Ahmad Baei Jaafar
Membaca surat khabar Utusan Melayu pagi ini (24 Disember 2012),
hati saya berasa amat sedih, bukan kerana berita kemalangan yang menyebabkan
satu keluarga terkorban tetapi tentang berita ketaksuban bekas ahli PAS
terhadap Amanat Haji Hadi. Sedih saya kerana masih ada lagi umat Islam yang
jahil dalam dunia serba canggih ini. Bagaimana mereka boleh jahil dalam agama
sehingga boleh taksub kepada pemimpin mereka.
Saya tidak tahu keadaan sebenar, adakah keadaan ini kerana ulama
tidak benar-benar mengajar umat Islam tentang bahaya taksub atau ahli sesuatu
parti itu tidak mahu belajar agama hingga boleh taksub sebegitu rupa. Walau
apapun andaiannya, saya boleh pastikan bahawa seseorang yang boleh taksub
kepada pemimpin mereka hakikatnya mereka tidak beragama atau dalam kata lain jahil
dalam agama.
Merujuk kepada laporan akhbar tersebut, seorang bekas ahli Pas
dari Kampung Bukit Payong Hulu Besut, Mat Ali Mat Resat, 62, beliau mendedahkan
bahawa sebahagian ahli Pas mengelak daripada mengambil lauk daging sewaktu
menghadiri kenduri ahli dan penyokong UMNO kerana percaya sembelihan mereka
tidak sah dan haram dimakan.
Kalau betul dakwaan Mat Ali itu, memang saya salahkan pemimpin
parti kerana mereka gagal mengajar fardu ain kepada ahlinya. Sepatutnya semua
ahli diberi bimbingan agama yang cukup bukan sekadar ceramah semangat yang
berapi-api. Tetapi kalau parti sudah menyediakan kelas-kelas fardu ain,
sedangkan ahli tersebut gagal untuk menghadirinya kerana kesebutan atau malas,
maka salahnya ialah ahli berkenaan. Namun natijahnya tetap kita boleh salahkan
pemimpin atas kegagalan itu.
Rendah Ilmu
Sebenarnya saya sehingga ke hari ini tidak dapat hendak menggambar
betapa rendahkan tahap ilmu umat Islam kini sehingga mereka tidak tahu menilai
mana satu ajaran yang benar dan mana pula ajaran yang tidak benar. Namun pada
masa yang sama saya juga berasa hairan betapa ceteknya akal orang-orang Islam pada
hari ini dalam memahami bahasa ilmu walaupun ilmu itu dalam bahasa Melayu.
Cetek akal boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat memahami
makna tersirat. Saya percaya mereka yang seangkatan dengan bekas ahli PAS itu
gagal memahami makna tersirat itu. Untuk membuktikannya, saya cuba dapatkan
teks Amanat Hadi seperti yang didakwakan itu. Rupa-rupanya amanat itu sudah diarkibkan
dalam Wikipedia.
Supaya umat Islam terus selamat dan tidak lagi ditipu oleh syaitan-syaitan
manusia maka izinkan saya untuk memperturunkan amanat tersebut dan kemudiannya cuba
kita fahami maksudnya agar kita tidak terus taksub pada perkara yang salah.
“Saudara-saudara sekelian percayalah, kita menentang UMNO, bukan
kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama
memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan
perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan
jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita
menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
“Percayalah saudara-saudara sekelian, perjuangan kita adalah jihad,
ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada
Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan
puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak
perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk
Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama
suku'.”
Berdasarkan teks amanat di atas, saya dapati tidak ada satu
kenyataan pun yang menyebut bahawa UMNO kafir. Maka jelaslah, mereka yang
membuat dakwaan itu tersalah faham atas kejahilan dalam memahami bahasa. Dalam hal
ini kalau ada orang UMNO yang memahami bahawa kenyataan itu sebagai menuduhnya
kafir, ternyata mereka telah membuat sangkaan yang salah. Ini seolah-olah
mereka mengiktiraf bahawa mereka adalah kafir. Perhatikan catatan Abu Hurairah
berikut:
عن أَبي هُرَيْرَةَ، وَهُوَ قَائِمٌ عِنْدَ مِنْبَرِ
رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : قَامَ فِينَا
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مِثْلِ هَذَا الْيَوْمِ
وَفِي مِثْلِ هَذَا الشَّهْرِ ، فَقَالَ : " أَحْسِنُوا يَأَيُّهَا النَّاسُ
بِرَبِّ الْعَالَمِينَ الظَّنَّ ، فَإِنَّ الرَّبَّ عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِهِ بِهِ " .(ابن النجار)
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah yang ketika itu dia
berdiri di sisi mimbar Rasulullah SAW katanya, pernah Rasulullah SAW berdiri
dalam majlis kami seperti hari ini dan seperti bulan ini, maka baginda
bersabda; “perelokkan sangkaan kamu wahai manusia terhadap tuhan sekelian alam,
kerana sesungguhnya tuhan bersama sangkaan hambanya.
Salah faham
Memahami kenyataan di atas, sepatutnya orang UMNO tidak
cepat membuat andaian buruk terhadap kenyataan Haji Hadi itu, sebaliknya berkata
dengan tenang; “kita perlu cek semula perlembagaan kita adakah benar masih
berbau penjajah.” Kalau betul ubahlah, kalau tidak betul maka bersyukur kerana
kita tidak termasuk dalam kenyataan itu. Bayangkan kalau kita besar-besarkan
isu kafir ini, sedangkan amanat itu tidak katakan begitu, sudah tentu kita sendiri
yang akui kekafiran itu. Nanti Allah bersama sangkaan itu.
Sebenarnya amanat itu tidak merujuk kepada isu akidah
pun, sebaliknya merujuk kepada isu politik, mengapa mereka menentang UMNO.
Menurut amanat itu mereka menentang Umno kerana Umno mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan
undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Jadi,
isunya hanya pada tiga perkara itu. Maknanya kalau tiga perkara itu tiada,
pastilah PAS boleh berbaik-baik dengan UMNO.
Seterusnya pada perenggan kedua mereka mengisytiharkan
jihad menentang kerajaan yang masih mengekalkan tiga perkara di atas. Memanglah
berjihad menentang perkara ini boleh mati syahid. Jelasnya, mereka bukan menentang kerana
kerajaan itu kafir tetapi kerana kerajaan yang masih mengekalkan tiga perkara
itu.
Selain itu dalam perenggan itu juga ditambahkan satu ilmu
bagaimana untuk mengelak diri daripada menjadi kafir. Katanya, kita boleh jadi
kafir hanya dengan menyebut “Agama atau Islam satu perkara dan politik satu
perkara lain”. Ertinya kedua-duanya berada pada kedudukan berasingan, tidak
bercampur. Padahal dalam Islam, politik itu sebahagian daripada urusan agama.
Jadi, kita boleh ukur diri sendiri, adakah aku berfikiran
begitu atau tidak? Kalau memang kita begitu, taubatlah semoga kita dikembalikan
kepada iman yang betul. Kalau tidak begitu, abaikan sahaja kerana perkara itu
boleh menjadi ilmu kepada orang lain. Semoga dengan itu tidak seorang pun yang
boleh menjadi kafir di negara ini.
Selain itu ada sebuah hadis lagi yang sangat berkaitan
dengan persoalan di atas.
عَنْ معاوية بن حيدةِ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الْغَضَبَ يُفْسِدُ الإِيمَانَ، كَمَا
يُفْسِدُ الصَّبْرُ الْعَسَلَ، ثُمَّ قَالَ : " يَا مُعَاوِيَةُ بْنَ
حَيْدَةَ، إِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَلْقَى اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ، وَأَنْتَ
تُحْسِنَ الْظَنَّ بِهِ، فَافْعَلْ، فَإِنَّ اللَّهَ عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِهِ بِهِ."
(ابن عساكر الدمشقي)
Maksudnya: Daripada Muawiyah bin Haidah dia berkata, Rasulullah
bersabda: “Sesungguhnya marah itu merosakkan iman sepertimana jadam merosakkan
madu. Kemudian baginda bersabda lagi, wahai Muawiyah bin Haidah, jika kamu
berpeluang bertemu Allah Azzawajalla, dan boleh bersangka baik, buatlah,
sesungguhnya Allah sentiasa bersama sangkaan hambanya.
Berdasarkan hadis ini, kita tidak sewajarnya marah kepada orang
lain apatah lagi orang yang boleh menasihatkan kita ke arah kebaikan. Kalau kita
cepat marah apatah lagi kalau panas baran, iman akan hilang, dan lambat laun mereka
boleh jadi kafir pula. Oleh sebab itu, sebagai orang Islam kita kena bersangka
baik atas apa yang berlaku. Nanti Allah akan merestui sangkaan kita itu. Wallahu
aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan