Ahmad Baei Jaafar
Kita cepat nampak apa yang orang lain lakuksn, tetapi cuba tutup apa yang kita laku. Kita seperti tidak nampak salah sendiri. Inilah lumrah manusia apabila hatinya sudah tidak murni dengan Allah, maka dengan manusia lagi tidak murni. Baru-baru ini kita sebuk memperkatakan isu membenarkan pusat hiburan beroperasi dalam bulan Ramadan. Itupun setelah media membesarkannya. Padahal memang selama ini seluruh Malaysia kecuali Kedah dan Kelantan, pusat hiburannya terus beroperasi dalam bulan Ramadan.
Baguslah kalau umat Islam boleh rasa sensitif dalam hal agama dan maksiat, tetapi banyak yang kita lihat teguran itu tidak ikhlas, tegurnya kerana kepentingan politik. Tegur itu kerana ada kepentingan yang boleh menguntungkan kumpulannya. Sepatutnya sebelum masuk Ramadan kita mula bermaafan dan tidak membawa komplik yang boleh merosakkan hubungan sesama Islam.
Sebenarnya isu tersebut kalau dalam rumah tangga, ada perumpamaan yang menyebut, “pukul anak sindir menantu” tapi dalam politik sebaliknya pula. Tapi saya tidak pasti sama ada wujud perumpamaan untuk itu atau tidak. Ceritanya begini, seseorang itu sokong satu tindakan musuhnya kerana tindakan itu menguntungkan orang dalam kumpulannya, tetapi atas niat hendak menjatuhkan lawannya dia berpura-pura menentang tindakan itu. Inilah mainan politik yang orang awam tidak faham.
Jadi, saya menyeru umat Islam agar menjadi orang yang beriman dan bertaqwa malah profesional dalam sesuatu tindakan, apatah lagi menjelang bulan Ramadan. Oleh sebab itu, marilah lihat di sekeliling kita apakah kita sudah menghormati Ramadan? Tidak perlulah lihat dan menuduh orang lain tidak menghormati Ramadan sedangkan kita juga sebenarnya sedang mencemarkan Ramadan.
Mengapa kita nampak orang bukan Islam tidak menghormati Ramadan dengan membuka pusat hiburan sedangkan kita setiap hari membuka pusat hiburan dalam bulan Ramadan. Berapa ramai umat Islam yang masih mengumpat dan menabur fitnah dalam bulan Ramadan. Berapa ramai umat Islam khususnya wanita yang berpakaian yang mendedahkan aurat. Inilah pusat hiburan yang tidak pernah tutup walaupun bulan Ramadan.
Mereka ini bukan sahaja tidak menghormati Ramadan tetapi pada masa yang sama menghina Islam. Mereka ini jugalah yang disebut oleh Rasulullah sebagai orang yang berpuasa tetapi tidak beroleh apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga. Mereka mungkin hanya dapat pahala imsak, pahala tak makan. Ertinya puasa mereka sia-sia sahaja.
Selain itu, wanita yang uzur yang diberi kebenaran untuk tidak melakukan puasa, mereka juga sering dilihat tidak menghormati bulan Ramadan. Bagaimana? Mereka yang tidak boleh berpuasa memang boleh makan. Tetapi mereka tetap dilarang makan di khalayak ramai. Maknanya kalau mereka hendak makan carilah tempat yang tertutup.
Ibu tidak boleh makan di hadapan anak-anaknya, isteri tidak boleh makan di hadapan suaminya walaupun di dalam rumah. Dan wanita juga tidak boleh makan di hadapan wanita lain walaupun mereka juga tidak berpuasa. Hal ini kerena golongan itu termasuk dalam kategori khalayak ramai. Mereka yang terlibat itu tidak menghormati Ramadan sekali gus menghina Islam.
Sebenarnya hukum yang sama harus diberi kefahaman kepada orang bukan Islam. Dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan (majlis perbandaran) boleh bertindak demi menghormati Ramadan. Namun mereka ini perlu diberi kefahaman yang secukupnya sebelum bertindak.
Maksud saya, kedai-kedai makan dan restoran orang bukan Islam tidak seharusnya dibenarkan beroperasi secara terbuka sepanjang bulan Ramadan. Untuk itu mereka boleh mengenakan tabir atau birai rotan atau buluh di hadapan primes mereka. Begitu jaga dengan pusat hiburan, boleh dilakukan secara tertutup hingga muziknya tidak kedengaran di luar primes.
Seperkara lagi yang sering kita terlepas pandang, orang bukan Islam tidak seharusnya sewanang-wenang makan dan minum malah merokok di tempat awam. Sama ada tempat itu ada orang Islam atau tidak, menghormati Ramadan harus dijaga. Perlu diingat, tindakan mereka juga termasuk dalam menghina Islam.
Akhirnya, pakaian yang dipakai oleh wanita sama ada wanita Islam atau bukan Islam, seharusnya lebih bersopan. Ingatlah bulan yang mulia ini harus disambut oleh semua pihak tanpa mencemarinya dengan dosa.
2 ulasan:
ENCIK JGN JADIKAN ISU INI SEBAGAI ISU POLITIK..... SEBELUM INI PUN PUSAT HIBURAN MEMANG BEROPERASI KETIKA BULAN RAMADHAN KAN??? ALKOHOL MEMANG HARAM DLM ISLAM, JIKA IMAM SESEORANG ITU KUAT MAKA TIDAK PERLU HIRAUKAN TENTANG ISU PUSAT HIBURAN .... APA KATA PADA HARI TAHUN BARU CINA ATAU DEEPAVALI SEMUA TAUKE2 JUAL LEMBU DIMINTA TUTUP KEDAI SEHINNGGA HABIS PERAYAAN???? KERANA ORANG BERBANGSA CINA DAN INDIA TIDAK AKAN MAKAN LEMBU... KAMU BOLEH TERIMA TAK??? FIKIRLAH DULU YEH ENCIK...... 1 MALAYSIA.... 3 KAUM YANG SEHINGGA KINI HIDUP AMAN DAN DAMAI.... JANGAN WUJUDKAN MASALAH PERKAUMAN KERANA MAINAN POLITIK YANG KOTOR INI.....
Betul isu ini bukan isu politik, kebenaran pusat hiburan dalam bulan Ramadan untuk orang bukan Islam, bukan isu politik. Tetapi isu ini dimainkan oleh orang politik untuk menjatuhkan pihak lawannya. Sila faham mesej artikel ini dengan hati terbuka.
Catat Ulasan