Ahmad Baei Jaafar
Sudah banyak tanda-tanda kiamat telah berlaku berdasarkan
hadis-hadis Rasulullah SAW. Sebahagiannya telah berlaku pada zaman Rasulullah
lagi. Bakinya sedang berlaku dan akan berlaku sehinggalah berlakunya
tanda-tanda besar kiamat.
Tamda besarnya sudah tentu kedatangan al-Mahdi dan Nabi Isa
AS. berdasarkan hadis nabi SAW. Dari Abu
Said al-Khudri RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Akan ada di kalangan umatku
(ketika itu) seorang al-Mahdi. Jika (umur dan pemerintahannya) dipendekkan
(selepas kematian al-Masih Dajjal), lamanya tujuh tahun, jika tidak
(dipendekkan tempoh pemerintahannya) maka sembilan tahun. Umatku akan
memperoleh (sebanyak-banyak) kenikmatan, yang belum pernah diperoleh oleh
mereka sama sekali nikmat yang seperti itu. Mereka diberikan makanan (yang
sangat banyak) sedangkan kamu tidak menyimpan sesuatu pun daripada mereka (yang
sehingga sebanyak itu). Dan harta benda pula pada waktu itu, terlonggok dengan
amat banyak. Hingga jika seorang lelaki berdiri (di hadapan al-Mahdi) meminta
harta itu katanya, “Berilah aku (harta).” Kata Imam Mahdi, “Ambillah (sebanyak
yang engkau mahu).” (Ibnu Majah)
Pada saya tanda itu masih jauh dengan kita pada hari ini.
Bayangkan kalau turun Dajjal selama 40 hari untuk menjahanamkan umat Islam,
kemudian setelah berjaya dibunuh oleh al-Mahdi, dia memerintah paling kurang
tujuh tahun. Jadi selagi dajjal tak muncul al-Mahdi takkan turun.
Cuma persoalannya siapa yang sanggup berada pada zaman
dajjal itu? Walaupun 40 hari tetapi sehari seperti sebulan atau seminggu.
Kuatkah iman kita ketika itu untuk berhadapan dengan godaan atau pengaruh
dajjal? Kalau tidak, apa persiapan anda?
Sebenarnya makluman mengenai tanda besar kiamat itu bukan
untuk menakutkan kita, tetapi untuk mengajak kita membuat persiapan awal
menjelang ketibaan dajjal. Maknanya kalau kita berjaya menyelamatkan diri
daripada dajjal, kita akan selamat bersama dengan al-mahdi nanti.
Jadi, dalam tempoh yang masih panjang ini, Rasulullah
tinggalkan beberapa pesanan melalui hadis-hadis tentang tanda-tanda kiamat untuk
kita muhasabah diri. Namun setiap kali kita temui peringatan itu, bukanlah
layak kita menuding jadi atau melihat siapa yang bersalah dan perlu dihukum,
tetapi untuk kita lihat pada diri dan sama-sama mencegahnya. Semuga semua itu
tidak berlaku pada diri dan keluarga kita.
Sebagai contoh, berdasarkan hadis riwayat Abu Bakrah ra., ia
berkata: “Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Apabila dua orang muslim
saling bertarung dengan menghunus pedang mereka, maka pembunuh dan yang
terbunuh, keduanya akan masuk neraka. Aku (Abu Bakrah) bertanya atau beliau
ditanya: Wahai Rasulullah, kalau yang membunuh itu sudah jelas berdosa, tetapi
bagaimana dengan yang terbunuh? Baginda menjawab: Karena sesungguhnya ia juga
ingin membunuh saudaranya. (Shahih Muslim No.5139)
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw.
bersabda: Hari kiamat tidak akan terjadi kecuali setelah dua golongan besar
saling berperang sehingga pecahlah peperangan hebat antara keduanya padahal
hala tuju mereka adalah satu. (Shahih Muslim No.5142)
Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Bahwa Rasulullah saw.
bersabda: Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali setelah banyak peristiwa
haraj. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, apakah haraj itu? Beliau menjawab:
Pembunuhan demi pembunuhan. (Shahih Muslim No.5143)
Berdasarkan hadis-hadis di atas, Rasulullah menggambarkan
akan berlaku peperangan saudara yang kedua-dua belah pihak akan dihumbankan ke
dalam neraka. Sebenarnya peperangan ini telah pun berlaku dan akan terus
berlaku sehingga datangnya dajjal.
Persoalannya, dengan membaca hadis ini, apa yang kita
fikirkan. Apakah kita rasa bangga, takut, bimbang atau ambil tak kisah?
Sebenarnya umat Islam pada hari ini ambil tidak kisah dengan hadis ini, ambil
tidak kisah dengan perkhabaran hadis ini dan ambil tidak kisah dengan ancaman
Rasulullah melalui hadis di atas.
Malah kita selalu memberi persepsi yang salah dalam menilai
hadis. Sepatutnya dengan kita membaca mesej dalam hadis di atas, kita akan cuba
berusaha mengelak peperangan atau permusuhan sesama Islam. Apabila semua itu
tidak berlaku maka kita sebenarnya sedang berusaha untuk mengelak daripada
berlaku kiamat lebih awal.
Maknanya kalau kita terus berperang sesama umat Islam sama
ada secara lisan atau senjata, yang pastinya kedua-duanya berdosa, mereka
sebenarnya sedang mendekatkan kepada kiamat. Ya kiamat akan berlaku, tetapi
kita tidak tahu bila masanya. Maka kalau kita berusaha supaya tidak berlaku
tanda-tanda itu, maknanya kiamat akan lambat.
Jadi, wahai umat Islam, cukuplah dengan peperangan yang
berlanjutan sehingga kini terutama dalam politik. Carilah kedamaian demi
mengelak daripada berlakukan kiamat yang tanpa diduga. Wallahu aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan