Ramai yang berkata demokrasi tidak ada dalam Islam. Betul ke? Ya kalau kita lihat sejarah Rasulullah, memang tidak ada semua itu di zaman Rasulullah kerana Rasulullah tidak ada keperluan untuk memilih pemimpin secara suara ramai. Kalau Rasulullah mahu memilih seseorang untuk sesuatu jawatan dia akan lantik sendiri yang sudah tentu datang daripada wahyu Allah.
Pemilihan Khalifah
Bagaimana dengan zaman selepas wafat Rasulullah? Menurut sejarah, setelah wafat Rasulullah, sahabat berkumpul untuk mencari pemimpin bagi menggantikan Rasulullah untuk urusan negara. Lalu beberapa nama dicadangkan, tetapi akhirnya semua yang disenarai pendekkan itu menarik diri kerana masing-masing sedar bahawa orang yang hampir dengan Rasulullah ialah Abu Bakar as-Siddiq lebih layak. Maka mereka bersetuju berbaiah Abu Bakar sebagai Khalifah.
Keadaan yang sama berlaku setiap kali berlaku kewafatan Khalifah. Malah perlantikan khalifah yang ke empat, iaitu Saiyidina Ali Karramallah ada petunjuk yang boleh diterima oleh semua umat Islam. Hakikatnya mereka dilantik berdasarkan petunjuk sahabat besar yang mereka itu diyakini boleh diterima oleh rakyat.
Setelah berlalu zaman Saiyidina Ali, perlantikan pemimpin bertukar mengikut sistem Monarki. Maka perlantikan pemimpin hanya berlaku dalam kalangan keluarga. Dengan cara ini mereka tidak risaukan perubahan kepimpinan selepasnya. Demikian yang berlaku dalam kerajaan Umaiyah dan Othmaniah. Apakah anda fikir cara ini tidak ada dalam Islam kerana tidak pernah berlaku dalam zaman Rasulullah? Begitu juga yang berlaku pada zaman khulafa’ Rasyidin, ternyata berbeza.
Kalau sesuatu yang berlaku dalam kalangan umat Islam, boleh kita dakwa sebagai tiada dalam Islam, apatah lagi yang berlaku pada zaman moden iaitu muncul sistem komunis, sistem tentera dan sistem demokrasi. Apakah anda fikir segala apa yang tidak dibuat oleh Rasulullah itu semua tidak boleh kita buat dan tertolak?
Sedarlah wahai umat Islam, tidak semestinya apa yang tidak dibuat oleh baginda tidak boleh dibuat pada hari ini. Allah mengutuskan Nabi Muhammad untuk umat akhir zaman untuk membetulkan akidah, akhlak umatnya. Tetapi dalam urusan dunia, baginda cukup memberi panduan umum yang antaranya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu.” Hadis ini mengisyaratkan bahawa perubahan dan pergerakan dunia pada masa kini sangat bergantung kepada kepakaran kita pada hari ini.
Asas Demokrasi
Berdasarkan hadis itu saya ingin panjang tulisan ini bagi menjelaskan kedudukan demokrasi sama ada bercanggah dengan Islam atau tidak. Menurut Wikipedia, “Demokrasi” ialah suatu bentuk kerajaan dengan kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dipanggil negara atau kerajaan yang demokratik.
Jadi, asas demokrasi ialah rakyat, rakyat yang memilih, rakyat yang membuat undang-undang, rakyat yang mengurus. Itulah asas yang perlu difahami sebenarnya. Kalau begitu, mengundi tiada kena mengena dengan demokrasi. Sebaliknya mengundi hanya sebahagian daripada kaedah manusia bagi memilih pemimpin. Oleh sebab itu kalau ada satu pihak mencadangkan seorang pemimpin kemudian cadangan itu diterima oleh orang ramai, juga dikira demokrasi.
Keadaan ini sudah tentu berbeza dengan pemilihan seseorang yang orang lain terpaksa terima atau dia memilih dirinya, sedangkan orang tidak bersetuju. Kaedah ini boleh jadi cara tentera atau komunis. Barangkali ini jugalah yang dikatakan kuku besi.
Melihat kepada maksud demokrasi di atas, jelas demokrasi tidak statik dan beku. Maka demokrasi yang berlaku di negara Barat tentu berdasarkan cita rasa barat. Barangkali dengan itu orang Timur boleh mengubah mengikut cita rasanya. Kalau begitu, kenapa apabila sampai kepada orang Islam mereka tidak boleh mengatur mengikut cita rasa hukum Islam? Kalau demokrasi sudah ciptaan manusia, tentu manusia boleh mengubah mengikut kehendak manusia. Jadi, orang Islam boleh membawanya mengikut kehendak Islam.
Islamkan Demokrasi
Berdasarkan itu, jika kita hendak memilih pemimpin bolehlah kita contoh kaedah sahabat memilih pemimpin. Kita boleh contohi kriteria yang dipakai pada zaman khalifah iaitu orang yang beriman, bertakwa, berilmu dan ada bakat kepimpinan, tegas dan boleh dicontohi. Dan jika mereka terima percalonan, biarlah ada pihak lain yang mengempen bagi pihaknya. Mereka hanya boleh bercakap apabila sudah dipilih bagi mohon restu dan baiah.
Adapun di sudut undang-undang, Al-Quran hendaklah dijadikan perlembagaan dan mana-mana undang-undang yang sedia ada selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah boleh diterima pakai. Begitu juga dengan peraturan kecil ia boleh diguna pakai dengan syarat tidak bercanggah dengan Islam.
Islam boleh menerima undang-undang dan peraturan dunia selagi tidak bercanggah dengan Islam. Maka dengan prinsip ini, kita boleh menerima demokrasi seperti yang diamalkan di Malaysia sekarang ini. Jadi, kita tidak perlu mengubah apa yang sedia ada melainkan sedikit perubahan mana yang bercanggah sahaja. Cuma setakat ini saya tidak nampak mana yang bercanggah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan