27 September 2016

KAITAN IMAN DENGAN KASIH SAYANG

Kita selalu membaca dan mendengar bacaan hadis ini iaitu daripada Abu Hamzah, Anas bin Malik ra., daripada Rasulullah saw, beliau bersabda, "Tidak beriman salah seorang antara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apa yang anda faham daripada hadis ini? Apa yang anda faham dengan tidak beriman dalam konteks hadis ini? Dan siapa pula yang dimaksudkan dengan saudaranya?
Hadis ini hendak menunjukkan orang Islam juga boleh dikategorikan sebagai tidak beriman, namun dia tidaklah sampai kepada kufur atau kafir. Maknanya keimanan seseorang boleh turun dan naik mengikut tindakan dan sikap mereka dalam hidup ini.
Antara faktor yang boleh menaikkan tahap iman malah menjadi mantap apabila dia boleh mengasih saudaranya sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri. Persoalannya apa yang anda kasihkan diri anda sendiri? Anda suka dihormati, anda suka maju dan jaya, anda suka buat ibadah dan suku untuk dimasukkan ke dalam syurga.
Perkara yang sama inilah yang patut anda curahkan kepada saudara anda. Tapi siapa saudara anda? Boleh jadi adik beradik, boleh jadi kawan, boleh jadi jiran, boleh jadi juga madu bagi isteri-isteri suaminya. Sudahkah anda mengasihi mereka sebagaimana yang anda suka berlaku pada diri anda?
Perlu disedari, semua suadara yang disebutkan di atas adalah kunci yang Allah sediakan untuk anda masuk syurga. Merekalah kunci anda menambah iman. kalau anda tidak bertambah iman bagaimana anda hendak dimasukkan ke syurganya. Jadi, jangan musuhi mereka demi syurga yang anda idamkan.
Penjelasan ini boleh anda fahami secara lebih jelas berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbicara yang baik atau diam. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan tetangganya. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya” (HR Muslim)
Semoga anda memahami mesej ini dengan jelas dan segera membuat perubahan demi meningkatkan IMAN masing-masing.

Tiada ulasan: