Maawiyah yang menguasai kerajaan secara tidak sah ketika itu meminta Ali meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepadanya. Setelah usaha secara kekerasan menghadapi kegagalan, dibuat secara rundingan. Ali dan Maawiyah dan penyokong masing-masing mengadakan perbincangan. Keputusan yang diambil, kedua-dua meletak jawatan dan dilantik semula salah satu daripada mereka. Ali bersetuju.

Apabila Sayidina Ali meletakkan jawatan, Maawiyah yang belum meletak jawatan terus mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah mengganti kekosongan yang ditinggalkan Ali. Begitulah orang yang jujur, mudah dikalahkan oleh orang yang pandai main politik.

Saya tidak mahu menuduh siapa yang main politik kotor dalam kes di Perak, tidak pula nak membela siapa yang jujur sepanjang kes politik Perak ini bergolak itu. Tetapi saya nak ulas sikit drama di sebelah pagi 7 Mei itu seperti yang dilaporkan oleh media. Maaflah kalau laporan itu salah daripada yang sebenar.

Tatkala semua ahli dewan mengambil tempat termasuk speaker V. Sivakumar memerintahkan beberapa ADUN BN yang digantung keluar dewan. Mereka enggan keluar sebaliknya dibawa usul yang dibacakan oleh MB antaranya memecat speaker lalu timbalan speaker, Yit Foong (yang keluar DAP) mengambil alih tugas menggantikan Sivakumar. 

Sivakumar menolak usul itu atas alasan usul dari orang yang digantung tidak boleh diterima, lagi pun katanya, dewan belum dimulakan lagi.

Bagaimanapun pihak BN mendakwa dewan dah bermula sejak speaker duduk di tempatnya. Jadi, apabila sudah bermula, usul boleh diterima dan boleh lulus termasuk usul perlantikan speaker yang baru, R. Ganesan. Begitulah bijaknya mereka bermain politik.

Saya ada juga beberapa kali hadir dalam dun dan parlimen, tapi tidak pula berkesempatan untuk melihat sesuatu usul diterima semudah itu. Biasanya setiap usul dibahas dan diadakan undi. Jadi, pemecatan dan perlantikan diterima dewan tanpa bahas dan undi. Barangkali sama seperti yang berlaku pada zaman Sayidina Ali dan Maawiyah. Bijak bijak, kita perintah dulu. 

08 Mei 2009

Berhati-hati dalam membuat tuduhan

Oleh: AHMAD BAEI JAAFAR

 

Pada hari ini kesalahan qazaf sering berlaku dalam kalangan umat Islam secara tidak sedar. Namun oleh kerana kejahilan umat Islam dan tidak ada undang-undang yang boleh menghukum mereka, kesalahan itu terus berlaku sekalus meningkatkan dosa setiap hari.

Sebenarnya suami yang tidak mahu mengiktiraf anak yang dilahirkan oleh isterinya hanya kerana pernah melihat isteri keluar dengan lelaki lain adalah termasuk dalam qazaf. Hal ini kerana suami itu seolah-olah telah menuduh isterinya berzina dengan lelaki tersebut.

Terdapat beberapa kes yang kita dengar tentang pasangan suami isteri yang sekian lama mengharapkan kelahiran anak sulung. Setelah sekian lama menunggu, akhirnya mereka dikurniakan anak. Tetapi setelah anaknya membesar dilihat wajahnya tidak sama dengannya, maka si ayah anak itu memandang serong kepada isterinya.

Ada juga kes yang suami menghantar SMS kepada isterinya dengan melafazkan cerai kerana dikatakan isterinya telah curang. Kes seumpama ini sudah banyak kali kita dengar dan sesetengahnya telah menjadi kes yang dibicarakan di mahkamah. Sungguh memalukan.

Berdasarkan contoh kes di atas ternyata kesalahan qazaf yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya atas kejahilan. Oleh sebab itu, kes itu tidak pernah didakwa di mahkamah dan tidak pernah diadukan oleh isteri. Kalau adapun kes, tetapi dendanya amat rendah dan tidak langsung menginsafkan.

Menurut Seksyen 41 Akta Kesalahan Syariah Wilayah Persekutuan, kesalahan Qazaf hanya didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Sebenarnya dalam perundangan Islam, qazab ialah membuat tuduhan terhadap perempuan yang baik bahawa dia melakukan zina. Mereka yang membuat tuduhan ini boleh dihukum sebat sebanyak 80 rotan.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq.

“Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar” (Surah an-Nur: 4 – 6).

Berdasarkan kes suami yang tidak mahu mengiktiraf anak yang dikandung dan dilahirkan oleh isterinya, hakikat dia telah menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain. Si suami ini walaupun secara jelas tidak menuduh isteri tetapi dengan tidak mengakui anaknya adalah satu tuduhan bahawa isterinya berzina. Kalau tidak, bagaimana isterinya boleh mengandung anak itu?

Menurut firman di atas, suami itu wajib bersumpah sebanyak empat kali di hadapan hakim. Jika dia sanggup bersumpah, maka mahkamah boleh menerima pertuduhan itu sebagai benar.

Sebaliknya, jika dia enggan bersumpah, dia boleh dianggap membuat tuduhan palsu dan boleh dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 80 rotan. Demikian hukum hudud yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Bagaimanapun undang-undang seperti itu belum dilaksanakan di negara ini sehingga setakat ini. Namun dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 menyediakan peruntukan Qazab seperti berikut:

Seksyen 36. “Kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syara’; empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya.”

Islam sangat berhati-hati dalam melaksanakan undang-undang ini kerana dalam Islam seseorang wanita yang belum berkahwin juga boleh mengandung tanpa perzinaan atau perogolan. Jadi, orang lelaki terutama suami tidak boleh cepat menuduh seseorang wanita itu berzina hanya semata-mata kerana dia mengandung.

Oleh sebab itu suami tidak seharusnya rasa curiga dengan isterinya, sebaliknya memberi didikan iman terhadap mereka. Sikap menuduh isteri curang hanya kerana isteri berbual dengan seorang lelaki adalah tidak adil.

Ketahuilah suami yang baik akan dikurniakan perempuan yang baik juga, oleh sebab itu peliharalah amanah Allah S.W.T. itu dengan sebaik-baiknya. Takutilah laknat Allah S.W.T. seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar,”(Surah an-Nur: 23).

Ambillah peluang bersama isteri untuk membawanya ke arah kebahagian di dunia dan akhirat. Didiklah isteri dengan iman dan amal agar dia takut kepada Allah dan taat kepada suami.

Menyentuh soal qazaf, suka dijelaskan di sini bahawa tuduhan lazimnya datang dari pihak lain yang meragui akan seseorang lalu mendakwanya. Seperti dalam kes di atas, suami menuduh isteri curang atau isteri menuduh suami berzina dengan jirannya, sebagai contoh.

Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu pihak mangsa juga boleh mengaku dan mendakwa seseorang itu telah meliwat atau merogolnya. Namun pihak yang mendakwa perlu memahami risiko tindakannya kerana dia boleh disabitkan sebagai qazaf jika tidak boleh mendatangkan empat orang saksi atau bersumpah sebanyak empat kali.

Tersebut dalam sebuah hadis bahawa seorang wanita datang menghadap Rasulullah dan mengaku dia telah berzina. Dalam kes ini dia tidak mendakwa mana-mana lelaki yang berzina denganya. Dan Rasulullah sendiri tidak pula bertanya kepada wanita itu, siapa lelaki yang terlibat.

Di sini Rasulullah hanya menghukum wanita itu setelah anak yang dikandungnya itu sudah putus menyusu ibu. Sedangkan lelaki yang terlibat tidak dicatat dalam sejarah sama ada sudah dihukum atau tidak. Kenapa wanita itu tidak mahu membawa kes lelaki itu. Ternyata dia tidak mahu terlibat dengan kesalahan qazaf.

Alangkah cantiknya dunia ini kalau umat Islam boleh kembali ke zaman Rasulullah, tiada kes jenayah yang dibesar-besarkan.

05 Mei 2009

Tidak kuasa halang anak didaftar Islam

Saya rasa terpanggil untuk bersuara setelah melihat tiada respons yang memuaskan daripada pihak berwajaran terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengenai agama anak setelah ibu atau bapanya memeluk Islam. Walaupun ramai yang memberi respons supaya kerajaan mengkaji semula keputusan itu, tetapi tiada cadangan untuk menyelamat Islam.

Memang ada juga yang beberapa orang mufti menyuarakannya, tapi suara tidak memberi sinar kepada orang politik. Walaupun mufti negeri Perak, Datuk Harussani Zakaria hampir dengan orang politik, tetapi pandangannya masih kurang difahami oleh pemimpin negara.

Sejak isu itu ditimbulkan banyak pihak yang membangkitkan isu itu seolah-olah mereka sendiri tidak memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Mungkin juga sebahagian mereka seperti baru sedar betapa wujud kekurangan dalam peruntukan perlembagaan itu.

Saya percaya ulama tidak pernah mengambil tahu peruntukan Perlembagaan itu. Kalau ada yang membacanya tetapi tidak memahami tafsirannya dengan betul. Manakala ahli undang-undang Islam di negara ini pula tidak pernah membuat sesuatu untuk memperbaiki peruntukan undang-undang yang ada demi untuk menyelamatkan umat Islam.

Sebenarnya kenyataan Mohamed Nazri itu tidak boleh disalahkan kerana beliau sekadar membaca keputusan kabinet yang memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka.

Keputusan itu dibuat sekadar melepaskan tekanan dan kekangan tuntutan pihak tertentu telah melihat peruntukan perlembagaan mengenainya ada sedikit kekurangan. Cuba kita fahami peruntukan berikut:

Perkara 12(3) dan (4) Perlembagaan yang memperuntukkan;

(3) Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri.

(4) Bagi maksud fasal (3) agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

Kalau Fasal 3 membenarkan urusan dakwah atau mengajar orang lain tetapi mereka tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima ajaran itu kecuali orang yang seagama dengannya. Namun pada Fasal 4, mereka yang di bawah umur (18 tahun ke bawah) agamanya hendaklah ditentukan oleh ibu bapa atau penjaga.

Perbezaan dua fasal ini amat jelas, yang pertama tidak boleh paksa kecuali yang seagama dengan orang yang memaksa dan yang kedua boleh paksa kalau seseorang di bawah umur. Walau bagaimanapun fasal 4 ini datang dalam bentuk umum, sama ada orang itu asal Islam atau baru memeluk Islam. Jadi, kalau ibu bapanya memeluk Islam, anak-anaknya yang dibawah umur boleh dipaksa ikut Islam.

Di sini timbul persoalan, bagaimana kalau salah seorang dari mereka (ibu atau bapa) memeluk Islam. Kalau suami memeluk Islam, bolehkah dia paksa anaknya memeluk Islam sedangkan ibu anak itu masih tidak Islam? Penjaganya juga belum Islam. Siapa yang akan menang dalam keadaan itu?

Di sinilah kelemahan peruntukan yang sepatutnya dilihat secara teliti oleh ulama dan orang undang-undang. Adakah Ahli undang-undang tidak nampak atau sengaja tidak nampak kekurangan itu? Saya pasti, sebahagian ulama tidak pernah membaca perkara dan fasal itu.

Sepatutnya ulama sudah lama bersuara minta supaya meminda peruntukan itu dengan menambah satu lagi fasal iaitu fasal 5 yang memberi kuasa kepada salah satu ibu atau bapa yang memeluk Islam untuk memaksa anaknya kepada Islam. Fasal ini penting dan relevan kerana Islam adalah agama persekutuan, maka Islam perlu diberi keutamaan.

Isu inilah yang sepatutnya ditimbulkan NGO Islam dan ulama. Mufti seluruh Malaysia dan dan Jabatan Agama seharusnya boleh bersuara atas nada yang sama. Tetapi sehingga ke hari ini tidak ada suara yang menyuarakan perkara ini.

Kita perlu sedar, selaras dengan keputusan kabinet itu, Jabatan Peguam Negara akan diarahkan membuat pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan bagi memastikan segala keputusan Kabinet itu dapat dikuatkuasakan dengan berkesan. Bayangkan kalau ulama atau peguam Islam tidak bertindak mendahului Jabatan Peguam Negara, kita akan terus berputih mata.

Dalam keadaan itu umat Islam hanya ada satu peluang lagi kalau Jabatan Peguam Negara sudah membuat pindaan itu, iaitu perbahasan di dewan parlimen. Tapi mahukah semua Ahli Parlimen Islam membantah? Realitinya semua orang BN termasuk Islam akan menyokong keputusan kabinet. Kalau ini juga terjadi sekali lagi umat Islam akan berputih mata.

Selain itu, ulama dan ahli undang-undang juga perlu bangun menggesa agar dipinda akta pendaftaran perkahwinan orang bukan Islam, bahawa apabila berlaku salah seorang daripada pasangan itu memeluk Islam, perkahwinan itu akan terbatal secara automatik sesuai dengan undang-undang Islam.

Pindaan itu penting kepada Islam dan Malaysia, malah wajar kerana tidak bercanggah dengan perlembagaan Perkara 3. Semua itu boleh dibuat dengan jayanya jika semua umat Islam terutama wakil rakyat bersatu mempertahankannya.

03 Mei 2009

Kesilapan dalam solat sering dipandang remeh

Ahmad Baei Jaafar

 

Suasana pada hari agak menggembirakan sesetengah ibu bapa apabila melihat anak remaja sudah berminat kepada kehidupan beragama. Remaja sudah dilihat mula mahu memenuhi surau dan masjid terutama pada waktu Maghrib dan Isyak.

Mereka mendapat kesedaran beragama semasa di bangku sekolah dan universiti. Arus kesedaran Islam bertiup kencang melawan arus kemodenan masa kini. Remaja kini sudah tidak malu untuk melakukan solat walaupun di tempat selain surau dan masjid.

Mereka sanggup melakukan solat kerana mahu menegakkan agama dalam diri mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Solat ialah tiang agama,” (Riwayat Baihaqi).

Ibu bapa dalam hal ini seharus bersyukur kerana anak mereka tidak lagi seperti terlepas tali, boleh terbang ke mana-mana. Mereka kini sudah boleh dikawal, iaitu dikawal oleh agama.

Walau bagaimanapun kita agak sedih apa melihat sesetengah ibu bapa yang masih liat untuk mendirikan solat. Mungkin seminggu sekali untuk solat Jumaat atau mungkin sesekali melakukannya sewaktu balik ke rumah pak mentua. Mereka lakukannya bukan kerana Allah tetapi kerana malu kepada mentua.

Ingatlah berdasarkan hadis di atas, sesiapa yang mendirikan solat bererti mereka telah mendirikan agama dan sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bererti dia meruntuhkan agama. Mahukah ibu bapa ini digelarkan sebagai yang meruntuhkan agama?

Menyedari keadaan ini, saya menyeru semua umat Islam agar tidak mengabaikan solat lima waktu kerana itulah identiti umat Islam. Kurang dari lima waktu, kuranglah keislaman mereka. Malah dengan jumlah yang kurang itu hampir-hampir menyamatarafkan mereka dengan orang bukan Islam.

Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan solat suka saya senaraikan di sini beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh umat Islam dalam ibadah. Kesalahan tersebut walaupun yang tidak disengajakan, kalau tidak diperbetulkan akan menjadi kebiasaan yang sukar dibetulkan semula. Oleh sebab itu perhatikan senarai kesalahan berikut:

Sebelum solat – dalam azan muazzin atau lebih dikenali sebagai bilal, mereka melakukan dua kesalahan secara tidak sedar. Walaupun tidak sedar, lafaz azan itu sudah tidak memberi makna dan maksud yang sebenar.

1. “Asy-hadu an la ilaha illah” – mungkin kerana mereka membacanya berdasarkan huruf rumi maka dibunyikan “Asyhadu” dengan assyadu. Perkataan ini tidak memberi apa-apa makna dan tidak menepati lafaz syahadah yang wajib dibaca.

2. “Lailaha illallah” dipanjangkan “ha” pada perkataan “ilaha” menjadi ilahaa. Perkataan ini juga tidak memberi apa-apa makna.

Jadi, semua bilal dan orang yang hendak mengalunkan azan, eloklah membuat latihan menyebutnya agar tidak terus tersilap. Ingatlah azan mengajak orang ramai kepada solat, tetapi kalau tersalah sebut, panggilan itu tidak dinilai oleh Allah.

Selain itu suka diingatkan juga bahawa, waktu untuk azan adalah ditentukan oleh muazzin manakala untuk melakukan solat hendaklah ditentukan oleh imam. Maka dalam hal ini bilal perlu memastikan iman bersedia dan mendapat keizinannya.

Waktu solat – terdapat beberapa orang susah hendak masuk niat untuk memulakan solat. Kadang-kadang dia terpaksa mengangkat takbir berkali-kali untuk membolehkan niatnya masuk pada waktu itu. Sikap atau tabiat itu menjadi sebab terlambatnya dia mengikut imam. Padahal niat adalah kerja hati yang datangnya bagaikan angin lalu sahaja, tidak perlu mengambi masa yang panjang.

Mengikut hukum fiqah, apabila seseorang itu mengangkat takbir dengan niat yang betul, takbir dan niat itu sudah diterima. Maka kalau dia mengulangi kali kedua, maka takbir kedua itu menyebabkan solatnya terbatal. Jadi, apabila dia meneruskan solat dengan takbir itu, solatnya tidak dikira oleh Allah. Oleh sebab itu dia perlu ulangi takbir dan niat baru, yang ketiga.

Selain itu takbiratul ihram iaitu dengan menyebut “Allahu Akbar". Lazim yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah mereka memanjangkan “baar” pada perkataan akbar. Dengan memanjangkan “akbar” itu tidak lagi memberi makna “Allah Maha Besar”. Jadi berhati-hati menyebutnya.

Seterusnya dalam membaca surah al-fatihah, mereka terlalu sangat hendak membetulkan sebutan makhraj sehingga jadi berlebih-lebihan. Antaranya ialah membaca “alhamdulillah” ditekankan bacaan pada alham sehingga berbunyi seperti alkham atau alhom. Ini juga telah merosakkan makna al-Fatihah yang asal.

Semasa iktidal juga terdapat kesilapan menyebut pada membaca “samiallahu liman hamidah”. Selalu juga kita dengar sesetengah orang membaca dengan memanjangkan bacaan haamidah. Dengan memanjangkan perkataan pada “ha” memberi erti wanita yang memuji - isim fail muannas. Padahal yang asalnya “hamidah” ialah feil madhi yang memberi erti memuji-Nya.

Panduan ini penting untuk diamati supaya solat yang dikerjakan setiap hari dinilai oleh Allah dengan sebaiknya. Wallahu a’lam.