Pelik juga kalau ada orang Melayu yang dilahirkan sebagai
Melayu tetapi tidak berasa bangga dengan kemelayuannya. Namun tidaklah sampai
tidak mahu mengaku Melayu. Di mana salahnya Melayu? Lainlah kalau Melayu ini
asal usulnya penjenayah, pemberontak dan seumpamanya dan kekal sehingga ke hari
ini, tak mahu saya mengaku Melayu. Malu saya menjadi Melayu.
Rasanya Melayu tidak begitu, tidak tahulah kalau begitu pada
zaman purbanya. Sekarang Melayu sudah tamadun, sudah berada dalam negara
merdeka. Jadi, apakah salahnya kalau kita dilahirkan sebagai Melayu. Kalau kita
tidak gembira dengan Melayu kita, tentu secara tidak langsung kita telah menyalahkan
ibu bapa yang melahirkan kita. Silap-silap pula kita salahkan Allah yang
melahirkan kita sebagai orang Melayu.
Sesungguhnya Melayu dan orang Melayu tidak salah apa-apa kerana
Melayu hanyalah salah satu bangsa yang diwujudkan Allah bagi tujuan memberi
peluang kepada manusia berkenalan antara mereka.
Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Namun, semulia-mulia kamu di
sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat :
13)
Allah takdirkan kita lahir
sebagai orang Melayu tentu ada hikmah kebaikannya. Kita boleh berkenalan dengan
bangsa lain dan berbaik-baik dengan bangsa lain secara harmoni. Malah lebih
patut kita berasa bangga kerana dilahirkan di Malaysia yang secara automatiknya
orang Melayu adalah orang Islam. Orang Melayu di sini ditakrifkan dalam Perlembagaan
Persekutuan sebagai orang Islam. Maknanya orang Melayu dan Islam tidak boleh
dipisahkan. Jadi, di segi undang-undang orang Melayu mustahil boleh menjadi
murtad. Kenapa?
Yalah, bangsa seseorang tidak
boleh bertukar sejak daripada lahirnya sehingga ke tarikh matinya. Katalah orang
Melayu berkahwin dengan orang India, maka bangsanya tetap Melayu. Begitu juga
orang India itu, dia tetapi India walaupun berkahwin dengan orang Cina. Keadaan
yang sama akan berlaku kepada bangsa lain seperti Cina atau orang Afrika dll.
Mereka tetap dikira bangsa itu walaupun sudah bertahun-tahun tinggal di
Malaysia. Jadi, orang Melayu selagi berbangsa Melayu dia tetap dikira orang
Islam.
Sebenarnya Rasulullah sendiri
bangga yang dirinya orang Quraisy dengan katanya, ana (saya) Quraisy. Baginda
juga menyebut tentang kepimpinan kota Makkah khususnya Kaabah mestilah dalam
kalangan Quraisy. Namun bukanlah Quraisy segala-galanya. Ada juga keburukan
pada orang Quraisy di sudut kepimpinan seperti sabdanya:
عن
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " خِيَارُ النَّاسِ
خِيَارُ قُرَيْشٍ , وَشِرَارُ قُرَيْشٍ شِرَارُ النَّاسِ , وَخِيَارُ أَئِمَّةِ
قُرَيْشٍ خِيَارُ أَئِمَّةِ النَّاسِ , وَشِرَارُ أَئِمَّتُهُمْ شِرَارُ أَئِمَّةِ
النَّاسِ , وَخِيَارُ النَّاسِ تَبَعٌ لِخِيَارِهِمْ , وَشِرَارُ النَّاسِ تَبَعٌ
لِشِرَارِهِمْ " .
Maksudnya: Daripada Nabi SAW
sabdanya, sebaik-baik manusia ialah sebaik-baik Quraisy, sejahat-jahat Quraisy
ialah sejahat-jahat manusia, sebaik-baik kepimpinan Quraisy adalah sebaik-baik
kepimpinan manusia, dan sejahat-jahat kepimpinan mereka adalah sejahat-jahat
kepimpinan manusia dan sebaik-baik manusia adalah yang mengikut kebaikan mereka
dan sebaliknya seburuk-buruk manusia ialah yang mengikut keburukan mereka.
(Riwayat al-Tabrani)
Jelasnya, setiap bangsa manusia
ada baik dan ada jahatnya. Yang penting pada kita ialah mana yang baik kena
ikut dan mana yang jahat perlu dijauhi. Sebab itu dalam hal ini baginda
mengingatkan umatnya agar tidak taksub kepada bangsa apatah lagi pemimpin.
Taksub Rasulullah sebut sebagai asabiah seperti sabda Rasulullah SAW:
عن
واثلة بن الأسقع، سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ،
فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ
قَوْمَهُ ؟ قَالَ : " لَا ، وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يَنْصُرَ
الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ "
Maksudnya, daripada Wasilah bin
al-Asqa’, “aku bertanya akan Rasulullah SAW maka aku berkata, wahai Rasulullah
adakah sebahagian daripada asabiah itu seseorang lelaki mencintai (menyukai)
akan kaumnya (bangsanya)? Jawab Baginda: “tidak, tetapi sebahagian daripada
asabiah itu, seseorang itu menolong kaumnya atas kerja-kerja kezaliman.”
(Riwayat Ahmad)
Dengan hadis ini kita boleh
mengesan siapa yang banyak mengamalkan asabiah. Kita boleh menilai sendiri
sejauhmana kita menyokong bangsa kita dalam melakukan kezaliman. Kita boleh
menilai sejauhmana pemimpin negara ini yang menyokong bangsanya dalam melakukan
kezaliman. Kalau semua itu ada pada diri kita atau pemimpin kita, itulah
tandanya kita terlibat dalam asabiah. Maka atas kesedaran itu jauhilah perkara
itu.
Melayu Malaysia
Isu Melayu ini perlu dijelaskan di
sini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan orang Melayu sebagai
orang yang lazimnya bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat
Melayu. Untuk lebih jelas kita rujuk Perkara 160. Tafsiran:
"Orang
Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap
bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan—
(a) yang lahir
sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari
Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau
yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat
seseorang yang sedemikian.
Sebenarnya berdasarkan perkara ini, orang Cina atau India yang memeluk
Islam sebelum Merdeka dan dia fasih berbahasa Melayu dan mengamalkan adat
Melayu, maka boleh dikira sebagai Melayu. Tetapi jika Islam selepas Merdeka
walaupun fasih berbahasa Melayu dan mahu mengamalkan adat Melayu tidak boleh
dikategorikan sebagai orang Melayu. Namun kalau dia berkahwin dengan orang
Melayu, maka anaknya boleh dikategorikan sebagai orang Melayu menurut perenggan
(a).
Berdasarkan perkara ini juga mana-mana orang Indonesia yang menetap di
Malaysia selepas Merdeka dan kemudiannya mereka berkahwin dengan pasangan
Indonesia juga, maka anak yang dilahirkan itu tidak boleh dikategorikan sebagai
Melayu. Walaupun mereka selama ini orang Melayu (Indonesia), tetapi di sudut
undang-undang mereka bukan Melayu. Oleh sebab itu mereka tidak layak mendapat
hak keistimewaan Melayu di Malaysia.
Berbeza pula kalau mereka itu berkahwin dengan orang Melayu Malaysia,
maka anaknya adalah dikira sebagai orang Melayu. Maka atas dasar itu mereka
juga boleh mendapat segela keistimewaan orang Melayu seperti yang diperuntukkan
dalam Perlembagaan.
Malangnya orang Melayu sendiri tidak faham kedudukan mereka dan status
mereka di negara sendiri. Atas ketifahaman itulah, banyak hak keistimewaan
mereka terlepas begitu sahaja. Sebaliknya, orang bukan Melayu termasuk orang
Indonesia boleh dengan senang hati mengambil hak kita. Dan kita sendiri tidak
mampu menghalangnya kerana kita tidak tahu hak itu. Barangkali nasib ini padan dengan
sikap orang Melayu yang tidak mahu faham apatah lagi yang malas.
Selalunya orang Melayu suka bising apabila telah hilang hak mereka,
kita akan bising dan riuh sekampung bila didapati rumah banglow di pinggir kota
diduduki oleh orang Indonesia, padahal dia selalu nampak pembinaan itu dibuat
oleh orang Indonesia. Kita tidak peka lalu membiarkan aktiviti itu. Baru-baru
ini kita bising bila mendapati pemilik gerai ikan dan buah di Pasar Chaw Kit itu
adalah orang Indonesia dan Bangla.
Yalah, semua itu berlaku kerana kita tidak faham peruntukan perlembagaan
itu, tetapi bagaimana dengan pihak berkuasa kerajaan, pemimpin negeri dan
pusat, adakah mereka juga tidak tahu dan tak faham. Inilah masalah yang patut
kita sedar kalau kita benar-benar mahu membela orang Melayu. Apa ertinya kita
mendapat keistimewaan itu sedangkan rakyat yang berbangsa Melayu tidak mendapat
keistimewaan itu.
Islam Agama Negara
Selain hak orang Melayu kita juga harus bersyukur kerana agama Islam
diletakkan sebagai agama persekutuan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka
dengan peruntukan itu bukan sahaja setiap orang Islam boleh mengamalkan ajaran
Islam dengan bebas malah segala yang berjalan dalam negara ini seharusnya
mengikut kehendak Islam. Namun realitinya, peruntukan perlembagaan itu tidak
dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak berkuasa apatah lagi rakyat jelata.
Cuba kita teliti peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikut:
Perkara 3. Agama bagi
Persekutuan.
(1) Islam ialah agama bagi
Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di
mana-mana Bahagian Persekutuan.
Apabila perlembagaan menyebut
agama bagi Persekutuan bermakna seluruh negara mesti berasaskan Islam. Segala aktiviti
di mana-mana bahagian negara mesti berpaksikan Islam. Tetapi persoalannya,
apakah peruntukan ini telah dimanfaatkan? Adakah Islam hanya sekadar nama
sehingga sesetengah pihak boleh menganggap Islam hanya untuk urusan rasmi
negara sahaja?
Saya percaya anggapan mereka itu
adalah berdasarkan realiti pada masa itu. Apa tidaknya, apabila hendak mulakan
program, baca al-Quran dan baca doa dan penutupnya dengan doa lagi. Tetapi di
tengah-tengahnya apatah lagi kemuncaknya banyak acara maksiat. Keadaan yang sama
berlaku dalam program radio dan televisyen.
Melihat realiti itu saya tidak katakan
mereka tersalahfaham, tetapi kemungkinan besar mereka sengaja hendak menyindir
pihak berkuasa kerajaan. Sepatutnya pihak pemerintah peka dengan peruntukan ini
dengan meletakkan Islam dalam segala program. Maka mana-mana acara yang
berlawanan dengan Islam perlu dihentikan. Maknanya setiap orang Islam sama ada
pemerintah atau rakyat perlu amalkan Islam dalam kehidupannya.
Apa buktinya? Bacalah perkara
3(1) sehingga habis, bukankah secara jelas disebut; “tetapi agama-agama lain
boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.
Maknanya apa? Kalau orang bukan Islam dibenarkan mengamalkan agama mereka
dengan aman dan damai di negara ini, tentulah orang Islam lebih berhak lagi untuk
mengamalkannya. Kitalah yang sepatutnya mengambil peluang mengamalkan Islam di
mana-mana tanpa had.
Malangnya, perkara ini kita tak
ambil kisah. Kita lihat pada hari ini, orang bukan Islam amat serius
mengamalkan ajaran mereka termasuk agama Hindu, setiap malam Jumaat dan Ahad sanggup
memenuhi kuil. Sedangkan orang Islam, boleh dikira berapa ramai yang boleh
pergi masjid dan surau. Malah pada waktu solat Jumaat pun ada yang sanggup
ponting solat. Sedih.
Kita tidak boleh halang orang
lain melakukan ibadat mereka kerana Perlembagaan membenarnya. Tetapi kita
seharusnya rasa cemburu dengan mereka kalau kita tidak lebih hebat daripada
mereka dalam beribadah. Marilah kita bersaing dalam menuju kebenaran Ilahi
kerana peluang itu sudah dibuka luas dalam Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang
berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4),
mengembangkannya.
Jelas peruntukan
ini memberi kebebasan kepada semua orang untuk mengamalkan agama yang
dianutinya. Maknanya orang Islam boleh amalkan semua ajaran Islam sepenuhnya.
Kita boleh solat, puasa, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, kita juga boleh
buat yang sunat semahu kita. Pendek kata apa yang ada dalam ajaran Islam boleh
diamalkan tanpa ragu. Kerajaan tidak ada hak untuk melarangnya kecuali kalau
ajaran itu hendak dikembangkan kepada orang lain. Maka dalam keadaan ini kita
tertakluk kepada Fasal (4) iaitu; “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan
Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang
persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau
kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
Maknanya kerajaan
negeri dan Wilayah Persekutuan boleh mengawal dan menyekat ajaran sesat atau
songsang termasuk ajaran agama lain terhadap orang Islam. Atas sebab itulah mengapa
semua guru agama atau pendakwah yang penyebar Islam diwajibkan mendapat
tauliah. Bayangkan kalau orang Islam pun tidak boleh sewenang-wenangnya
menyebarkan Islam kepada orang Islam, tentulah lebih patut orang bukan Islam
tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.
Sungguhpun begitu,
peruntukan ini tidak disambut secara serius oleh beberapa kerajaan negeri, lalu
mereka tidak segera mengubal enakmen bagi mengawal dan menyekat ajaran agama
lain kepada orang Islam. Kita mengenal pasti hanya negeri Kelantan, Kedah, Melaka dan
Selangor telah meluluskan enakmen untuk tujuan itu.
Walau bagaimanapun seperti yang dijelaskan di atas, bagi
negeri lain itu masih boleh mengawal dan menyekat agama lain berdasarkan
peruntukan fasal (4) itu, cuma kekuatannya belum terjamin. Hal ini kerana kerajaan
melalui pihak berkuasa agama boleh bertindak terhadap mereka tetapi tiada
bentuk hukuman yang boleh diambil terhadap mereka.
Tetapi, apakah pihak berkuasa negeri telah lakukan sehingga
setakat ini. Kita tidak berani bertindak. Kalaupun ada pihak yang bertindak,
orang Islam sendiri yang cuba menghalang. Kita sepatutnya malu kepada Allah
kerana kelemahan kita bertindak sehingga menyebabkan agama lain sanggup
mencabar kewibawaan kita.
Kita mengaku beragama Islam dan berbangga berada dalam negara
Islam, tetapi kita tidak banyak melakukan amalan atau ajaran Islam baik dalam
diri mahupun negara. Kalau beginilah keadaan kita, pasti Allah tidak mahu
memihak kepada kita.
Semarakkan Amalan Islam
Sebenarnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan
dan Enakmen Undang-undang Islam negeri-negeri, kita sudah boleh menyemarakan
ajaran dan amalan Islam tanpa had. Semua umat Islam boleh melaksanakan semua
ajaran Islam tanpa boleh disekat oleh mana-mana pihak apatah lagi orang bukan Islam.
Malah kita boleh menyebarkan Islam kepada semua orang termasuk kepada orang
Kristian tanpa sebarang sekatan.
Sebagai pemimpin, mereka boleh amalkan ajaran Islam di
peringkat kepimpinannya. Setiap program yang dibuat dipastikan menepati ajaran Islam.
Mereka amat amanah dan adil kepada rakyat. Dan sebagai rakyat mereka boleh
amalkan ajaran Islam tanpa rasa malu kepada pihak lain. Sebagai pelajar pula mereka
boleh amalkan ajaran Islam di mana-mana sahaja mereka berada.
Perlu ditegaskan di sini, amalan Islam terdapat dua kategori;
fardu ain dan fardu kifayah. Fardu ain yang melibatkan persoalan aqidah,
syariah dan tasauf menjadi tanggungjawab setiap orang. Maka ketiga-tiga itu
boleh kita laksanakan dalam kehidupan ini tanpa dihalang oleh sesiapa pun.
Manakala fardu kifayah yang melibatkan aktiviti umum dan kerja profesional tidak
melibatkan semua orang. Maka sesiapa yang berkemampuan melaksanakannya lakukanlah,
asalkan perkara itu boleh memberi manfaat kepada orang ramai.
Sehingga ke setakat ini, cuba kita bertanya kepada diri
sendiri, sudahkah kita lakukan semua itu? Kalau sudah lakukannya apakah selama
ini terdapat halangan? Saya pasti tidak ada pihak yang menghalang kecuali nafsu
dan syaitan. Kerajaan tidak mungkin akan bertindak menghalang aktiviti kita kecuali
kalau amalan kita itu bercanggah dengan peraturan dan ajaran Islam.
Kalau begitu jangan salahkan orang lain kalau kita belum mampu
melakukan segala ajaran atau amalan Islam. Untuk itu, perlu ada satu pihak yang
boleh turun padang bagi mengingatkan umat Islam yang masih tidur untuk melaksanakan
ajaran Islam. Percayalah kalau semua umat Islam boleh laksanakan Islam dengan
serius, orang bukan Islam tentu takut untuk menggugat keimanan umat Islam.
Selain itu kita juga perlu tahu membezakan antara
tanggungjawab kita sebagai rakyat dengan tanggungjawab kerajaan dalam
mengamalkan Islam. Jadi, mana-mana tanggungjawab kita lakukan sepenuhnya,
tetapi mana-mana tanggungjawab kerajaan biar pemimpin yang memikirkannya.
Ketahuilah, kita tidak berdosa atas kesalahan pemimpin. Namun sebagai rakyat
kita ada saham jika menyokong kepimpinan yang enggan melakukan tanggungjawab tersebut.
Jadi, kalau anda mengaku orang
Melayu marilah kita menyemarakkan amalan Islam di negara ini dengan serius. Dengan
sebab itu kita boleh berbangga bahawa kita berada dalam negara Islam. Wallahu’aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan