11 Ogos 2011

Cukup-cukuplah buat dosa, banyakkan pahala


Ahmad Baei Jaafar
Berapa banyak lagi umat Islam hendak buat dosa, meskipun berada dalam bulan puasa yang ditawarkan dengan banyak pahala. Apakah mereka tidak berpuasa atau tidak sedar apa yang mereka lakukan sekarang itu satu dosa atau setidak-tidaknya boleh mengurangkan pahala puasa. Atau adakah mereka sengaja mahu menghina Islam?
Sepatutnya bermula bulan puasa kita kunci mulut yang suka buat dosa, kunci kaki yang suka buat dosa dan kunci tangan yang suka buat dosa. Kalau selama ini bertimbun dosa, hendaknya bulan ini bertimbun pahala dan dosa yang lama boleh terampun dengan taubat setiap hari dalam bulan Ramadan. Yalah, Rasulullah sendiri menegaskan; Ramadan awalnya Rahmat, pertengahannya Maghfirah dan akhirnya itqunminannar.
Apakah mereka tidak mahu Rahmat Allah, apakah mereka tidak mahu Pengampunan Allah, dan adakah mereka tidak mahu pembebasan daripada api neraka Allah. Kalau mahu mengapa masih mahu buat dosa? Tidak takutkah dosa itu berganda seperti bergandanya pahala. Inilah yang sangat menghairankan saya.
Minggu pertama puasa lagi ada orang Islam yang secara sengaja menyakitkan hati orang bukan Islam. Mereka timbulkan isu orang bukan Islam hendak murtadkan orang Islam. Apakah orang Islam yang masuk gereja sudah jadi murtad? Pada masa yang sama kita sudah menyakitkan hati orang Islam dan organisasi Islam. Mereka tuduh orang Islam tidak mahu bertindak menyelesaikan masalah dengan bijak. Apakah masalah besar boleh diselesaikan dalam sehari dua?
Mengapa orang Islam sanggup jadi ejen musuh Islam bagi merosakkan perpaduan ummah? Apakah mereka tidak sedar bahawa mereka sedang diperalatkan oleh pihak lain untuk menghancurkan Islam? Ya, mungkin dia tidak kena musuh Islam. Kalau begitu siapa musuh Islam itu? Untuk pengetahuan semua, ada dua musuh Islam yang sangat hampir dengan kita iaitu Nafsu yang sangat mengajak ke arah kerosakan dan kedua Syaitan yang niatnya untuk menyesatkan umat Islam.
Kini syaitan dirantai dan kurang berperanan untuk menggoda manusia, maka tinggallah nafsu sebagai penggoda tunggal. Kenapa kita tewas dengan nafsu? Janganlah kerana bencikan seseorang kita tidak nampak kebaikannya lagi. Janganlah tutup kebaikan orang hanya kerana hendak menaikkan kebaikan kita, nanti kesannya kita tidak beroleh apa-apa.
Bertaubatlah wahai umat Islam. Insafilah diri kerana dosa yang bertimbun itu kalau dipohon ampun dengan cara ikhlas akan diampun sepenuhnya. Lakukan ibadah dengan sempurna tanpa dosa lagi. Kemudian bayarlah zakat fitrah kepada AMIL yang dilantik kerajaan. Biarlah nanti orang yang berhak mendapat zakat boleh menyambut raya sama seperti orang lain.
Zakat penting dibayar oleh umat Islam kerana zakat harta adalah untuk membersihkan harta kita yang bercampur dengan hak orang lain di dalamnya. Kalau zakat tidak dikeluarkan bermakna kita akan terus makan hak orang lain.
Manakala zakat fitrah adalah untuk membersihkan diri kita daripada dosa sekali gus menyempurnakan ibadah puasa yang mungkin ada kekurangan. Kalau tidak bayar, maka selain berdosa, puasa kita tidak sempurna. Jadi, bayarlah zakat fitrah kepada amil.
Tetapi di sini juga ada timbul persoalan, mereka tidak mahu membayar zakat kerana fobia dengan penyelewengan pihak pengurus zakat. Dengan ini mereka secara tidak langsung menuduh badan tersebut tidak amanah. Bayangkan dengan sekejab sahaja mereka beroleh dua dosa, dosa tak bayar zakat dan dosa membuat fitnah.
Sebenarnya soal siapa pengendali zakat itu tidak timbul kerana zakat yang kita bayar itu sudah sah dan Allah sudah terima. Kalau pengendali itu tidak amanah lalu menyelewengkan harta tersebut, maka dosanya kepada Allah dan pastinya mereka akan dihukum. Kita tidak perlu risau urusan Allah, tetapi risaulah dengan urusan kita yang belum selesai ada ada dengan Allah dan manusia.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Malang sungguh rakyat negara ini kerana dicemari oleh golongan yang tidak profesional terutama orang Politik. Yang terbaru isu tidak dibenarkan guna pembesar suara untuk membaca al-Quran sebelum Subuh, dijadikan isu besar.
Ekoran itu barang kali, mereka simbah pula cat merah ke pejabat DAP. Apa yang hendak dimarahkan sangat dalam bulan Ramadan ini. Sesungguhnya orang yang bertindak itu, tidak faham ajaran Islam sebenar.

aizamia3 berkata...

wajib kita buat bagi perkara yang diwajibkan pada kita sebagai orang Islam..

fikrah islamiah berkata...

Tunjuk akhlak yang baik kepada orang bukan Islam adalah wajib, ini sebahagian daripada dakwah bil hal. Inilah yang diamalkan oleh Rasulullah kepada orang Yahudi.