Ahmad Baei Jaafar
Sejarah keputeraan Muhammad bin Abdullah Rasulullah
SAW sudah banyak ditulis orang, malah terus dihurai oleh pelbagai golongan
masyarakat mengikut bidang masing-masing. Meskipun sejarah itu dipertontonkan
dengan jelas di pelbagai medium, namun umat Islam belum dapat mengambil sejarah
itu sebagai titik tolak untuk memperjuangkan Islam.
Kita tahu bahawa Nabi Muhammad SAW pemimpin
yang mampu menyatukan pelbagai kabilah di Semenanjung Arab di bawah pemerintahan
Islam Madinah. Kita kagum dengan kehebatan Baginda tetapi kita tidak mampu
menyatukan sesama umat Islam, apatah lagi menyatukan rakyat Malaysia yang pelbagai
kaum dalam rukun damai.
Kita tahu juga bahawa Muhammad SAW dilahirkan
sebagai anak yatim piatu sejak kecil dan kehidupannya dijaga oleh datuknya,
Abdul Muttalib bin Hasyim dan seterusnya bapa saudara baginda, Abu Talib bin
Abdul Muttalib. Tetapi kita yang dapat hidup dalam keadaan senang lenang
bersama keluarga, mengapa kita belum boleh menjadi sehebat ketokohan Baginda?
Kita tahu juga baginda pernah bekerja
sebagai pengembala kambing dan saudagar untuk tuannya Khadijah binti Khuwailid.
Kita tahu juga dengan kejujuran dan kepandaian baginda mengurus amanah dengan
baik, akhirnya tuannya meminang baginda sebagai suaminya. Tetapi bagaimana
dengan tugasan kita, sudahkan kita melaksanakan amanah dengan sempurna sehingga
majikan kita boleh berpuas hati?
Sejarah bukan untuk dikagumi
Memang sejarah itu penting, apatah lagi
sejarah Rasulullah SAW, tetapi sejarah yang kita baca bukan sekadar untuk
menambahkan pengetahuan. Sejarah yang kita kaji bukan sekadar untuk dikagumi.
Sejarah yang kita fahami bukan sekadar untuk kita ceritakan semula kepada orang
lain. Namun apa yang menyedihkan kita pada hari ini sejarah tidak diminati pelajar
sejak di bangku sekolah lagi.
Bayangkan kalau pelajar sekolah tidak
memahami sejarah bukan sahaja dia tidak boleh menceritakan semua itu kepada
orang lain, dia sendiripun tidak tahu sejarah. Bayangkan kalau penuntut universiti
sendiri tidak berminat untuk mengkaji sejarah, bukan saja dia tidak boleh
menggagumi sejarah itu, dia sendiri pun tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.
Inilah realiti yang berlaku dalam
masyarakat kita. Bila kita bertanyakan tentang kelahiran Rasulullah, mereka
tidak mampu menjawab dengan berani. Bila kita bertanyakan tentang sifat-sifat
Rasulullah, mereka serba salah untuk menjawab kerana takut salah dan memalukan.
Malah apabila kita tanyakan tentang kehidupan Rasulullah, mereka tidak dapat menjawabnya
dengan tepat.
Kalau begitulah sikap dan ilmu pengetahuan
umat Islam, munasabahlah umat Islam pada hari ini tidak berasa bangga menjadi
umat Islam, tidak bangga menjadi umat Muhammad. Dengan sebab itu, mereka tidak
boleh mencontohi kehebatan dan kebaikan Rasulullah. Padahal apa yang dibawa
oleh Rasulullah itu adalah untuk dicontohi dan diikuti sepanjang hayat.
Jejak sejarah untuk dicontohi
Berdasarkan sejarah, ketika Nabi Muhammad
berumur 40 tahun, baginda telah menerima wahyu yang pertama daripada Tuhan
melalui malaikat Jibril ketika sedang berada di Gua Hira. Tiga tahun setelah baginda
berdakwah secara rahsia, baginda bangun berdakwah secara terbuka kepada
penduduk Makkah dengan berani mengatakan "Tuhan itu Esa".
Dengan dakwah itu baginda ditentang oleh penduduk
Makkah malahan mereka dilayan dengan teruk dan zalim. Tentangan hebat datangnya
daripada keluarganya sendiri khususnya yang mempunyai kepentingan di Makkah. Pelbagai
usaha dilakukan oleh baginda bagi mengatasi tentangan tersebut.
Berdasarkan sejarah itu sepatutnya kita
mengambil pengalaman baginda dalam gerakan dakwah. Antara yang boleh diikuti
ialah:
1. Waktu bertenang adalah dalam tempoh tiga
tahun bagi tujuan mengumpul kekuatan. Rasulullah setelah mendapat wahyu tentu
belum ada kekuatan dan pengalaman. Dengan sebab itu baginda menjalankan dakwah
secara senyap-senyap kepada rakan terdekat. Oleh sebab itu pendakwah masa kini,
setelah memperoleh ilmu dakwah harus bergerak secara teratur dari bawah di
samping mencari pengalaman yang bersesuaian dengannya.
2. Setelah sudah ada kekuatan iaitu ilmu
dan pengalaman, kewangan, kederaan, sokongan bolehlah bergerak dengan lebih
berani. Boleh menggunakan pentas awam termasuk media. Rasulullah mengumpulkan
masyarakat Makkah di suatu daerah di lembah bukit. Di sini baginda berdakwah.
Ketika itu baginda tidak takut lagi dengan tentang orang Quraisy. Begitulah
seharusnya kita contohi, namun pengalaman kita pada hari ini, kita belum
ditentang sebegitu oleh masyarakat kita. Jadi, mengapa kita tidak mahu berdakwah?
3. Perdakwah perlu bijak mengatur strategi
yang pelbagai untuk mengatasi halangan yang pelbagai. Banyak plan yang perlu
ada demi menjayakan gerak kerja dakwah.
Antara strategi yang difikirkan oleh
Rasulullah ialah ialah hijrah. Plan pertama hijrah ke Habsyah pada 614 M untuk
menyelamatkan iman sahabat yang dizalimi. Plan kedua hijrah ke Madinah setelah
kekuatan asas sudah dibina di Madinah. Hijrah kedua ini adalah untuk kembangkan
dakwah secara lebih besar.
Setelah berada di Madinah dan menguasai kotanya,
Nabi Muhammad telah menyatukan semua suku kaum di bawah Piagam Madinah. Setelah
bersengketa dengan penduduk Makkah selama 8 tahun, baginda membawa 10,000
pengikutnya ke Makkah serta menakluknya. Muhammad dan para pengikutnya telah
memusnahkan patung berhala yang terdapat di Makkah.
Ya, kita yang sudah berdakwah sekian lama,
apakah kekuatan yang sudah dibina? Apakah strategi yang telah diatur? Apakah
penyatuan yang telah kita usahakan? Ampun maaf, sehingga setakat ini belum ada
NGO gerakan dakwah yang bergerak secara tersusun. Memang kita ada ABIM, JIM,
Haluan, ISMA dan beberapa lagi kumpulan yang tumbuh kemudiannya. Tetapi mereka bergerak
sendirian dengan pegangan yang tersendiri. Antara mereka tidak ada titik
pertemuan. Mengapa mereka tidak boleh bersatu mengatur strategi dakwah yang
lebih berkesan?
Di sinilah kelemahan pejuang Islam yang
mereka mengakui mewarisi perjuangan Rasulullah. Mereka kononnya faham
perjuangan baginda tetapi langsung tidak mengambil pendekatan yang sempurna dan
strategik berdasarkan sejarah Rasulullah. Kita berhadapan dengan musuh yang
pelbagai, tetapi kita tidak menggunakan strategi yang betul. Tetapi kalau kita
gemblingkan idea dan fikiran tentu, satu persatu musuh akan tumbang sekali gus
menerima Islam dengan baik.
Saya percaya, dunia dakwah kita masih luas
dan peluang kita memartabatkan Islam masih luas. Kita tidak lokek dengan idea
maka gunakan semua itu dengan sebaiknya. Marilah kita satukan NGO Islam dalam
fikrah yang satu. Boleh bergerak secara berasingan tetapi bertitik tolok
daripada strategi yang telah dibincangkan bersama. Insya-Allah kita akan
berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan