Setelah kita berhempas pulas bermujahadah menahan nafsu
sepanjang bulan Ramadan, kini sampai masanya kita bersuka ria menyambut hari
kemenangan yang dinamakan Aidilfitri. Tarikh 1 Syawal tetap menjegah kita tanpa
gagal sama ada kita berpuasa atau pun tidak. Namun Aidilfitri datang secara
khusus untuk meraikan umat Islam melakukan puasa sepenuhnya.
Walau bagaimanapun mereka tidak melakukan puasa sepenuhnya
termasuk kanak-kanak boleh turut menyambut hari kemenangan ini, malah dalam
realitinya merekalah orang yang paling gembira dengan kedatangan Syawal ini. Yalah,
bagi kanak-kanak mereka akan mendapat duit raya, malah sesetengahnya mendapat beratus
ringgit juga. Manakala golongan yang puasanya kurang sempurna berasa gembira kerana
tekanan lapar sudah berakhir dan kini boleh membalas dendam, makan sepuasnya.
Selain itu, mereka boleh berhibur semahunya.
Sebaliknya mereka yang mampu berpuasa dengan sebaiknya tidak
sebegitu ghairah menyambutnya. Mereka selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri
akan berziarah sanak saudara. Selepas itu mereka akan menyambung puasa sunat
Syawal pada 2 Syawal. Barangkali mereka inilah golongan yang akan beroleh taqwa.
Persoalannya di mana kedudukan anda?
Siapa yang layak menyambut
Sememangnya orang yang berpuasa
diharapkan mencapai tahap taqwa seperti yang difirmankan Allah dalam surah
al-Baqarah ayat 183; “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu
bertaqwa.”
Jadi, bagaimana dengan puasa
anda, mencapai taqwa atau tidak? Sudahkah anda berpuasa dengan penuh rasa iman
dan taqwa? Ya, mereka yang beriman dan bertaqwa berpuasa bukan sekadar tidak
makan dan minum dan tidak melakukan perkara yang membatal puasa, tetapi turut
menjaga lidah, tangan, kaki, mata dan telinga daripada melakukan dosa kecil
apatah lagi besar.
Selain itu mereka yang berjaya menambah pahala sunat seperti
solat sunat tarawih yang sempurna, membaca al-Quran dan memberi makan orang
berbuka puasa dengan seikhlasnya berpeluang menambahkan mutu Ramadannya. Ibadah
ini merupakan bonus untuk menjadikan mereka bertaqwa seperti yang diharapkan Allah
dalam ayat di atas.
Mereka yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dan segala
amalan sunat dalam bulan Ramadan tentu Allah melihatnya dengan penuh rahmat.
Apa tidaknya, mereka ini boleh berakhlak baik dengan manusia apatah lagi dengan
Allah. Mereka juga boleh berakhlak dengan haiwan dan alam sekitar. Jika inilah
hasil daripada ibadah puasanya, tidak syak lagi mereka ini adalah orang yang
paling layak untuk menyambut Aidilfitri.
Sejarah Rasulullah dan Sahabat mencatatkan bahawa mereka
menyambut hari raya secara sederhana malah mereka bersedih dengan pemergian
Ramadan. Oleh sebab itu mereka akan melakukan segala amalan sunat sebaik sahaja
diisytiharkan sudah masuk satu syawal. Mereka mulakan dengan takbir dan tasbih
raya.
Seterusnya pada siang hari diulang lagi amalan takbir sehingga
sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan imam. Sebelum itu sebelum solat subuh
mereka akan mandi sunat hari raya. Dan selepas solat subuh mereka akan makan sebagai tanda tidak berpuasa lagi.
Lazimnya selepas solat Aidulfitri mereka akan melakukan
amalan ziarah rumah ke rumah, bermula dengan jiran terdekat dan kemudiannya menziarahi
sanak saudara terdekat. Mereka rapatkan hubungan terutama silaturrahim dalam
kalangan kaum keluarga.
Siapa yang dihalang menyambut
Sebenarnya Islam tidak pernah menghalang sesiapa pun untuk menyambut
hari raya ini. Malah orang bukan Islam juga boleh bersama-sama orang Islam
meraikannya. Oleh sebab itu tidak salahlah orang yang gagal berpuasa
sebagaimana yang sewajarnya, menyembut hari raya seperti orang lain. Hal ini
kerana mereka adalah golongan yang berpuasa kategori orang awam.
Tetapi lazimnya kita dapati mereka ini menyambut hari raya
bak kata ibarat “lebih sudu dari kuah”. Sambutan mereka lebih hebat daripada
orang yang layak dalam kalangan golongan khawas dan khususul khawas. Mereka menyambut
secara melampau dalam berhibur. Malah hiburan adalah keutamaan mereka, sedangkan
amalan ziarah sudah dikesampingkan.
Sepatutnya mereka dalam kategori awam ini menyambut Syawal
sebagai meraikan golongan yang berjaya termasuk kanak-kanak. Mereka sepatutnya
bertemu orang yang berjaya dan mengucapkan tahniah dan doakan kebaikan. Tetapi
bagaimana kita hendak kenal mereka yang berjaya kerana lazimnya orang yang
berjaya pun tidak mahu mengaku berjaya.
Maka atas semangat itu Islam menganjurkan amalan menyambut
Syawal dengan mengucapkan tahniah dan doa kepada orang yang kita temui. Dengan
saling mengucap tahniah yang sekali gus berdoa akan kejayaan orang lain,
diharapkan kita semua beroleh kejayaan. Kalaupun tidak sampai ke tahap taqwa,
setidak-tidaknya kita menjadi orang yang redha dengan keputusan Allah.
Pada masa yang sama, kita digalakkan bersedekah kepada
anak-anak semoga dengan sumbangan ikhlas itu Allah ampun dosa kita dan
meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Kita tidak tahu sejauhmana amalan kita
diterima Allah, tetapi kalau kanak-kanak yang suci hati turut mendoakan kita
tentu sedikit sebanyak ada penambahan kebaikan untuk kita.
Amalan Sunnah
Rata-rata umat Islam di sini telah melakukan aturcara di
atas tetapi sejauhmana mereka dapat melakukannya sebagai yang dianjurkan oleh
Islam. Berapa ramai umat Islam yang bangun melakukan mandi sunat Aidilfitri? Wanita
yang uzur juga tidak harus ketinggalan untuk melakukan mandi sunat. Kalau
begitu semua umat Islam patut melakukannya tanpa gagal.
Begitu juga dengan amalan berkunjung ke tempat solat Aidilfitri,
wanita yang uzur masih ada tempat dan ruang untuk sama-sama mendengar khutbah
raya. Kalau semua umat Islam datang lebih awal untuk mengambil tempat yang
sesuai tentulah besar ganjaran untuk mereka. Wanita uzur walaupun tidak boleh
solat mereka boleh duduk di tempat khas di luar masjid untuk sama-sama
mendengar khutbah hari raya.
Tetapi saya tidak pasti, berapa buah masjidkah yang
menyediakan tempat khas untuk wanita uzur? Atau adakah wanita uzur sendiri
tidak berminat untuk mendengar khutbah lalu kerana itu tempat mereka tidak
disediakan? Realitinya wanita yang uzur lebih selesa berada di dalam rumah
semasa orang lain bersolat hari raya. Alangkah ruginya mereka kerana tidak mendapat
nasihat yang baik pada pagi hari raya.
Sebenarnya solat sunat hari raya dan khutbahnya amat besar faedahnya.
Selain solat berjemaah itu mendapat pahala berlipat kali ganda, dapat pula umat
Islam berkenal mesra antara satu sama lain. Ya, kadang-kadang jiran rumah pun
kita tidak berpeluang bercakap, maka pada hari ini kita berpeluang berbual
sambil mengucap tahniah atas kejayaan menjalankan ibadah puasa.
Namun tidak dinafikan, ada umat Islam yang walaupun
berkumpul ramai-ramai, mereka tidak mahu mengambil perluang berkenalan dengan
rakan solat di sebelahnya. Adakah mereka malu untuk berkenalan atau mereka
sombong kerana menilai orang tidak layak berkenalan dengannya. Kalau itu yang
difikirkan bagaimana kita boleh berjaya dalam menempuh ujian Allah. Boleh jadi
inilah tanda awal kita gagal melaksanakan ibadah puasa.
Sebaiknya sewaktu bersalaman kita memperlawa mereka ke rumah
anda. Inilah amalan orang soleh sejak zaman berzaman. Mereka akan berziarah
jiran terdekat selain sanak saudara dengan saling mengucap tahniah kerana
berjaya memenuhi ibadah puasa. Cuma dalam amalan masyarakat Melayu, kita sering
ucapkan “Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin” kepada orang yang kita temui.
Semoga ucapan itu dinilai sebagai doa juga.
Bagi menambah baik ucapan itu bolehlah juga kita susuli
dengan ucapan; “tahniah anda berjaya beroleh taqwa, tahniah anda berjaya
melaksanakan puasa dengan sempurna dan yang seumpamanya. Bagi masyarakat Arab
mereka sering ucapkan كل
عام وأنتم بالخير yang bermaksud
semoga setiap tahun kamu dalam keadaan baik.
Sebenarnya pada zaman Rasulullah ada satu ucapan yang turut
dipakai, ini berdasarkan sebuah hadis
daripada Wasilah bin
al-Asqa’ katanya, aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya lalu aku berkata: تَقَبَّلَ
اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maka baginda
berkata: ya تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا
وَمِنْكُمْ maksudnya: “Semoga Allah terima amalan
daripada kami dan kamu juga.”
Amalan yang diucapkan oleh sahabat ini untuk Rasulullah adalah
untuk menunjukkan adab memberi ucapan tahniah. Selain itu apabila baginda
membalas dengan ucapan yang sama menunjukkan ucapan itu boleh digunakan oleh
umat Islam.
Berdasarkan itu ucapan sebegini masih releven diucapkan
sewaktu kita berziarah ke rumah orang yang kita hormati juga kawan-kawan yang
kita sayangi. Semoga amalan ini juga boleh dijadikan hiburan buat kita sepanjang
berhari raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan