Ahmad Baei
Jaafar
Sepanjang saya mengendalikan urusan
perkahwinan umat Islam, terdapat pelbagai kes yang membabitkan anak tak sah
taraf. Tidak kurang juga yang datang memohon perkahwinan dalam keadaan mereka
sedang mengandung anak luar nikah. Sedih memang sedih tetapi sebagai Penolong
Pendaftar Nikah, saya tidak menghukum sebaliknya akan memudahkan urusan
perkahwinan setakat yang dibenarkan syarak dan undang-undang agama Islam negeri.
Yang penting mereka boleh berkahwin secara sah.
Namun saya
agak terkilan dengan dua kes yang pernah saya hadapi; satu kes telah saya nikah
pasangan itu tetapi selepas beberapa jam pernikahan itu, seorang bapa saudara
pengantin membuat aduan di pejabat agama bahawa anak yang dinikahkan itu adalah
anak tak sah taraf. Satu lagi kes, belum sempat mengahwinkan lagi apabila
bapanya mengubah fikiran dengan membuat pengakuan di hadapan kadi daerah.
Kes pertama,
bila dihubungi bapa saudara pengantin itu saya agak terkejut. Yalah, bagaimana
boleh jadi anak tak sah taraf sedangkan mengikut penelitian surat nikah ibu
bapa menunjukkan anak itu sah taraf. Subhanallah, rupanya ibu bapa itu setelah
melakukan dosa berzina dan berkahwin selepas pasangannya disahkan mengandung. Apabila
anak itu lahir, pendaftaran tarikh lahir anak itu dilewatkan sebulan.
Kenapa mereka
sanggup menipu anak sendiri, menipu kerajaan dan menipu orang ramai. Kenapa ibu
bapa sanggup meminda tarikh kelahiran anak untuk menutup kesalahan mereka
sedangkan kesannya ialah anak apabila hendak berkahwin. Kenapa mereka sanggup
menyembunyikan status anaknya yang tidak sah sedangkan yang bersalah ialah
mereka bukan anak itu?
Alasan mereka
supaya anak itu tidak malu, tetapi sebenarnya mereka buat semua itu kerana mahu
menutup keaiban mereka sendiri. Apakah ibu bapa ini tidak sedar bahawa dengan
perbuatan itu akan memberi kesan kepada pernikahan anaknya iaitu nikah tidak
sah.
Ya, seperti dalam
kes di atas, ibu bapa anak itu melewatkan tarikh lahir dari yang sebenar.
Dengan cara itu, kelihatan anak itu adalah sah taraf. Maka kalau tiada siapa
yang mendedahkannya nescara anak itu berkahwin secara tidak sah. Mujurlah, bapa
saudara anak itu menyedarinya sebelum pasangan itu bersama.
Cuma dalam kes
ini, saya rasa terkilan kerana bapa saudaranya tidak memberi teguran awal
sebelum pasangan itu berkahwin. Bukankah dengan makluman awal, isu yang
memalukan ini dapat dielakkan sebelum berkahwin. Anak yang terpinga-pinga
dengan keadaan itu akhirnya terpaksa dinikahkan semula dengan menggunakan wali
hakim.
Tetapi dalam kes kedua, ibu bapanya meminda tarikh pernikahan mereka agar munasabah dengan tarikh kelahiran anaknya. Dalam kes ini, ibu bapanya berkahwin baru sebulan, tetapi sudah mendapat menimang anak sulung, luar biasa. Supaya tidak mengaibkan status anak kononnya, mereka meminda tarikh perkahwinan mereka dengan memadam bulannya. Mereka memang cerdik menipu Allah dan menipu anak sendiri.
Tetapi dalam kes kedua, ibu bapanya meminda tarikh pernikahan mereka agar munasabah dengan tarikh kelahiran anaknya. Dalam kes ini, ibu bapanya berkahwin baru sebulan, tetapi sudah mendapat menimang anak sulung, luar biasa. Supaya tidak mengaibkan status anak kononnya, mereka meminda tarikh perkahwinan mereka dengan memadam bulannya. Mereka memang cerdik menipu Allah dan menipu anak sendiri.
Sebenarnya sebelum
membuat permohonan perkahwinan anaknya, seorang lelaki (bapa gadis yang memohon
kahwin) datang ke pejabat saya untuk bertanyakan tentang kedudukan anak tak sah taraf, dan dia
mengaku terlibat. Saya telah memberi jaminan untuk membantunya bagi mendapatkan
wali hakim. Tetapi sewaktu dia membawa anaknya untuk menandatangi borang permohonan
nikah itu, dia tidak mengulangi isu yang pernah dibincangkan dengan saya suatu
ketika dahulu.
Sememang saya
sudah lupa akan wajah (lelaki) yang datang bersama anak perempuan itu adalah lelaki
yang sama pernah berjumpa saya bertanyakan soal anak tak sah taraf. Orang sebab
tidak mengesyaki sesuatu yang tidak kena, saya menyokong borang itu seperti
biasa. Dengan sokongan saya pejabat agama meluluskan permohonan itu.
Walaupun
semua berjalan baik, lelaki ini mula rasa bersalah lalu berpatah balik ke
pejabat agama lalu membuat pengakuan sebenar di hadapan tuan kadi. Alhamdulillah,
berkat Ramadan dan tarikh perkahwinannya pun masih lambat, maka borang permohonan
itu bolehlah dipinda untuk mendapatkan wali hakim.
Sungguhpun
begitu, saya masih terkilan kerana dia masih mahu menyembunyikan status anaknya
sebagai tidak sah taraf. Sampai bila keadaan ini mahu dirahsiakan? Sesungguhnya
tidak menyesal kalau diberitahu awal keadaan sebenar daripada membiarkan
keadaan itu. Bagaimana kalau dia mendapat tahu keadaan sebenar selepas berkahwin
daripada orang lain?
Wahai ibu
dan bapa juga yang bakal menjadi ibu dan bapa, ambillah iktibar daripada dua
kes ini. Jangan ulangi demi maruah Islam dan diri umat Islam. Memang dalam
hukum Islam, anak yang dilahirkan selepas enam bulan satu lahzah ibu bapanya
berkahwin, dianggap sah taraf. Tetapi kalau ada pihak yang mendakwa bahawa
isterinya sudah mengandung, maka anak itu tetap dihukumkan tak sah taraf.
Begitulah juga
kalau berlaku perkahwinan secara tidak sah, sedangkan pasangan itu tidak
menyedarinya, pergaulan mereka dikira wati syubahah dan anak yang dilahir dalam
tempoh itu dikira anak wati syubahah. Anak yang dilahirkan itu boleh
dibin/bintikan kepada bapanya. Hakikatnya anak itu adalah sah taraf. Tetapi
kalau pasangan itu menyedari bahawa perkahwinan itu tidak sah, kedudukan mereka
sebagai suami isteri perlu dipisahkan serta merta.
Berdasarkan
isu di atas, berterus teranglah wahai ibu dan bapa kepada anak-anak demi masa
depan mereka. Pada masa yang sama, wahai ibu bapa kalau anda sedar bahawa anak
anda sudah mengandung anak luar nikah, laporkan kepada pejabat agama atau
sekurang-kurangnya kepada Penolong Pendaftar Nikah semasa memohon pernikahan
mereka. Tindakan ini penting demi masa depan mereka di dunia dan akhirat.
Selain itu sebagai
Penolong Pendaftar Nikah kami perlu serius mengesan status ibu bapa dan anak
yang hendak disokong. Pada kami biar pasangan yang melakukan kesalahan jenayah
syariah diambil tindakan undang-undang selain berkahwin demi menyelamatkan
maruah mereka dan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan