26 Januari 2012

Muslim murtad selesaikan puncanya dahulu


Ahmad Baei Jaafar

Isu murtad sudah banyak kali ditimbulkan oleh pendakwah dan dibesarkan oleh media, namun apa yang ditimbulkan itu hanya tinggal begitu sahaja. Bising sekejap kadar seminggu, setelah ada pihak menafikannya, isu tersebut hilang begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan.  Persoalannya benarkah murtad menjadi-jadi mutakhir ini?
Kalau kenyataan itu keluar daripada orang yang berautoriti bolehkah kita terima sebagai sah. Persoalannya siapa yang berautoriti dalam hal ini? Sudah tentu mereka yang berurusan mendaftar, peguam syari’ dan hakim syari’. Mereka inilah yang paling tahu kadar sebenar. Apapun orang lain hanya sekadar mendengar maklumat daripada orang lain.
Kita tidak nafikan ada orang yang murtad tetapi tetapi apakah kepentingan kita besarkan isu itu? Kadang-kadang isu itu dibesarkan oleh musuh untuk menjadikan kita panik dan takut sekali gus melemahkan jiwa umat Islam sendiri. Hal ini mungkin mereka sudah merasa umat Islam semakin lemah atau berpecah.
Kadang-kadang kenyataan itu dikeluarkan oleh tokoh Islam sendiri sebagai amaran kepada umat yang masih leka lalu membiarkan diri dan keluarganya terpesong jauh daripada Islam. Isu itu mungkin tidak besar mana, tetapi dibesarkan untuk melahirkan kesedaran dan kewaspadaan. Walau apapun kedua-dua keadaan ini ada pro dan kontranya.

Realiti isu murtad
Umat Islam yang dikatakan murtad terdiri daripada golongan muallaf yang terbiar tanpa bimbingan. Mereka ini apabila memeluk Islam tidak menghadiri sebarang kursus atau kelas pengajian. Mereka meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Sedangkan amalan Islam tidak diamalkan seperti yang sepatutnya.
Golongan ini juga sesetengahnya tidak ada pekerjaan maka sepanjang kehidupannya mengharapkan bantuan zakat dan sumbangan orang ramai. Sebahagian mereka memberi alasan sakit dan ditinggalkan isteri atau dibuang kerja. Mereka ini kalau terus dibiar tanpa didikan Islam lambat laun akan murtad akhirnya.
Golongan kedua terdiri daripada orang yang berkahwin dengan orang Islam. Pasangan Islam ini pula tidaklah berniat untuk membimbing pasangannya. Lebih malang lagi pasangan yang asal Islam ini tidak menunaikan solat, bagaimana dalam keadaan itu dia boleh menjadi contoh kepada pasangan yang baru memeluk Islam itu.
Di sinilah kadang-kadang jodoh mereka tidak lama, pasangan yang muallaf ini seperti laying putus talinya. Apabila tiada lagi tempat bergantung, dia akan mencari orang yang boleh membantunya. Bagaimana kalau dia bertemu dengan orang bukan Islam yang mengajaknya supaya murtad, tentu dia dengan mudah boleh murtad.
Dua keadaan ini, siapa yang boleh kita salahkan? Jelas di sini, orang Islam sendiri yang patut disalahkan. Orang yang mengislamkannya sama ada dengan cara dakwah atau dengan berkahwin sepatutnya dihukum kerana cuai membimbing ke jalan yang benar. Jadi kalau begitu mengapa kita asyik menyalahkan orang yang murtad? Memang mereka hendak Islam tetapi orang Islam yang tidak mahu mendidik dengan cara yang betul.
Orang Islam sendiri, tidak banyak yang bertindak murtad kecuali mereka lemah Islamnya lalu berjaya dipujuk ke arah murtad. Biasanya mereka ini dipujuk oleh pasangan kekasih atas alasan cinta. Mereka tidak juga faham agama itu dengan baik sebagaimana dia tidak memahami Islam dengan sebaiknya. Mereka ini biasanya menipu ibu bapa dalam pergaulan kerana sering dikongkong oleh ibu bapa.
Dalam kes sepertinya, ibu bapa juga boleh dipersalahkan selain anak itu sendiri. Kecuai mereka mendidik anak dengan sempurna ada dosa besar. Kita kena ingat iman tidak diwarisi, maka kalau tidak dididik dengan yang betul pasti tidak menjadi. Apabila anak dibiar atas alasan percaya dia bersekolah agama adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Punca murtad
Gelaja murtad yang disebut di atas berlaku apabila seseorang itu dalam keadaan goyah imannya. Tetapi tahukah anda orang yang ada iman malah kuat imannya juga boleh menjadi murtad. Mereka boleh murtad dengan rosaknya iman di dada. Ada tiga perkara atau tiga cara iman itu boleh rosak:
1.      Iktiqad.
2.      Perkataan.
3.      Perbuatan.
Melalui iktiqad, iman boleh rosak dengan sebab-sebab berikut:
1.      Kurang yakin atau ragu-ragu dengan satu atau lebih dari sifat-sifat yang wajib bagi Allah. Contohnya: Ragu dengan Qudrat (kekuasaan) Allah. Sebaliknya ia yakin bahawa ada kuasa lain yang boleh memberi bekas selain Allah.
2.      Ragu dengan perkara-perkara ghaib seperti wujudnya malaikat, Hari Qiamat, Alam Barzakh, syurga, neraka dan lain-lain seumpamanya.
3.      Ragu dengan satu atau lebih dari sifat-sifat nabi dan rasul.
4.      Ragu tentang mampunya Islam, dengan panduan al-Quran dan Sunnah, sebagai pembawa keselamatan.
Jadi, semua keraguan tentang perkara yang disuruh beriman dengannya oleh Allah boleh membawa kepada rosaknya iman seseorang. Oleh sebab itu amat perlu bagi tiap-tiap individu memastikan hatinya tidak ada sebarang keraguan.
Selain itu iman juga boleh rosak melalui perkataan. Ianya boleh berla ku sama ada sedar atau tidak. Antara perkataan yang boleh merosakkan iman ialah:
1.      Mengatakan Allah itu kejam, zalim, tidak adil dan lain-lain yang mencacatkan kesempurnaan sifat Allah.
2.      Mengata dan mencaci Rasulullah sama ada tentang perkataan, perbuatan dan seluruh ajaran baginda.
3.      Mengatakan syariat Islam tidak sesuai untuk semua zaman. Ia hanya sesuai untuk "zaman unta" dan sebagainya.
4.      Menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Contohnya: Menghalalkan riba, zina, arak, judi dan lain-lain. Mengharamkan poligami dan lain- lain.
Pendek kata apa sahaja perkataan yang dikeluarkan berbentuk cacian dan penghinaan pada kemuliaan dan kebenaran Islam, sama ada sengaja atau tidak boleh merosakkan iman seseorang. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga perlulah kita berhati-hati dalam bercakap, jagalah perkataan yang keluar dari mulut kita.
Seterusnya perbuatan juga boleh merosakan iman. Perkara ini boleh berlaku kerana dua keadaan:
1.      Sujud pada selain Allah, sama ada pada patung, pokok kayu, matahari, bulan dan lain-lain.
2.      Meraikan dan membesarkan hari-hari agama lain.
Jelas di sini seseorang yang melakukan salah satu dari tiga cara di atas, dalam sedar dan yakin, adalah seorang yang telah rosak imannya. Dengan kata lain mereka telah murtad. Dengan kedudukan ini munasabahlah ramai umat Islam murtad. Boleh jadi murtad jenis ini lebih besar.

Selamatkan yang murtad
Menyedari keadaan ini semua pihak perlu bertanggungjawab menyedarkan umat Islam ada yang sudah murtad dan mereka yang termasuk dalam gejala murtad di atas. Untuk mengembalikan mereka tidak cukup dengan demontrasi, kempen berpidato dan sebagai. Semua itu boleh menjadikan musuh Islam mengelakkan kita.
Menggubalkan undang-undang atau akta murtad memang bagus, kerana kewujudannya boleh menghalang orang Islam daripada murtad. Dan kalau ada yang murtad boleh dihukum dengan undang-undang itu. Tetapi itu semua untuk mereka yang sudah murtad. Bagaimana yang dalam gejala murtad yang semakin ramai kini?
Di sinilah pentingnya dakwah dan pengajian untuk orang Islam. Usaha ini perlu dijalankan dengan serius. Usaha ini sepatut disokong oleh kerajaan dan NGO Islam. Orang yang selama ini menentang gerakan dakwah sepatutnya insaf bahawa sebenarnya gejala murtad itu ada kaitan dengan penentangan mereka. Oleh sebab itu bukalah peluang yang luas untuk menyebar luaskan ajaran Islam di mana-mana.
Umat Islam perlu disedarkan dengan perkara yang boleh membatalkan iman kerana semua itu jalan kepada murtad. Jadi, usahakan agenda ini dengan serius agar iman umat Islam kembali teguh. Pada masa yang sama didiklah orang yang baru memeluk Islam dengan sebaiknya.
Percayalah kalau semua pihak bergerak aktif pasti umat Islam akan kembali gemilang. Ketika itu negara dan kepimpinannya akan disegani oleh musuhnya. 

17 Januari 2012

Betulkah Anwar sokong golongan gay


Ahmad Baei Jaafar
Membaca laporan akhbar arus perdana mengenai temu bual Anwar Ibrahim dengan sebuat stesen TV luar negara, saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam laporan itu. Bila saya menonton TV3 ketika menyiarkan semula rakaman wawancara itu, dapat dikesan padanya ada bahagian yang diedit untuk tidak disiarkan.
Untuk kepastian saya membuka laporan Malaysiakini yang bertarikh 15 Januari 2012 antara lain menyebut: “Menjawab soalan berkaitan hak-hak golongan gay dan sama ada beliau bersedia untuk menerima "idea anti-diskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay", Anwar berkata dalam satu wawancara dengan BBC pada Khamis, bahawa "kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami."
"Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan."
Saya cuba baca banyak kali untuk mendapat jawapan tentang apa yang ditimbulkan orang tertentu termasuk mufti Perak dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor. Saya cuba mencari isu yang ditimbulkan namun tidak menemui jawapannya. Sebaliknya saya temui betapa telitinya jawapan orang yang bijak dalam berpolitik.
Cuba anda perhatikan, walaupun soalan menyebutkan tentang hak-hak golongan gay, namun jawapan tidak menjurus kepadanya secara langsung. "…kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami." Memang undang-undang Kanun Keseksaan sudah lapuk, walaupun sudah ada pindaan, tetapi ada juga sudah tidak sesuai. Oleh lebih adil, saya salin semula peruntukan yang ada kena mengena dengan golongan gay untuk nilaian bersama.
Seksyen 377 Kanun Keseksaan, mereka yang melakukan  persetubuhan luar tabii dengan haiwan, hukumannya ialah penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Seksyen 377A iaitu kesalahan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii sama ada melalui mulut atau dubur, hukuman ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Seksyen 377B mengatakan bahawa sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan.
Seksyen 377C merujuk kepada persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dan pesalah boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Seksyen 377CA iaitu perhubungan seks dengan objek sama ada melalui dubur atau kemaluan, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Seksyen 377D iaitu melanggar kesopanan dengan melakukan kelucahan melampau, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga dua tahun manakala kesalahan mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau, membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.
Perhatikan seksyen 377B dan 377C, munasabahkan orang yang melakukan secara sukarela dihukum penjara maksima 20 tahun dan kalau secara tanpa kerelaan, pesalah boleh dipenjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 20 tahun. Masih relevenkah undang-undang ini, orang yang melakukannya tanpa rela sama sahaja hukumnya dengan orang melakukannya secara sukarela?
Dan lihatlah juga kesalahan yang lain, semua hukumnya penjara maksima 20 tahun. Adakah kadar itu masih sesuai pada zaman ini. Mengapa tidak ada perbezaan antara satu kesalahan dengan kesalahan yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan lapuk.
Selain itu menurut Pegawai Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah, siasatan pelaku seks songsang adalah mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana meliwat. “Bagaimanapun, amat sukar kedua-dua individu yang melakukan seks luar tabii itu untuk tampil memberi keterangan yang menyebabkan pihak berkuasa tidak boleh membawanya ke muka pengadilan. Ini berlaku kerana kedua-dua pelaku seks songsang itu melakukannya secara rela tanpa paksaan. Biasanya, dalam serbuan yang dibuat, individu terlibat mengakui ada aktiviti seks yang dilakukan berdasarkan kondom-kondom basah yang ditemui tetapi enggan memberi keterangan ketika dalam siasatan,” kata Razali.
Kenyataan polis itu menjelaskan betapa sukar untuk menyelesaikan kes liwat. Oleh sebab itu beberapa kaedah dan undang-undang dalam kes ini perlu dibaik pulih. Beberapa peruntukan perlu ditukar dan ditingkatkan denda sesuai dengan zaman ini.
Selain itu, dalam jawapan kepada wartawan BBC itu Anwar menjelas pendiriannya, "Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan."
Pendirian ini menjelaskan bahawa rakyat Malaysia keseluruhannya menyokong perkahwinan lelaki dengan perempuan. Ertinya beliau menolak perkahwinan  golongan gay. Sungguhpun begitu menurutnya adalah diharapkan golongan ini tidak menuduh kerajaan menyusahkan mereka dek kerana  undang-undang lapuk itu.
Jadi, golongan ini mesti diberi hak sebagai rakyat Malaysia yang merdeka. Maka jika mereka orang Islam mereka tertakluk kepada undang-undang Islam, dan yang bukan Islam perlu mengikut tatasusila yang dibenarkan. Maka jalan penyelesaian ialah dengan mewujudkan undang-undang Islam secara total.

09 Januari 2012

Keputusan yang memenangkan pembangkang


Ahmad Baei Jaafar
Ramai yang terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadi beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa.
Tetapi saya percaya orang UMNO tidak kecewa dengan keputusan itu. Sebab itu sehingga setakat ini belum ada ulasan daripada pemimpin umno mengenai keputusan mahkamah itu. Malah saya percaya pemimpin umno sedang membuat skip khas untuk memenangkan parti mereka dalam pilihan raya akan datang.
Hakim Mohamad Zabidin, dalam keputusan yang mengejutkan memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebaskan tentulah sejarah kehakiman tidak seharusnya dilupakan generasi akan datang. Kenapa tidak, keputusan yang dibuat hanya tidak sampai lima minit bersidang, sedangkan perbicaraannya memakan masa yang amat panjang.
Lautan manusia menyokong pembebasan DSAI
Hakim Mohamad Zabidin ketika membuat keputusan tidak membaca penghakiman penuh kecuali kesimpulannya, berkata “kedua-dua bukti iaitu DNA dan oral-lisan tak boleh sabit kesalahan.” Berdasarkan itu perbicaraan yang memakan masa yang panjang itu hanya membicangkan perkara yang tidak kuat untuk dibuktikan.
Walau bagaimanapun saya hairan mengapa Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Apa untungnya kalau DSAI kalah dan apa ruginya dia kalau DSAI menang? Belajarlah untuk menerima keputusan hakim dengan baik untuk kebaikan masa depan.
Cuma seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, apapun keputusan mahkamah pada hari ini, akan memberi kemenangan kepada pakatan pembangkang. Kedua-duanya akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya akan datang. Oleh sebab itu peluang itu perlu diambil sebaiknya oleh pihak yang terbabit.


06 Januari 2012

Apakah erti sayang anda jika…


Masih teringat dalam benak ini kata-kata dan pesan pembimbing Tabung Haji dalam taklimatnya sebelum kami berangkat ke Arafah. Pesan itu amat berkesan walaupun selama ini kita telah pun mengamalkannya. Saya titipkan kata-kata tersebut untuk perhatian pengunjung blok fikrah islamiah ini.
Kalau kita sayangkan Allah; berzikirlah kepada-Nya
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ اللهُ اَكْبَرُ
Kalau kita sayangkan Rasul; selawatlah kepadanya
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Dan jika kita sayangkan diri sendiri; isytighfarlah selalu
أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ اَلَّذِي لَا إِلَهَ اِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيهِ
Kalau sekadar menyebut subhanallah tidak mampu dilakukan apalah ertinya ucapan sayang kita kepada Allah. Dan kalaulah sekadar ucapan Allahumasalliala Muhammad pun tidak mampu berada di bibir mulut, apalah ertinya anda mengaku sayangi Rasulullah. Dan kalau ucapan astaghfirullah al-Azim tidak mampu disebut selalu, jelaslah anda tidak sayangkan diri sendiri.

02 Januari 2012

Perjuangan yang panjang dalam mengerjakan haji

Ahmad Baei Jaafar
Memang benar mengerjakan haji satu perjuangan, banyak rintingan yang perlu dilului dan banyak ujian yang perlu ditempuhi bagi mencapai haji yang mabrur. Sesiapa yang boleh melepasi semua itu dengan baik pasti mendapat haji yang mabrur. Tetapi berapa ramai yang berjaya?
Saya dan isteri memilih haji ifrad walaupun ramai kumpulan kami yang memilih tamatta’. Kata mereka, haji ifrad berat sikit, kena berada dalam ihram tempoh yang lama, takut kena banyak dam. Yalah 13 larang semasa ihram.  Gambaran itulah barangkali yang menakutkan semua jemaah.
Alhamdulillah kami memakai ihram sejak di Kelana Jaya lagi dan berniat haji semasa berada dalam kapal terbang. Bayangkan sepanjang penerbangan itu kami sudah diharamkan 13 perkara. Kalau melanggarnya perlu membayar dam. Tapi dalam fikiran saya, kita hanya nak buat haji, bukan nak salah. Tetapi kalau tersalah juga bayarlah dam, bukankah dam juga ibadah.
Mujurlah dalam kapal terbang boleh tidur walaupun kurang selesa. Dan dengan itu kami kuranglah bercakap. Jadi, kesalahan yang melibatkan lidah itu tiadalah berlaku.  Apatah lagi larangan rafath dan jidal. Alhamdulillah selamat.
Sesampai di hotel, kami berpisah tempat tinggal. Cuma sesekali boleh berjumpa untuk makan terutama waktu sarapan pagi kerana waktu pagi tidak disediakan makanan. Namun kerap juga berjumpa tatkala untuk ke masjidil haram kerana di sana disyaratkan pergi bersama. Bukan apa, untuk keselamatan diri di tempat orang yang sememangnya ramai orang. Kalau sesat sukar berjumpa kembali.
Oleh sebab itulah kami boleh hidup dalam keadaan ihram tanpa melakukan larangan yang ditetapkan itu. Malah kami masih dapat menjaga larangan terutama yang membabitkan suami isteri. Alhamdulillah dalam tempoh itu tidak ada pertengkaran atau pergaduhan besar walaupun sekali sekala terasa juga kecil hati apabila berseorangan menanggung kesakitan (rasa isteri tidak simpati). Padahal itu semua ujian kecil yang cuba digoda syaitan.
Syukur kepada Allah kerana dalam tempoh 12 hari berihram kami dapat menjalani  hari-hari itu dengan amalan kebajikan, malah dapat melakukan ibadah sunat di masjidilharam, membaca al-Quran dan solat sunat termasuk tawaf sunat. Sebenarnya dalam tempoh itu perjuangan yang perlu kami tempuh bukanlah sengit dan tidaklah mencabar sangat.
Di Makkah, perjuangan kesabaran boleh dihadapi dengan sikap tenang dan berfikiran positif terhadap apa yang berlaku. Cuma perjuangan bagi mengekalkan wuduk agak mencabar. Yalah, kadang-kadang sudah hampir hendak azan, terbatal wuduk pula. Bayangkan kalau nak keluar ke bilik air agak jauh. Kalau keluar, pasti tiada peluang masuk semula. Nak guna spray yang dibekalkan Tabung Haji takut basah tempat solat pula. Mujur ada tempat air zamzam dalam masjid maka bolehlah ambil wuduk di situ. Tapi tak bolehlah basuh tiga kali seperti biasa.
Bayar Dam
Berbalik kepada larangan ihram, ramai juga jemaah haji yang tidak perasan dengan bulu ari-ari, bulu dada dan hidung boleh gugur.  Ada juga yang terkeliru antara sengaja dan tidak sengaja dalam menggugurkan bulu tersebut. Waktu kursus kita diberitahu tentu larangan menggugurkan rambut atau sebarang bulu pada tubuh badan. Juga diterangkan tentang maksud sengaja atau tidak sengaja. Tetapi apabila tiba waktu praktikalnya, banyak juga yang terlupa dan tidak perasan.
Saya sendiri waktu belajar itu beranggapan larangan itu tidak menjadi masalah bagi lelaki. Tetapi apabila sudah berada dalam realitinya, baru tersedar bahawa lelaki juga sama. Yalah, waktu kita mandi, bulu dada boleh gugur. Dan kadang-kadang secara tidak semena-mena, dicabutnya bulu hidung. Kalau yang gugur itu sehelai atau dua, tentunya kecil. Tapi kalau tiga helai sekali gus tentulah banyak.
Bayangkan, kalau setakat dua helai boleh diselesaikan damnya dengan memberi kepada orang miskin atau pekerja klener di Masjidilharam dengan kadar SAR 5 (lima rial). Tetapi kalau tiga helai, damnya seekor kambing yang bernilai SAR 330. Inilah perjuangan yang terpaksa ditempuh sepanjang ihram. Beruntunglah mereka yang memikirkan dam itu juga sebagai ibadah maka wang yang dikeluarkan itu ada nilaian di sisi Allah.
Kemuncak Perjuangan
Semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah kemuncak perjuangan yang kalau gagal di sini gagallah haji. Antara larangan semasa ihram ialah menebang pokok dan memburu binatang. Sewaktu belajar, saya berfikir adakah pokok di sana, dan adakah binatang buruan di sana. Tetapi apabila sampai  di sana baru kita sedar, sememangnya Allah ingin menguji kita.
Tahukah anda, di Arafah banyak pokok yang ditanam oleh kerajaan. Tentunya pokok itu ditanam untuk mencantikkan kawasan. Tetapi tahukah anda pokok itu juga termasuk dalam 13 larangan semasa ihram. Bayangkan kalau kita secara sedar menyandar dan menggonjangkan batang itu, lalu gugur daunnya, berapa banyak dam yang perlu dibayar. Itu satu hal, satu lagi apabila masuk di dalam khemah, ada pula anak pokok. Kawan saya hampir menyentuhnya. Bayangkan kalau dia tergatal tangan lalu memetik satu dua helai daun, berapa dam yang perlu dibayar.
Dalam hal ini, isteri saya ada menceritakan yang kawannya secara tiba-tiba seekor belalang terbang kepadanya. Dan dia sepantas kilat menepisnya lalu matilah belalang itu. Membunuh binatang buruan adalah satu kesalahan yang wajib membayar dam. Kita nampak hal ini kecil tetapi sebenarnya besar di sisi Allah.
Di Mini sesekali nampak burung merpati turun mencari makanan di atas jalan. Walaupun jumlah di sini tidak sebanyak di Makkah, kehadiran burung merpati yang kelihatan jinak itu boleh memerangkap jemaah haji. Sebenarnya kalau ada jemaah haji yang masih dalam ihram (hari ke 10 Zulhijjah) menabur makanan lalu burung itu memakannya, maka dia termasuk dalam kategori memburu binatang.
Mujurlah larangan di Mina itu hanya satu hari iaitu pada 10 Zulhijjah, bolehlah bebas sedikit. Tidak lagi risau hal keguguran rambut atau mencabut pokok juga memburu binatang. Sungguhpun begitu mereka masih ada tiga larangan yang melibatkan suami isteri. Jadi, pada hari ke 11, 12 dan 13 mereka agak selesa apatah lagi sudah boleh berpakaian biasa.
Perjuangan belum selesai
Walaupun larangan sudah kurang,  perjuangannyanya masih belum selesai. Kadang-kadang sewaktu menuju ke Jamarat untuk acara melontar jamrah nafsu kita diuji. Bayangkan setiap hari berulang alik ke jamarat berdua-dua dalam keadaan bersesak-sesak, kalau tidak dikawal nafsu salah seorang daripada mereka sudah pasti dam menanti mereka.
Selain itu perjalanan sejauh tiga kilometer juga satu cabaran. Waktu pergi agak kuat dan bertenaga, tetapi waktu pulang masing-masing keletihan. Waktu ini kalau tidak kuat jiwa, akan tercetus banyak dosa lagi. Kita perlu ingat walaupun sudah tidak pakai ihram, bukan bermakna kita boleh buat apa sahaja.
Perjuangan sebenarnya akan berakhir apabila balik ke Makkah. Di sana semua jemaah akan mengadakan tawaf ifadah dan saei. Tapi bagi yang buat haji ifrad cukup dengan tawaf ifadah sahaja. Ibadah tersebut juga perlu berhadapan dengan ujian bersesak-sesak. Kadang-kadang kaki mereka tersentuh kaki perempuan Afrika yang tidak pakai stoken.
Memang betul dalam mazhab Syafii bersentuh tanpa syahwat dalam keadaan ini tidak batal wuduk, tetapi bagaimana kalau waktu tersentuh itu, hati anda terasa sesuatu, tentu terbatal wuduk. Tapi anda mengabaikan perasaan itu lalu diteruskan tawaf. Tentu tidak sempurna tawafnya ketika itu. Bayangkan kalau ini gagal, bagaimana saeinya? Inilah yang saya maksudkan perjuangan terakhir.  
Tawaf kedai
Selepas selesai haji, masing-masing bebas dengan aktiviti harian, selain berulang alik ke Masjidilharam, waktu pulang ke hotel, mereka akan tawaf kedai terlebih dahulu. Sesetengahnya window shoping dahulu, tetapi tidak kurang juga yang terus membeli belah untuk buat buah tangan orang di kampung. Kalau 20 hari di Makkah, entah berapa hari mereka menapak di kedai-kedai sekitarnya. Dan berapa banyak pula yang mampu dibeli.
“Mari-mari tengok dulu” itulah bahasa yang digunakan oleh penjual Arab bila melihat orang Malaysia alalu di hadap kedai mereka. “Malaysia bagus” ucapan pujuk yang sering digunakan oleh mereka membuatkan kita tergoda lalu membeli barang itu. Memanglah murah harga di sini, tetapi kualitinya kita tidak tahu. Nampak cantik tetapi belum tentu cantik. Kalau jubah memang cantik dan bermutu kalau harganya lebih 30 rial.
Saya beli seterika yang mengguna air, harganya baru 40 rial, kalau duit kita baru 30 ringgit lebih. Saya beli bukan sebab murah tetapi sebab nak gosok baju yang sudah berkedut.  Saya berpuas hati dengan alat itu, cuma apabila bawa balik ke Malaysia, plaknya tidak boleh sesuai dengan soket di sini. Plak dua batang di sana tidak sama dengan lubang soket di sini. Sekarang alat itu disimpan dahulu sebelum menggantikan plak tiga batang. Harap-harap boleh digunakan setelah digantikan plak baru.
Sebenarnya orang Arab memang suka dengan orang Malaysia, kerana lazimnya orang kita suka membeli. Mengikut rekod mereka, orang Malaysia banyak membeli barang mereka. Tapi kadang-kadang mereka tidak suka apabila sebahagian mereka suka menawar harga yang bukan-bukan. Berbeza dengan orang Indonesia, mereka berbelanja seperti orang kaya. Mungkin mereka berniaga waktu di tanah air mereka. Inilah realiti jemaah haji sebelum pulang ke tanah air.
Sesetengahnya tawaf kedai ini disambung sewaktu di Madinah. Maka sebahagian barang itu diposkan dari Makkah dan sebahagian lagi diposkan di Madinah. Jadi yang pasti untung dalam hal ini ialah pekedai dan pos Malaysia. Bayangkan, saya sendiri belanja pos bernilai SAR700. Harga barang tentu lebih mahal daripada itu. Tapi tak mengapa kerana semua itu perlu dibeli untuk dijadikan hadiah buat mereka yang melawat di kampung nanti.
Solat 40 Waktu
Setiba di Madinah, solat 40 waktu di Masjid Nabawi tidak dilepaskan peluang itu oleh semua jemaah haji. Di sudut fadilat, saya tidak sebut kerana sudah banyak kali dijelaskan oleh penceramah, tetapi mesej yang tersirat daripada amalan itu perlu dilihat semula. Tidak dinafikan ibadah di Masjid Nabawi besar pahalanya, apatah lagi sampai 40 waktu, tetapi berapa ramai yang melakukan amalan itu secara ikhlas. Dan berapa ramai pula yang melakukan ibadah ini kerana sudah ada peluang di hadapan mata.
Sebenarnya solat 40 waktu yang dilakukan di Masjid Nabawi ini  lebih daripada tujuan pahala yang besar. Tahukah anda, sesuatu yang dilakukan sebanyak 40 kali akan menjadi satu kebiasaan. Kalau anda hendak menghafal al-Quran, maka sesatu ayat itu hendaklah diulang sebanyak 40 kali, barulah benar-benar terlekat pada hatinya. Bagitu juga apabila kita mendengar sesuatu iklan sebanyak 40 kali, nanti kita akan mencuba juga akhirnya.
Maknanya, Allah mahu jemaah haji rasa seronok melakukan ibadah solat secara jemaah. Nanti dia akan rindukan solat berjemaah apabila balik ke tanah air. Ketika itu kalau dia tidak dapat melakukan solat jemaah sekali dirasakan amat menyesal dan rugi. Itulah yang akan terjadi kalau mereka lakukan solat 40 waktu di Masjid Nabawi dengan ikhlas kerana kehendak Allah dan rasul-Nya.
Setelah balik ke Malaysia, berapa ramai haji dan hajjah yang boleh mengekalkan solat jemaah di masjid atau surau? Saya tidak ada angka sebenar, tetapi kebanyakan jemaah haji sudah lupa amalan jemaah itu. Kalau wanita memang tidak perlu berjemaah (tidak digalakkan kecuali jika ada pengajian) di masjid atau surau, tetapi setidak-tidaknya mereka boleh mengekalkan solat di awal waktu. Tetapi itupun tidak mampu dilakukan oleh golongan ini.
Kalau begitulah amalan para haji dan hajjah ketika balik ke Malaysia, bolehkah mereka kekal sebagai haji mabrur. Mereka yang gagal mendapat haji mabrur awal-awal lagi kita tidak bimbangkan, kerana mereka memang tidak mampu melakukan ibadah sebagaimana yang dikehendaki Allah. Tetapi mereka yang sudah mendapat haji mabrur, tentulah rugi kerana semuanya lebur selepas itu.
Tidak dinafikan semua yang berlakukan ini ada kaitan dengan dosa yang kita lakukan sama ada secara sengaja atau tidak selepas berada di tanah air. Tetapi sesungguh sesuatu yang berlaku di sini tentu ada puncanya di sana. Jadi sebagai umat Islam apatah lagi haji dan hajjah yang baru pulang, marilah kita bertaubat dan sesalilah segala dosa dan kesilapan lalu. Semoga Allah ampuni dan kembalikan kita ke tempat yang sebaiknya di sisi Allah.