15 Ogos 2012

Bagaimana anda mengenali kafir harbi?


Ahmad Baei Jaafar
Pelik, sesudah sekian lama negara kita merdeka dan kehidupan rakyat negara ini semakin baik, tetapi secara tiba-tiba dikejutkan dengan isu kafir harbi. Kenapa muncul istilah itu di negara ini sedangkan orang bukan Islam masih mahu bekerjasama dengan orang Islam? Adakah isu ini benar-benar difahami oleh umat Islam?
Sebenarnya kafir harbi sudah jarang ditimbulkan secara terbuka kecuali sekadar perbincangan ilmiah di sekolah dan universiti. Perkataan atau istilah kafir harbi tidak lagi dibincangkan secara umum kerana suasana di negara ini sudah tidak lagi diancam oleh penentang yang berstatus kafir harbi.
Jadi, dalam keadaan ini mengapa timbul isu kafir harbi? Adakah hal ini ada kaitan dengan perkembangan politik yang sengaja dibangkitkan pihak tertentu untuk menimbulkan permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia? Kalau berlaku permusuhan siapakah yang akan mendapat untung?
Saya tidak pasti siapa yang memulakan isu ini. Dan kenapa pula secara tiba-tiba seorang guru pondok boleh bercakap tentang kafir harbi ini? Apakah dia benar-benar faham isu ini atau sengaja dibesarkan pihak tertentu untuk menjatuhkan maruah guru berkenaan. Mungkinkah dia sedang diperalatkan oleh pihak tersebut untuk tujuan yang tidak baik?
Memang istilah itu tidak boleh dihilangkan kerana dari masa ke masa masih boleh digunakan lagi. Kalau sekarang tidak berlaku, namun tidak mustahil boleh berlaku pada tahun hadapan. Jadi, sebagai orang Islam mereka perlu tahu istilah itu dengan tepat agar boleh diletakkan istilah itu pada orang yang betul.
Saya percaya perbincangan ilmiah tentang kafir harbi itu wujud dalam pengajian pondok, tetapi secara realitinya kemungkinan mereka tidak jelas kerana belum pernah didedahkan realiti kehidupan orang kafir di negara ini. Mereka lebih banyak masa di pondok pengajian dan kemungkinan besar mereka tidak tahu perkembangan semasa di luar pondok.

Dakwaan
Untuk lebih jelas isu ini suka saya membawa keluar ke tengah masyarakat untuk mudah dilihat oleh semua pihak, sekali gus menolak fitrah masyarakat. Malaysia adalah contoh mudah yang boleh kita analisiskan. Pada dasarnya Islam telah memperkenalkan istilah kafir bagi membezakan dengan orang Islam.
Maksud kafir ialah, orang yang menentang hukum Allah atas kejahilannya. Dalam al-Quran golongan ini sebut sebagai yang ingkar hukum Allah dan mereka tidak mahu beriman dengan Allah. Dari istilah itu dipecahkan kepada dua iaitu harbi dan zimmi.
Kafir Harbi ialah orang bukan Islam yang terlibat dalam peperangan membunuh atau memusuhi orang Islam di daerah terbabit. Golongan ini boleh ditentang balas oleh orang Islam kerana kedudukan mereka amat membahaya kepada nyawa orang Islam.
Kafir Zimmi pula ialah orang bukan Islam yang menetap dalam negara Islam, mendapat kerakyatan, dan setia membayar cukai yang ditetapkan. Golongan ini mendapat jaminan keamanan sama seperti orang Islam.
Berdasarkan definisi di atas, tentu tidak ada lagi kafir harbi di negara ini. Hal ini kerana semua orang bukan Islam di negara ini sudah menjadi warga negara dan mereka membayar cukai, malah mereka patuh kepada undang-undang negara. Adapun orang bukan Islam yang belum menjadi warga negara termasuk pendatang asing, keberadaan mereka di sini masih terkawal dan tidak pernah berniat untuk menentang orang Islam. Maka mereka bukan kafir harbi.
Mengenai dakwaan tok guru pondok di atas, kemungkinan dia merujuk isu ini kepada komunis yang menentang negara dan Islam. Boleh jadi guru ini pernah hidup pada zaman itu maka dalam fikirannya masih tertanam persepsi begitu kepada orang bukan Islam sekarang. Untuk pengetahuan kalian, sebelum dan semasa peristiwa 13 Mei, golongan ini masih ada, mereka itu masih ada yang rasa tidak senang hati dengan orang kerajaan Melayu dan Islam.
Memang di negara kita pada masa sekarang masih ada orang bukan Islam yang tidak bersetuju dengan Islam tetapi tidak mengistihar perang dengan kita. Mereka hanya tidak suka jika anak mereka memeluk Islam tetapi mereka tidak musuhi Islam. Mereka tidak mahu hukum Islam kerana persepsi yang salah sahaja. Tetapi mereka tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka untuk membunuh orang Islam atau menentang hukum Islam.
Orang bukan Islam buat masa ini walaupun tidak bersetuju dengan hukum Islam, mereka tidak sampai bangun memerangi orang Islam dan kerajaan. Mereka tidak bersetuju mungkin kerana kejahilan yang tidak pernah diajar oleh orang Islam atau pemerintah Islam. Jadi, mereka masih belum termasuk dalam kategori kafir harbi.
Pada zaman Rasulullah dahulu, pemerintah negara orang bukan Islam diajak kepada Islam, mereka diperkenalkan konsep ketuhanan. Tetapi kalau dengan sebab itu mereka terus menentang Rasulullah, barulah mereka diberi tiga pilihan sama ada menerima Islam atau membayar jizyah atau diperangi.
Persoalan sekarang, wujud atau tidak golongan yang memberi penjelasan hal Islam kepada mereka? Kalau mereka masih menentang atas alasan tidak pernah diberi penjelasan yang sebenar, maka yang salahnya ialah kita bukan mereka.
Sebenarnya berdasarkan pengetahuan saya, belum wujud dalam kalangan orang Islam khususnya pendakwah yang sanggup turun padang menjelaskan secara langsung kepada mereka yang mempertikaikan hukum Islam. Sebaran Islam melalui media belum cukup kerana jarang mereka akan mendengar atau menonton tv mengenai Islam.
Selain itu di dalam suasana politik sekarang belum wujud parti atas nama bukan Islam yang berniat untuk menentang Islam dan memerangi orang Islam. Kalau ada hanya sekadar seorang dua dalam parti tersebut bangun menentang Islam, belum boleh dihukumkan seluruhnya sebagai menentang Islam. Jadi, masih tidak boleh digelarkan mereka sebagai kafir harbi.
Atas penjelasan itu, saya mengharapkan semua orang Islam dapat faham kedudukan sebenar orang kafir yang berada di negara kita sekarang. Semoga dengan itu kita boleh fokus dalam dakwah dan terus maju dalam membangunkan agama di negara tercinta.

Tiada ulasan: