Ahmad Baei Jaafar
Dalam sesuatu perjuangan hanya terdapat dua
natijahnya iaitu menang atau kalah atau dalam bahasa yang lebih murni gagal.
Kita baharu sahaja selesai berjuang dalam bulan Ramadan namun secara rasminya
keputusannya tidak dikeluarkan. Tetapi rata-ratanya kita mahukan kemenangan
dalam perjuangan ini.
Persoalan di sini, apakah yang kita perjuangkan
dalam Ramadan? Di sini saya cuba senaraikan seperti berikut:
- Berjuang
menahan nafsu makan dan minum
- Berjuang
mengawal nafsu seks
- Berjuang
menahan nafsu mata
- Berjuang
menahan nafsu telinga
- Berjuang
menahan nafsu lidah
- Berjuang
menambahkan pahala ibadah
- Berjuang
menambahkan pahala sedekah
- Berjuang
mencantikkan akhlak
Berdasarkan senarai itu, mana satu yang anda rasa
benar-benar berjaya dalam Ramadan kali ini? Mungkin rata-rata mengakui telah berjaya
dalam menahan nafsu makan dan minum juga seks. Itupun setelah bertungkuslumus
berlawan dengan nafsu lapar. Jenuh jugalah berjuang mengawal nafsu seks, yalah
tengok isteri mungkin boleh kontral, tetapi bagaimana kalau melihat gadis seksi
di luar rumah? Namun tidak ada yang terbabas.
Tetapi perjuangan lain yang lagi enam itu bagaimana?
Rasanya ramai yang gagal menahan nafsu mata, lidah, telinga apatah lagi ibadah
dan sedekah. Ramai yang terbeliak mata melihat aurat wanita terutama ketika di
pasar Ramadan. Manakala perempuan pula rambang mata melihat makanan, pakaian
dan sebagainya ketika membeli belah. Begitu juga dengan nafsu telinga dan
lidah, tidak boleh dikawal terutama ketika bertemu sahabat handai. Padahal
Rasulullah sudah mengajar kita supaya berkata, “maaf aku berpuasa” – sebanyak
tiga kali.
Kalau di sudut ibadah ternyata ramai yang tewas, minggu
pertama Ramadan ramai yang pergi ke masjid dan surau. Tetapi selepas itu semakin
berkurangan apatah lagi pada malam fasa ke 10 terakhir. Penyakit malas sudah
menyerang. Mengenai sedekah pula, ramai lagi yang berkira-kira untuk
menghulurkan sumbangan. Kalau begitulah kedudukannya apalah erti kemenangan
kepada umat Islam yang berpuasa ini?
Kalau kita hanya menang 2/7 tentulah tidak berbaloi.
Oleh sebab itulah barangkali ibadah puasa yang kita lakukan tidak membuahkan
akhlak yang mulia. Akhlak mereka tidak bertambah cantik walaupun kita telah
menempuh puasa setiap tahun.
Kalau begitu siapa yang boleh menang dalam
perjuangan ini? Tidak syak lagi mereka yang berjaya dalam perjuangan ini hanyalah
orang yang bertaqwa. Tetapi bagaimana kita boleh mengenali orang yang bertaqwa?
Ya, taqwa bermaksud orang yang boleh mengawal jiwa dan raga dalam melaksanakan
perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah.
Itulah natijah sebenar daripada ibadah puasa ini.
Mereka menjadi orang yang taat kepada Allah dalam semua perkara, mencontohi
Rasulullah dalam melaksanakan ibadah dan boleh berakhlak dengan munusia dalam
semua keadaan. Adakah anda termasuk dalam kategori orang yang bertaqwa ini?
Melihat keadaan itu tentu ramai yang gagal dalam
perjuangan ini. Namun sebagai umat Islam kita tidak seharusnya kecewa kerana
Allah tidak pernah mahu menzalimi hambanya. Buktinya Allah tidak isytiharkan
siapa pemenang dan siapa yang gagal. Dan yang kedua Allah masih memberi peluang
kepada mereka untuk menutup kekurangan sekali gus membaik pulih mana yang belum
sempurna.
Tindakan yang harus dilakukan bagi mengatasi
kegagalan itu ialah dengan melakukan perkara berikut:
- Bayar zakat
fitrah
- Banyakkan
takbir
- Banyakkan
sedekah kepada anak-anak
- Doakan
sahabat handai, kawan taulan agar mereka berjaya dan seterusnya ucap
tahniah atas kejayaan itu.
- Memohon
kemaafan dan saling berkasih sayang.
Semoga dengan cara ini semua umat Islam boleh
dikategorikan sebagai berjaya dalam perjauangan ini. Hendaknya setiap tahun
anda berada dalam kebaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan