Ahmad Baei Jaafar
Anda masih ingat kisah dalam filem “ibu mentuaku” yang
Nyonya Mansoor mengambil helah untuk memisahkan anaknya Sabariah dengan
suaminya, Kasim Selamat. Dia datang meziarahi anaknya atas jemputan anaknya yang
sedang mengandung. Setelah melihat keadaan anaknya, dia meminta izin menantunya
Kasim Selamat untuk membawa pulang anaknya ke Singapura kononnya supaya dapat
bersalin lebih selesa.
Atas permintaan itu suami Sabariah terpaksa merelakan
pemergian isterinya bersama ibu mentuanya. Lagipun dia tidak dapat membaca niat
buruk ibu mentuanya itu. Dia benar-benar menyangka bahawa ibu mentuanya sudah
berubah dan insaf. Agaknya itulah mentaliti seorang ahli muzik, tidak mampu
berfikir di luar kotak.
Sabariah meskipun sayang kepada suaminya Kasim Selamat, dia
juga tidak dapat membaca niat buruk ibunya. Surat cinta yang dikirimkan kepada
suaminya melalui ibunya semuanya ditongsampahkan tanpa disedari olehnya. Suami yang
terputus hubungan masih bersangka baik kepada isterinya. Namun, isteri yang
mengharapkan suratnya berbalas sudah menyangka sesuatu yang buruk terhadap
suaminya.
Sebelum itu, pada hari kelahiran cucunya, Nyonya Mansoor telah
menghantar telegram kepada menantunya bahawa Sabariah meninggal dunia sewaktu
bersalin. Kerana berita sedih itu, Kasim Selamat menangis berhari-hari sehingga
buta matanya. Tanpa kerja dan tanpa pendapatan akhirnya dia diusir keluar dari
rumah sewanya itu.
Sabariah yang tidak tahu kisah sebenar, kecewa dengan sikap
suaminya yang padanya tidak bertanggungjawab terhadapnya. Apabila perasaan itu
diluahkan kepada ibunya, “pulang paku buah keras” digunakan secukupnya oleh
ibunya. “Sudah aku katakan, suami kamu sudah lupakan kamu dan kini boleh jadi kembali
menyanyi di kelab malam,” katanya.
“Kalau begitu apa yang saya patut buat?” tanya Sabariah.
“Senang sahaja, mula-mula tuntut fasakh di pejabat agama,
selepas habis iddah kahwin dengan Dr Asmadi,” kata Nyonya Mansoor.
Akhirnya, Sabariah berkahwin dengan Dr Asmadi, namun mereka
tidak dikurniakan anak lagi. Dipendekkan cerita, Kasim Selamat yang buta itu telah
membuat persembahan di Singapura. Kebetulan persembahan itu turut dihadiri oleh
Sabariah dan suaminya, Dr Asmadi.
Saya percaya anda tahu kisah seterusnya, maka sebab itu saya
tidak mahu melanjutkan kisahnya di sini.
Saya percaya anda menonton filem ini bukan sekali tetapi berkali-kali.
Bahkan saya percaya setiap kali anda menontonnya, pasti mengalirlah air masih
sedih dan simpati. Namun berapa ramai yang mengambil pengajaran ke arah
membaiki rumah tangga masing-masing.
Sebenarnya merujuk kepada kisah di atas, perkahwinan Dr
Asmadi dengan Sabariah setelah berjaya difasakhkan dengan suaminya Kasim
Selamat hasil tipu muslihat ibunya adalah sah. Hal ini kerana setelah habis
iddah dia sudah boleh berkahwin dengan Dr Asmadi.
Tetapi tahukah anda perancangan rapi ibu mentua Kasim
Selamat bagi memisahkannya dengan Sabariah adalah dosa. Dosa meruntuhkan rumah
tangga anak menantunya sendiri. Dan tahukah anda, fasakh yang dirancang atas
alasan suami yang tidak bertanggungjawab kepada isteri dan anak adalah satu
penipuan besar. Perbuatan itu adalah dosa yang amat besar terhadap anaknya
sendiri.
Sebenarnya menurut hukum Islam, seseorang suami yang hilang
selama 4 tahun, isteri bolehlah beranggapan bahawa suaminya sudah meninggal
dunia. Dengan itu dia boleh berkahwin dengan suami baru. Tetapi jika dalam
tempoh beberapa bulan setelah berkahwin, suaminya muncul kembali, maka ketika
itu hubungannya dengan suaminya masih sah sebagai suami isteri.
Berdasarkan peruntukan undang-undang, suaminya berhak
memohon di mahkamah bagi memfasakhkan perkahwinan isterinya dengan suami baru
itu. Dan mereka boleh meneruskan kehidupan suami isteri tanpa perlu dinikahkan
semula.
Hukum ini kalau dirujuk kepada kisah dalam “ibu mentuaku”,
Kasim Selamat sewaktu menyedari isteri Dr Asmadi yang merawat matanya adalah
isterinya sepatutnya mengambil tindakan saman terhadap Dr Asmadi mohon difasakhkan
perkahwinan isterinya dengan Dr Asmadi itu. Isterinya Sabariah adalah tetap miliknya
yang tidak pernah diceraikan.
Jelas, kalau Kasim Selamat tahu kedudukan hukum ini, sudah
pasti dia tidak akan bertindak untuk membutakan matanya semula hanya
semata-mata mendengar kata-kata Dr Asmadi itu. Sebaliknya ucapkan ribuan terima
kasih kepada Dr Asmadi kerana dia telah mengembalikan dua perkara kepadanya;
penglihatan dan isterinya.
Alangkah baiknya kalau filem sebaik ini dihayati oleh
penonton selaras dengan kehendak Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan