Ahmad Baei Jaafar
Tiba-tiba sahaja kita dihidangkan satu kejadian di mana polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya, malam tadi. Bagaimanapun polis dan JAIS boleh bekerjasama, siapa yang jemput siapa? Sejak bila pula polis ada kuasa menyerbu rumah ibadat kerana acara makan malam? Apakah JAIS ada kuasa menyerang rumah ibadat orang bukan Islam?
Atas sebab itu barangkali mengapa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berasa kesal dengan kejadian itu. Beliau kesal kerana tindakan boleh menjatuhkan maruah JAIS sekali gus maruah Islam yang tidak bijak sana dalam tindakan. Demi menyelamatkan keadaan beliau secara peribadi telah menghubungi Paderi kanan DUMC, Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden itu.
Syabas Datuk Menteri Besar, tindakan yang diambil itu setidak-tidak boleh meredakan kemarahan pihak gereja kepada kerajaan negeri dan Islam. Setidak-tidaknya mereka tidak bertindak menyaman polis dan JAIS kerana mengganggu majlis mereka.
Merujuk kepada kenyataan Exco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada malam tersebut. Hal ini kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.
Pemeriksaan itu merujuk kepada maklumat yang diterima mengatakan terdapat kehadiran orang Islam untuk majlis berbuka puasa di gereja berkenaan. Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam dalam majlis tersebut.
Persoalannya apakah niat asal majlis makan malam itu? Kenapa diadakan di gereja? Siapa yang menganjur majlis tersebut? Salahkah orang Islam masuk gereja? Apakah apabila orang Islam masuk gereja boleh dicap sebagai terpengaruh dengan Kristian?
Kalau pihak gereja menganjurkan majlis itu apakah niatnya untuk memujuk mereka menerima Kristian? Kalau tidak mengapa diadakan di gereja? Kalau sekadar 12 orang, cukup di restoran sahaja. Kalau orang Islam yang bertindak menganjur, apakah niatnya untuk berdiolog mengenai salah faham terhadap agama. Ya, mengenai niat adalah kerja hati yang sukar dinilai, malah kerana silap sedikit boleh menjemuskan mereka kepada dosa.
Tidak salah orang Islam masuk gereja, malah tidak salah kalau bersolat di dalamnya asalkan tempatnya bersih dan menghadap qiblat dan pada masa yang sama tidak menghadap kepada patung. Kalau begitu keadaannya, menghadiri jemputan makan malam atau buka puasa di gereja bukanlah isu besar atau salah.
Cuma persoalannya apakah orang Islam yang masuk ke gereja itu atas tujuan berbuka puasa kononnya melakukan solat Maghrib. Kalau tidak solat Maghrib bagaimana puasanya, benarkah mereka orang Islam? Kalau begitu kedudukannya ada dua pihak yang bersalah; individu berkenaan cuai dalam mengamalkan ajaran Islam; ibu bapa dan juga ulama gagal memberi didikan Islam sebenar kepada mereka hingga tersesat dari landasan sebenar.
Sepatutnya dalam kes ini penguatkuasa JAIS tidak terlibat dalam serbuan pada hari tersebut. Malah tidak perlu hadir ke gereja atas nama jabatan. Hal ini kerana kehadiran atas nama jabatan mewakili kerajaan. Walaupun mereka itu datang sekadar melihat majlis tersebut akan disalah tafsirkan sebagai serbuan. Walaupun tiada tangkapan dibuat, kehadirannya boleh disensasikan.
Sememangnya JAIS tidak ada hak masuk gereja sama ada untuk menyelidik apatah lagi menangkap orang yang disyaki. Kedudukannya samalah dengan masjid yang tidak boleh diserang dan cerobohi polis atau askar. Masjid dan rumah ibadah adalah kawasan aman. Adalah dibimbangkan kalau kita berbuat begitu, nanti satu hari orang lain pula menyerang masjid kita.
Jalan penyelesaian dalam kes sebegini, JAIS perlu serius dalam kerja dakwah, mendidik orang Islam terutama mereka yang goyah imannya. Pada masa yang sama jiran atau kawan perlu bantu membetulkan keadaan. Jika tidak mampu, maklumkan kepada pihak berkuasa atau ulama, semoga dengan itu mereka boleh diselamatkan daripada tersesat.
2 ulasan:
salam ust, tah la...kekadang sy tgk ramai org islam sendiri tak paham pasai islam..alih2 bila isu ni timbul lebih sudu dari kuah? apa yg mereka nak sebenarnya?
adakah kita ni kena diturunkan bala baru semua org islam kat malaysia ni paham apa itu islam yg sebenar??
apa2 pun sy berdoa agar mereka terbuka pintu hati dan dapat berfikir secara rasional...
Isu ini sudah jadi isu politik, sengaja dimainkan untuk kepentingan politik. Perangkap ini kalau tidak tangani dengan bijak, nanti orang ramai akan salah Islam. Jadi, sedarlah dan kuatkan Islam dan ilmunya demi ummah yang kuat.
Catat Ulasan