Saya hairan kenapa setiap hari ada saja isu tentang hudud. Mereka sanggup bergaduh pasal hudud, berkecil hati pasal hudud, rasa tertipu dengan hudud bahkan bawa diri pun kerana hudud. Saya sungguh hairan dengan keadaan ini. Maaf orang politik, maaf juga semua peminat politik, saya rimas dengan keadaan ini.
Sepatutnya orang politik bercakap soal perpaduan demi keamanan negara yang tercinta. Sepatutnya pemimpin politik menasihatkan pengikutnya agar bekerja keras mendampingi orang ramai atau pengundi, apatah lagi kita sudah dekat dengan tarikh pilihanraya. Pemimpin politik sepatutnya membaiki dasar parti dan memperkemaskannya agar dipandang cantik oleh pengundi.
Terlancur bercakap soal hudud, suka ditegaskan di sini bahawa hudud bukan isu politik kepartian tetapi agenda negara atau kerajaan yang memerintah. Pemerintah yang wajib melaksanakannya sebagai tanggungjawab menyelamatkan manusia atau rakyat daripada melakukan jenayah. Kalau kerajaan tidak mahu buat bukan salah rakyat, bukan salah parti, mereka tidak berdosapun. Ertinya kerajaan bermula daripada PM hingga ke Menteri yang berdosa dalam hal ini.
Parti-parti politik yang bertaraf pembangkang boleh memasang niat untuk melaksanakan hudud apabila memerintah negara nanti. Dalam tempoh itu mereka juga boleh membuat pelbagai usaha dan cadangan kepada kerajaan untuk melaksanakan hudud, tetapi kalau kerajaan menolak, mereka tidak bersalah kerana telah berusaha, Yang berdosa tetap pihak kerajaan.
Kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan hudud kerana kuasa mereka terhad kecuali jika dibenarkan kerajaan. Jadi, kerajaan negeri juga tidak bersalah dalam hal ini kerana urusan itu terhalang dengan kekangan perlembagaan negara yang dikuasai kerajaan pusat. Perlu diingatkan juga, perlembagaan boleh dipinda dengan sokongan 2/3 ahli Parlimen. Jadi, ramaikan sokongan ahli parlimen bagi menjayakannya. Kalau itu pun masih gagal, bukan salah mereka kerana mereka sudah berusaha mengetengahkannya.
Perlu ditegaskan juga, RUU 355 yang dibawa oleh Presiden PAS ke parlimen, bukan Hudud tetapi undang-undang untuk meluaskan kuasa hakim mahkamah syariah dalam menghukum jenayah syariah. Hukum ini bukan untuk hudud sahaja tetapi untuk semua bagi tujuan menakutkan pesalah syariah.
Contoh yang mudah, kesalahan berkahwin luar negara tanpa kebenaran kerajaan negeri sama ada poligami atau seorang, mereka hanya boleh dikenakan denda sekitar RM1,000 - RM3,000. Hukuman ini sangat kecil bagi si kaya. Jadi, berleluasalah perkahwinan poligami di luar negara. Bagaimana kalau dendanya RM10,000, tentulah tidak ada orang yang hendak berkahwin di luar negara. Pada masa yang sama boleh dimudahkan urusan poligami di dalam negara.
Saya harap dengan tulisan ini, semua ahli politik dan peminat politik dapat memahaminya dengan baik semoga negara kita kembali aman daripada fitnah. Cuma sehubungan dengan itu, pemimpin politik wajar mempertahankan jati diri sebagai mukmin yang muttaqin semoga dengan itu mereka tidak mencipta musuh sebaliknya mencari sahabat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan